Ain mendengus apabila mendapat pesanan daripada Izwan. Entah apa lagi yang Izwan inginkan sehingga diajaknya berjumpa di tempat yang tidak digemarinya. Di perpustakaan. Macam dah tak ada tempat lain untuk diajaknya berjumpa. Malas pula untuk dia menuruti kehendak Izwan. Moodnya tidak baik pada hari ini kerana telah dimarah di dalam kelas kerana masuk lewat ke dalam kelas. Kini Izwan pula mengajaknya untuk berjumpa. Tiba-tiba ada satu lagi pesanan WhatsApp masuk datangnya daripada Izwan.
‘Kalau kau tak datang aku tak nak tolong kau lagi’
Ain mengetap bibir lalu dengan langkah yang malas dia menuju ke arah perpustakaan. Dia berharap ada berita baik yang ingin disampaikan kepadanya dan bukanlah cerita remeh temeh yang membuatkan dia terpaksa membuang masa begitu sahaja.
Masuk sahaja ke dalam perpustakaan, dilihatnya hanya ada beberapa orang pelajar yang berada di situ. Masih terdapat banyak ruangan meja yang masih kosong jadi agak mudah dia mencari kelibat Izwan yang sudah menunggu di situ.
“Kau nak apa?” Ain tidak mahu berbasa basi lagi apabila berhadapan dengan Izwan.
“Amboi datang-datang terus sergah macam tu je? Tak feminin langsung.”
Ain menjeling Izwan. Dia tiada masa untuk bergurau dengan Izwan ketika ini.
“Cepatlah, aku tak mahu lama-lama kat sini. Kau nak cakap pasal apa sebenarnya?”
“Aku nak pinjam duit sikit.”
Ain terjegil mendengarkan permintaan Izwan. Semudah itu sahaja Izwan meminta untuk meminjam duit dengannya
“Kenapa pula nak pinjam dengan aku?” Ain tidak mahu semudah itu memberikan duit kepada Izwan yang seperti ingin mengambil kesempatan pula.
“Kau kan banyak duit.” Izwan menjeling cincin yang dipakai oleh Ain membuatkan Ain kurang senang.
“Duit aku dah banyak habis ni atau kau nak aku bocorkan rahsia kau?” Izwan mengalih pandangan ke muka Ain pula.
“Kau jangan nak main-main dengan aku ye.” Ain masih tidak mahu mengalah.
“Aduh!”
Tiba-tiba Ain dan Izwan terdengar bunyi seseorang mengaduh di sebalik rak buku yang tidak jauh dari situ disertai dengan bunyi buku-buku yang terjatuh ke lantai. Tanpa membuang masa Ain terus meluru ke arah rak tersebut untuk memastikan siapa yang ada di situ.
Dalam masa yang sama Tini dalam keadaan berdebar-debar segera menyusun buku-buku yang jatuh tadi ke tempatnya semula. Langkahnya diatur laju tetapi teratur. Dia tidak mahu Ain atau Izwan menyedari yang dia ada di situ namun ketika itu Tini terdengar bunyi derapan kaki yang sedang menuju kepadanya.
“Eh, kau rupanya.”
Tini mendongak kepalanya dan ternyata Ain sudah pun berdiri di hadapannya. Tini terkejut tetapi berpura-pura seperti tiada apa-apa yang berlaku.
“Ain. Apa khabar?” Tini cuba menyembunyikan perasaan gemuruhnya. Dia cuba mengukirkan senyuman paksa.
“Baik je. Lama juga kita tak borak-borak. Jomlah ke meja sana.”
Tini segera menolak dan memang sudah dia ketahui meja yang dimaksudkan itu.
“Tak apalah, memang cadang nak balik dah ni.” Tini cuba menolak dengan mencipta alasan seperti itu dan dia bersedia mengatur langkah meninggalkan kawasan itu.
“Hm Tini, aku.nak tanya sesuatu ni. Itu pun kalau kau tak kisah la.”
Langkah Tini terhenti dan tiba-tiba jantungnya berdebar menunggu soalan yang bakal keluar dari mulut Ain. Tini seolah-olah tahu apa yang ingin ditanya oleh Tini lebih-lebih lagi melihatkan wajah Tini yang sedang tersenyum sinis.
“Kau ada jumpa lagi tak dengan…”
“Ain!”
Ain dan Tini berpaling mencari arah suara itu lalu muncul seorang anak muda berkaca mata sedang memandang tajam kepada Ain. Melihatkan kehadiran lelaki itu membuatkan Tini menghela nafas lega.
“Jangan berani-berani nak ungkit benda yang tak betul tu lagi.Kau ni tak takut dosa ke?” Kali ini pemuda itu bersuara sedikit tegas.
Dipandangnya mata Ain dalam-dalam seperti sedang memberi peringatan.
“Oh, takutnya dengan bodyguard Tini ni..Kau ni memang dah dibayar untuk jadi bodyguard Tini ke?” Ain membuat suara seakan-akan memerli. Dia cukup menyampah dengan pemuda bernama Syahmi yang berdiri di hadapannya ini.
“Kau jangan macam-macam. Aku boleh report perangai kau pada ayah kau.” kata Syahmi lagi berbaur ugutan.
“Kau cakap pasal apa ni?” Ada sedikit getaran dalam suara Ain.
“Aktiviti kau la.” Syahmi tersenyum sinis.
“Aktiviti apa? Kau saja nak gertak aku kan!” tanpa sedar Ain menguatkan suaranya sehingga dia hampir terlupa dia kini berada di dalam perpustakaan yang merupakan zon senyap. Melihatkan wajah Syahmi dengan senyum sinis yang masih tidak lekang membuatkan Ain semakin panas hati.
“Lamanya kau kat sini Ain. Eh, Tini dengan Syahmi pun ada kat sini rupa-rupanya.”
Muncul Izwan yang terus membuatkan Ain dan Syahmi berhenti daripada terus memandang antara satu sama lain.
“Yang kau berdua ni macam singa lapar ni kenapa?” Nampaknya Izwan sedar tentang riak wajah Syahmi dan Ain ketika itu.
“Excuse me. Syahmi, jom pergi dari sini.” Tanpa menunggu lebih lama Tini mengambil keputusan untuk pergi dari situ untuk mengelakkan perkara yang lebih buruk pula akan berlaku.
Tini berjalan laju-laju. Dia tidak menyangka Ain akan mengungkit perkara yang sudah lama mahu dilupakan itu.
“Tini, tunggu dulu!” Syahmi menjerit memanggil nama Tini yang sudah jauh ke hadapan.
Tini berhenti melangkah. Fikirannya masih teringat tentang kelakuan Ain. Mengapa Ain seolah-olah mahu mencari masalah dengannya? Apa sebenarnya yang Ain mahu daripadanya dengan mengungkit kisah lama yang tidak benar itu lagi?
“Mereka berdua tu ada buat masalah ke?” tanya Syahmi ingin tahu. Mereka kini berdiri di laluan orang yang lalu lalang.
“Bukan dengan Tini tapi dengan Isya.”
“Isya? Siapa Isya?”
“Kawan Tini dan…kawan Ain jugak.” Tini cuba berterus terang.
“Kawan Ain?” Syahmi mengerut dahi.
***