“ALISSA, masuk
sekejap.”
Suara Syed Hadif begitu jelas di telinganya. Baru
sebentar tadi Puan Noriah mengajarnya bagaimana menggunakan telefon itu.
Alissa mengatur langkah, pintu bilik Syed Hadif
diketuk terlebih dahulu sebelum ditolak dan melangkah masuk.
“Ya Tuan Syed.” Alissa tercegat di hadapan Syed Hadif,
seperti khadam yang menanti arahan dari tuannya.
Syed Hadif mengeluarkan sebuah buku dari laci mejanya,
buku tersebut digunakan oleh setiausahanya yang sebelum ini untuk mencatatkan
setiap temujanji dan pesanan untuknya.
“Setiap kali saya ada mesyuarat, awak mesti catatkan
di sini. Kalau ada panggilan untuk membuat temujanji awak perlu pastikan
waktunya mengikut diari ini atau maklumkan pada saya terlebih dahulu. Setiap
aktiviti saya mesti ada di hujung jari awak, kalau ada call untuk saya pastikan siapa pemanggilnya sebelum awak sambung
pada saya atau bertanya dengan saya terlebih dahulu samaada saya hendak
bercakap atau tidak.” Panjang lebar pesanan Syed Hadif.
Diari itu dihulurkan pada Alissa.
“Mulai pagi esok, sebaik saja saya sampai awak mesti
masuk ke bilik saya dan maklumkan aktiviti saya pada hari itu, boleh.”
Alissa mengangguk, terasa panas wajahnya bila Syed
Hadif merenung tepat ke arahnya.
“Insya-ALLAH Tuan Syed, cuma saya harap jika ada
kesalahan saya Tuan Syed akan menegur dan saya akan berusaha untuk buat yang
terbaik.” Alissa bersuara perlahan, tidak berani menentang pandangan Syed Hadif.
“Okey, kalau awak ada masaalah dengan kerja jangan
malu atau segan bertanya. Tak rugi kalau kita selalu bertanya, tapi masalaah
peribadi minta maaflah.” Syed Hadif ketawa kecil selepas menghabiskan ayatnya.
Alissa tersenyum, lega.
Syed Hadif keluar menghadiri mesyuarat dengan
pelanggan sebaik saja jam mencecah ke angka 2:15. Dia perlu tiba di syarikat
Permata sebelum jam 3:00 petang.
“Jangan lupa kunci blik,” pesan Syed Hadif sebelum
melangkah keluar.
Alissa bersandar dikerusinya, penat. Baru hari pertama
sudah banyak kerja yang perlu diuruskan. Dicapai kertas yang diserahkan padanya
sebelum waktu makan tengahari tadi, surat itu perlu disiapkan sebelum pulang.
Tangannya lincah menaip, dia perlu berhati-hati agar tidak ada kesilapan yang
berlaku.
Tepat jam 5:15 petang, Alissa mengunci pintu bilik Syed
Hadif, surat yang sudah disiapkan diletakkan di atas meja Syed Hadif. Dia sudah
berkemas untuk pulang, pesan Siti Hawa pagi tadi, kalau dapat pulang cepat
lebih baik, sebelum jalan jem teruk.
Alissa bertembung dengan Syed Hadif sebaik sahaja
pintu lif terbuka, Syed Hadif kembali semula ke pejabat selepas selesai
mesyuarat.
“Tuan Syed belum balik ?” tanya Alissa.
“Ada kerja sikit. Surat tadi dah siap ?” Syed Hadif
pula yang bertanya.
“Saya dah letak atas meja. Ada apa-apa yang perlu saya
buat lagi?”
Syed Hadif diam sejenak, kalau diikutkan memang dia
memerlukan Alissa untuk menyiapkan beberapa dokumen penting, tapi timbul juga
rasa simpati pada gadis itu, baru hari pertama bekerja sudah dibebankan dengan tugas
yang menimbun.
“Hmm, tak apalah sambung esok saja.”
“Kalau begitu saya balik dulu.”
Syed Hadif mengangguk kemudian melangkah masuk ke
ruang pejabat.
Alissa menekan butang lif untuk turun ke bawah. Tentu Syed
Hadif memikul tanggungjawab yang besar, habis waktu pejabat pun dia masih
berada di pejabat.
SITI HAWA sudah terbaring di atas katil sewaktu Alissa
melangkah masuk ke dalam bilik. Temannya itu hanya tersenyum menyambut
kepulangannya.
“Penat ?” Ringkas soalan dari Siti Hawa.
“Letih, banyak kerja menunggu aku,” jawab Alissa.
“Biasalah tu, amacam handsome tak bos kau ?”
Alissa tersenyum, terbayang wajah Syed Hadif di ruang
mata tapi cepat-cepat ditutup dengan bayangan wajah Ilham. Tentunya Ilham lebih
kacak, cuma Syed Hadif lebih bergaya, sesuai dengan jawatan dan tugasnya, berlainan
dengan pekerjaan Ilham di pekan kecil yang baru hendak membangun.
“Aku tanya tak jawab, tersenyum-senyum pula.”
“Handsome,”
jawab Alissa.
“Kalau compare
dengan Amirul, siapa lagi handsome?”
Sengaja Siti Hawa bertanya soalan itu. Sekadar hendak menguji hati Alissa.
“Mestilah bos aku.”Alissa ketawa kecil.
“Hmm, kalau dengan Ilham ?” Siti Hawa sudah tersengeh.
“Mana boleh banding dengan Ilham, mestilah Ilham aku
tu lagi handsome.” Alissa ketawa
lagi, senang hatinya bila mengingatkan Ilham.
“Kau tak rindukan Ilham ?” Siti Hawa bertanya sambil
merenung wajah Alissa yang berseri-seri apabila bercerita tentang Ilham.
Alissa membalas renungan Siti Hawa, masakan teman itu
tidak tahu akan perhubungan dia dan Ilham yang sudah berlangsung lebih empat
tahun lamanya. Pastinya rindunya bergunung-gunung buat Ilham.
“Empat bulan aku menganggur, selalu juga jumpa dengan
dia, sekarang ni dah jauh dari mata, mestilah rindu.”Alissa tersenyum, senang
hati.
Siti Hawa menahan tawa melihat senyuman yang mekar di
bibir Alissa.
“Aku nak tanya kau sesuatu.” Alissa memusatkan kembali
pandangannya ke arah Siti Hawa.
“Apa yang kau nak tanya ?” Siti Hawa duduk bersila di
atas katilnya, bantal yang dipeluk tadi diletak di atas riba.
“Setakat mana hubungan kau dengan Amirul, aku tengok
lain macam saja ?” tanya Alissa.
“Kau rasa macam mana ?” Soalan dibalas dengan soalan.
“Kalau ikut firasat aku, hubungan korang lebih dari kawan.
Betul tak ?” Alissa meneka.
Siti Hawa tersenyum, sengaja membiarkan Alissa cuba
meneka.
“Kau tengok dia tu suka kat aku ke ?”
“Rasa-rasanya macam tulah.”
“Kau rasa kami berdua sepadan tak ?”
“Hmm memang… hey nanti, apa dah jadi dengan boy friend kau budak engineering tu, kawan Syed Akil ?”
Alissa teringatkan Syafiq yang pernah diperkenalkan oleh Siti Hawa sebagai
teman lelakinya.
Siti Hawa melambakkan tawanya, Alissa masih mengingati
perkara itu, memang dia pernah rapat dengan Syafiq. Pelajar yang mengambil
kursus kejuruteraan yang lebih tua dari mereka.
“Aku ingat kau dah tak ingat pasal mamat tu.”
“So, dah
putus atau masih diteruskan, atau… kau pasang dua.” Alissa mengusik.
“Janganlah fikir aku ni teruk sangat. Syafiq dah tak
wujud dalam diari hidup aku,” balas Siti Hawa.
Siti Hawa menongkat dagu, terbayang wajah Syafiq di
ruang mata, memang lelaki itu kacak orangnya tapi Syafiq suka mengongkong
pergerakannya, setiap perbuatannya ada saja yang tidak kena, itu salah, ini tak
betul, dia cepat bosan dengan lelaki itu. Amirul lain caranya, dia bebas hendak
melakukan apa saja atau hendak ke mana-mana pun. Amirul tidak cerewet, Amirul
mengikut saja kehendaknya.
“Berangan pula.” Alissa mencuit bahu Siti Hawa, sedari
tadi dia hanya memerhatikan Siti Hawa terdiam dan tersenyum sendiri. Entah apa
yang difikirkan oleh temannya itu.
“Aku dan Syafiq dah tak ada apa-apa, kami pilih jalan
masing-masing, dia dengan cara dia dan aku dengan caar hidup aku,” ujar Siti
Hawa.
Siti Hawa berbaring semula, kenangan dengan Syafiq
datang juga di ingatannya, bohonglah kalau dia berkata dia sudah melupakan
semuanya, melupakan setiap kenangan yang dikongsi bersana Syafiq. Lelaki itu
pernah bertakhta di hatinya, pernah beraja di hatinya, masakan dapat dilupakan
begitu saja tapi kehadiran Amirul tepat pada masanya, Amirul penyayang
sifatnya, lembut dan menghormati dirinya.
Alissa mencapai tuala, dibiarkan Siti Hawa melayan
perasaan sendiri, tentu ada cerita di sebalik perpisahan itu. Kalau tidak
masakan Siti Hawa berkelakuan begitu bila menyebut tentang Syafiq. Dia tidak
akan bertanya lebih lanjut, jika Siti Hawa bersedia untuk bercerita, dia akan
mendengar.