24
SITI Hajar duduk di atas sofa. Menanti Iris Suhayla
keluar dari kamarnya. Lama dia duduk menunggu namun kelibat Iris Suhayla tidak
juga kunjung tiba. Selalunya, Iris Suhayla sudah duduk menonton rancangan kartun
kegemarannya. Siti Hajar mengambil keputusan untuk menjenguk teman serumahnya
di dalam bilik. Dia ketawa kecil melihat Iris Suhayla yang tidur sambil memeluk
bantal golek.
"Oi, anak dara!
Bangunlah! Tak nak tengok cerita Spongebob
ke?"
Siti Hajar memanggil. Dia
menekan ibu jari kaki kanan Iris Suhayla, berniat untuk mengejutkan Iris
Suhayla dari lenanya.
"Su. Bangunlah! Meh la
kita kongsi cerita. Aku dah lama tunggu ni."
Siti Hajar memanggil lagi.
Iris Suhayla menggerak-gerakkan tubuhnya. Dia membalikkan tubuhnya ke kiri,
memejam kembali kelopak mata yang masih berat.
"Oi! Banyak cantik muka hang. Tayang punggung kat aku."
Suara Siti hajar menyusup
masuk ke dalam telinganya. Iris Suhayla senyum dengan mata yang masih terkatup.
"Bukan punggung, pungkok."
Dia membetulkan dialek utara
yang diguna Siti Hajar dengan suara malas. Iris Suhayla membalikkan lagi
badannya, kali ini menghadap Siti Hajar pula.
"Cerita apa kau nak
tahu?"
"Kenapa satu sekolah tahu
ada flight percuma sedangkan aku tak
tahu ni? Mana aci."
"Beriya-iya kau kejut aku
bangun ni sebab tu aje? Tak senonoh punya kawan."
Balas Iris Suhayla, sambil
memukul Siti Hajar dengan bantal golek.
"Sakitlah. Main bantal
hapak pulak dia."
Siti Hajar menggosok-gosok
lengannya yang terkena bantal golek itu. Kuat juga pukulan teman serumahnya
walaupun baru bangun tidur. Barangkali bateri dicas penuh ketika tidur tadi.
"Siti, aku balik kampung
hari Rabu ni tau. Hati-hati duduk rumah seorang diri, ya?"
"Lusa?"
Tanyanya setelah mengira hari
di dalam hati.
"Emm."
"Iyalah. Mesti banyak
persiapan yang kau nak buat,kan?"
"Malas lah aku nak fikir
pasal semua tu."
"Malas? Eh, mental dan
fizikal kena ready tau. Kahwin bukan
macam ikat tali. Masa mahu, ikat, masa benci, buka."
Ujar Siti Hajar, sebagai
pesan. Iris Suhayla mula bangun. Dia duduk bersandar di kepala katil. Pesanan
teman serumahnya dibiarkan berputaran di dalam kepala.
"Tang 'buka' tu bukan
kuasa isteri, kan?"
"Hmm. Banyak lagi ilmu
rumah tangga yang kau kena belajar ni. Macam nak main redah aje kau ni."
Balas Siti Hajar. Dia meragui
kesediaan Iris Suhayla untuk berumah tangga.
"Redah aje lah. Dah
memang kena redah, kan?"
"Gila! Takkan kau masih
mengidam CEO kereta tu lagi kot."
Usik Siti Hajar. Iris Suhayla
terus ketawa. Sudah lama juga Siti Hajar tidak mengusiknya dengan nama itu. Apa
agaknya reaksi Siti Hajar jika andaiannya itu ternyata benar?
"Dah sah kau gila. Ingat
sikit, Su. Tiga hari lagi kau bakal jadi isteri orang. Lupa-lupakanlah orang
yang tak pernah kenal kau."
"Kau datang ke majlis aku
nanti, ya?"
Tanyanya, sengaja mengalih
tajuk perbualan mereka. Dia tidak mahu perihal Izzul Haq menjadi tumpuan Siti
Hajar kerana dia belum bersedia untuk bercerita tentang lelaki itu kepada orang
lain waima teman serumahnya sendiri.
"Kan bakal suami kau dah
taja kita orang. Mestilah aku pergi."
IRIS Suhayla mencari Zakwan di Bilik Bimbingan dan
Kaunseling. Dia meminta Siti Hajar menemaninya. Dari jauh dia dapat melihat
kasut hitam terletak elok di tepi pintu. Barangkali Zakwan masih ada di dalam
bilik itu memandangkan waktu tamat sekolah sudah tiba ke penghujungnya.
"Assalammualaikum."
Ucap Siti Hajar, agak kuat.
Dia menanggalkan kasut lantas mengajaknya masuk ke dalam bilik itu.
"Zack!"
Panggil Siti Hajar lagi. Tiada
suara menjawab namun Zakwan keluar dari bilik hujung tidak lama kemudian.
Wajahnya keruh, tidak seperti selalu.
"Tak balik lagi ke?"
Tanya Zakwan, mendatar. Dia
tidak ceria seperti selalu. Barangkali dia sudah tahu tentang berita
perkahwinan Iris Suhayla, wanita idamannya.
"Kami nak balik jugak ni
tapi singgah sini dulu."
Sambut Iris Suhayla pula. Dia
mengeluarkan sampul keemasan lantas melihat nama yang tertera pada sampul
tersebut. Zakwan menjeling ke arah sampul itu. Dia sudah tahu. Faiz sudah
menceritakan segala-galanya semalam. Dia juga sudah tahu bahawa satu sekolah
bakal diangkut menaiki pesawat untuk ke majlis tersebut. Dia tahu dan akan
lebih pasti apabila Iris Suhayla menyerahkan sampul tersebut kepadanya sebentar
lagi.
"Saya nak jemput
Zack-"
"Tengok Su kahwin?"
Sambungnya, serius. Iris Suhayla
mengangkat muka. Kali ini dia mendapat kekuatan untuk menentang wajah itu.
Akhirnya dia mengangguk lantas kad jemputan itu dihulur kepada Zakwan.
"Sampai hati Su."
Kata Zakwan perlahan. Dia
tidak menyambut kad undangan itu walaupun lama tangan wanita itu menghulur.
Iris Suhayla menjatuhkan kembali tangannya. Dia diam tidak membalas kenyataan
itu. Siti Hajar pula berasa kekok di celah perbualan itu lantas dia meminta
izin untuk menunggu di luar. Barangkali Zakwan ingin meluahkan perasaannya
terhadap Iris Suhayla.
"Su tak patut buat Zack
macam ni."
Zakwan mengulangi kata-katanya
sebentar tadi. Padanya, Iris Suhayla mempermainkan perasaannya. Jika benar Iris
Suhayla sudah menjadi tunangan orang semenjak mula berkenalan, kenapa Iris
Suhayla tidak berterus-terang dan terus memberi harapan?
"Saya tak buat apa-apa
dan tak pernah cakap apa pun Zack."
"Kenapa Su tak berterus
terang tentang status Su dan saja biarkan saya memikat Su?"
"Siapa awak Zack untuk
saya cerita tentang diri saya? Kawan baik? Teman serumah? Mak? Ayah?
Abang?"
"Awak pun tahu saya
sentiasa mengelak bila jumpa awak. Tak cukup lagi ke bahasa saya tu?"
Tambah Iris Suhayla lagi. Hatinya
panas bila dituduh begitu. Zakwan tidak segera menjawab namun matanya tajam
menikam pandangan Iris Suhayla.
Siti Hajar yang menunggu di koridor luar berasa bimbang.
Pertengkaran mereka terdengar hingga ke luar lalu dia menjenguk ke dalam. Wajah
Zakwan merah padam buat pertama kalinya.
"Zack, saya minta maaf
kalau buat awak terguris tapi inilah hakikatnya. Saya bakal menjadi isteri
orang dan saya juga tak mahu kerana hal ini, status kita sebagai rakan
sejawatan terjejas."
"Itu tanggapan awak pada
saya? Rakan sejawatan?"
"Itu saja, Zack. Kalaupun
saya belum berkahwin, belum tentu tanggapan saya lebih dari ini. Assalammualaikum."
Ucapnya lantas meletakkan kad
jemputan itu ke atas meja tetamu. Dia memusingkan badan lantas berjalan menuju
ke pintu.
"Jom, Siti! Kita
balik."
"TUMPANG lalu."
Ujar seseorang. Iris Suhayla
mengalih sedikit kakinya, membenarkan lelaki itu untuk masuk ke tempat
duduknya. Isyarat memakai tali pinggang kaledar sudah dinyalakan lantas dia
menarik tali pinggang kaledar untuk dipasang. Deruan enjin pesawat mengaum
dengan lebih kuat, menunggu masa untuk berlepas. Di hadapan mereka pula,
seorang pramugari sedang menunjukkan cara untuk memakai jaket keselamatan.
Iris Suhayla memejam
mata. Dia membaca doa menaiki kenderaan di dalam hati serta memohon agar
perjalanan mereka terlindung dari segala bahaya. Iris Suhayla membuka mata
apabila pesawat mula bergerak perlahan-lahan. Tekaknya berasa mual, kepala mula
berputar lantas dia mengeluarkan minyak angin yang telah disediakan di dalam
beg galasnya.
"Mintak sikit."
Bisik seseorang di telinganya
sebelum menarik minyak angin itu dari pegangannya. Dahi Iris Suhayla berkerut.
Dia teringatkan Izzul Haq lantas dia menoleh ke sebelah kirinya. Tunangnya itu
sedang menyapu minyak angin di tepi mata, kiri dan kanan. Iris Suhayla
mengerdip matanya beberapa kali.
"Kenapa, terpikat dengan
ketampanan saya ke?"
Usik Izzul Haq sambil berbisik.
Dia meletakkan minyak angin yang diambilnya tadi ke atas riba Iris Suhayla.
"Eee, perasan!"
Balasnya, lambat. Itupun
selepas dia yakin bahawa jejaka yang duduk di sebelah kirinya itu benar-benar
Izzul Haq. Iris Suhayla memulas penutup minyak angin itu lantas menyapu sedikit
ke tepi matanya, sama seperti yang dibuat Izzul Haq sebentar tadi.
"Tiru orang."
Kata Izzul Haq, mengusik lagi.
Iris Suhayla naik geram. Dia menggumpal penumbuk lantas ditunjuk kepada lelaki
itu.
"Uih, garangnya! Ni ada
ciri isteriku gangster ni."
Izzul Haq terus-terusan
mengusik. Iris Suhayla tidak menjawab. Rasa geramnya berganda-ganda, lantas
penumbuk diempal sekali lagi. Dia menenyeh gumpalan penumbuk itu ke atas tangan
kirinya tanda marah. kemudian, dia mengeluarkan earphone dari beg galasnya. Dia menyumbat kedua belah telinganya
dengan earphone itu lalu memainkan
lagu dari pemain mp3 dengan kasar. Izzul Haq di sebelah tidak dipedulikan. Dia
membelakangkan lelaki itu sambil memejam mata.
Dia hanya tersedar
apabila terdengar sayup-sayup pengumuman yang dibuat oleh kapten pesawat
tersebut.
"Untuk makluman tuan,
cuaca di Kuala lumpur agak panas dan dijangka meningkat sehingga 34 darjah pada
hari ini. Kita dijangka mendarat pada pukul 4.45 petang. Kami warga Penerbangan
MAS mendoakan agar perjalanan tuan selamat. Kami gembira dapat bersama tuan di
sepanjang penerbangan ini dan berharap dapat bertemu tuan dalam penerbangan
yang lain. Terima kasih."
Iris Suhayla menepuk
tengkuknya beberapa kali. Tidur dalam kenderaan yang bergerak-gerak seperti itu
hanya menambah kelesuan. Dia melihat pemandangan di luar. Kapal terbang hampir
mendarat. Dadanya berdetak lebih pantas. Saat kapal mendarat adalah saat yang
paling mendebarkan. Henjutan badan pesawat ke atas landasan melalui rodanya
sangat-sangat mencemaskan. Iris Suhayla mencengkam pembahagi kerusi dengan kuat
sambil memejam mata. Badannya turut terhenjut apabila pesawat mula mencecah
landasan dan dia berasa seolah-olah kapal bakal menjunam jatuh. Sekejap sahaja.
Kemudian, keadaan kembali seperti biasa.
"Dah sampai dah kita,
labu."
Beritahu Izzul Haq sambil
membuka jaketnya. Iris Suhayla kembali membuka mata.
"Labu dia panggil
aku."
IRIS Suhayla berjalan keluar dari balai ketibaan sambil
menolak begnya. Dia menoleh ke belakang namun Izzul Haq sudah berjalan di
sampingnya.
"Jom makan! Saya
laparlah."
Ajak lelaki itu. Iris Suhayla
tidak terus membalas kerana dia juga berasa lapar. Manakan tidak, dia berkejar
ke lapangan terbang selepas sesi pembelajaran murid prasekolah tamat. Dia hanya
sempat menjamah mee yang digoreng Kak Nisa pagi tadi. Kini, perutnya berdikir
meminta diisi. Cuma dia yang teragak-agak. Dia perlu menyusun kata supaya tak
kelihatan yang dia bersependapat dengan Izzul Haq.
"Dah agak dah. Sampai aje
airport, lapar. Sampai aje airport, lapar."
"Iyalah. Dah berbini
esok, hilanglah lapar saya yang tak tentu hala ni. Maklumlah, ada bini yang
bakal jaga makan minum saya."
"Ha ha. Nampak gayanya
awak akan terus berlaparlah Encik Izzul."
Iris Suhayla mengejek, namun
suaranya perlahan sahaja. Hampir berbisik.
"Tengah praktis cakap
dalam bilik ke?"
"Eee, tolonglah!"
Katanya. Izzul Haq ketawa
kecil. Kemudian, mereka berdua sama-sama berhenti di restoran Secret Recipe. Iris Suhayla mengambil
tempat di hujung restoran. Mereka berdua duduk, menunggu pelayan namun tiada
siapa yang mendekati mereka. Izzul Haq menjeling ke arah kaunter restoran yang
sentiasa dipenuhi pelanggan.
"Self service I guess."
Katanya lantas bangun.
"Nak makan apa?"
Tanyanya lagi. Izzul Haq sudah
berdiri. Iris Suhayla tidak menyahut. Dia berfikir sejenak, bertanya tekak akan
makanan yang ingin dinikmati.
"Emmm.... Nak makan noodle tomyum soup tu."
"Kek nak jugak. Nak carrot cake for one slice. Awak
belanja."
Sempat dia menambah. Izzul Haq
tersenyum sebelum berlalu ke kaunter. Sementara menunggu hidangan yang dipesan
tiba, Iris Suhayla mengaktifkan kembali telefon bimbitnya. Ada beberapa pesanan
ringkas masuk ke dalam kotak pesanan. Iris Suhayla membaca satu per satu. Mesej
dari Afiqah segera dibalas.
"Aku dah sampai KLIA. Tengah date dengan my future
hubby."
Dia menaip mesej itu kemudian
menghantarnya ke talian telefon bimbit Afiqah. Tiba-tiba debaran di dadanya
berdetak kencang. Entah mengapa perkataan bakal suami yang tidak pernah
diendahkan selama ini membuatkan dirinya serba tidak kena. Bagaimana dengan
hari pertamanya nanti? Perlukah dia berlagak asing atau terus menerima Izzul
Haq sebagai suami?
"Kejap lagi makanan
sampai."
Jelas Izzul Haq. Dia duduk
berhadapan Iris Suhayla. Wajah tunangnya itu diperhatikan dengan penuh minat.
Iris Suhayla berpaling ke arah lain apabila dirasakan mata lelaki itu seakan meratah
wajahnya. Ini kali pertama dirinya jadi tidak menentu setelah mengenali Izzul
Haq.
"Barang hantaran dah ada
ke?"
"Masa bila saya nak beli?
Bukan ke saya ni tiba-tiba kena kahwin?"
Balasnya, masih memandang ke
arah lain. Dia melihat gelagat para penumpang yang lalu lalang di hadapan
mereka. Barangkali itu dapat mengurangkan debarannya.
"Kena? Awak masih tak
sudi jadi isteri saya ke?"
"Sudi tak sudi pun kena
kahwin jugak, kan?"
"Saya pun kena kahwin
jugak."
Izzul Haq membalas. Dia
sengaja menekan perkataan 'kena' itu untuk menarik perhatian Iris Suhayla.
Perlahan-lahan, Iris Suhayla memandangnya kembali.
"Memang saya nak kahwin
tapi bukan seawal ni. Rancangan saya bulan enam ni, bukan bulan tiga.
Sama-samalah kita redha Puan Izzul, ya?"
DERUMAN enjin kereta Izzul Haq sudah lama menghilang.
Iris Suhayla berdiri di hujung anak tangga lalu memberi salam. Sudah lebih tiga
bulan dia meninggalkan kampung. Selama tempoh itu, warna cat rumah telah
berubah. Ada lebih banyak pohon bunga yang menghiasi tangga rumah. Halaman juga
semakin terang. Rasanya pokok ciku sudah ditebang ayah.
"Assalammualaikum."
Dia memberi salam sebelum
masuk ke dalam rumah namun berpaling ke luar rumah apabila namanya dipanggil.
"Angah!"
Jeritnya lantas laju menuruni
anak tangga rumah. Abang nombor dua itu dipeluk erat, seperti selalu.
"Balik berhantar
nampak."
Usik Riyad selepas Iris
Suhayla meleraikan pelukannya. Iris Suhayla mencebik sahaja. Dia tahu semenjak
mula-mula hendak ditunangkan pun Riyad galak mengusiknya.
"Angah balik
senyap-senyap aje, kan. Langsung tak beritahu Su."
"Angah dah seminggu
balik. Malaslah nak kacau Su. Saja nak buat surprise."
Jawab Riyad lantas memaut bahu
adik kesayangannya. Mereka kembali menuju ke rumah apabila terdengar suara emak
menegur dari jendela.
"Bukan dia nak tanya
khabar mak ayah dia. Sibuk dengan angah lagi rupanya."
"Alah mak ni. Bukan
senang nak jumpa angah-"
"Ha ah. Mak ni senang
sangatlah jumpa Su tiga beradik."
Emak menjawab dengan nada
menjauh. Iris Suhayla berlari anak mendaki tangga. Kemudian, dia memeluk emak
dari belakang.
"Mak apa khabar? Sihat
ke?"
Tanya Iris Suhayla lalu
meleraikan pelukannya. Dia berdiri di sebelah emak, melihat ke luar melalui
jendela kayu itu.
"Sihat sangat. Su balik
dengan Izzul, ya?"
"Emm. Dia sampaikan salam
pada mak dan ayah."
"Waalaikumussalam."
Jawab emak perlahan.
"Eh, berani dia tak kirim
salam pada angah?"
Riyad menyampuk dari daun
pintu. Dia duduk di situ, mengambil angin petang yang hampir ke hujungnya.
"Buat apa kirim salam
pada angah. Bukan laku pun salam dia tu."
"Oh, dulu bukan main
marah lagi dengan tunang dia tu. Sekarang semua nak menangkan tunang dia. Along
balik nanti, siap Su. Lepas kahwin ni, lagi siap Su dengan Izzul."
Balas Riyad, sengaja mengugut.
Iris Suhayla menjelir sambil memaut bahu emaknya.
"Emmm.... nak mula dah.
Dia nak mula dah. Tak kira maghrib ke subuh ke. Asal jumpa aje adalah benda
yang dia nak gaduhkan tu."
"Siapa? Angah? Angah
memang macam tu dari dulu. Pendengki!"
"Tepi sikit. Mak nak
tutup tingkap ni. Korang selagi tak gelap, selagi tu duduk bertenggek sana
sini. Bila dah penghujung maghrib, semua berlumba nak mandi."
Leter emak sambil mengunci
tingkap. Iris Suhayla berundur ke belakang sedang Riyad bangun lalu menutup
pintu.
"Tak payah kunci. Kejap
lagi ayah nak ke masjid."
Pesan emak. Riyad akur. Iris
Suhayla mengambil beg kainnya lalu membawanya masuk ke dalam bilik.
"Aik. Mana pergi katil
kayu tu?"
"Ada, bawah rumah tu. Ayah
nak buat kayu api masa kenduri nanti. Kalau rasa sayang, pergilah ambil balik."
"Hah, kayu api?
Sayangnya... dah tu, mana pulak bantal golek Su?"
"Bantal golek busuk pun
cari. Tak payah nak bantal golek sangat. Suami Su tu nanti jadi bantal
golek."
Riyad menyahut dari bilik
sebelah. Terasa seperti lama tidak menyiat kertas. Kalaulah Riyad itu kertas,
sudah lama dia siat-siat Riyad menjadi cebisan kecil. Geram.Grrrr.
"Kenapa gatal sangat
angah ni? Cili giling karang."
"Cili giling sokmo dia
ni."
Aini ketawa kecil.
Sesungguhnya itulah saat yang paling dirindui. Dia rindukan 'amukan'
anak-anaknya yang pantang berjumpa. Kalau Hafiy ada bersama, pasti rumah itu
lebih riuh.
"Bergaduh lagi?"
Tanya Idris kepada isterinya.
Dia berhenti di muka pintu sambil membutangkan baju yang paling atas. Aini
mengangguk, juga tersenyum. Idris menggeleng sebelum menarik daun pintu.
Sekejap sahaja, kelibatnya sudah tidak kelihatan lagi.