14
IZZUL Haq menggenggam dan membuka jari jemari kirinya
yang lenguh memicit butang nombor telefon bimbit Iris Suhayla semenjak setengah
jam yang lalu. Apabila sambungan berhasil, hanya kedengaran suara operator yang
menjawab. Jika berada di Kuala Lumpur, sudah lama dia terbang menjenguk Iris
Suhayla di Labuan namun hakikatnya dia berada di kota London, menyaksikan
pelancaran model terbaru Audi. Hanya pada hari esok baru dia akan berangkat
pulang ke Malaysia. Itu pun selepas selesai perbincangan tentang pasaran model
kereta tersebut di Malaysia kelak.
Jika tidak menonton berita di saluran internet, pasti dia
tidak tahu apa yang berlaku terhadap Iris Suhayla. Itupun dia mengecamnya
apabila nama Sekolah Kebangsaan Seri Layang disebut di dalam berita tersebut. Hanya
seorang guru prasekolah yang mengajar di sekolah itu. Iris Suhayla!
"Kenapa, Iz?"
Tanya Hakimi.
"Iris! Payah betul nak
angkat telefon."
Keluhnya sambil merenung
telefon bimbit putih itu. Kemudian, dia menapak tanpa sebarang pesanan. Kepalanya
berselirat dengan pelbagai persoalan tentang Iris Suhayla, si comel yang
pemarah.
KETIKA dia menapak masuk ke dalam rumah kayu itu, telinganya
sudah tertangkap sedu sedan. Dia menoleh ke arah Siti Hajar yang mengikut di
belakang. Siti Hajar mengangguk, sebahagian semangat disampaikan kepada Iris
Suhayla melaluinya. Ada beberapa orang wanita bersama emak Atif ketika mereka
menghampiri.
"Puan sihat?"
Tanya Iris Suhayla, sambil
menyalami wanita itu. Siti Hajar juga melakukan hal yang sama.
"Belum sihat,
cikgu...selagi tak tahu di mana anak saya berada."
Jawab emak Atif bersama sedu
sedannya. Iris Suhayla kebuntuan. Dia tidak tahu bagaimana hendak bereaksi.
Bimbang jika bercakap lebih, ia bakal mengguris hati tetapi jika tidak
bercakap, apa gunanya mereka melawat? Cukupkah sekadar renungan simpati tanpa
menghulur sedikit semangat buat wanita itu.
"Ya, kami faham perasaan
puan. Saya merasai juga kerana mengajar Atif di sekolah."
"Dia seorang murid yang
bersemangat tinggi."
Iris Suhayla menambah lagi.
Dia hanya ingin berkongsi cerita yang baik sahaja tentang Atif. Semoga dari
cerita yang baik, mereka sama-sama beroleh ketabahan untuk menghadapi dugaan
itu. Sukar pastinya, namun dia terus mengharapkan sinar dibaliknya.
"Iya. Hari-hari dia balik
ke rumah cerita pasal cikgu. Sehari sebelum kejadian, cikgu ada bagi dia
beruang teddy, kan? Dia suka sampai tidur sama teddy bah."
Sambut emak Atif lagi. Iris Suhayla
terkenangkan beruang teddy berwarna biru, pemberian darinya buat Atif,
serta-merta rasa pilu datang menjengah. Di mana agaknya Atif yang berbakat itu?
Tangan di sebelah terasa menepuk lembut pahanya. Iris Suhayla berbalas
pandangan dengan Siti Hajar yang tidak berbunyi semenjak tadi.
"Kita doakan yang baik
saja, puan. Moga Atif segera pulang ke pangkuan puan dan segera kembali ke
sekolah."
"Dan jangan pula
disebabkan kes ini, bila Atif pulang ke rumah kelak, puan dah tak mahu
hantarnya ke sekolah lagi."
Iris Suhayla sempat menambah.
Dia hanya inginkan yang baik-baik sahaja walaupun sedang melalui masa-masa
sukar itu. Semoga Atif cepat pulang dan kembali ke sekolah. Dia tidak sabar
hendak mengajar Atif. Dia rindukan keletah Atif. Oh, Atif, cepatlah
pulang."
"YA ALLAH,
sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak kepada hambaMu, anak kepada hamba
perempuanMu, ubun-ubunku di tanganMu, terlaksana ke atasku hukumanMu dan adil
kehakimanMu terhadapku, aku memohon kepadaMu dengan setiap nama yang Engkau
namakan dengannya diriMu, atau Engkau turunkan di dalam kitabMu, atau Engkau
telah mengajarnya kepada seseorang daripada makhlukMu atau yang tersembunyi
pada ilmu ghaib di sisiMu, jadikanlah Al-Quran penenang hatiku, cahaya di
dadaku, penghapus kedukaanku dan penghilang kesusahanku. Amin Ya Rabbal alamin."
Dia meraup muka, mengakhiri doa tersebut dengan rasa
rendah hati. Riak ceria anak didiknya itu terbayang-bayang, menggamit ingatan
biar sekelumit Cuma. Di mana anak itu? Moga dia sihat dan kembali pulang ke
pangkuan keluarga yang sedang menanti saban waktu.
"ASSALAMMUALAIKUM!"
"Waalaikumussalam. Iris,
Izzul ni. Jumpa saya kat airport.
Saya sampai dalam tempoh dua jam lagi."
Beritahu Izzul Haq. Iris
Suhayla tidak menjawab. Ngeri memikirkan masalah yang tak putus-putus menduga.
"Awak buat apa kat
sini?"
"Saya nak jumpa
awaklah."
Balasnya ringkas.
"Tak payahlah. Awak jugak
yang kata jumpa bulan enam nanti, kan?"
"Suka hati sayalah. Saya
yang beli tiket, kan?"
"Kalau macam tu, suka
hati saya jugaklah nak jumpa awak ke tidak, kan?"
Tingkah Iris Suhayla pula,
geram dengan tekanan yang diberi oleh Izzul Haq ke atas dirinya. Kalaulah
lelaki itu boleh diganti dengan tanah liat, dia pasti lelaki itu sudah
ditenyeh-tenyeh dengan ibu jari kaki sepenuh hati.
"Tak ada! Dua jam lagi
saya nak jumpa awak kat airport.
Assalammualaikum!"
Balas Izzul Haq, terus
memutuskan talian. Iris Suhayla mengeluh lantas mencampakkan telefon bimbitnya
ke atas tilam. Mengapa Izzul Haq muncul di tengah-tengah kekalutan yang sedang
dilalui ketika ini? Jika bukan memikirkan harga yang perlu dibayar untuk
menaiki pesawat ke Labuan, tak ingin dia bertemu dengan lelaki itu sedang
dirinya dalam kegelisahan.
IZZUL Haq
menghulur senyuman ketika melihat Iris Suhayla berada di depan mata.
Lebih dua bulan yang lalu, mereka sama-sama tiba di lapangan terbang itu. Dua
bulan yang berlalu itu dipenuhi dengan kerinduan namun ditegah dirinya untuk
bertanya khabar apatah lagi menghubungi gadis itu. Kali ini, mereka bertemu
lagi walaupun sambutan Iris Suhayla dingin seperti dinginnya perbualan mereka
dua jam yang lepas. Dia mengerti. Dia mengerti mengapa Iris Suhayla dingin
begitu.
"Awak sihat?"
"Emm...."
"Jom makan. Saya
laparlah!"
Ajak Izzul Haq, bersahaja.
Sebenarnya dia ingin menghiburkan wajah yang kelihatan sedang berduka itu.
Sebab itu dia pantas ke Labuan sebaik tiba di KLIA. Penat dengan perjalanan
jauh itu pun masih belum hilang namun buat Iris Suhayla, tidak mengapa. Dia
rela mengorbankan keletihan itu.
"Asal sampai aje nak
makan. Awak bayar sendiri tau. Kalau saya makan pun, awak yang bayar. Awak yang
yang ajak makan, kan?"
Balas Iris Suhayla, tegang.
Izzul Haq terus ketawa. Walaupun suara itu kedengaran agak kasar namun kesudian
Iris Suhayla menemaninya hari itu cukup bermakna apatah lagi Iris Suhayla
sedang dirundung duka.
"Awak nak makan kat
mana?"
"Saya nak makan aiskrim!
Siapa suruh awak ajak, kan?"
Jawab Iris Suhayla, selamba.
Izzul Haq senyum sendirian. Sekurang-kurangnya Iris Suhayla mahu juga makan.
"CUTI sekolah bulan tiga ni awak balik kampung,
kan?"
"Tak tahu lagi. Duit tak
berapa ada nak beli tiket."
Jawabnya, tidak berselindung.
Ketika itu, Izzul Haq baru memberhentikan keretanya di tepi pantai. Mereka
berdua tidak keluar dari perut kereta sebaliknya hanya membuka pintu kereta
supaya dapat menghirup udara segar.
"Baliklah. Pasal tiket tu
saya boleh usahakan."
"Banyak betul duit awak.
Asyik beli tiket kapal terbang aje."
"Bukan banyak duit tapi
ada simpanan sikit-sikit."
Balas Izzul Haq, tenang. Dia
kemudian membaringkan kerusi supaya lebih selesa. Kalaulah Iris Suhayla sudah
sah menjadi isterinya, pasti sudah didakap Iris Suhayla supaya peraduannya
bertambah lena. Oh!
"Simpan korek, simpan
korek, bila nak penuh simpanan tu?"
"Simpan banyak-banyak pun
nak buat apa?"
"Ada pulak tanya nak buat
apa? Hari tua? Kecemasan? Nak buat haji? Ke tak berminat semua tu? Terasa diri
sentiasa muda?"
Marah Iris Suhayla, tiba-tiba
malah bertubi-tubi pula. Izzul Haq yang sedang memejam mata ketawa cuma. Iris
Suhayla tiga belas tahun lalu dan Iris Suhayla tiga belas tahun kemudian tidak
banyak langsung bezanya. Yang berbeza hanyalah wajahnya yang semakin comel,
semakin dewasa.
"Tak ada perasaan
langsung. Boleh pulak dia suka!"
Omel Iris Suhayla lagi.
Matanya menjeling ke arah Izzul Haq yang masih tersenyum tanpa membuka mata.
Kemudian, tertangkap dek telinganya dengkuran halus. Berkerut dahinya
memikirkan diri tunangnya yang penuh misteri itu.
"Mudahnya dia
tidur."
DIA berbaring di atas sofa setibanya di rumah. Menemani
Izzul Haq yang datang tidak diduga dan pulangnya sekelip mata membuatkan
dirinya tertanya-tanya tentang sikap lelaki itu. Hilangnya berbulan-bulan tanpa
khabar berita dan kemunculannya juga secara tiba-tiba. Siapa lelaki itu
sebenarnya? Dia pula? Bersediakah dia menerima Izzul Haq dan keanehannya
sebagai suami kelak? Tidak dinafikan lelaki itu kacak tetapi cukupkah wajah
yang kacak sebagai jaminan untuk hidup bahagia tambahan pula mereka bakal
disatukan oleh keluarga? Namun sepanjang beberapa kali bertemu dengan lelaki
itu, dia tidak nampak kepayahan lelaki itu menerima dirinya. Dia belum melihat
ketidakselesaan lelaki itu terhadap dirinya.
"Mungkin sebab aku cantik
kot."
Ujarnya perlahan namun cukup
kuat buat Siti Hajar yang kebetulan lalu di sebelahnya berhenti dan dengan
pantas duduk di sebelahnya. Pahanya ditepuk sekali. Iris Suhayla yang tidak
menyangka akan kehadiran teman serumahnya bingkas duduk sambil mengurut dada.
"Kau cantik?"
"Ha ha ha."
"Cuba cerita. Cuba
cerita. Cuba cerita!"
Pinta Siti Hajar sambil
menggoncang bahunya beberapa kali. Dia tahu Iris Suhayla baru pulang dari
bertemu dengan tunangnya namun wajah itu tidak menunjukkan tanda-tanda suka
atau sebaliknya.
"Cerita apa?"
Balas Iris Suhayla, tidak
mengerti apa yang dimahukan Siti Hajar.
"Kenapa kau cakap kau
cantik? Apa yang berlaku tadi?"
"Tak ada apa pun. Saja
aje nak puji diri sendiri. Tak boleh ke?"
"Eee...suka betul
berahsia dengan aku! Baik kau cerita cepat, kalau tidak aku malas dah masak
untuk kau,"
Ujar Siti Hajar,geram lalu dia
pura-pura merajuk. Ketika dia bangun, Iris Suhayla cepat-cepat menarik
tangannya hingga terduduk kembali. Walaupun lengannya sakit dek tarikan itu
namun Siti Hajar ketawa sahaja.
"Siti, aku sebenarnya
susah hati ni."
"Sebab?"
"Dah masuk hari kelima
tapi belum ada berita lagi pasal Atif."
"Eeee, geramnya! Aku nak
tahu kisah cantik tu, bukan kisah anak murid kau yang belum ada khabar berita
tu. Sampai bila kau nak bersedih pasal Atif? Daripada kau buang masa memikirkan
perihal Atif yang masih belum ada perkembangan tu, baik kau isi masa yang ada
dengan solat hajat dan doa. InsyaAllah, doa gurunya pasti akan didengar!"
Balas Siti Hajar, agak keras.
Sebelum ini dia bersimpati melihat keadaan Iris Suhayla yang terganggu dengan
kehilangan anak muridnya namun kesedihan tidak akan berkesudahan jika tiada
ikhtiar disampingnya. Tiada jawapan dari teman serumah lantas Siti Hajar bangun
menuju ke kamar peraduannya. Iris Suhayla masih berfikir. Kata-kata Siti Hajar
memang tepat. Tiada guna sedih dan bersusah hati. Bukankah doa itu ubat paling
mujarab?
TIADA perbualan berlangsung sebaik mereka berdua masuk ke
dalam perut kereta. Kesunyian itu berlarutan sehinggalah enjin kereta
dimatikan. Pagi tadi mereka menerima berita bahawa Atif yang dilaporkan hilang
telah kembali ke pangkuan PenciptaNya. Dia dipercayai ditolak ke dalam laut dan
mayatnya ditemui terdampar di Pantai Batu Manikar. Lebih parah, perbuatan itu
dilakukan oleh bekas bapa tirinya yang menggunakan Atif untuk membalas dendam terhadap
ibunya.
"Begitulah perjalanan
hidup kita, Su! Tak hari ni, esok! Bila, di mana dan bagaimana, tiada siapa
yang tahu. Sampai masa, kita akan pergi juga."
Ucap Siti Hajar ketika dia
sedang membuka pintu kereta. Iris Suhayla berdiam diri sebelum keluar dari
perut kereta. Yang ada dalam mindanya cuma satu, bagaimana seorang insan
bergelar bapa sanggup mengenepikan iman dan kewarasan hati demi memenuhi
kehendak hati? Walau tersangkut pertalian tiri dan bukan dari darah daging
sendiri, tiada simpatikah pada anak kecil yang pernah membesar di depan matanya
satu masa dahulu?
"Ya, Siti! Tak hari ni,
esok. Bila-bila masa saja kita akan didatangi malaikat maut. Moga-moga kita
semua mati dalam iman."
"Amin."
Sahut Siti Hajar sebelum
sama-sama melangkah ke arah lif. Walau wajah Iris Suhayla tidak sesugul
sebelumnya namun air muka teman serumahnya itu masih tegang.
"Apa aku nak cakap dengan
anak-anak murid aku nanti?"
Tanya Iris Suhayla ketika
mereka baru berada di dalam lif. Siti Hajar menoleh ke kanan. Lama dia merenung
Iris Suhayla. Rupanya hal itu yang menjadi kebimbangan. Iris Suhayla membalas
pandangannya sebelum Siti Hajar menepuk lembut bahunya. Pintu lif terbuka
sebelum mereka berdua melangkah keluar bersama-sama.
"Ceritakan sahaja hal
yang sebenar. Kau cikgu, kan?"
"Cerita apa? Atif mati
dibunuh?"
Soal Iris Suhayla kembali,
perlahan tetapi menusuk masuk ke dalam telinganya bersama erti yang cukup
mendalam.