Home Novel Cinta Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Mastura Abdullah
14/3/2014 15:43:33
1,199,813
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 3

3

IRIS Suhayla menikmati kek aiskrim dengan senyuman yang amat lebar. Riyad pula menggelengkan kepala sambil melihat dompetnya yang kempis selepas membeli sebiji kek aiskrim seperti yang diminta adik bongsunya.

"Kopak bakal suami Su kalau macam ni lah gaya Su berbelanja,"

"Alah, setahun sekali pun nak kira dengan Su,"

Jawab Iris Suhayla, manja. Riyad ketawa kecil. Padanya, Iris Suhayla tidak pernah berubah walaupun usianya sudah mencecah 25 tahun. Ibarat kanak-kanak lima tahun, Iris Suhayla tidak pernah ambil peduli akan tanggapan sekeliling terhadapnya asalkan dia dapat apa yang dihajatinya.

"Setahun sekali darab 25 tahun berapa dah? Belum kira belanja Su masa Year End Sale, duit raya yang konon-kononnya Su layak dapat disebabkan Su belum kahwin, baju raya, kasut raya, reload prepaidlagi..."

Iris Suhayla berhenti menyuakan kek aiskrim ke dalam mulutnya. Gelihati dengan peristiwa silam bersama Riyad yang tidak pernah jemu melayaninya semenjak kecil lagi sehinggalah kini. Riyad pura-pura hairan dengan riak Iris Suhayla, bertanya melalui kening yang terjungkit namun Iris Suhayla terus ketawa. Setiap kali keluar bersama Riyad, pasti ada sahaja memori yang tidak dapat dilupakan. Tercicir tiket wayang, tertinggal dompet, terjatuh kerusi, tersepak batu, tak cukup duit, tersalah orang.Heee.

"Apa yang gelihati sangat dari tadi tu? Tak berhenti sengih tu,"

"Lepas ni susahlah nak mengendeng angah. Su nak ke Labuan, angah sibuk di Brunei,"

"Alah, setakat Labuan tu, apalah sangat jauhnya,"

Balas Riyad bersahaja. Dia menghabiskan baki Banana Split buat menemani Iris Suhayla menikmati kek aiskrim seperti yang dipinta adiknya semalam. Baginya, jarak antara Labuan dan Brunei bukanlah begitu jauh untuk memutuskan hubungan sedarah daging milik mereka. Bila-bila masa, jika berkelapangan, puteri kecil itu pasti akan dilawati kerana hubungan yang akrab antara mereka berdua.

" Ha ah kan! Bukan jauh sangat pun. Nanti angah datang jenguk Su di Labu, ya? Su bawa angah jalan-jalan di Labu,"

Iris Suhayla menambah. Ada senyuman terukir di bibirnya. Riyad cuma mencebik bibir, tidak yakin dengan cadangan Iris Suhayla.

"Mmm, entah sempat entah tidak. Entah-entah, bulan depan dah jadi bini orang,"

"Angah ni...tak sukalah angah cakap macam tu. Penat dah telinga Su ni mendengar cerita-cerita pasal bini orang,"

"Alah, terima ajelah. Bukan Su ada pilihan pun. Lagipun tak salah jadi anak yang mendengar kata ibu dan ayahnya, mesti bahagia kehidupan Su nanti,"

"Angah, Su nak makan lagi aiskrim ni tau. Tak baik merosakkan moodSu tau,"

"Memang angah sengaja. Elok angah bayar cepat-cepat sebelum mood Su okay dan ajak angah ke sana-sini pulak,"

Balas Riyad , selamba. Dia mengeluarkan dompet sebelum bangun menuju ke kaunter. Iris Suhayla menghabiskan suapan kek yang terakhir. Dalam kepalanya sudah direncanakan program yang seterusnya. Iris Suhayla bangun lalu berjalan. Dia memaut lengan Riyad yang menunggu di hadapan kaunter bayaran.

"Lain macam aje senyum tu, ada tempat lagi lah tu dia nak pergi. Hai, kopak-kopak!"

Rungut Riyad, dapat meneka senyuman yang bermain di ulas bibir adik bongsunya.

"Nak ke mana?"

"Tengok wayang!"

* * * * * * * *

IRIS Suhayla tidak pura-pura tidak mendengar ketika emak dan ayah sedang berbicara tentang majlis pertunangannya yang bakal berlangsung pada hujung minggu ini. Dua tiga minggu kebelakangan ini telinganya bingit mendengar perihal pertunangan dan pernikahan yang tidak pernah dimimpikan itu. Sedang dia sibuk melayari internet, emak datang menghulur kain kepadanya. Iris Suhayla mendongak sebelum membelek baju mini kurung berwarna perak. Dia mengimbas kain itu dari atas ke bawah. Cantik, namun kecantikan kain itu masih belum dapat memujuk hatinya supaya redha akan pilihan ibu bapanya.

"Hai, senyap aje! Tak cantik ke kain ni?"

"Cantik pun tak guna kalau hati tak rela, mak,"

"Su tahu kan mak dan ayah mahukan yang terbaik untuk Su,"

Jelas emak, meletakkan baju mini kurung itu di atas meja komputernya. Iris Suhayla tidak menjawab, hanya keluhan yang dilepas perlahan. Lagu yang dipasang melalui komputer dikuatkan laras bunyinya. Kemudian, dia mencampakkan dirinya ke atas tilam. Emak yang melihat dari tepi hanya menggeleng. Namun dia yakin, pasti satu hari nanti anak itu akan akur dan mengerti mengapa keputusan itu harus dibuat.

"Nanti Su cuba baju tu, ya? Kalau tak padan, beritahulah, nanti mak betulkan semula. Tapi rasanya dah memang saiz Su dah tu,"

Iris Suhayla tidak menjawab. Dia pura-pura memejamkan mata, pura-pura tidak mendengar sebelum punggungnya ditepuk sekali oleh emak. Dia terkejut, terasa jantung berdegup laju namun bila dibuka mata, emak sudah beredar keluar dari biliknya. Keluhan diluah sekali, dua kali dan berkali-kali hingga akhirnya dia penat sendiri.

* * * * * * * *

AFIQAH ketawa dengan omelan nakal Iris Suhayla yang tidak habis-habis marahkan pasangan kekasih di depan mereka yang berjalan lenggang-kangkung di tengah khalayak ramai. Hendak dipintas, berapa besar sangat laluan di pasar malam itu? Sudahlah ia dipenuhi dengan umat manusia, penyudahnya mereka ibarat kura-kura yang berjalan perlahan, terpaksa bersabar dek kerana kepentingan diri manusia lain.

"Alah, kau pun macam tu jugak nanti! Hari ni marahkan orang, esok lusa orang pulak marahkan kau,"

"Kenapa nak marah aku pulak?"

"Iyalah, bercinta tengah jalan. Orang bawak gear lima, kau bawak gear tiga. Lepas tu, merayap di fast lane,"

Iris Suhayla mencebik. Dia bukan begitu dan dia tidak mahu begitu. Oleh sebab itu, dia amat marah jika orang lain berkelakuan begitu.Deyy, berapa banyak begitu da?

"Aku nak cari tudung sehelai dua lagilah. Hari dah nak malam, tapi boleh pulak mamat andminah ni bertepuk tampar depan aku. Bikin panas ni!"

Rungut Iris Suhayla lagi. Dia ternampak warna-warni tudung yang bergayutan tidak jauh dari tempat mereka berada.

"Pegang kejap air aku ni,"

Afiqah menyambut. Iris Suhayla pantas cuba mencelah di sebelah perempuan yang menjadi sasaran kemarahannya sebentar tadi lalu berpura-pura terpijak kaki perempuan itu.

"Aduh!"

"Sorry, tak sengaja,"

Afiqah sempat menangkap perbualan ringkas itu sebelum mendapatkan Iris Suhayla yang sudah berada jauh di hadapan. Sekejap sahaja, sahabatnya sudah masuk ke dalam sebuah khemah yang menjual tudung.

"Kau ni, Iris!"

"Aku lagi, kenapa pulak dengan aku kali ni?"

"Eleh, pura-pura tak tahu. Tadi tu kau buat dengan sengaja, kan?

Iris Suhayla ketawa kecil. Dia tidak menjawab namun semakin sibuk memilih selendang ungu untuk dijadikan sebahagian koleksi pakaiannya.

IRIS Suhayla menjeling sahaja beberapa gubahan hantaran yang ditempatkan di tepi dinding bilik tidurnya. Rasanya baru setengah hari dia keluar bersama Afiqah, namun terasa benar perubahan yang berlaku apabila dia tiba di rumah lewat senja tadi.

"Hai anak dara, lewat balik?!"

"Pembetulan, hai adik bongsu, berjalan sakan hari ni?"

Iris Suhayla menjawab dengan bersahaja. Riyad yang baru selesai menunaikan solat maghrib ketawa sahaja. Ada sahaja jawapan yang keluar dari ulas bibir adiknya. Kadang-kala dia tertanya-tanya juga, benarkah adik yang selalu dikendongnya waktu kecil itu bakal menjadi suri hidup seseorang kelak? Bila terkenangkan sikap adiknya yang masih bersahaja, manja dan degil itu, terbit juga gundah di hati. Mampukah adiknya melayari bahtera hidup bersama pasangannya kelak?

Pintu bilik Iris Suhayla terbuka luas, lantas dia menapak sebelum mencari kelibat Iris Suhayla di dalamnya. Kiri, kanan, hujung, tepi. Tiada! Rasanya Iris Suhayla masih di dalam.

"Hah!"

Sergah Iris Suhayla dari belakang pintu.

"Oit! Tak senonoh punya budak! Terkejut aku!"

"Ha ha ha. Padan muka angah, tak ketuk pintu sangat!"

"Assalammualaikum,"

kedua-dua beradik itu menoleh ke arah pintu rumah yang terbuka luas, tidak jauh dari bilik Iris Suhayla lantas menampakkan tuan punya diri.

"Waalaikumussalam,"

Mereka berdua menjawab salam hampir serentak.

"Mak Su!!!!!!!!!!"

Melihat tetamu yang bertandang ke rumah, Iris Suhayla menjerit keriangan. Belum sempat ibu saudaranya memanjat mata tangga yang paling atas, Iris Suhayla pantas mendakap

"Kenapa Mak Su tak beritahu nak datang?"

"Hei, gelojoh betul budak ni! Mak Su belum pijak pun lagi lantai rumah, dia dulu sampai,"

Iris Suhayla ketawa lantas mengambil beg ibu saudaranya, dibantu oleh Riyad. Sambil mengangkat beg ibu saudaranya, sempat juga dia mengusik adik bongsunya.

"Suhayla kan, Mak Su! Gelojoh dari dulu,"

"La, riuh semacam. Ingat anak-anak itik pulang petang, rupanya orang jauh sudah sampai!"

Aini menyambut tangan yang dihulur adik bongsunya, Dianah lalu didakap adik itu dengan penuh kasih sayang.

"Mana Bakri?"

Soal Aini, perlahan. Seperti selalu, Dianah senyum sedikit sebelum menggelengkan kepala. Kerap juga Dianah bertandang ke rumahnya tanpa suami. Tidak mahu berprasangka lebih, dia mempelawa adiknya berehat sebelum menghadap Iris Suhayla.

"Tuala dah sidai kat bahu, habis bila nak mandi?"

Iris Suhayla mengangkat muka sebelum tersengih bersahaja.

"Ya Rabb, bertuah punya budak! Dah nak jadi bini orang dah! Mandi pun tak mahu,"

Laung Mak Su Dianah membuatkan Iris Suhayla berlari anak ke dapur.

* * * * * * * *

EMAK dan Mak Su Dianah sibuk mengupas bawang di dapur sedang ayah sedang memarut kelapa. Dia berhajat hendak menjenguk sekejap di dapur namun panggilan Mak Su Dianah membantutkan hasratnya. Baru berpusing, dia memusing kembali badannya.

"Marilah, tolong-tolong kupas bawang ni,"

Ajak Mak Su Dianah. Dia tidak menjawab, namun tidak pula menolak. Ringan sahaja tangannya menarik kerusi lalu duduk di sebelah Mak Su Dianah. Walaupun dia tidak suka dengan segala persiapan itu, namun entah mengapa, dia turut menyumbang tenaga. Seolah-olah mahukan semuanya berjalan dengan lancar.

Satu persatu dia mengupas bawang itu hingga air matanya bergenang lalu membasahi pipi. Tersedu-sedan hingga mengundang tawa kecil Mak Su Dianah.

"Orang kata, kalau tak mahu mata berair masa kupas bawang, cocokkan dulu hujung mata pisau tu dengan bawang,"

"Iya ke? Ha ha ha. Siapalah yang mencipta idea cocok mata pisau dengan bawang ni Mak Su? Saya cuba dua kali tak pernah menjadi pun. Menjadi-jadi lagi air mata ni keluar adalah,"

"Padahal sebelum kupas bawang tu dia sibuk layan cerita hindustan dulu. Salahkan bawang pulak!"

Sampuk Riyad dari tepi. Dua beg plastik yang penuh berisi barang-barang dapur diletakkan di tepi kaki meja. Kemudian dia mendekati sang adik yang sibuk mengesat air mata yang merembes di pipi.

"Hello brother, cakap depan cermin ke? Siapa yang suka layan cerita hindustan? Angah kan? Dilwale Dulhania Le Jayenge, Kuch Kuch Hota Hai, Kabhi Kushi Kabhi Ghum, Dhoom 1,Dhoom 2 lah. Tu yang dalam senarai pendek, luar pada senarai?"

"Peminat Shah Rukh Khan lah ni?"

Tanya Mak Su Daniah, mengundang derai kecil seisi dapur. Buat seketika terasa dekat dan erat ikatan persaudaraan antara mereka. Manakan tidak, jarang sekali berkumpul dan bergurau senda, pasti detik-detik begitu terasa membahagiakan.

"Shah Rukh Khan?Salman Khan, Salimah Khan, Mithun Chakraborty tu pun dia minat Mak Su!"

"Ewah, ewah, ewah! Menembak orang sedap-sedap rasa aje, kan?"

"Lah, tak betul ke? Mithun Chakraborty? I am A Disco Dancer..."

Ejek Iris Suhayla, meletakkan pisau di hadapannya lalu meniru satu sedutan lagu I am A Disco Dancer. Emak di hujung menggeleng. Tidak tertahan dek gelagat nakal anak bongsunya, dia menghamburkan tawa.

"Wahaa! Sakan ya, kau mengenakan angah. Mari ke sini adikku, sayang! Mari ku tutup mulutmu dengan bawang kecil ni!"

"Tak nak! Bye bye, angah! cabut dulu,"

Iris Suhayla berlari anak menuju ke arah pintu dapur ketika Riyad sedang mengutip dua tiga ulas bawang kecil yang sudah dikupas. Cepat-cepat dia menyarung selipar sebelum terlanggar ayah yang sarat memegang buah kelapa di kiri kanan tangannya.

"Aduh!"

Iris Suhayla menjerit kecil apabila sebiji buah kelapa terjatuh di hujung jari kakinya. Sekerlipan sahaja, penuh muka pintu itu dengan emak, Mak Su Dianah dan Riyad. Semua datang melihat apabila mendengar jeritannya tadi.

"Padan muka! Orang tengok pakai mata, dia tengok pakai mulut! Pot-pet macam anak itik, lepas tu habis semua orang dilanggarnya. Hei, tak tahulah anak murid dia nanti macam mana? Dapat Cikgu Iris Suhayla!"

Bebel ayah sebelum mengutip kembali buah kelapa yang jatuh bergolek setelah dilanggar Iris Suhayla sebentar tadi.

"Ha ha ha! Cikgu kencing berdiri, anak murid kencing berlari,"

"Sakit! Sakit! Sakit!! Ayah bukan nak tolong Su, sayangkan buah kelapa lagi,"

"Ha ha ha,"

* * * * * * * *

"ORANG nak nampak cantik esok, dia pulak kaki hincut!"

Omel emak sambil mengurut hujung kakinya. Aroma serai wangi menghilangkan seketika tekanan yang dirasai apabila dibebeli sepanjang hari. Sesekali dia mengaduh tetapi banyak kali dia berasa bersyukur di atas kejadian yang menimpa ini. Mana tahu jika majlis pertunangan ini boleh dibatalkan. Hoorey!

"Jawabnya sarung cincin dalam biliklah esok,"

Berkerut dahi emak, mencari penyelesaian bagi permasalahan yang berlaku. Iris Suhayla menggaru dahinya yang tidak gatal. Jika diberi sedikit kekuatan untuk menentang kehendak ibu bapanya, pasti itulah yang akan dilakukan sekarang.

"Mungkin ni petanda supaya Su tak ditunangkan kot,"

Luah Iris Suhayla, perlahan namun sampai juga pada pendengaran emak. Lantas, emak berhenti mengurut kakinya yang bengkak.

"Tak habis lagi dengan bantahan?"

Iris Suhayla memuncungkan mulutnya bila disoal begitu. Keras kali ini suara yang dilontarkan emak hingga akhirnya dia cuma menarik bucu bantal yang menjadi alas tangannya.

"Kita ni dahlah runsing fikirkan hal kaki dia. Boleh pulak dia memikirkan jalan lain,"

"Kenapa tu, mak? Garang semacam aje bunyinya,"

Sapa satu suara disebalik daun pintu. mereka berdua serentak menoleh lantas tersenyum pada tetamu dari jauh.

"Alonggg!"

* * * * * * * *

IZZUL Haq melihat jam di pergelangan tangannya. Menjengah angka sepuluh setengah malam. Dia perlu beredar dari majlis tersebut dengan segera kerana esok merupakan acara yang lebih penting buat dirinya.

"Aku balik dulu, Mi. Tolong uruskan selebihnya,"

Bisik Izzul Haq kepada Hakimi, sahabat merangkap tangan kanannya. Hakimi mengangguk sebelum bangun untuk mengiringi Izzul Haq keluar dari dewan itu. Tiada bicara dari mulut pewaris empayar kenderaan mewah Malaysia itu, yang ada hanya bunyi derap kaki mereka berdua.

"Esok macam mana, Iz?"

"Esok aku tak ada di KL, aku wakilkan kau ke pelabuhan. Bawa staf dari unit logistik untuk check kereta yang baru sampai,"

"InsyaAllah!"

Dari jauh kerlipan cahaya lampu dari Audi R8 Coupe milik Izzul Haq menarik perhatian sesiapa sahaja yang memandangnya. Sekali menoleh, pasti tolehan itu akan diulang berkali-kali. Kagum dengan membeli kereta jenama mewah itu atau barangkali kagum dengan citarasa tinggi pemilik keretanya.

"Okay, Mi. Terima kasih,"

"Sama-sama,"

Jawabnya sebelum melihat kereta berwarna Ice Sylver, metallic itu menyusur dengan gahnya di atas laluan keluar hotel.

* * * * * * * *

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.