“LIS, ada orang cari kau.” Yani terjengul
di muka pintu, Alissa sedang melipat sejadahnya, patutlah Alissa tidak
mendengar sewaktu dia memanggil dari luar tadi.
“Siapa?” tanya Alissa.
“Aku pun tak tahu, dia tak sebut namanya, tapi handsome, macam kacukan,” jawab Yani.
Alissa tersengeh, siapa pula yang mencarinya di situ. Seingatnya
dia tidak ada kenalan lain di Kuala Lumpur selain Siti Hawa dan Syed Akil. Apakah
Syed Akil yang menantinya di bawah. Memang Siti Hawa ada menyebut tentang Syed
Akil padanya sewaktu sampai ke Kuala Lumpur tempohari.
Kain batik yang dipakai dibetulkan ikatannya, dia
hanya berkain batik dan mengenakan t-shirt
putih yang longgar.
“Thanks
Yani,” ucap Alissa.
“Kirim salam dekat dia ya,” pesan Yani sebelum berlalu
ke biliknya.
Alissa hanya tersenyum, tidak pasti akan kesungguhan
pesanan Yani. Dia melangkah keluar dari biliknya, Siti Hawa masih di bilik air,
sedang mandi.
Tepat jangkaanya, Syed Akil sedang bersandar di pintu
keretanya. Lelaki itu hanya berseluar jeans
dan t-shirt, nampak kemas dan
bergaya.
“Alissa, apa khabar ?”
“Lis baik, Syed apa khabar ?”
“Lis, dah berapa kali Akil pesan, jangan panggil Syed,
Akil tak suka.” Syed Akil mendepakan tangannya.
“Tak… Lis teringatkan bos Lis. Lis panggil dia Tuan
Syed, agaknya kalau Akil jadi bos nanti, orang panggil macam tu juga.” Alissa
bergurau diiringi tawa kecil.
“Akil takkan benarkan mereka memanggil Akil dengan
nama itu cukuplah setakat, En. Akil.”
Alissa ketawa, Syed Akil bersungguh-sungguh dengan
kata-katanya.
“Oh ya, kawan Lis yang tadi tu, kirim salam.”
“Oh, Waalaikumussalam.”
“Nak jumpa Siti ke ?” tanya Alissa.
“Buat apa jumpa Siti, Akil datang sebab nak jumpa Lis,”
jawab Syed Akil.
“Merajuk Siti nanti,” giat Alissa.
“Tak apa, Siti tu ada yang nak memujuk,” balas Syed
Akil.
“So, Akil
tahu pasal Siti dan Syafiq ?”
Syed Akil mengangguk. “Nak buat macam mana, tak ada
jodoh.”
“Dah jumpa boy
friend baru Siti ?” tanya Alissa. Dia teringatkan Amirul yang menemani Siti
Hawa menjemputnya di Pudu Central tempohari.
“Hari-hari jumpa.”
Berkerut dari Alissa. “Maksud Akil.”
Syed Akil ketawa, tentu Siti Hawa belum bercerita
tentang pertemuannya dengan Amirul.
“Amirul tu kawan sepejabat Akil,” ujar Syed Akil.
Alissa pula tertawa, macam-macam hal. Dulu Siti Hawa
berkawan dengan Syafiq, rakan sekelas Syed Akil dan sekarang Amirul pula rakan
sekerja Syed Akil.
“Kita macam mana ?” Syed Akil bertanya, direnung tepat
wajah Alissa, dari dulu dia mencuba tapi tidak pernah berhasil. Alissa masih
begitu, melayaninya seperti yang lain, tiada yang istimewa tapi dia akan terus
mencuba, dia mesti mendapatkan Alissa, itu azamnya. Dia sudah cukup terpikat
pada gadis itu, bukan sekali dia mencurahkan perasaan tapi Alissa masih begitu,
masih menolak. Selagi Alissa belum menjadi milik sesiapa dia tetap punya
peluang untuk memiliki Alissa.
“Lis masih macam dulu, Akil Lis anggap sebagai
sahabat.”
Syed Akil kehampaan tapi tidak perlu ditunjukkan pada
Alissa, dia akan terus mencuba, kata orang hati perempuan seperti kerak nasi,
kalau selalu disiram, lembutlah ia.
“Okey, kita tunggu dan lihat. Hmm… Lis nampak cantik
pakai macam ni,” puji Syed Akil.
Alissa ketawa, ada-ada saja idea Syed Akil mahu
mengusiknya.
“Amboi dah dapat berborak dengan Lis, dah tak ingatkan
aku.” Siti Hawa muncul dari arah tangga. Dia sudah siap berpakaian.
“Nak ke mana ?” Alissa bertanya.
“Akil tak cakap ke ?”
Alissa menggeleng.
“Sorry,
asyik berborak sampai terlupa nak beritahu. Kita keluar makan malam ni, Amirul
akan terus ke sana, dia ada kerja tadi sebab tu dia suruh aku jemput you dan
Lis,” ujar Syed Akil.
“Kenapa pula nak jemput Lis.” Alissa menyampuk bila
namanya disebut.
“Kita pergi sama-sama,” ujar Siti Hawa. Tahu sangat
dia dengan sifat Alissa.
“Tak apalah, Lis tak rasa nak makan malam ni.” Alissa
berdalih. Dia ada tugas sebenarnya, diari yang diserahkan oleh Syed Hadif tadi
perlu diteliti, dia harus memastikan cara setiausaha Syed Hadif menguruskan setiap
menyuarat dan temujanji Syed Hadif.
“Alah Lis, kau tak kesian ke dengan Akil ni, jauh-juah
datang, bersesak tengah jem, semata-mata nak jemput kau dan aku, nak tolak
pula,” Siti Hawa sedikit kecewa.
“Bolehlah Lis, bukan selalu aku nak ajak kau,” Syed
Akil memujuk.
Alissa mengeluh, wajah kedua sahabatnya direnung silih
berganti, ada riak kecewa pada kedua-duanya. Salahkah dia jika menolak,
bagaimana pula dengan kerjanya jika dia menerima.
“Please Lis.”
Syed Akil separuh merayu.
“Okeylah, tunggu Lis tukar pakaian.” Akhirnya Alissa
mengalah. Tidak sampai hati pula hendak menolak walaupun hakikatnya dia
benar-benar keberatan untuk menyertai sahabat-sahabatnya itu.
Alissa memanjat anak tangga, Siti Hawa mengekori dari
belakang. Dia cuma mahu memastikan pakiaan Alissa. Dia tahu temannya itu tidak
mempunyai pakaian yang banyak. Masakan Alissa hendak berbaju kurung untuk keluar
makan malam dengan mereka sedangkan dia cuma mengenakan t-shirt dan seluar jeans.
“Aku nak pakai baju apa ?” Alissa bertanya sebaik saja
masuk ke dalam bilik.
Siti Hawa tersenyum, sudah dijangka Alissa pasti
memikirkan perkara itu. Alissa anak gadis yang dilahirkan dan dibesarkan di
sebuah daerah yang baru membangun, cara penampilannya masih dengan baju kurung
dan kebaya. Memang sejak berada di kampus lagi dia menyedari tentang perkara
itu.
“Kau pakai jeans
aku,” cadang Siti Hawa.
“Muat ke ?”
“Cubalah dulu.” Siti Hawa mencapai seluar jeans miliknya, diserahkan pada Alissa,
saiz badan mereka tidak banyak berbeza, cuma tubuhnya agak berisi berbanding
Alissa. Alissa memiliki susuk tubuh yang menarik, cantik dan mengiurkan mata
lelaki yang memandang, kulitnya putih bersih, terjaga walaupun dia dibesarkan
dalam suasana kampung.
“Longgar sangat,” komen Alissa sambil memegang di
bahagian pinggang seluar tersebut.
“Kau pakai tali pinggang ni.” Siti Hawa hulurkan tali
pinggang miliknya.
Alissa merengus, susahnya kalau sudah meminjam, memang
dia berhasrat untuk memiliki seluar jeans
seperti Siti Hawa tapi semuanya bergantung pada wang gajinya nanti.
“Kau pakai dengan t-shirt
ni, sesuai dengan kulit kau.”
Dihulurkan sehelai t-shirt
berkolar warna biru gelap pada Alissa.
“Kejap, aku nak tanya kau pernah pakai baju ni waktu
keluar dengan Amirul ?”
Siti Hawa ketawa, sempat juga Alissa memikirkan
perkara itu. Tentu Alissa merasa malu jika Amirul dan Syed Akil menyedari
tentang baju yang dipinjamnya.
“Aku baru pakai sekali tapi bukan depan Amirul.” Siti
Hawa masih tersenyum-senyum.
Alissa menjeling tajam, termalu dia. Alissa memasukkan
dompet ke dalam poket seluar jeans,
malas hendak membawa beg tangan. Dia bukannya suka bergaya berlebih-lebihan,
padanya ringkas itu lebih menarik.
Mereka berdua turun mendapatkan Syed Akil yang masih setia
menanti. Tersenyum Syed Akil melihat Alissa berpakaiaan, belum pernah dia
melihat Alissa mengenakan seluar jeans
sewaktu di kampus dulu.
“Lamanya Tuan puteri berdua ni bersiap,” giat Syed
Akil.
“Tuan puteri awak ni la,” balas Siti Hawa.
Alissa tersenyum cuma, malas hendak membalas usikan
Siti Hawa. Belum tentu dia akan menang kalau dua berlawan satu. Siti Hawa sudah
masuk ke belakang, Alissa serba salah, dia tidak mahu duduk di hadapan di sisi
Syed Akil, tapi masakan hendak dibiarkan Syed Akil menjadi pemandu. Siti Hawa
menutup mulutnya, menahan diri dari ketawa, pasti Alissa akan memarahinya.
Alissa memasang tali pinggang, terasa kekok duduk di
hadapan, bersebelahan dengan Syed Akil. Alissa memejamkan mata, ‘Maafkan Lis
Ilham’. Pertama kali di dalam hidupnya dia duduk bersebelahan dengan lelaki di
dalam kereta.
Amirul sudah menanti di hadapan Stable Steak House, sudah dipesan makanan kegemaran Siti Hawa, dia
tahu gadis itu tidak banyak kerenah, citarasa mereka juga sama.
“Sorry,
lambat sikit, tunggu puteri berdua ni bersiap.” Syed Akil menarik kerusi untuk
Alissa.
“Siapa yang lambat sebenarnya ?”Amirul merenung wajah
Siti Hawa. Dia tahu Syed Akil dan Alissa sudah mengenali antara satu sama lain,
cuma dia yang baru mengenali Alissa, masih terasa segan hendak bergurau dengan
Alissa.
“Tu.” Siti Hawa dan Syed Akil menunding jari ke arah
Alissa serentak.
“Mana Lis tahu you all
nak ajak keluar.” Alissa membela diri, geram dengan Siti Hawa dan Syed Akil
yang sengaja hendak mengenakannya.
“Okeylah, nanti Akil informdulu kalau nak ajak Lis keluar,” ujar Syed Alissa. Bimbang
juga jika Alissa berkecil hati dengan usikannya.
“I dah order
untuk Siti. I tak tahu you berdua nak makan apa.” Amirul menghulurkan menu yang
baru diletakkan oleh pelayan di atas meja.
“Lis nak cuba western
food ?” Siti Hawa memberi cadangan.
“Tak apalah, Lis nak nasi goreng dan fresh orange.”
“Okey, saya nak New
York Steakdan fresh orange.”
Syed Akil mengunjukkan menu ke tangan pelayan lelaki berbaju mereah itu.
“Soyou all
dah lama kenal ?” Amirul bertanya.
“Tiga tahun kenal gitu-gitu saja, sebab kita orang freshie, tahun ke tiga baru rapat sikit,
tapi Lis dengan Akil bukan dengan I.” Siti Hawa menjawab bagi pihak Alissa dan
Syed Akil.
Alissa menjeling Siti Hawa, kurang senang dengan jawapan
yang diberikan rakannya. Syed Akil ketawa melihat perubahan wajah Alissa, dapat
dibaca perasaan Alissa ketika itu. Siti Hawa hanya tersengeh, seboleh-bolehnya
dia tidak mahu persoalan tentang Syafiq ditimbulkan di hadapan Amirul. Cukuplah
Amirul mengetahui perkara itu serba sedikit, tidak perlu dipanjangkan, perkara yang
lepas tidak perlu dikenang. Dia pernah berpesan pada Syed Akil supaya menyimpan
cerita itu dan dia tahu Alissa bukan orang yang suka menjaga tepi kain orang.
Alissa tidak akan bercakap tentang diri orang lain. Alissa akan bercakap
tentang perkara yang perlu sahaja.
Alissa menyuap nasi goreng yang baru diletakkan oleh
pelayan restoran tersebut. Boleh tahan juga rasanya, dikerling ke arah Siti
Hawa dan Amirul yang sedang bergurau mesra. Ingatannya melayang ke utara tanah
air, terkenangkan Ilham yang jauh dari mata. Apa agaknya yang sedang dibuat oleh
Ilham waktu itu, makan malam apa yang dijamah Ilham. Ilham anak sulung dari 4
orang adik beradik, adik bongsunya Ruby baru berusia 10 tahun dan Ikmal berada
di tingkat 4 dan Raihana di tingkatan 6. Ilham memikul tanggungjawab sebagai ketua
keluarga selepas kematian ayahnya, kerana itu juga dia terpaksa menangguhkan
hasratnya untuk menyambung pelajaran di Institut Pengajian Tinggi.
“Lis.”
Alissa tersentak, Syed Akil, Amirul dan Siti Hawa
merenung tepat wajahnya, tapi kenapa.
“Apa yang kau menungkan ?” Siti Hawa mengusik.
“Menungkan apa ?” Alissa cuba mengelak.
“Ini mesti tak ada kerja lain, teringat orang jauh la
tu.” Siti Hawa menyambung usikannya.
Alissa meneruskan suapannya, tidak dipedulikan usikan
Siti Hawa, kalau dilayan semakin menjadi pula nanti.
“So Lis,
bagaimana hari pertama di pejabat ?” tanya Amirul.
“Alhamdulillah setakat ni okey, bos Lis tu teliti
dengan kerjanya,” jawab Alissa. Itu kesimpulan yang dibuatnya untuk hari
pertama menjadi setiausaha Syed Hadif. Apa tidaknya, Syed Hadif dapat mencari
kesalahannya yang kecil.
“Wah hebat, baru satu hari kerja Lis dah dapat menilai
bos Lis.” Syed Akil mencelah.
“Dari apa yang Lis lihat, kerja yang Lis kena buat dan
dari percakapan rakan-rakan sekerja itulah kesimpulan yang dapat Lis buat untuk
hari ini,” balas Alissa.
“Harap-harap dia akan melayan Lis dengan baik.” Syed
Akil merenung wajah Alissa, cepat-cepat gadis itu berpaling, dia rimas dengan
tenungan Syed Akil.
“Hey, bukan dia layan Lis. Lis yang layan dia.” Siti
Hawa menyambut kemudian ketawa melihat wajah Alissa yang kelat.
“Dah tu, jangan nak usik Alissa, nak makan pun tak
senang.” Amirul menyampuk, simpati pada Alissa. Dia dapat melihat kelainan pada
gadis itu, tidak seperti Siti Hawa yang bercakap mengikut kehendaknya, tapi dia
tahu Siti Hawa cuma mahu mengusik.
Alissa mengajak mereka pulang sebaik sahaja selesai
menjamu selera, dia ingin berehat dan memastikan diari Syed Hadif dapat diteliti
sebelum terlena, tugasnya perlu diteruskan keesokan harinya. Dia pelu melakukan
yang terbaik sebagai setiausaha Syed Hadif.