Home Novel Cinta Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Mastura Abdullah
14/3/2014 15:43:33
1,199,846
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 1

1

 IRIS Suhayla tersedak bila diberitahu ada keluarga yang datang merisiknya hujung minggu lepas. Beberapa kali dia batuk kecil, sebelum mengurut dada. Tersalah dengar agaknya, atau barangkali dia sedang bermimpi.

“Tak payah nak buat muka kasihan, ayah dah setuju pun,”

“Ayah setuju? Mak, Su tengah mimpi, kan? Tepuk Su sekali!”

Pintanya. Tidak lama, dahinya ditepuk kuat lantas dia membuka mata. Terasa perit dahi itu gara-gara tangan emak yang singgah kuat di dahinya. Emak ketawa namun tangannya masih ligat menyusun pinggan di rak. Iris Suhayla sedar dia tidak bermimpi. Akhirnya dia membuang keluhan panjang.

“Orang dah tanda Su, apa lagi yang nak dikesalkan,”

“Mak! Ni soal masa depan Su, kan? Mana boleh ayah dan mak buat keputusan untuk Su!”

“Kenapa tak boleh?”

“Kalaupun Su perlu berumahtangga, Su nak pilih calon Su sendiri, bukan calon dari mak atau ayah,”

Tolaknya, agak keras namun emak masih bersahaja. Tidak ada tanda-tanda emak marah atau tersinggung dengan jawapan keras darinya. Usai menyusun pinggan, emak masuk ke dalam kamar tidurnya yang memang dibina di ruangan dapur. Iris Suhayla membuang keluhan lagi namun dia terkedu melihat gambar seorang lelaki yang beralih tangan selepas diserahkan oleh emak tidak lama selepas itu.

“Gambar bakal tunang Su!”

Balas emak bersahaja. Lama Iris Suhayla menatap wajah lelaki yang dikatakan bakal menjadi tunangannya itu. Tampan. Karisma lelaki itu terserlah walau hanya disebalik gambar.

“Handsome?”

Tanya emak, seraya ketawa kecil.

“Setakat handsome dalam gambar! Entah siapa yang mak dan ayah nak jodohkan buat Su ni. Penganggur ke, penagih ke, penjenyah ke? Senang aje kan kerja mak dan ayah! Pakai saut.”

“Pakai saut apa? Kalaupun penganggur, padanlah dengan Su, kan? Su pun penganggur jugak. Apa? Su ingat mak ayah nak sumbat Su dalam kandang harimau ke? Iris Suhayla, umur Su tu dah 25 tahun. Bukan muda lagi! Nak tunggu Su kerja, cari jodoh sendiri macam tunggu intan berlian jatuh dalam telaga. Entah bila-bila!”

Ayah menyampuk dari tepi daun pintu. Barangkali perbualannya dan emak didengari ayah, sebab itu ayah menokok kena pada tempatnya.

“Eleh, baru 25 dah kecoh nak suruh orang kahwin,”

Omelnya sendirian, berpaling ke arah lain dengan hati yang masih bersisa panas.

“Apa dia?”

“Ayah, Su tak mahu dijodohkan dengan lelaki tu! Su tak kenal dia siapa. Su tak mahu!”

“Tak kenal? Tak mahu? Mahu tak mahu kena mahu jugak. Ini keputusan ayah.”

IRIS Suhayla berdiri di birai tingkap, membuang pandang ke arah langit dengan perasaan yang masih sebal. Kepulangannya ke kampung selepas melawat ibu saudara di Melaka hanya mengundang sakit di hati dan kepala. Dengan mudahnya emak dan ayah membuat keputusan sedang pendapatnya langsung ditolak ke tepi. Bukankah dia tuan yang empunya hati dan badan? Mengapa senekad itu emak dan ayah membuat keputusan? Jika hanya bersandar pada gambar untuk membuat keputusan mengenai masa hadapannya, rasanya dia patut sekali diberi hak untuk menolak. Telefon bimbitnya berdering beberapa kali. Iris Suhayla berpaling sebelum duduk di birai katil. Ketika membaca nama yang tertera pada skrin telefon bimbit itu, senyumnya yang lama menghilang kembali berbunga.

“Mak Su!”

“Assalammualaikum, anak dara!”

Ucap Mak Su Daniah, menyelit sindiran disebaliknya.

“He he. Waalaikumussalam, mak su dara!”

“Ha ha. Apalah awak ni Su, tak lama lagi nak jadi tunang orang tapi perangai masih macam budak-budak!”

“Hmm, tengok! Mak Su pun dah tahu,”

Soalnya, ingin tahu. Terluka kembali perasaan yang sedang cuba diubati semenjak petang tadi. Semenjak perihal risik itu sampai ke pendengarannya.

“Apa, pasal awak yang Mak Su tak tahu? Awak ponteng sekolah masa form one, dah tu berendam pulak dalam Sungai Pak Kob pun Mak Su tahu. Inikan pulak hal risik-merisik ni,”

“Mak Su ni! Lupakanlah pasal berendam kat Sungai Pak Kob tu. Su sakit hati lagi pasal merisik ni,”

“Apa yang nak disakitkan laginya? Mak dan ayah dah terima, kan? Bukankah restu mak dan ayah tu yang penting, terutama dalam hal calon suami anaknya?”

Bertubi-tubi soalan ditanya, dalam usaha Mak Su Daniah menasihatinya supaya menerima apa yang diputuskan buat masa hadapannya. Namun tidak semudah itu dia merelakan. Dia masih ada kehendak untuk memajukan diri di masa hadapan. Bukan menguburkan impian disebalik asap dapur kelak.

“Iyalah, Su tak nafikan restu mak ayah penting tapi Mak Su, Su belum mahu kahwin lagi. Dahlah Su tak kenal pun siapa gerangan mamat tu, macam mana orangnya, tiba-tiba datang merisik Su. Paling teruk, mak dan ayah terus terima, langsung tak tunggu Su!”

“Amboi, marahnya! Macam nilah Su, bincang dulu dengan mak dan ayah. Luahkan apa yang Su rasa. Kalau tidak pun, apa kata Su berkenalan dulu dengan lelaki yang bakal jadi tunangan Su tu. Mak Su dengar, Su nak ditunangkan dalam tempoh sebulan lagi. Jadi, kalau rasa tak begitu yakin, cubalah kenali dulu hati budi lelaki tu. Macam mana orangnya sampai mak ayah Su terus terima lelaki tu bulat-bulat,”

“Taklah bulat sangat Mak Su, tuannya nampak gagah perkasa. Handsomelah jugak!”

Balas Iris Suhayla bersama tawa kecil. Mak Su Daniah di hujung talian juga ikut ketawa. Dia cuba mengubat hati sebenarnya. Manakan tidak, sepanjang hari ini, dia hanya berkurung di dalam bilik. Dia langsung tidak keluar walau dipanggil berkali-kali untuk makan malam. Yang terfikir dek akalnya, mengapa begitu keputusan yang diambil oleh mak dan ayah?

“Amboi, tadi bukan main marah, sekarang lain pulak bunyinya! Hati Su dah berubah ke?”

“Taklah, menyejukkan hati aje. Ingatkan Mak Su nak sejukkan hati Su, nampaknya Mak Su pun sama aje, di pihak mak dan ayah,”

Balasnya lagi. Mak Su Dianah tidak mengambil hati malah kata-kata anak saudaranya menggeletek perasaan. Iris Suhayla berdiri sekali lagi di birai tingkap. Bunyi motor ayah menarik perhatiannya, namun cepat disembunyikan diri di sebalik dinding, bimbang jika ayah melihat susuk tubuhnya di situ.

“Su, Su? Senyap aje! Ada lagi ke tu?”

“Err...emm...ada, ada!”

“Tak payahlah nak menyorok tepi dinding tu! Su ingat ayah tak nampak Su? Tutup tingkap tu! Dah pukul berapa ni? Nyamuk banyak di luar ni. Kalau betul nak merajuk pun, janganlah tunjuk muka di birai tingkap. Ayah boleh nampak, mak boleh nampak! Orang kampung yang lalu tepi jalan pun boleh nampak muka Su yang masam macam kelapa basi,”

“Macam kelapa basi ayah kata Su, Mak Su! Sampai hati ayah!”

“MERAJUK lagi ke?”

Tanya emak, menegur dari belakang. Dia yang sedang leka membaca akhbar mengangkat muka, menghadiahkan sebuah senyuman kelat.

“Siapalah Su ni mak, nak merajuk lama-lama dengan mak dan ayah walaupun mak dan ayah dah buat Su macam ni,”

Emak mengambil tempat di hadapannya, duduk di ruang tamu selepas pulang dari kelas masakan. Sudah empat tahun emak mengajar di sana. Semenjak anak-anak keluar dari rumah untuk hidup berdikari di kota, emak mula merasa sunyi lantas pada kelas masakan itulah ditumpahkan segala cintanya.

“Apa yang teruk sangat bila calon suami ditentukan oleh mak dan ayah, Su? Lagipun Su bukan orang pertama yang ditentukan jodoh oleh keluarga. Mak dan ayah ni, jodoh dipilih keluarga jugak tapi boleh aje hidup bahagia. Pernah Su tengok mak dan ayah bertengkar?”

“Memanglah tak pernah,”

“Keberkatan dan restu ibu bapa tu yang paling penting, Su!”

“Hmm,”

Jawabnya, ringkas. Iris Suhayla malas hendak memanjangkan cerita lagi. Kalau itu yang difikirkan terbaik untuk dirinya, maka itulah yang terbaik. Tidak ada yang tidak kerana jika dia menolak pun, emak dan ayah tetap mengiakan.

“Ini!”

Kata emak, menghulur cebisan kertas kepadanya. Berkerut dahinya membaca nombor telefon yang antara jelas dan tidak itu. Nombor satu atau nombor tujuh? Nombor lapan atau nombor tiga? Siapakah pemilik tulisan tidak jelas itu? Tulisannya bersambung-sambung seperti cacing kerawit.

“Nombor telefon bakal tunang Su,”

“Kenapa mak beri Su?”

“Habis nak bagi ayam?”

Tanya emak, bersahaja. Iris Suhayla mahu ketawa namun ditahan perasaannya sedaya yang boleh.

“Mak simpan ajelah,”

Tolaknya menghulur kembali cebisan kertas itu kepada emaknya namun emak menggeleng sebelum bangun.

“Mak dah ada nombornya,”

“Dah ada?”

“Emm,”

Angguk emak lantas menapak menuruni anak tangga hingga bayangnya tiada lagi kelihatan.

“Izzul Haq!”

Nama itu disebut sekali, diikuti debaran dada yang berdegup kencang tiba-tiba. Teringat pula akan gambar lelaki yang dikatakan bakal menjadi tunangannya itu. Izzul Haq! Lebih kencang debaran itu berdetak.

“AWAK ni siapa?”

Taipnya sebelum menghantar mesej ringkas itu kepada nombor lelaki yang dikatakan bakal tunangannya itu. Beberapa hari nombor itu berada di dalam simpanannya sebelum dia bertekad untuk menjejaki lelaki itu. Iris Suhayla membuka kekunci skrin telefon bimbitnya. Dia memeriksa kembali jika mesej yang dihantar itu dibalas namun hampa.

“Oh, nak main-mainkan aku, ya? Tak apa! Aku tunggu!”

Rungut Iris Suhayla sendirian. Telefon bimbit itu dicampak kasar sebelum dia mencampak dirinya juga di atas tilam empuk itu. Lama dia menanti sebarang bunyi dari telefon itu hingga mata mula berkedip-kedip dan terasa berat. Akhirnya dia lena dalam penantian yang tidak seberapa itu.

“IRIS, result penempatan keluar esok!”

“Mana kau tahu?”

Tanyanya ketika mula melabuh punggung di atas buaian. Afiqah yang duduk di hadapan hanya menggeleng kepala. Itulah soalan paling kerap dilontar Iris Suhayla jika dia menyampaikan sebarang maklumat.

“Hah, itulah kau! Aku pun duduk rumah jugak tapi taklah sampai berkurung macam katak bawah tempurung!”

“Eh, apa pulak berkurung! Aku pun kerap keluar cari kerja jugak tahu. Kalau lama sangat, aku pergi menziarah ibu-ibu saudara. Melaka, Johor, Pahang! Berkurung apanya?”

Tanyanya kembali, mempertahankan diri. Afiqah menepuk dahinya, tidak dapat menerima jawapan yang diberi Iris Suhayla.

“Emm. Iyalah tu. Setakat keluar ziarah sanak saudara tapi minda terkurung jugak. Apa perkembangan pun, semua aku yang sampaikan. Yang tak tahannya, tanya pulak mana aku tahu! Aku tahulah!”

“Ha ha ha,”

“Kau boleh ketawa pulak, ya?”

“Marah nampak!”

Usik Iris Suhayla, mengundang cubitan kecil di pahanya. Terus sahaja dia menyambung tawanya.

“Marahlah! Hei, bilalah kau nak berubah, ya? Kalau dapat posting ni, kau boleh berdikari ke tidak agaknya? Aku rasa mesti murid yang kerjakan cikgu!”

“Amboi, amboi, amboi! Tadi dah mengata aku, katak bawah tempurung! Ni mengata lagi. Banyak betul dosa kau dengan aku. Aku jampi kau postingke pedalaman, nak?”

“Alah, kau ni Iris. Aku tengah berdebar ni tahu. Kalau boleh tak mahulah ke pedalaman. Nanti susah nak balik kampung,”

Akui Afiqah. Mereka berdua terus bercerita sambil menikmati udara segar sebelum didekati Aini, emak Iris Suhayla.

“Apa yang seronok sangat dibualkan sampai Iris tak hidang air pun untuk tetamu? Mari makan kuih ni anak-anak dara!”

Ajak Aini sambil meletakkan dulang yang berisi minuman dan kuih di atas meja kopi yang duduknya di hadapan buaian. Iris Suhayla mencuit lutut Afiqah, mengajak teman zaman kecilnya menikmati juadah petang.

“Esok result posting keluar, makcik,”

“Emm, Fiqah takut kena posting ke pedalaman,”

Sampuknya bersahaja, sebelum mengunyah sepotong kuih talam. Aini hanya ketawa kecil walau sebenarnya dia yang lebih bimbang akan penempatan Iris Suhayla kelak. Satu-satunya anak bongsu yang masih berada di sisi sedang abang-abang yang lain meneruskan kehidupan di kota untuk mencari rezeki yang halal demi meneruskan kelangsungan hidup.

“Moga-moga tidaklah sampai ke sana,”

“Harapnya begitulah, makcik! Bukan apa, khabar anginnya bertiup kencang, Sabah dan Sarawak kekurangan guru. Jadi, saya ke, Iris ke, semua ada kemungkinan ditempatkan di sana,”

“Kau aje, aku tak!”

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.