Home Novel Cinta Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Mastura Abdullah
14/3/2014 15:43:33
1,199,856
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 21

21

MATANYA terpaku melihat susuk tubuh agak berisi sedang berdiri di hadapannya. Selama menguruskan The Speeds, wanita separuh abad itu tidak pernah menonjolkan diri di pejabatnya namun kehadiran Mama Jiya pada ketika ini menimbulkan tanda tanya buat Izzul Haq.

"Bila Iz nak jemput Mama Jiya duduk?"

"Eh, jemput duduk Mama Jiya! Iz terkejut tengok Mama Jiya depan Iz tiba-tiba. Mama Jiya dari mana?"

Tanya Izzul Haq, menghulur tangan untuk menyalami ibu tirinya sebelum mempersilakan wanita itu duduk.

"Mama Jiya dari mana?"

"Mama Jiya dari rumah. Teringatkan Iz. Entah apa khabar Iz sekarang."

Ujar Najihah, berbasa-basi. Hatinya dipalit kebimbangan semenjak seminggu dua kebelakangan ini. Semuanya gara-gara gosip yang menimpa Izzul Haq. Semalam, ketika Datin Sakinah menziarahinya di rumah, sempat juga dia dirisik mengenai Izzul Haq dan Putri Ariyana. Tidak sekadar merisik gambar, gambar yang tersebar di internet juga ditunjukkan oleh Datin Sakinah kepadanya.

"Oh, Iz ingatkan apalah tadi! Iz sihat aje Mama Jiya. Next time, Mama Jiya call aje Iz. Iz akan balik jumpa Mama Jiya. Nak jumpa papa, setahun sekali."

"Iz jangan ambil hati dengan papa. Mama Jiya pun jarang sekali jumpa papa. Duduk sahaja serumah. Kadang-kadang seminggu sekali papa balik ke rumah. Kadang-kadang berminggu-minggu perginya tapi tak pulak jadi jutawan macam Iz."

Usik Mama Jiya di akhir ceritanya. Izzul Haq ketawa kecil. Kadang kala terdetik di hatinya ingin bertanya lebih lanjut tentang papa namun akal warasnya kerap melawan. Dia bimbang jika Mama Jiya berkecil hati akan pertanyaannya kelak.

"Mama Jiya ni. Mana boleh samakan Iz dengan papa. Iz ada darah atuk. Arwah atuk kan panas punggung kalau sehari tak berniaga. Ke hulu ke hilir, macam cacing kepanasan."

"Agaknya papa Iz lebih dahsyat cacing kepanasannya. Pergi berminggu-minggu. Kalau tengok arwah atuk dulu, pergi pagi, petang dah balik ke rumah."

Sambut Najihah pula. Memori diketuk bayangan si suami. Semenjak dua tahun kebelakangan ini, sikapnya menjadi-jadi. Hilangnya tiada jejak, pulangnya sekejap cuma. Dan seperti kata Izzul Haq, hanya setahun sekali mereka bertemu. Jika dibelah dadanya, pasti dapat dilihat hatinya yang buruk dan bernanah akan sikap suami yang acuh tidak acuh akan kewujudannya dan anak-anak.

"Iz faham perasaan Mama Jiya. Iz harap satu hari nanti Iz dapat bertanya sendiri dengan papa kenapa sikapnya begitu."

"Sebab itu juga Mama Jiya ke sini. Mama Jiya tak mahu Iz ikut jejak langkah papa Iz."

"Maksud Mama Jiya?"

Tanyanya, hampir tidak mengerti apa yang mahu disampaikan oleh Mama Jiya. Ibu tirinya tidak segera menjawab. Dia sendiri tidak pasti akan reaksi Izzul Haq apabila isu itu dibangkitkan walaupun dia tahu Izzul Haq merupakan seorang anak yang baik. Jika diberi pilihan, dia mahukan anak tirinya itu sebagai anak sendiri. Sikap hormat yang dimiliki oleh Izzul Haq lebih menyerlah berbanding anak sendiri yang hanya tahu menghabiskan duit.

"Boleh Mama Jiya sarankan sesuatu?"

"Boleh."

"Apa kata Iz nikah aje dengan Iris Suhayla cuti sekolah bulan Mac ni. Tak payah nak tunggu sampai bulan enam."

Saran Najihah, menyebabkan Izzul Haq tersentak. Semalam perasaannya berbelah bagi sama ada hendak meneruskan perkahwinan itu atau sebaliknya namun Mama Jiya membawa cadangan yang mengejutkan pagi ini.

"Hah?"

"Mama Jiya kurang senanglah dengan gosip Iz ni. Nanti apa kata keluarga Iris di kampung. Bukan setakat cerita, gambar pun tersebar. Tak eloklah Iz."

Jelas Mama Jiya lagi. Izzul Haq meraup mukanya, buntu dan gelisah. Ya atau tidak? Terima atau tolak?

"Boleh Iz?"

"Okay."

Dia membalas, begitu perlahan hingga hampir tidak kedengaran. Mama Jiya senyum lantas menepuk lembut tangannya.


IRIS Suhayla menadah telinga, antara mendengar dan tidak akan bebelan ayah. Kata ayah, tidak ada keputusan yang lebih muktamad selain keputusan ayah.

"Lepas ni, ayah tak mahu dengar lagi pasal hal putus tunang ni. Adatlah orang bertunang, cemburu tak kena tempat. Dah jadi isteri esok, terbang segala cemburu tu."

Idris menyambung bicara. Selama ini, dia tidak gemar berbual di telefon bimbit namun sikap anaknya yang suka membuat keputusan membuta tuli membimbangkannya. Tambahan pula, Iris Suhayla merantau jauh ke seberang laut Cina Selatan. Mahu tidak mahu, anak itu perlu juga dihubungi.

"Su tak dengar ya apa yang ayah cakap tadi?"

"Dengar."

"Kalau dengar, bagus. Dah, cakap dengan mak!"

Kata ayah. Telefon bimbit itu bertukar tangan dengan pantas. Sekejap sahaja suara emak sudah kedengaran di telinganya.

"Kan dah kena marah dengan ayah. Lain kali jangan mintak benda yang bukan-bukan. Su ingat hal putus tunang ni hal mainan ke?"

"Su tak mahulah kahwin dengan orang yang tak sayangkan Su."

"Rasa sayang tu boleh dipupuk Su, boleh dididik. Macam Su mendidik anak-anak murid dari tak pandai membaca hingga pandai membaca."

Pesan emaknya lagi. Keningnya keruh lantas dia menjauhkan telefon bimbit itu dari telinga. Rasa sayang boleh dididik? Kata-kata emak kedengaran janggal di telinganya.

"Hello, Suu?? Dengar tak apa yang mak cakap tadi?"

Tanya Aini apabila dia berasa seolah-olah bercakap sendiri. Tiada sebarang suara di hujung talian. Kalaulah Iris Suhayla ada di sebelahnya, pasti telinga kanan anak itu sudah dipulasnya.

"Dengar. Okay mak. Su faham tapi Su nak sambung tidur. Penat betul hari ni."

"Dengar ke buat-buat dengar?"

"Huargggggghhh."

Dia berpura-pura menguap. Kemudian dia menekup mulut supaya tidak kedengaran bunyi tawanya. Kalaulah emak tahu yang dia sedang mentertawakan emak, pasti sudah merah telinganya dipulas emak. Untung juga duduk berjauhan begini.

"Tak senonoh punya anak. Assalammualaikum."

"Waalaikumussalam."


KEHADIRAN bakal keluarga mertua Iris Suhayla dialu-alukan dengan tangan terbuka. Sejak dimaklumkan akan kedatangan mereka sekeluarga, Aini telah bersiap sedia dari awal. Dia berniat hendak menyajikan gulai nangka dan ikan masin, sambal belacan dan ulam-ulaman sebagai juadah utama ketika makan tengah hari. Kuih seri muka pula sebagai halwa mulut lantas dia bertungkus lumus sejak awal pagi.

Aini tidak susah hati lagi melayani tetamu yang mengunjungi kediamannya apatah lagi kehadiran mereka kali ini kerana hendak membincangkan perihal perkahwinan anak-anak mereka.

"Iris apa khabar? Lepas bertunang hari tu, terus tak tahu apa ceritanya."

Tanya Najihah, membuka cerita. Aini senyum sahaja walaupun mindanya memutar kembali perbualan semalam. Iris Suhayla mengharapkan ikatan pertunangan itu putus sedangkan keluarga lelaki mahukan ikatan itu diikat dengan lebih kemas lagi.

"Alhamdulillah. Iris sihat. Kak Aini suruh dia balik cuti sekolah ni tapi dia berdolak-dalih pulak."

Najihah melorek senyuman. Sebenarnya dia tidak mengerti tentang dolak dalih yang disebut oleh Puan Aini sebentar tadi.

"Berdolak-dalih? Maksud Kak Aini, dia tak mahu balik ke?"

"Entahlah, katanya tak ada duit nak beli tiket. Bila Kak Aini nak kirim duit untuk beli tiket, dia tolak pulak."

Balas Aini, terbayang wajah Iris Suhayla yang sudah tiga bulan tidak ditemuinya. Rindu. Hanya suara anak itu yang kedengaran melalui telefon, itupun jarang-jarang.

"InsyaAllah, kalau tak ada halangan, biar Izzul yang jemput dia di sana. Itu pun kalau Kak Aini tak keberatan."

"Takut dia yang tak nak. Kak Aini nak kirim duit pun dia keberatan."

"Kalau dah dijemput, takkan dia tergamak menolak, kan?"

Balas Najihah pula. Mereka berdua sama-sama ketawa namun tidak lama.

"Saya datang ni kak Aini sebenarnya bawa hajat. Saya dan Izzul dah berbincang dan kami putuskan untuk mempercepatkan perkahwinan Iris dan Izzul."

"Emm, cepat tu bila agaknya?"

"Cepat tak cepat cuti sekolah paling dekat ni, Kak Aini."

"Bulan tiga?"

Tanyanya, dengan mulut yang hampir menganga. Najihah ketawa kecil dengan reaksi bakal besannya itu. Barangkali ia kedengaran tergesa-gesa namun pada firasatnya, itulah tindakan yang paling tepat. Dia tidak mahu Izzul Haq terus dipalit sensasi dan hati orang-orang di sekelilingnya terluka akibat sensasi itu.

"Itulah jalan yang paling selamat buat Izzul dan Iris memandangkan mereka berjauhan. Kata orang tua-tua, orang bertunang ni darah manis. Banyak dugaannya. Sebelum jadi apa-apa yang kita tak mahu, eloklah majlis mereka dipercepatkan."

Tambah Najihah lagi. Aini masih tidak dapat memberi kata putus namun dia bersetuju dengan pendapat Najihah. Dalam tempoh pertunangan yang masih muda itu pun Iris Suhayla sudah meminta untuk meleraikan ikatan yang terjalin. Jika lebih lama, lebih banyak pula ragam anak bongsu itu nanti.

"Kejap lagi abang Deris balik. InsyaAllah, kita akan dengar pendapat abang Deris."

"Assalammualaikum."

"Waalaikumussalam. Hah, panjang umur!"


IRIS Suhayla mencampakkan dirinya ke atas tilam. Dia bergolek ke kiri, kemudian kanan. Baru sebentar tadi dia menerima panggilan telefon dari kampung. Kali ini bukan datang dari emak tetapi panggilan itu dibuat oleh ayah. Ayah sendiri yang memaklumkan bahawa tarikh pernikahannya dibawa lebih awal. Lebih kurang dua minggu sahaja lagi. Kata ayah, Izzul Haq akan menguruskan segala-galanya.

"Gila. Gila. gilaaaaaaaaaaaaaaaaa!!!!!"

Jeritnya, sepenuh hati. Dia menghentak kedua-dua belah kakinya di atas tilam itu berkali-kali tanda protes.

"Oi! Siapa gila? Kau ke?"

Tegur Siti Hajar. Dia berdiri di tepi pintu namun terperanjat dengan aksi Iris Suhayla yang kelihatan begitu bertenaga menghentak tilamnya.

"Memang! Memang aku gila. Mahu tak gila dibuatnya. Kalau kau jadi aku apa kau buat?"

"Jadi kau? Buat apa pulak ni? Tak mahulah aku gila sebelum kahwin."

"Tapi aku akan gila sebelum kahwin. Dua minggu lagi, Su. Dua minggu lagi aku kena kahwin."

Sahut Iris Suhayla, tertekan. Diam Izzul Haq, diam ubi berisi rupanya. Dalam kebisuan, lelaki itu telah mengatur segala-galanya.

"Kena kahwin? Macam kena paksa aje bunyinya."

"Tak paksa ke kalau tiba-tiba disuruh kahwin?"

Tanya Iris Suhayla pula. Siti Hajar mendekati lantas duduk di sebelahnya. Bahu teman serumah itu dipautnya.

"Bersyukurlah, Su. Sekurang-kurangnya jodoh kau dah pasti ada. Aku pulak, dengan umur aku macam ni, jangankan calon, bayangnya pun tak ada. Telinga aku dah bernanah dengan perihal jodoh yang tak kunjung tiba ni. Kalau aku di tempat kau, aku terima aje Su. Orang mengata perempuan macam aku ni. Anak dara tua. Bukan aku aje, mak aku di kampung pun dah berbuih mulut menjawab soalan orang. Bila aku dapat post di Labuan pun orang mengata jugak. Malulah tu. Malu kena tanya pasal kahwin. Kau nak terima nasib yang sama macam aku?"

Balas Siti Hajar, mencurahkan isi hati yang dipendam sekian lama. Dia berharap, dengan perkongsian yang sedikit itu, Iris Suhayla akan mengerti bahawa tiada yang lebih baik melainkan redha dengan pilihan yang diberi buatnya.

Iris Suhayla tidak menyahut. Kata-kata Siti Hajar membuatnya berfikir panjang. Memang, dia tidak pernah meletakkan dirinya di tempat Siti Hajar. Dan kalau dia mengambil watak Siti Hajar sekali pun, mampukah dia menanggung bebanan perasaan itu?

"Perempuan mana yang tak mahu hidup berpasangan, Su?"

"Kau pula, diberi pilihan untuk hidup berpasangan. Calon pilihan keluarga, Su. Barakah."

Iris Suhayla terus kehilangan kata-kata. Rasanya, selama bertaut tali persahabatan dengan Siti Hajar, nasihat tadi paling bijaksana dan memaku hingga ke dasar hati. Siti Hajar meninggalkan dirinya bersendirian, bersama azimat yang paling mujarab, iaitu redha dan barakah.


"HARI ni kita akan buat satu permainan."

"Yeayyy!!"

Jerit Saufi sambil mengangkat tangannya tanda gembira. Beberapa orang rakan yang lain turut menjerit sama. Lantas mereka berlari anak menuju ke sudut kreativiti tanpa disuruh. Ada juga murid yang setia, masih menanti arahan darinya. Iris Suhayla menggosok dahinya yang tidak sakit.

"Aduhai."

Omelnya perlahan.

"Ai, ei, ui, oiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii, siapa yang suruh main? Balik ke sini! Masuk semula dalam barisan."

Perintahnya dengan mata bulat. Saufi, Awang, Syahmi, Sofea sudah mengambil beberapa kotak mainan ketika itu. Namun arahan guru mereka diturut dengan rasa kecewa.

"Syahmi, ada cikgu suruh main?"

"Tadi cikgu cakap main."

"Main memang main tapi cikgu belum habis cakap lagi kan. Hah, nak main sangat kan. Mari sini empat orang tu. Cikgu nak tutup mata kamu dengan kain. Mari sini!"

Panggilnya. Saufi, Awang, Syahmi, Sofea mendekatinya dengan mulut muncung ke depan. Antara empat sekawan itu, muncung Sofea yang lebih panjang. Barangkali dia kecewa kerana tidak dapat main seperti yang diharapkan. Iris Suhayla menahan tawa dalam hati. Dia mengambil empat helai kain perca lalu mengikat empat orang murid itu secara bergilir-gilir. Kemudian, dia meletakkan empat cawan plastik berisi pelbagai rasa di dalamnya. Selesai tugasan ringkas itu, dia mendapatkan kembali murid-muridnya.

"Dengar baik-baik arahan cikgu. Arahan pertama ni untuk Saufi, Awang, Syahmi, Sofea sahaja. Orang lain, zip mulut sekarang dan tengok."

Arahnya lantas semua murid berpura-pura menzipkan mulut masing-masing. Iris Suhayla pntas memberi arahan yang seterusnya.

"Untuk Saufi, Awang, Syahmi dan Sofea. Cikgu akan beri setiap dari kamu satu cawan. Dalam setiap cawan ada macam-macam benda. Cikgu nak kamu rasa. Selagi cikgu belum tanya, jangan beritahu apa yang kamu rasa. Faham?"

"Faham."

Sahut mereka berempat hampir serentak.

"Bagus. Saufi, guna jari kamu untuk celup ke dalam cawan. Kemudian, letak ke dalam lidah untuk rasa."

Arahnya lagi. Saufi mengangkat jarinya, dia meraba-raba cawan namun tidak berhasil. Rakan-rakan yang lain sibuk membantu. Bermacam-macam arahan diberi untuk membantu Saufi.

"Kiri sikit. Lagi, lagi!"

"Kananlah. Awak ni nda tau kiri sama kanan."

Iris Suhayla menahan senyum. Dia membawa tangan Saufi mendekati cawan pertama lalu Saufi mencelup dan merasa cecair itu ke dalam mulut. Berkerut keningnya menahan rasa lantas seisi kelas berkongsi tawa melihat gelagatnya.

"Manisnyaaaa. Cikgu bagi sia gula ka?"

Saufi meluahkan reaksinya dengan jujur. Nisa yang baru mengikuti sesi itu ketawa kecil di belakang.

"Hisy budak ni. Memang tak boleh simpan rahsia. Cikgu cakap apa tadi? Jangan beritahu selagi cikgu belum suruh, kan?"

"Opps."

"Next. Awang!"

Panggilnya. Awang mengangkat tangannya dan teraba-raba. Tangan Awang dicapainya lantas rakan sekelasnya ketawa lagi. Iris Suhayla ikut ketawa dan membantu Awang melalui proses yang sama. Sekali lagi Awang mempersembahkan reaksi spontan.

"Eeeeeeeeee. Masinnyaaaaaaaaaa. Apa siamakan ni, cikgu? Garam ka?"

Tanya Awang, terus menarik balutan matanya. Dia pantas mengesat lidahnya berkali-kali. kemudian, dia berlari anak ke luar kelas. Tidak lama kemudian, dia masuk kembali dengan leher baju yang basah.


"PAHITTTTT!"

Syahmi menjerit kuat. Iris Suhayla membantu Syahmi membuka balutan matanya. Kemudian, dia menarik Sofea yang terkial-kial hendak membuka balutan matanya.

"Belum bukak lagi Sofea. Mari sini, cikgu bagi awak rasa air sedap ni."

Iris Suhayla menyua cawan ke mulut Sofea tetapi Sofea pantas mengelak. Dia mengunci mulutnya rapat-rapat.

"Sofea tak nak rasa, cikgu tak nak buka mata Sofea."

Iris Suhayla mengugut, selamba. Sekali lagi Iris Suhayla menyua cawan ke mulut Sofea. Kali ini Sofea tidak menolak walaupun dia mengelak. Dia merasa sekali kemudian berkali-kali.

"Amboi! Cikgu suruh rasa aje. Awak minum sampai habis?"

Kata Iris Suhayla lantas membuka ikatan kain yang membalut mata Sofea. Dia mengarahkan Sofea duduk dalam barisannya sebelum dia berdiri di hadapan mereka semua.

"Sebenarnya ada tujuan cikgu menutup mata rakan-rakan kamu tadi. Cikgu mahu cerita apa yang kamu rasa tapi sebab kamu dah cerita dulu, tak jadi kita nak main permainan yang cikgu sebut tadi."

"Alahhhh!"

"Hari ni kita nak belajar tentang anggota badan yang digunakan untuk merasa. Apa dia?"

"Lidah!"

Syahmi menjawab selepas mengangkat tangan. Iris Suhayla menggeleng lantas meminta jawapan dari murid-murid lain.

"Syahmi jawab salah. Cikgu nak beri peluang orang lain pulak yang jawab. Siapa nak cuba?"

"Salah? Aik?"

"Saya nak jawab cikgu."

Syakila mengangkat tangan.

"Ya."

"Mulut."

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.