Home Novel Umum HOT CHOCOLATE TEA LADY
HOT CHOCOLATE TEA LADY
Ramlah Rashid
21/10/2014 18:13:32
222,169
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 20

“Kenapa tak boleh?”

“Maaf encik. Loceng kecemasan ni hanya kalau encik betul-betul perlukan bantuan.” Masih senyum dia memberi nasihat, Adam memberi alasan dia sunyi dan perlukan rakan sembang.

“Dah lewat malam, pesakit lain semua dah tidur. Mengapa encik tak tidur lagi?”

“Mana boleh tidur kat sini, saya tak boleh lelap mata.” Merayu dia meraih simpati jururawat.

“Encik tak ada kawan atau saudara mara? Kita benarkan encik ditemani di sini.” Sudah bosan jururawat shiff malam itu.

Adam geleng. “Ada ubat tidur?”

Jururawat senyum lagi. “Ubat tidur hanya akan diberi kepada pesakit yang betul-betul memerlukan.”

“Saya perlu.”

“Sakit sangatkah? Kami dah bagi ubat tahan sakit kan?”

“Saya nak tidur tapi tak boleh tidur.”

“Itu bukan alasan untuk kami bagi encik ubat tidur.”

“Tolonglah, saya bayar harga ubat tu.”

Jururawat senyum lagi, selimut Adam dibetulkan. “Kami bukan kisah pasal bayaran ubat sebab setiap apa yang encik gunakan selama di sini akan dikira di dalam bil. Encik memang kena bayar nanti dan saya tahu encik mampu. Tetapi adalah salah kalau saya membekal ubat tanpa kebenaran doktor encik.”

Adam mengeluh dan berdengus, tangan kiri dihempas ke tilam.

“Ha, ha. Jangan kasar-kasar pada tangan tu, bengkak tangan tu nanti cannula ni tak boleh diguna lagi. Kena cucuk tempat lain pulak, encik akan lebih sakit.” Tegas memujuk dalam kelembutan.

“Aduih! Semua tak boleh, semua tak boleh. Bosan macam ni.” Dia sudah marah.

“Encik bagi nombor telefon sesiapa, saya tolong call.”

Adam berdengus lagi. Siapa yang boleh dipanggil ke situ sedangkan dia hanya ada Nadia, tetapi tidak sampai hati pula menyusahkan wanita itu.

“Nak kami panggilkan adik encik?”

“Elsa?” mencebik dia. Tidak mungkin Elsa mahu menyusah diri melayan kerenah abangnya itu.

“Bukan, Cik Shaza. Nombor telefonnya ada dalam fail encik, katanya kalau ada apa-apa mustahak, pihak hospital boleh hubungi dia.”

Adam angguk meski tidak yakin Shaza bersedia disusahkan. Tetapi dia terpaksa kerana tidak betah terpasung bodoh di wad bertaraf VIP itu meski sudah biasa tinggal sendiri di kondominium mewahnya, juga tidak berteman.

Adam sudah ditinggalkan hampir setengah jam oleh jururawat yang berjanji akan menghubungi Shaza. Shaza tidak muncul-muncul lagi, jururawat juga senyap di luar sementara Adam terus juga menghitung waktu yang berasa seakan siput demam, menginsut lambat benar. Berkali-kali jam dinding dikira waktunya, siaran televisyen juga sudah ditukar berkali-kali, sudah seperti kanak-kanak bermain bersama alat kawalan jauh. Tidak satu pun rancangan dari peti cerdik itu yang berjaya menarik minatnya.

“Assalamualaikum.” Sebaik dia pasti Adam masih belum lena, dia memberi salam.

“Kenapa, ada masalah ke tinggal di sini?” tegas suaranya meski intonasi lembut.

Nurse call ya?”

Shaza angguk cuma. Kerusi sudah ditariknya dekat, samar seruang wad itu menerbitkan suasana suram. Jelas menempatkan pesakit yang tidak ceria kerana masalah kesihatan.

“Kenapa Encik Adam panggil saya?” begitu lancar lidah mengguna sebut nama itu sehingga Adam mengeluh perlahan.

“Abang Adam, di sini bukan pejabat.” Dia beramaran pula, tegas.

“Opss, sorry abang.” Shaza senyum sinis.

“Kenapa Sha masih belum boleh terima abang? Abang dah mintak maafkan?”

“Siapa kata Sha tak terima?”

“Tapi masih juga janggal panggil abang? Berencik-encik jugak? Abang mengaku abang silap, dulu abang sombong.” Semakin beremosi di sebalik sifat sentimental yang dipelajarinya sendiri.

“Abang bukan sombong, tapi tegas. Sha tak kisahlah.” Dipujuk pula Adam yang jelas terganggu benar emosinya.

“Terima kasih.”

“Untuk apa?” berkerut pula Shaza.

“Sedia terima abang sebagai abang dan sanggup ke sini malam-malam ni.” Dia merenung jam dinding lagi. “Pukul sepuluh tapi macam dah pukul satu pagi. Lambat benar malam berakhir.”

“Matikan jam tu, tidaklah rasa lambat sangat.”

“Oh, macam tu ya?”

“Ya, Sha pernah buat macam tu dulu. Bila terasa lambat benar siang, Sha cabut bateri jam, pusing jarum mengikut waktu yang Sha suka, matikan hand phone. Sha baca buku, sedar-sedar dah pagi.”

“Tak terfikir pulak abang tadi.” Dia lantas mencari-cari loceng yang diselit jururawat di bawah bantalnya.

“Cari apa?”

“Loceng, nak panggil nurse cabutkan bateri jam tu.”

Shaza tertawa perlahan, dia melarang Adam menyusahkan jururawat lagi. Dia mampu melakukan sendiri katanya. Sepantasnya Shaza memanjat kerusi, bateri jam dicabut, jarum jam digerakkan sendiri untuk menunjuk ke pukul tiga, selesai kerjanya disangkut semula muka jam. Senyum dia jarum jam sudah menunjuk ke dinihari.

“Tengok, dah pukul tiga pagi. Tidurlah wahai permaisuri.” Bersenda dia.

“Raja, lah.” Adam membetulkan.

Shaza tertawa perlahan. “Tuanku nak patik nyanyi ke? Dodoikan baru boleh tidur?”

Adam senyum, jarang benar dia tersenyum manis begitu. Lelaki yang disalut ego dan tegas itu sangat kedekut senyum.

“Tapi terlalu awal untuk tidur. Mana pernah abang tidur sebelum pukul dua belas malam?”

“Tapi sekarang sudah pukul tiga pagi. Sudah tiga jam melewati waktu tuanku beradu. Tidurlah.” Masih juga dia mahu bersenda.

“Sudahlah.” Adam menarik selimut menutupi hingga ke dada. Kakinya yang membengkak sudah berbalut ketat. Melalui imbasan X-ray yang dilakukan, tiada sebarang patahan mahupun retakan tulang, hanya terseliuh.

“Kita sembang-sembang dulu nak?”

“Abang nak sembang pasal apa?” Shaza sudah kembali duduk di kerusi di sisi katil Adam.

“Kisah hidup Sha sebelum ini?”

Shaza mengeluh perlahan, bersandar kemas tampak bosan, tidak berminat menyelongkar momen.

“Tak ada yang menarik.”

“Tak kan selama 25 tahun langsung tak ada?”

Shaza senyum juga, dalam hatinya yang menarik hanyalah sewaktu menjadi buah hati Zafran. Persahabatan yang ikhlas tidak dikesan sesiapa mereka sedang bercinta, hanya Enna. Dan Enna sangat jujur menyimpan rahsia. Mereka merahsiakan perasaan masing-masing.

Adam melihat manis dalam senyum Shaza, sabar menunggu namun, Shaza seakan terlupa. Hanyut sendiri bersama selakan momori rupanya.

“Ada yang menarik untuk diceritakan pada abang?” sudah tidak sabar dia.

Shaza tersentuh hati, nafas panjang dihela dalam. “Dulu Sha ada boy friend.” Tanpa sengaja dia memunggah, belum pernah cerita itu diceritakan meski kepada sesiapa. Entah kenapa malam itu dia sangat telus.

Adam teruja, bingkas duduk. Ditepuk-tepuk bantal untuk ditinggikan, dia mahu bersandar mendengar cerita menarik Shaza. Shaza membiar Adam menyelesakan dirinya sendiri, tidak mahu dibantu. Dia sendiri sedang menyelesakan hati untuk menyelak helaian silam.

“Masa belajar di England?”

Shaza geleng perlahan, senyum dia. “Masa belajar di sini. Orang Malaysia, Melayu dan Islam.”

Berkerut kening Adam, dia diberitahu, Shaza keluar negara selepas enam bulan menjalani latihan peralihan sebaik STPM diumumkan. Itu bererti dia langsung tidak berkesempatan jejak di tangga Institusi Pengajian Tinggi tempatan.

“Sekolah menengah…” hanya sesingkat itu dia menjawab, Adam semakin teruja.

“Wah, menariknya.”

“Menarik ke? Bercinta semuda 15 tahun. Bodoh kan?”

“Tak bodoh, sebenarnya pintar.”

Shaza terasa disindir, dipandangnya Adam lama.

“Hanya yang pintar sahaja mampu mengiringi cinta dan pelajaran, seiring menuju puncak. Selalunya remaja yang bercinta semuda itu, akan tercicir dalam pelajaran dan mudah rosak akalnya. Terlanjur dan musnahlah masa hadapan.”

Shaza angguk, akui pendapat Adam itu benar dan dia sendiri sering memarahi diri mengapa tanpa sedarnya akur pada perasaan, mengakui Zafran adalah kekasih. Jika waktu boleh diundur, tidak bersedia dia berjanji setia dengan Zafran. Malu juga mengenang zaman remajanya.

“Sha menyesal sangat.”

“Sebab?”

“Jatuh cinta semuda itu. Malu.” Tertawa dia perlahan. Adam sudah dianggapkan sahabat karib yang bertelinga tebal, mampu menyimpan rahsia.

“Malu ke jatuh cinta?”

Shaza angguk bersungguh-sungguh. “Malulah sebab makan pun masih bersuap, rambut masih disikatkan, dah bijak menyebut ‘I love you’. Kalau abang tak malu?”

Adam berfikir, teruk gayanya berfikir yang akhirnya tidak menemui jawapan apa pun.

“Tapi memang betul cinta membutakan. Sha pernah terfikir untuk menjadi isterinya, langsung tak memikirkan untuk berjaya dalam pelajaran. Mujur kami putus sewaktu Sha baru mendaftar ke tingkatan lima dan kerana mahu melupakannya, Sha menumpu perhatian seratus peratus pada pelajaran. Lama juga Sha dendam dia, akhirnya Sha cemerlang SPM dan terus ke tingkatan 6 kemudian menerima biasiswa untuk melanjut pelajaran.” Shaza mengakhiri kisahnya, Adam tekun mendengar.

“Sekarang di mana dia?”

“Siapa?”

“Kekasih awal?”

Shaza mengeluh, berusaha tidak terlajak perahu. Mujur dia mampu menggeleng dan Adam menerima jawapan bisu itu serta memahaminya.

“Tak berharap jumpa balik dengan K.A? Kekasih Awal?”

Shaza senyum singkatan nama kekasih awal oleh Adam. Menunduk dia mencari jawapan.

“Kadang-kadang terasa teringin kisah tu bersambung, tapi kadang-kadang rasa nak juga menukar dengan cerita lain.” Senyum dia menyudahkannya. Entah kenapa malam itu dia berasa dekat benar dengan Adam dan bersedia berkongsi sirah rahsia.

“Kalau nanti Sha terjumpa dia dan dia masih solo?”

“Bonus.” Tertawa dia menyudahkannya.

“Kalau dia dah ada pengganti?”

“Redha…”

“Tak kecewa?”

“Kami dah putus, abang. Cerita kami dah berakhir, tak ada bezanya sama ada jumpa dalam keadaan apa sekali pun.”

“Kalau dia masih tak lupakan Sha?”

Shaza menjungkit bahu, mencebir tiada jawapan. Adam mengeluh perlahan, tampak simpati pada Shaza. Shaza pula tersenyum senang.

“Tapi sebab apa Sha putus dengan dia?”

“Sebab muda sangat.” Tertawa dia.

“Tak mungkin usia menjadi punca, mesti ada sebab lain.”

“Entah, tiba-tiba dia hantar surat dekat Sha, mintak putus. Katanya Sha tidak ada apa-apa, kalau dia terus bersama Sha bererti dia tidak ada masa depan.”

“Oh, mengapa dia kata begitu? Macam jahat sangat bunyinya.”

“Sha miskin, tinggal dengan nenek, nenek pulak janda yang dibantu Baitulmal, kami tinggal menumpang di rumah ihsan tok ketua. Emak angkat Sha kerani biasa.” Tidak sedih menceritakan itu sebaliknya senyum senang.

Adam pula mengeluh, menelan rasa hiba. Anak orang kaya Rusman dibesarkan dengan wang zakat, membesar dengan kasih ibu angkat dan nenek. Direnungnya Shaza lama, perlahan pula dia memegang tangannya persis memujuk kekasih yang kecewa. Shaza senyum terus, perlahan-lahan menarik tangannya.

“Sha okay, malah berterima kasih pada pengalaman. Tanpa pengalaman semalam, tidak mungkin Sha sematang ini. Ilmu boleh diisi dengan mencari setinggi yang boleh, sejauh mungkin tetapi pengalamanlah yang mendewasakan.”

“Sha memang baik, abang menyesal memandang rendah Sha. Sebenarnya Sha lebih hebat dari abang, bukan sahaja kerana berlajar sampai ke England tetapi juga sudah penuh dengan pengalaman.”

Shaza senyum, direnungnya Adam.

“Abang pernah juga susah dulu, sewaktu dengan ayah kandung. Lelaki kaki judi, kaki joli. Mama jadi pembersih pejabat. Apabila mama kahwin dengan papa Sha, hidup kami berubah. Mama selalu ingatkan abang supaya hormati papa, sayang papa sebab papa lelaki mulia.”

Shaza mendengar pujian Adam, tersentuh hatinya, terharu dia.

“Kerana mulianya papa di mata dan hati abang, abang mahu sentiasa menjaga kebajikan papa, tidak mahu papa dipergunakan sesiapa.”

Shaza mendengar, membiar Adam terus memuntah rasa.

“Abang tak tahu kisah sebenar mengapa Sha tidak bersama papa, yang abang tahu, Sha dibawa pergi sebaik mama berkahwin dengan papa dan abang tahu papa teruk merindui anaknya. Abang pernah melihat papa menangis pegang gambar Sha, mama pujuk papa. Abang hairan mengapa selepas Sha dewasapun, Sha tidak mencari papa. Sejak itu abang nekat tidak akan membiar Sha menangguk kesenangan di atas apa yang papa kumpul.”

Termangu Shaza mendengar, terharu dia.

“Mama kata, kalau kita ikhlas sayangkan seseorang, orang itu akan kembali kepada kita satu hari nanti. Dan terbukti sekarang, Sha sudah kembali pada papa, papa pun nampak bahagia.”

Previous: BAB 19
Next: BAB 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.