Home Novel Cinta AKU SUKA BILA KAU BENCI AKU
AKU SUKA BILA KAU BENCI AKU
Laila Qaisara
6/12/2012 13:30:40
47,204
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 2

“Aku lihat dia disana

Aku ingin mendekatinya

Aku cuba menghampirinya

Lalu aku menyapa dia


Dia pun membuka bicara

Dan aku mulai mengenalnya

Kita mulai bermain mata

Mula timbul rasa bahagia


Bila dia, mendekati diriku

Hatiku rasa sesuatu

Bila dia, senyum pada diriku

Hatiku rasa tak menentu

Oooooooo………ooooooooooo…… Uh, sedap juga suara aku nyanyi ni. Heheheeee,” Norita menyanyi kecil sambil memasak lauk kegemarannya. Sayur kangkung goreng belacan.

“Siapa tu?” Norita separuh menjerit apabila mendengar bunyi pintu dikuak. Apabila melihat wajah Laila menjengah ke dapur, dia menarik nafas lega.

“Kau sorang ke kat rumah? Mana Suria?” Laila bertanyakan seorang lagi teman serumahnya.

“Suria ada kelas hari ini. Nanti dia pulang,”

“Dah kenapa kau buat gaya sinetron ni?”

“Biar la. Mulut aku,” Norita mencebik.

“Aku cilikan jugak mulut tu karang,” sengaja Laila mengugut. Cepat-cepat Norita menutup mulutnya. Laila ketawa melihat ulahnya.

“Kau ni kan, suka sakat aku,”

“Usik mengusik membawa bahagia, kan?” balas Laila. Namun sebaik sahaja dia mengungkapkan perkataan ‘bahagia’ itu, Laila teringatkan sesuatu. Dia termenung.

“Laila!” panggil Norita betul-betul di tepi telinganya.

“Ya?”

“Lauk semua aku dah masak. Jomlah makan,” pelawa Norita. Laila tersenyum. Mereka ke meja makan dan menikmati hidangan yang disediakan Norita.

“Sedapnya lauk kau masak, Ita. Untung Fendi nanti dapat kahwin dengan kau,” puji Laila. Norita sudah malu-malu kucing.

“Makan je la. Banyak bunyi pulak,”

Laila tersenyum. Dia memandang lauk-pauk di hadapannya. Dia termenung lagi.

“Lauk tu bukan untuk ditenung, Laila,” Norita buat gaya sinetron lagi. Hampir tergelak Laila dibuatnya.

“Memang la. Aku ambik mood. Baru boleh makan dengan berselera,”

“Banyak la kau punya mood. Nah,” Norita mencedok sayur ke pinggan Laila. Laila senyum lagi.

“Terima kasih. Aku rasa, kau kena cepat kahwin,”

“Apa kena mengena cedok sayur dengan kahwin ni?” pipi Norita sudah kemerah-merahan menahan malu. “Kau ni suka sangat usik aku,”

“Saje,” Laila terus menikmati hidangannya tanpa suara. Norita yang menyedari hal ini, terus menghabiskan hidangannya pula. Usai makan, Laila mengambil tempat di dapur membasuh pinggan.

“Kau pergi belajar. Lusa kau nak ujian, kan?”

“Macam dia tak payah belajar je. Atau kau ada masalah sampai kau nak buat semua kerja rumah ni?” tebak Norita.

“Kau ni merepek je la. Pergi la belajar tu. Kau mesti penat memasak tadi kan…..,”

“Banyak la dia tu,” Norita menonong menuju ke biliknya. Laila menghela nafas lega. Dia menyinsing lengan. Sekejap sahaja kerja-kerja di dapur itu disiapkannya. Kemudian dia membersihkan bilik air. Dan akhirnya, ruang tamu. Dalam masa setengah hari, semua kerja mengemas berjaya diselesaikannya.

“Mak aih! Berkilat segala. Ada orang nak datang ke ni?” tanya Suria yang baru pulang dari kuliah.

“Siapa yang nak datang?” tanya Norita pula. Dia bingung.

“Heh, bukan ke kau yang cakap kawan kau nak sewa bilik kat sini? Tu yang aku berkemas tu,”

“Apa yang kau cakap ni Laila? Ni Suria ni bukan kawan aku ke? Kan rumah kita cuma ada tiga bilik. Sorang satu bilik. Kau nak sumbatkan kat mana pulak?” tanya Norita pelik.

“Eh? Bukan ke kau cakap dengan aku semalam?”

“Aku cakap bulan lepas la. Suria pun dah selamat masuk. Kau ni kenapa? Tak sihat ke?” tanya Norita balik. Laila bingung. Apa kena dengan aku ni?

“Aku penat agaknya. Aku rehat dulu ye,” ujar Laila lalu dia menapak masuk ke dalam bilik. Di dalam bilik, dia berbaring di atas tilam sambil memikirkan apa yang berlaku tadi.

Ini bukan kali pertama….

*****

“Assalamualaikum Uda,”

“Waalaikumussalam,” Uda menjawab di hujung talian. “Ada apa ni? Sesuatu berlaku kat Dara ke?”

Laila mengetap bibir. Dara itu juga yang difikirkannya……

“Tak la. Aku nak jumpa kau kejap. Ada hal penting. Pasal Dara,”

“Dara dalam kesusahan ke?”

“Eh helo, kalau Dara susah, aku orang pertama yang tolong dia dulu la,” balas Laila geram. Apa punya soalan la ni….

“Habis tu?”

“Aku tak boleh cakap kat sini. Kita kena jumpa,”

“Okey,” talian dimatikan. Laila mengeluh. Betul ke tindakan aku ni?

Di tempat yang dijanjikan……

“Hai Uda,” sapa beberapa gadis yang lalu di hadapan Uda. Dia hanya tersenyum tanpa kata. Dalam hati dia menyumpah-nyumpah. Mana Laila ni? Kata nak jumpa!

“Assalamualaikum,”

“Waalaikumussalam. Ha, Laila! Kenapa lambat sangat? Berjam aku tunggu,” marah Uda. Tapi marah-marah sayang la. Mana boleh marah lebih-lebih dengan pemegang tali pinggang hitam taekwondo ni!

“Banyak la kau punya berjam! Aku parking motor tadi aku nampak kau baru nak duduk. Berjam la konon!” balas Laila. Kalau dengan Uda ni tak payah nak lembut sangat!

“Kau nampak? Habis tu kenapa kau lambat sangat nak datang sini? Senggugut?”

“Ayat kau mintak kaki kan? Aku beli goreng pisang la!” sebungkus goreng pisang ditayangkan depan Uda. Sengaja. Tiba-tiba wajah Uda bercahaya. Dah macam kanak-kanak dapat gula.

“Nak!!!!!!!!”

“Disebabkan tadi kau dah marah-marah kat aku, aku nak bagi je kat siapa-siapa yang lalu sini,”

“Jangan la wei…..,” Uda sudah buat drama swasta. Geli hati Laila melihatnya.

“Ye la ye la, aku bagi benda ni kat kau….,” dihulurkan bungkusan goreng pisang itu kepada Uda yang laju sahaja menyambarnya. Laila menggeleng-gelengkan kepala.

“Macam budak-budak,”

“Aku lapar la,”

“Kenapa kau tak makan lagi?”

“Dah kau kata ada hal penting nak jumpa, aku pun bergegas la datang sini,”

“Sorry, kau kelam kabut sampai tak makan sebab aku,” suara Laila sudah berubah. Nada suara yang menunjukkan dia kesal dengan apa yang berlaku.

“Bukan sebab kau la. Sebab Dara,” Uda pantas menjawab. “Sebab Dara, aku sanggup buat apa saja,”

Laila diam. Mengangguk.

“Eh, tadi kau bukan kata ada hal ke nak jumpa aku?”

“Er…..,” Laila mendekatkan dirinya pada Uda. Uda pelik.

“Kau ni kenapa Laila?”

“Aku sukakan kau,” Laila bersuara sambil menundukkan wajah.

Bulat mata Uda memandangnya. “Kau biar betul, Laila?”

Laila angkat muka. “Kau nampak muka aku ni main-main ke?”

“Tapi…….,”

“Tapi itu semua mimpi,” Laila tutup mulut tahan gelak. “Mana mungkin aku suka kat kau? Sengal!”

“Kau!” Uda cuba mengejar Laila namun Laila sudah berlari jauh. Sabar je la….

“Tak nak kejar? Perut kau tu boroi, macam orang mengandung. Baik kau lari, boleh jugak kau kuruska…….. aaaaaa lariiiiii!!!!!!!” Laila tidak sempat menghabiskan kata-katanya apabila Uda mengejarnya laju. Huh! Macam Watson Nyambek!

“Dah la tu. Semput aku kejar kau,” Uda akhirnya mengalah. Dia terduduk di atas rumput. Laila juga telah berhenti berlari. Dia datang menghampiri Uda.

“Kalau kau suruh aku datang sini semata-mata nak lumba lari dengan kau, baik aku pergi gim je,” rungut Uda.

“Itu baru mukadimah beb. Baru kau tak tension bila aku nak bagitau hal ni kat kau,”

“Hal apa?” Uda membetulkan duduknya.

“Baru aku tau selama ni Tasya ugut Dara. Patutlah selama ni, aku nak kenenkan kau dengan dia, dia macam mengelak. Rupa-rupanya dia dah kena maki dengan minah tu,”

“Betul ni?”

“Betul la. Aku ada dengan Dara tadi masa Tasya marah-marahkan dia. Nasib baik aku ada. Boleh la aku backup dia. Yang aku angin tu, selamba je Tasya cakap tak ada orang yang boleh damping kau kecuali dia. Kau tau la Dara tu macam mana kan? Dia mesti dengar je cakap Tasya tu walaupun dia sukakan kau,” laju dan fasih sahaja Laila berkata-kata.

“Dara sukakan aku?”

Laila tutup mulut. Aku ada cakap macam tu ke tadi? Hohooooo

Uda sudah tersenyum. “Laila, kau boleh tolong aku?”

Laila angkat kening. “Boleh. Bayar ar!”

“Aku belanja la kau makan durian creepe!”

“Wah…..,” terbayang-bayang oleh Laila akan kesedapan makanan kegemarannya itu. “Janji!”

“Iya!”

“Kau nak mintak tolong apa dengan aku?”

Uda senyum.

*****

Laila sedang mengadakan perbincangan dengan pensyarah dan rakan sekelasnya apabila telefon bimbinya tiba-tiba berdering. Dia menjeling sekilas sebelum menyambung perbincangannya. Namun apabila telefon itu tidak berhenti berdering, dia menjawab panggilan itu. Panggilan daripada Uda.

“Siapa kecoh-kecoh aku tampar Tasya?”

“Eh? Salam tak bagi, mukadimah tak ada, terus nak tembak aku? Aku ada perbincangan dengan Puan Seri ni, tak ada masa nak kena tembak,”

“Aku tanya kau ni, Laila,” desak Uda.

“Heh, mana aku tau kau jumpa Tasya bila! Lagipun, aku tak dengar pun gosip pasal tu. Nadia si kepoh ada je dengan aku. Dia tak cakap apa-apa pun,”

“Hurm…..,” Uda mengeluh di hujung talian. “Aku rasa, kita kena jalankan rancangan kita hari ini jugak. Kalau tak, aku akan kehilangan Dara,”

“Kau ni tak reti menyabar ek?”

“Ala, tolong la aku Laila…..,”

Tak reti menyabar betul la budak ni, bisik hatinya.

“Okey, kita buat hari ini. Nanti aku carikan benda yang kau nak tu,”

Kecoh satu fakulti apabila Nadia si kepoh ternampak adegan Uda menampar Tasya. Apa lagi, keluarlah gosip yang menyatakan Tasya dan Uda bergaduh kerana Dara. Nadia sendiri tidak sukakan Tasya yang berlagak itu.

“Nadia,” panggil Laila usai perbincangan dengan Puan Seri tamat. Wanita itu pun sudah keluar dari bilik perbincangan.

“Ya?” Nadia yang sedang mengemas buku-bukunya, memandang Laila tidak berkelip.

“Kau ke yang buat kecoh kata Uda tampar Tasya tu?”

“Eh? Bila?”

“Jangan buat tak tahu, Nadia,”

“Laila, kan aku baru baik dari demam denggi. Baru hari ni masuk. Mana ada aku dengar apa-apa. By the way, bila yang budak tak cukup kain tu kena tampar dengan jejaka idaman Malaya tu?”

Laila tidak menjawab. Otaknya ligat berfikir.

“Laila, aku tak tahu apa yang kau fikirkan. Tapi kalau sesuatu perkara tu tak sahih, tak ada bukti, aku takkan buat kecoh. Kalau betul pun Uda tampar Tasya, padan muka dia. Mulut dia tu buat orang berbaris je nak cilikan dia,” jelas Nadia. Laila tidak menjawab.

“Tapi kalau tak betul, bermakna fitnah sedang tersebar. Aku tak sanggup bunuh orang. Fitnah itu kan lebih besar dosanya dari membunuh. Aku masih waras, Laila,”

“Habis, siapa yang buat cerita?” tanya Laila. Dia betul-betul buntu.

Nadia angkat bahu. “Mana aku tahu?”

Telefon bimbit berdering menandakan ada mesej masuk.

‘Apa betul ke Uda gaduh dengan Tasya? – Dara’

Laila tersentak. Dia teringat sesuatu.

“Weh, aku gerak dulu. Ada hal. Apa-apa hal, kau telefon,” ujar Laila, lalu dia keluar dari bilik itu sambil menjawab mesej Dara. Nadia mengangguk. Namun sebentar kemudian…..

“Laila, Maa……,”

Debuk!

“Aduh!”

“Majnun kau….,” Nadia menghabiskan ayatnya setelah melihat Laila sudah jatuh terduduk akibat berlanggar dengan seseorang.

Laila sapu dahi. Kerasnya kepala orang ni! Boleh biul aku!

“Maaf…,” suara yang kedengaran membuatkan Laila mendongak. Kemudian dia tersenyum. Padanlah kepala besi! Dia rupanya!

*****

Uda mengintai-intai dari celah-celah rak buku. Dia mengerling jam di tangan. Sudah pukul dua. Mana Laila dari tadi masih tidak kelihatan? Kata nak tolong!

Dia menghantar mesej kepada Laila.

‘Kat mana? Kata nak tolong! – Uda’

Mesej yang diterima oleh Laila dibaca sekali lalu. Dia sedang memandau menuju ke kolej, mencari barang yang diminta oleh Uda. Uda ni pun satu! Nak cari barang tu pun, tunggu la tengah hari sikit! Eh, sekarang bukan dah petang ke? Huhuuuuu

“Jalan jem pulak…,” rungut Laila. Dia menjeling jam di tangan. Pasti wajah Uda sudah lain macam sekarang ini.

“Dah nak sampai sangat dah ni,” rungut Laila lagi.

“Awak boleh jalan kaki?” usul teman di sebelah. Dia menoleh, memandang lelaki yang telah mendapat tempat di hatinya ini.

“Awak nak bawa kereta ni ke?” tanya Laila kembali.

“Soalan kalau ditanya dengan soalan, maknanya ada yang tak kena,” jawab lelaki itu sambil tersenyum. Laila membalas senyuman itu.

“Saya boleh jalan kaki, bawa benda ni tapi awak boleh kan bawa kereta ni?”

“Tengok kaki la,”

Laila tengok kaki lelaki itu. “Sama panjang je dengan saya. Heheheee,”

“Hadoi. Dah la, pergilah. Karang lambat,” lelaki itu menghulurkan ‘barang pesanan’ kepada Laila. “Saya alih tempat dalam ni je. Awak pergilah,”

“Terima kasih, awak,” Laila terus keluar dari kereta. Dari situ dia melihat ada kemalangan berlaku tidak jauh dari keretanya. Patutlah sesak! Tanpa berlengah, dia berlari menuju ke perpustakaan yang pintu masuknya hanya beberapa langkah dari keretanya tadi.

“Mana dia ni? Tadi janji nak jumpa celah-celah rak buku,” omel Laila apabila bayang Uda tidak kelihatan. Sebentar kemudian dia nampak Uda….. dan Dara. Uda sudah melutut memandang Dara yang nampak terkejut. Tergeleng-geleng Laila melihatnya.

“Sorry, lambat!” tiba-tiba Laila muncul dari celah rak buku. Dengan membawa sejambak bunga pesanan Uda tadi. Ya, Uda memesan sejambak bunga daripada Laila setelah dia menyatakan hasratnya melamar Dara kepada Laila.

Dia lihat Uda. “La, dah melamar ke? Kau ni gelojoh la. Tak tunggu bunga pun,” kutuk Laila. Dia menghulurkan bunga itu pada Uda yang sudah menjeling maut padanya. Kot iye pun nak kutuk, agak-agak la! Laila hanya tersengih.

“Laila, Uda, apa semua ni?” tanya Dara keliru. Namun Laila hanya tersengih.

“Dara, sudikah Dara menjadi isteri Uda?” Uda mengulang pertanyaannya dengan cara yang romantis sekali. Siap hulur bunga. Air mata Dara bergenang. Lambat-lambat dia mengangguk. Uda tersenyum lebar.

Orang ramai di sekelilingnya bersorak dan bertepuk tangan. Uda dan Dara terkejut. Laila apatah lagi. Tapi bertambah terkejut mereka apabila….

“Hoi, apa bising-bising ni? Ini perpustakaan la bukan pasar!”

Laila buat-buat cari buku di rak. Dia lihat Uda dan Dara sudah kelam kabut baca buku. Tersenyum Laila seketika. Untungnya Dara dapat Uda…

Telefon bimbitnya berbunyi. Eh, mesej dari dia!

‘Sudikah kiranya Laila menerima saya sebagai Majnun dalam hidup Laila?’

Senyum Laila makin melebar.

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.