“Tasya?”
Laila angguk.
“Kau serius?”
Laila angguk lagi.
“Tasya… dan Taufiq…,”
“Berapa kali kau nak suruh aku
angguk daa….,”
Dara tersengih. Dia makan goreng
pisang yang dibeli Laila tadi. Pinggir tasik itu memang menjadi tempat
kegemaran mereka untuk membuat ulang kaji pelajaran. Dan di sini juga mereka
sering membincangkan masalah cinta masing-masing. Kadang- Uda dan Majnun pun
masuk mesyuarat!
“Aku bukan apa. Cuma tak percaya.
Taufiq yang sebaik-baik Majnun tu…. Dengan Tasya…. Adik beradik rupanya. Taufiq
tu baik, Tasya tu pulak….,”
“Woi woi woi, agak-agak la nak
puji pun. Kalau Uda dengar nanti, tak cemburu nanti dia tu?”
“Eleh, sebenarnya kau yang
cemburu! Kata orang….,” usik Dara. Laila tarik muka. Dara gelak besar.
“Suka la tu,” Laila masih tarik
muka. “Orang tengah serius ni dia boleh gelak pulak,”
“Okey, okey. Sorry,” Dara segera
menghentikan tawanya. Dia menghela nafas kasar. “Hai, Tasya, Tasya. Makin kita
nak lari daripadanya, makin dia datang pada kita,”
“Kita tak boleh lari dari
masalah, Dara. Kita kena hadapi masalah itu walau macam mana sekalipun,” ujar
Laila. Dia menutup mata seketika. Penat dia dengan semua ini.
“Aku yang cari masalah atau kau
yang cari pasal?”
Spontan Laila membuka mata.
Dipandang Dara yang sudah berubah riak wajahnya.
“Tasya….,”
Laila menoleh dan mendongak.
Tasya memandangnya dengan wajah menyinga.
“Kau cakap dengan aku, Laila! Aku
yang cari masalah atau kau yang cari pasal?”
“Apa kena dengan kau ni?”
“Kau goda Abang Taufiq sebab nak
balas dendam dengan aku kan? Lepas tu kau buruk-burukkan aku depan dia kan?”
“Kau tuduh apa ni?” Laila sudah
bangun. berdiri menghadap Tasya yang sudah naik hantu.
“Aku tuduh? Malam tadi tu apa?
Kau bukan nak goda abang aku ke? Kau bukan nak bodek Umi aku ke? Kau bukan buat
semua tu sebab nak balas dendam dengan aku ke?”
Dara sudah bangun. berdiri di
belakang Laila.
“Hey, tolonglah! Aku tak ada masa
la nak balas dendam segala. Lagipun, bila masa aku berdendam dengan kau ha?”
Laila semakin hilang sabar. Jatuh dalam tasik barangkali.
Tasya ketawa mengejek. “Kau kan
bodyguard tak rasmi dengan Dara yang tak ada dara ni….,”
“Kurang ajar!”
“Laila!”
Segalanya berlaku begitu pantas.
Laila dan Tasya sudah bergumpal di atas rumput. Dara tidak sempat berbuat apa-apa.
Ternganga dia melihat aksi yang berlaku di hadapannya ini. Namun dia cepat
sedar. Pantas dia cuba menarik tangan Laila yang sudah mencekik Tasya.
“Laila, sudahlah tu! Mati anak
orang tu!”
“Biar dia mati! Menyusahkan
orang! Memang mulut dia ni minta mati cepat!!”
“Kau nak jadi pembunuh ke Laila?”
Gerak tangan Laila terhenti.
Nafasnya turun naik menahan amarah. Tapi dia masih duduk di atas tubuh Tasya
yang sudah terkulai lemah.
“Cukup-cukup la dengan apa yang
berlaku. Jangan nak tambah masalah lagi, Laila!”
“Habis kau nak aku biarkan aje
dia hina kau?” Laila sudah pandang Dara lain macam. Macam nak telan.
“Laila….,” Dara cuba memegang
bahu Laila.
“Argh!” Laila pantas menepis
tangan itu. Dia berdiri. Tanpa berkata apa-apa, dia mencapai begnya dan terus
berlalu dari situ. Air mata Dara menitis.
*****
“Memang patut pun Laila buat
macam tu,” Nadia bersuara tegas. “Kalau Laila tak buat macam tu, Tasya akan
ingat tiada siapa yang berani lawan dia, dan mulut dia akan jadi lagi teruk
dari longkang,”
“Semua ni jadi disebabkan aku,”
Dara mengesat airmatanya. “Kalau aku tak dekat dengan Uda, Tasya takkan
berdendam dengan aku dan Laila takkan terlibat. Sekarang ni keadaan makin rumit
bila Tasya dan Laila bergaduh macam ni. Hubungan dia dengan Taufiq akan
terjejas,”
“La, apa kena mengena Majnun
pulak dalam hal ni?” soal Nadia tidak faham.
“Taufiq dan Tasya adik beradik,”
“Hah?” bulat mata Nadia
mendengarnya. “Tak….. takkanlah?”
Dara hanya mengangguk lemah.
Melihatkan itu, Nadia menggelengkan kepalanya.
“Tasya dengan Taufiq…. Macam
langit dengan bumi,”
Dara bangun. “Aku nak cari Uda.
Aku rasa lebih baik kami tamatkan semua ni. Aku tak nak sebab aku, diorang
berbunuhan pulak lepas ni,”
“Dan awak nak bunuh cinta kita
pulak?” Dara menoleh. Uda memandangnya tajam. Dia memandang Nadia, meminta
penjelasan.
Nadia angkat bahu. “Aku tak tahu
apa-apa,”
“Jawab soalan Uda, Dara,”
Dara tidak mahu menjawab. Pandang
pun tidak. Dia hanya tunduk memandang meja. Nadia yang mengerti, bangun dan
meninggalkan kafe itu. Meninggalkan mereka berdua.
“Dara….,”
“Awak nak semua orang mati sebab
kita?”
“Laila belum mati la. Tasya pun.
Apa yang awak merepek ni?”
“Iye memang la. Tapi kita tak tau
apa akan jadi di masa depan. Tasya sukakan awak, Uda. Saya ni penghalang je.
Laila jadi pelindung saya di saat saya menghadapi cemuhan Tasya. Tapi kalau dia
buat macam tu, dia akan hancurkan hubungan dia dengan Taufiq. Awak tak nampak
ke? Ada orang harus berkorban dalam hal ni!”
“Dan awak rasa awaklah orangnya?”
Uda tidak dapat tahan lagi. “Awak ingat bila awak berundur, saya boleh alihkan
perasaan cinta ni pada Tasya? Awak ingat bila awak buat macam ni, semuanya akan
okey?”
“Iya!” Dara bersuara keras. “Uda,
Mummy awak tak suka saya. Awak ingat kita boleh teruskan ke semua ni tanpa
restu ibu?”
Uda terdiam. Dara berlalu dari
kafe itu dengan linangan air mata.
*****
Taufiq pandang Tasya. Tiada kata
yang diluahkan. Kemudian dia memandang Abah yang mundar-mandir di hadapan Tasya
yang tunduk memandang permaidani yang dipijaknya.
“Abah tak tahu bahagian mana yang
Abah salah ajar kamu, Tasya,”
“Bukan Tasya yang mulakan, Abah!
Perempuan tu yang serang Tasya dulu!”
“Kalau kamu tak buat provokasi,
dia takkan serang kamu dulu,”
“So sekarang ni, Umi dan Abah nak
salahkan Tasya la sebab bergaduh kat kampus ni? Apa, Laila tu malaikat ke
sampai Umi dan Abah tak nampak langsung salah dia?”
“Tasya…,” Taufiq menegur. Kurang
berkenan dia dengan cara Tasya bercakap dengan Abah.
“Apa? Betul la Tasya cakap kan!
Orang bercinta, kentut pun bau wangi kan?”
“Tasya!”
“Tasya yang kena pukul, Umi! Dia
yang pukul Tasya! Tapi kamu semua bela perempuan tu buat apa?”
“Macam yang Abah cakap tadi,
kalau kamu tak buat provokasi, dia takkan serang kamu dulu,”
Tasya diam. Dia menjeling ke arah Taufiq yang pura-pura tidak melihatnya.
“Mana yang kami salah, Tasya?
Mana yang kami silap? Rasanya, kami dah bagi cukup didikan kami pada kalian
berdua. Kenapa kamu sanggup menyakiti hati orang lain?”
“Umi, Tasya dah cakap, dia yang
mulakan dulu….,”
“Salahkah kalau Uda menyukai Dara
dan bukannya Tasya?” Taufiq mula bersuara. “Salahkah cinta bila ia bertepuk
sebelah tangan?”
“Abang, apa yang kamu cakap ni?”
Tanya Abah penuh diplomasi.
“Abah, menurut kata Laila….,”
“Percaya sangat cakap perempuan
tu!”
“Bagi abang habis cakap, Tasya,”
tegur Abah. Tasya diam. “Teruskan, abang,”
“Menurut kata Laila, Tasya
sukakan Uda tapi Uda sukakan Dara. Dara pula kawan baik Laila. Bila cinta Tasya
tidak berbalas, dia pergi gertak Dara supaya jauhkan diri daripada Uda,”
“Astaghfirullah al ‘azhim….,”
“Bila Uda dapat tahu, Uda
marahkan Tasya. Kemudian dia lamar Dara. Agaknya itulah yang buat dia tak puas
hati tu. Tambah pula abang kawan dengan Laila,”
“Memang! Memang aku tak puas hati
kau kawan dengan Laila. Apa ada dengan perempuan tu? Abang tengok apa yang dia
dah buat dengan aku!”
“Tasya!” suara Abah sudah mula
meninggi. Tanda kesabarannya makin menipis.
“Abah dengan Umi pun sama! Semua
dah tak sayangkan Tasya lagi! Pergilah! Pergi sayang betina tu!” Tasya berlari
masuk ke dalam bilik.
“Tasya!” panggil Umi. Namun Tasya
tida mempedulikannya. Umi bingkas bangun untuk mengejarnya.
“Biarkan dia, Umi. Biar dia sejuk
dulu,” Abah menegah. Umi duduk semula.
Telefon bimbit Taufiq berdering
tanda ada mesej yang masuk.
‘Kita kena berbincang – Laila’
Taufiq mengeluh. Apa yang ingin
dikatakannya kali ini…..
“Umi, Abah. Taufiq nak keluar
kejap. Jumpa Laila,” melihat Umi dan Abah mengangguk, dia mencapai kunci
keretanya dan terus keluar dari rumah itu. Sejurus Taufiq keluar, Abah
mengeluh.
“Kenapa bang?”
“Apa yang kita salah buat, Umi?”
Umi tersenyum. Dia bangun dan
menghampiri Abah. “Ini ujian buat kita, Abah. Bersabarlah,” Umi mengusap lembut
bahu Abah. Abah pandang Umi lalu senyum.
*****
Laila membelek jam di tangan.
Lagi lima minit pukul Sembilan. Dia mengeluh perlahan. Siang tadi, setelah puas
membelasah Tasya, dia terus pulang ke rumah sewanya. Terus berkurung di bilik
dan langsung tak keluar sehinggalah Norita menegurnya.
“Fikir masak-masak tentang
hubungan kau dengan Taufiq, Laila. Sama ada kau nak teruskan atau nak berhenti
hanya di sini,”
“Kau rasa, aku patut undur diri?”
“Terpulang pada kau, Laila. Aku
tak mahu paksa kau buat keputusan. Kau sendiri dah besar. Dah pandai buat
keputusan. Dah pandai fikir mana yang baik, dan mana yang buruk,”
“Assalamualaikum,” suara Taufiq
membuatkan lamunan Laila pecah berderai. Dia memandang Taufiq yang tidak lekang
dengan senyumannya.
“Waalaikumussalam. Duduklah,”
Taufiq hanya menurut pelawaan Laila. Dia duduk di hadapan gadis pujaannya.
“Ada apa, sayang?”
“I just….. thinking……about us,”
“Okay….,”
“We….. we…..,”
“We are getting married,” Taufiq
bersuara yakin. Tahu sangat dia akan butir-butir ayat yang ingin diucapkan oleh
Laila.
Laila menggeleng. “Susah Laila
rasakan bila dah jadi macam ni,”
“Laila…… Umi dan Abah dah setuju.
Tak payah pedulikan Tasya tu. Bukan dia yang nak kahwin,”
“Tapi Laila akan kahwin dengan
abang Tasya. Abang kepada orang yang Laila dah belasah teruk siang tadi,”
“Itu semua salah faham aje,
Laila. Percayalah, kalau Laila cuba dalami hati dia, Laila pasti akan memahami
dia,”
Laila diam. Dia tidak tahu apa
yang patut dikatakan lagi.
“Jangan disebabkan hal ni,
semuanya berubah. Cinta Majnun terhadap Laila takkan pernah berubah sampai
bila-bila,”
Laila tersenyum. Kolam air
matanya bergenang.
“Majnun dicipta untuk Laila dan
Laila takkan boleh hidup tanpa Majnun. Ingat tu,” Taufiq bersuara tegas. Namun
kedengaran romantik di telinga Laila.
“Jangan cakap pasal berpisah lagi
yea,”
Laila angguk.
*****
Dato’
Hazmi mengetuk perlahan meja. Dia diam. Berfikir. Namun tindakan dia hanya
mengundang resah di dalam hati Uda.
“Macam
mana, Daddy?” tanya Uda, tidak sabar.
Dato’
Hazmi menarik nafas sebelum memulakan bicara, “Uda, Daddy baru jumpa dia sekali
dan Daddy tidak diberikan peluang untuk menyatakan pendapat Daddy malam tu. Tapi
dari apa yang Daddy nampak, Uda sangat sayangkan dia,”
“Ya,
Daddy. Saya sanggup lakukan apa sahaja asalkan saya dapat cinta hati saya,”
“Letakkan
cinta itu hanya di genggaman, Uda. Jangan terlalu mengejar cinta dunia, hingga
lupakan Sang Pencipta cinta itu sendiri,” tegur Dato’ Hazmi.
Uda diam.
Dia tunduk. Malu mengakui kesilapan sendiri.
“Daddy
restui hubungan kalian,”
Uda angkat
kepala. Dilihat Dato’Hazmi yang tersenyum sambil mengangguk, mengiyakan
kata-katanya tadi. Uda tersenyum gembira.
“Nanti
Daddy sediakan apa yang patut. Kita akan hantar rombongan meminang ke rumah
Dara dalam masa terdekat. Okey?”
“Terima
kasih, Daddy,”
“Satu
lagi,” pesan Dato’ Hazmi. “Persiapkan diri untuk menjadi seorang suami dan
ayah. Perkahwinan adalah sementara. Tapi rumahtangga akan kekal selama-lamanya,
Insya Allah. Kita bukan hanya ingin berkahwin tapi juga membina rumah tangga. Binalah
rumah tangga yang mendapat keberkatan daripadaNya,”
Bertambah
lebar senyuman Uda. Dia menyeluk sakunya dan mencari telefon bimbitnya. Nombor telefon
Dara dicari.
“Assalamualaikum,
Dara,”
“Waalaikumussalam,
Uda…. Argh!”
“Dara! Dara!!!!!”
Uda sudah mula panik.