Home Novelet Islamik Rahsia yang tersimpan
Rahsia yang tersimpan
Nik Zah
9/6/2024 15:28:08
12,340
Kategori: Novelet
Genre: Islamik
Bab 1

Tugasan assignment hanya tinggal beberapa helaian lagi untuk disiapkan.Tiiba-tiba Isya berasa pening lalu dia berhenti menaip sambil memejam mata.  Ketika matanya terpejam itu wajah mama dan abahnya bermain-main di fikirannya sebelum dia melepaskan keluhan berat.

Tini memerhatikan sahaja tingkah laku Isya. Tini tahu ada masalah yang Isya sedang fikirkan pada ketika ini.

“Awak okey?” Tini memegang lembut bahu Isya.

Isya membiarkan sahaja pertanyaan Tini. Diam.

“Awak okey?” ulang Tini lagi dengan suara yang masih lembut.

“Tak okey!” Kasar jawapan Isya membuatkan Tini sedikit tersentak.

Wajah Tini sedikit berubah tetapi beberapa saat kemudian dia kembali senyum. Azan Asar juga baru berkumandang. Tini awal-awal lagi sudah berwuduk. Perlahan-lahan dia  menghampar sejadah.

“Kalau rasa tak tenang, jom solat dulu.“ Pelawa Tini yang mula menyarung telekung berwarna merah jambu iaitu warna kegemarannya.

Pelawaan Tini dipandang sepi. Isya masih lagi berteleku di meja. Fikiran Isya  bercelaru. Isya memandang sahaja kelakuan Tini iaitu rakan sebiliknya itu yang sudah pun siap memakai telekung. Pandangan mata mereka bertemu.

Isya tahu bahawa Tini masih mengharapkan dia untuk sama-sama solat. Sejadah sudah sedia dihampar, azan juga sudah pun berkumandang. Jadi apa lagi yang perlu ditunggu?

“Kau solatlah dulu.” Kata Isya setelah sekian lama membisu.

Sebaik sahaja berkata begitu, Isya terus sahaja berdiri lalu mengambil kain tuala yang tersangkut di tepi almari. Sempat dia melirik jam di atas meja. Langkahnya kelihatan tergopoh gapah. Dia perlu cepat.


Tini memerhatikan sahaja langkah Isya yang kelam kabut itu. Nampaknya Isya tidak menyedari kelakuannya itu diperhatikan atau boleh sahaja dia sendiri tidak kisah dirinya diperhatikan seperti itu oleh Tini.

“Awak nak pergi mana lepas ni?” Tini cuba menegur Isya.

Langkah Isya terhenti. Dia baru sahaja ingin membuka pintu biliknya tetapi apabila ditegur seperti itu, tidak tergamak pula untuk membiarkan soalan kawannya itu tergantung.

“Keluar.” Ringkas sahaja jawapan Isya.

“Keluar dengan mereka lagi?” tanya Tini meminta kepastian.

Isya menganguk. “ Kenapa?”

Tini diam.

“Jangan lupa solat dulu.”

“Aku tahu lah!” Dengus Isya yang nampaknya tidak senang dengan sikap Tini.

Pintu bilik ditutup dengan sedikit kuat. Tini tahu Isya kurang selesa apabila dirinya ditegur seperti itu tetapi Tini tahu itu juga merupakan salah satu tanggungjawabnya iaitu saling menegur ke arah kebaikan.

*****

Isya melangkah keluar dengan muka yang kelat. Entah mengapa dia rasa tidak suka apabila dirinya seolah-olah gerak langkahnya sering diperhatikan oleh Tini. Setiap kali dia bersiap ketika itulah dia akan dilontarkan soalan oleh Tini. Mahu pergi ke mana? Rimas. Isya rimas dengan soalan itu.

Isya mengenang semula pertemuan pertamanya dengan Tini apabila masing-masing baru tiba dengan beberapa buah beg berisi pakaian. Bezanya kedatangan Tini bersama kedua ibu bapanya manakala Isya pula hanya keseorangan.

“Ada lagi ke beg kat bawah tu?” tanya Tini tiba-tiba membuatkan Isya ketika itu sedang menaiki tangga sambil membawa beg  sedikit tersentak.




Next: Bab1-ii

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.