Home Novel Cinta Harapan Kasih @ Aku Tunggu Dia
Bab 3

Januari 2005

“Apa yang kau dok pandang pakwe tu Nadia oi? Kalau jatuh cinta kan parah.”

“ Apalah kau ni Mierah. Pandang pun boleh jatuh cinta ke?”

Amierah tersengih.

“ Kalau tak silap aku, lelaki tu form 5 kan? Fazar kan?”

Nadia Asyila mengangguk sedikit tanda mengiakan.

“ Handsome kan dia?”

“ Eleh setakat muka macam tu, handsome lagi si Hisyam yang tengah pandang kau tu” Nadia Asyila tersentak.

“ Apa kau cakap?”

Amierah ketawa kecil. Diangkat sedikit jari telunjuknya dan menunjukkan ke satu arah. Nadia Asyila pantas menurut arah jari itu. Matanya bertentang dengan mata Iqmal Hisyam. Seketika kemudian lelaki itu memberikan senyuman untuknya. Nadia Asyila kaget.

‘ Dia senyum kat aku ke?’

Dipalingkan wajahnya ke arah Amierah. Gadis itu sudah tiada.

‘ Eh macam biskut. Cepat betul dia ni hilang.’

Dipandang kembali wajah lelaki yang kurang dikenali di bangunan yang bertentangan dengan bangunan tempatnya berdiri.

Apa yang Nadia Asyila tahu, lelaki itu adalah sahabat karib kepada Fazar Azameer. Lelaki yang diminatinya dalam diam. Perasaan sayang yang semakin hari semakin bertambah.

Nadia Asyila mengerling wajah yang masih senyum memandangnya. Tanpa sedar, Nadia Asyila turut sama membalas senyuman itu. Iqmal Hisyam semakin melebarkan senyumannya.

Tanpa sebarang amaran, Nadia Asyila terus melangkah memasuki kelas yang terbina di belakangnya apabila menyedari yang waktu rehat sudah hampir tamat.

Iqmal Hisyam terus memandang tanpa jemu insan yang semakin menghilang dari pandangannya. Senyuman masih setia terukir di bibir merah yang tidak merokok itu.

Seketika tadi Iqmal Hisyam sedikit kecewa bila pandangannya terarah pada lelaki yang dipandang oleh mata cantik milik gadis yang semakin mendapat tempat di hatinya. Matanya tidak salah. Gadis itu sedang memandang Fazar Azameer dan seakan-akan sedang mengangankan sesuatu.

Iqmal Hisyam segera menepis rasa kecewa itu. Segalanya bagaikan terubat apabila bibir mungil yang merekah milik gadis itu tersenyum padanya. Bagaikan dunia ini terlalu indah.

Hatinya mula berdebar dengan perasaan yang tidak disengajakan. Perasaan itu indah. Mungkin itulah yang dikatakan cinta.

Dia tidak senang dengan kehadiran perasaan itu yang semakin hari semakin mendalam menghuni hatinya. Dalam hidupnya, inilah pertama kali perasaan itu hadir.

Seakan memenjarakan dirinya dalam satu ruang yang sentiasa menyesakkan nafasnya. Sentiasa ada dan wujud wajah gadis itu di mana-mana. Bukan sahaja di dalam hatinya. Tetapi turut merajai fikirannya. Sukar untuk dia memfokuskan perkara lain. Pasti gadis itu yang akan sentiasa berada di hadapan.

Satu keluhan yang agak panjang dilepaskan. Seakan cuba menenangkan dirinya yang mula kalut dengan perasaan sendiri. Dia sedar yang cinta kepada gadis yang bernama Nadia Asyila tidak seharusnya bersikap terburu-buru.

Pasti dia akan berterus terang suatu hari nanti. Bila? Itu dia tidak tahu. Apa yang pasti, akan ada waktu dan masanya. Untuk masa sekarang, pelajaran harus diutamakan. Dia tidak mahu memikirkan sekiranya gadis itu telah mempunyai pilihan. Apa yang dia tahu, dia akan merebut cinta gadis itu. Hanya untuk dirinya. Dia akan pastikan akan ada ruang cinta seperti mana perasaannya sekarang di dalam hati gadis itu. Dia mempunyai cara dan gayanya yang tersendiri. Seketika kemudian, dia tersenyum.

“ Syam. Apa yang kau senyum sorang-sorang ni? Teringatkan makwe?”

Tepukan dibahunya membuatkan Iqmal Hisyam sedikit terperanjat. Terus melayang dan menghilang entah ke mana senyuman milik gadis yang bermain di dalam kepalanya. Dijeling Fazar Azameer yang berada di sebelahnya.

‘ Aik! Bila masa pulak mamat ni berdiri kat sebelah aku? Tadi bukan main lagi bergurau senda dengan si Syikin sampai si Nadia tu pandang langsung tak perasan.’ Iqmal Hisyam bermonolog.

“ Apasal pulak jeling aku macam tu? Macam nak gaduh je.”

Iqmal Hisyam menyedari yang dia agak beremosi. Sebenarnya dia cemburu kerana Nadia Asyila memandang kawannya itu dengan penuh perasaan. Segera diimbas kembali persoalan yang dilontarkan oleh Fazar Azameer sebentar tadi. Dia tersenyum.

“ Sorrylah. Makwe-makwe ni aku tak mainlah. Bukan macam kau. Buaya!”

Fazar Azameer ketawa kuat.

“ Hei kawan! diorang yang datang pada aku. Aku layan je la. Takkan tak nak layan pulak?”

“ Ah buang karan je cakap dengan kau.”

Iqmal Hisyam terus berlalu menuju ke kelasnya yang berada di hujung bangunan itu. Menyedari diri ditinggalkan, Fazar Azameer berlari anak mendapatkan Iqmal Hisyam dan memeluk mesra bahu kawannya sambil berjalan beriringan.

Sebentar kemudian, kedengaran ketawa dari keduanya. Pasti Fazar Azameer yang terkenal dengan kenakalannya itu membuat lawak.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurul jannah