Home Novelet Islamik Rahsia yang tersimpan
Rahsia yang tersimpan
Nik Zah
9/6/2024 15:28:08
12,333
Kategori: Novelet
Genre: Islamik
Bab2-ii

Isya, Ain dan Syikin beriringan menuju ke kafe untuk menjamu selera setelah waktu kuliah mereka tamat. Setelah selesai memesan makanan mereka menyambung perbualan sambil diselangi dengan ketawa apabila ada di antara mereka yang membuka topik yang melucukan. Suara hingar-bingar pelanggan yang ada di kedai makan itu tidak mengganggu mereka bertiga untuk terus bergelak ketawa.

“Isya, best tak jadi anak tunggal?” Tiba-tiba  Ain bertanyakan sesuatu yang  membuatkan dahi Isya berkerut.

Soalan apakah ini?

“ Bosan  adalah.” Ringkas sahaja jawapan Isya.

Segera dia menyedut air laici sejuk yang ada di hadapannya itu. Ain menghalakan telinga ke arah Isya tanda kurang jelas mendengar jawapan Isya yang agak perlahan itu. Isya nampaknya memahami isyarat Ain.

“Tak ada yang best pun. Bosan ada lah. Kenapa pula?” soal Isya membuatkan Ain tersengih-sengih.

Isya sempat melihat Ain mengenyit mata kepada Syikin yang turut tersengih-sengih di tepinya. Pasti ada sesuatu yang mereka sedang rancangkan.

“Kau nak ada teman tak?” duga Ain membuatkan dahi Isya berkerut.

Sel-sel otak Isya ketika itu sedang giat berhubung untuk mentafsirkan kata-kata Ain yang seperti ada maksud tersirat.

“Teman? Kau berdua kan dah ada. Nak teman apa lagi?”

“Teman tapi mesra.” Pintas Syikin pula membuatkan Isya senyum sinis.

No need.” Tegas jawapan Isya mula memahami maksud kata-kata Syikin.

“Tapi ada orang dah mula suka pada kau tahu?” Ain nampaknya bersungguh-sungguh memberitahu hal itu.

“Siapa pulak? Jangan mengarutlah. Tak sukalah benda-benda macam ni!” Isya nampaknya mula tidak senang dengan topik perbualan ketika ini.

Terbantut terus seleranya untuk menjamah nasi goreng yang ada di hadapan matanya ketika ini. Mahu sahaja dia terus balik ke bilik ketika ini juga dan malas melayan Ain dan Syikin yang mula ketawa melihat reaksi Isya.

“Sekejap lagi dia sampai.” kata Ain tersenyum-senyum.

Whatever.” Isya mengangkat kedua-dua belah bahu.

“Sini sini!” Syikin seperti melambai-lambai kepada seseorang membuatkan Isya dan Ain turut memandang.

Kelihatan tiga orang anak muda datang mendekati mereka. Isya memang mengenali dua orang daripada mereka yang merupakan rakan sekuliahnya bersama Ain dan Syikin cuma seorang sahaja yang kurang dikenali.

Tanpa dipelawa, Khairul, Hafiz dan seorang lagi bernama Izwan mengambil duduk di meja bersama Isya, Syikin dan Ain yang sedang berbual ketika itu. Jelas dari riak wajah Isya yang kurang menyenangi situasi yang sedang dihadapinya ketika ini.  

Syikin dan Ain menyambut kedatangan mereka bertiga dengan senyuman mesra. Hanya Isya yang masam mencuka dan seolah-olah kaku. Mati terus seleranya ketika itu.,

“Perkenalkan ini Izwan, pelajar jurusan akaun.” Ain cuba memperkenalkan Izwan kepada Isya tetapi hanya dibalas anggukan sahaja oleh Isya.

Isya sempat meneliti sekilas wajah pemuda tersebut yang mempunyai wajah yang sawo matang dan berambut ikal itu. Terukir senyuman di wajahnya namun Isya masih lagi menguis-nguis nasi goreng yang berbaki banyak di hadapannya. Mahu dimakan atau dibungkus sahaja? Isya mula berteka-teki dengan dirinya sedangkan ketika itu dia masih lapar. Perutnya minta diisi tetapi kedatangan tetamu tidak diundang ini telah membantutkan seleranya. Entah mengapa dia merasa jengkel dengan kehadiran lelaki ini secara tiba-tiba.

Isya mengetap bibir. Isya tahu ini mesti rancangan kedua-dua rakannya itu untuk memperkenalkannya kepada pemuda bernama Izwan itu. Kononnya untuk menjadi matchmaker untuk dirinya tetapi dia tidak berminat diperlakukan seperti ini. Isya mula berasa marah dengan tindakan Ain dan Syikin yang baginya seperti memandai-mandai pula.

Isya rasa dirinya masih diperhatikan oleh Izwan tetapi Isya sekadar membisu. Dia masih berteka-teki sama ada mahu makan di situ atau meminta pelayan di kedai itu membungkus lebihan makanannya.

Izwan mati akal. Sesekali dia mengerling ke arah Ain yang sedang rancak berborak. Nampak ceria sahaja wajah Ain tanpa memikirkan tentang Izwan yang masih terkulat-kulat. Isya pula nampaknya masih begitu. Dingin. Tiada perbualan antara mereka. Nampaknya Isya lebih banyak merenung makanan daripada berbual-bual dengan rakan-rakan yang lain.

*****

“Perempuan macam tu yang kau nak kenalkan pada aku? Dah tak ada perempuan lain ke? Kaku semacam je aku tengok.” Hambur Izwan kepada Ain sebaik sahaja Isya meninggalkan meja mereka.

“Apa kau ni? Rileks la sikit. Mula-mula kenal memanglah macam tu. Aku kena lah dia tu macamana. Dia okey sebenarnya.” Ain cuba menenangkan Izwan yang kelihatannya seperti tidak berpuas hati.

“Okey? Aku tengok dia tu macam pelik je,” sangkal Izwan tidak bersetuju dengan jawapan Ain.

“Pelik? Pelik yang macamana?”

“Entahlah. Susahlah nak cakap, macam anti sosial pun ya jugak. Macamana la dia boleh rapat dengan kau yang gila-gila ni?”

Ain ketawa mendengarkan kata-kata Izwan yang menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Kau tak kenal dia lagi kau dah cakap macam tu. Rilekslah, ni baru step pertama.” Ain mengangkat kening meminta supaya Izwan lebih bertenang.

“Entah-entah kau memang sengaja nak kenakan aku tak?” Duga Izwan membuatkan mata Ain terbeliak tanda marah.

“Well, terpulanglah apa kau nak fikir. Tapi itu lah cabaran sebenarnya kan?” Ain tersenyum nipis manakala Izwan terus diam membisu. 

Previous: Bab 2
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.