“Terima kasih
tuan.”
Rusman angguk,
senyum menangkap mata Zafran. Sekali
lagi dia menoleh Shaza seraya angguk dan senyum, mengerdipkan mata. Manja
gayanya dan sayang benar pada puteri satu-satunya. Dia keluar.
“Sayang benar
Tuan Rusman pada awak. Saya
merasakannya.”
Shaza mengeluh,
tertunduk dia menyimpan rasa sebak. Air
liur likat ditelan berketul. Dia menarik
laci meja paling bawah, air mineral dalam cawan plastic bertutup kedap dikeluarkan. Dia sudah melengkapkan bilik itu dengan air
kosong bersih itu. Tidak perlu lagi membawa air kosong begitu dari pantry,
selain Adam tidak menggemarinya risiko air tertumpah sangat tipis. Dicucuk strow di tengah-tengah penutup
selepas permukaannya dilap mengguna tisu yang ditarik dari dalam kotak tisu. Dihulur kepada Zafran. Dia melakukan gerak kerja yang sama sebelum menyedut
habis. Zafran memerhati gaya bersahaja
Shaza.
‘Sama seperti
dahulu,’ bisiknya sendiri.
Zafran tahu
Shaza sedang gelisah benar. Dik lamanya
mengenali gadis itu dia dapat mengagak setiap gerinya. Meski sudah lama berpisah namun, tidak semua
masa merubah perilaku seseorang, masih banyak kesamaan. Zafran menelah dalam terang.
“Tak sangka kita
boleh berjumpa di sini, saya tak tahu Tuan Rusman papa awak.”
Shaza angguk
kosong. Baginya sama ada dunia tahu atau tidak ianya tidak akan merubah
apa-apa. Kerana dia sendiri tidak tahu
syarikat papanya yang membiayai pengajiannya di luar negara sebagai
biasiswa.
“Dan kerana
menyangka saya anak yatin piatu terbiar
yang miskin maka tidak ada yang sudi berkawan dengan saya. Bersama saya bererti
akan kekal di desa hanyir.” Shaza
menyindir dengan memetik ayat dari nota terakhir Zafran.
Zafran hanya
mendengar, tidak langsung faham dia sedang disindir gadis di hadapannya. Dia menyangka Shaza terkenang peristiwa dia
dihina Kamarul dan rakan-rakan yang menyebut dia anak yatim piatu nenek dagang
merempat menempat di tanah milik ketua kampung.
Shaza membiar
Zafran hanyut mengenang silam itu, bagaimana Zafran menghiburkannya dengan
memahat nama di batang pokok buah bidara.
Sambil memahat nama, dia berpantun.
‘Nasi lemak buah
bidara,
Sayang selasih
hamba lurutkan,
Tinggal emak
tinggal saudara,
Kerana kasih
hamba turutkan’.
“Saya berjanji,
saya akan belajar setinggi yang boleh, berkerja dengan gaji besar dan saya
pinang awak. Kita bina rumah besar di
sini, tunjuk kepada budak-budak yang mengata awak. Dan awak pun mesti berlajar bersungguh-sungguh,
kita buktikan kita mampu merubah takdir.”
Dan itu hanya
secalit momen yang wangi, tidak lama wangian itu, momen hitam kelam pula. Shaza sesungguhnya tidak sudi menyelak hitam
semalam, mahu terus berkubur.
“Awak keluar
negara dengan biaya MARA atau JPA? Saya juga mohon JPA tapi tak berjaya.”
Shaza diam,
malas bersirah, hanya bermonolog sendiri dengan diri sendiri seolah-olah
bercerita kepada Zafran dia menerima sumber kewangan dari papanya.
Ramai yang
mengucap tahniah kerana dia menerima biaya besar dari sebuah syarikat yang
sangat prihatin, mana tahu rupa-rupanya itu adalah agenda Rusman. Mungkin
kerana Rusman mahu menyaranya tetapi
dikekang Nek Piah. Nek Piah melarang
Rusman mendekati Shaza sejak dia berkahwin dengan Nadia, kerana itu Rusman
mengguna kepintarannya membiayai seluruhnya pengajian Shaza di dalam dan luar
negara. Atau mungkin juga Rusman mahu
mengikatnya, apabila sudah mengguna biaya pengajian dari Creative Advertising Shaza memang terpaksa
berkhidmat di situ melainkan membayar balik.
Shaza bersyukur Allah
mengurniakannya papa yang begitu mulia
dan diberi kemampuan belajar setinggi mungkin.
Berkali-kali sudah dia berucap syukur dan berterima kasih kepada Rusman
tetapi Rusman menganggap itu hanya tanggungjawabnya sebagai papa. Kata Rusman dia berusaha sehabis daya
memastikan Shaza selesa meski di bawah penjagaan orang lain. Merebut Shaza juga tidak, demi menghormati bekas ibu
mentua itu. Seburuk mana pun Nek Piah dia pernah menjadi ibu mentuanya, ibu
kepada isteri yang sangat dikasihi dunia akhirat. Terkesima Shaza mendengar penjelasan Rusman
di hadapan Nadia waktu hari pertama dia berpindah ke rumah Rusman. Hairan juga dia mengapa Nadia langsung tidak
cemburu, malah menyamakan kasihnya dengan anak sendiri.
“Za, kita kawan
balik?” Zafran bertindak merentap
lamunan Shaza yang melayang jauh.
Shaza menangkap
renungan Zafran dalam usaha memahami kerana dia tidak mahu bertanya apa yang
tidak difahaminya.
“Kita pernah
berkawan baik, pernah saling jatuh cinta.
Sekarang kita bertemu semula dengan
kehendak takdir, saya besedia mendengar luahan awak. Luahlah apa yang memberat di hati awak.”
“Kita kawan baik
sewaktu kanak-kanak, kita bercinta di zaman monyet belum reti panjat pokok.
Berjumpa semula selepas monyet sedang berkira-kira menjengah angkasa, tinggal
di atas awan.” Dia sendiri tidak faham
makna peribahasanya namun, dituturkan juga untuk menyatakan beza zaman.
Zafran senyum
mendengar peribahasa semberono Shaza.
Masih sama kata hatinya. Dahulu
pun Shaza akan dengan mudah membina cogan kata atau peribahasa sesuka hatinya
dan seringnya ia menjadi ikutan rakan seangkatan.
“Awak masih sama
macam dulu.”
Shaza angguk,
mengeluh perlahan.
“Dan perasaan saya
juga sama dengan dulu.”
“Perasaan yang
mana satu?”
“Perasaan saya
pada awak hanya satu itu.”
“Oh.” Rona wajah Shaza berubah kesal, dia melarikan
wajahnya ke arah tidak menentu akhirnya berpusing ke belakang, menghadap
dinding. Tidak lama membelakangkan Zafran, hanya membuat satu pusingan 360
darjah semata-mata untuk mengambil kesempatan menyeka air suam yang sudah
merenik di kolam mata. Dia tidak mahu
Zafran melihat kesedihan itu. Sewaktu
kembali berhadapan Zafran, wajah masih memerah, mata masih bersisa air. Zafran
tidak bertanya, hanya diperhatikan dengan bacaan senyap. Dia tahu Shaza sedang menangis dalam diam.
Seketika dahulu
Shaza juga begitu, apabila dia merindui papanya atau berasa kecewa Nek Piah
sering menjaja buruk Rusman di hadapan dia juga khalayak lain, dia akan
menangis begitu. Itu cara dia mengadu
dan meminta perhatian dari Zafran. Zafran akan memujuknya dengan kata-kata
peransang, berjenaka yang akhirnya Shaza tertawa dalam linangan air mata yang
masih bersisa.
“Zaf, sudah lama
masa berlalu, sudah banyak kenangan lain
datang dan pergi dalam hidup kita. Susah untuk mengumpul dan mengenang kenangan
yang mana milik bersama. Oleh itu, rasanya
baik kita menjadi orang baru, tidak ada momen silam. You ketua dan saya pembantu. Itupun setakat hari ini kerana esok saya
sudah tidak di bilik ini lagi.”
“Za, please jangan bertindak melulu.”
“Saya tidak
melulu, tempat saya bukan di sini. Awak sendiri pernah tulis dalam surat awak kan?
Saya yatim piatu, si miskin yang tidak ada apa-apa. Bersama saya bererti awak memang menempah
susah.” Shaza sudah tidak tertahan, dia
sudah berusaha mengunci kesakitan namun hati yang dikunci itu sudah dibocorkan
oleh mereka-mereka yang zalim melukannya.
Dari lubang-lubang berdarah itu, kesakitan menitis jatuh lalu lidah yang
memang tidak bertulang bergetar lembut menutur apa yang dia rasa.
“Za, apa ni?
Saya langsung tak faham.”
“Tak apa kalau
tak faham, saya tak bermaksud buat awak
faham apa-apa. Lupakan saja.”
“Shaza jangan
macam ni.” Semakin gelisah Zafran,
semakin bimbang melihat Shaza yang nekat.
“Dari dulu saya
sentiasa teguh di sisi awak, memujuk awak, membina semangat awak, tak mungkin
semudahnya awak melupakannya?”
Shaza bingkas,
katanya perbincangan mereka sudah tamat dan dia sudah letih bergurindam yang
langsung tidak berentak. Sumbang,
melelahkan.
Sebaik Shaza
melintas berhampirannya untuk ke pintu, Zafran menarik tangan Shaza.
“Za, please saya merayu awak. Usah pergi
lagi.” Terlalu kudus permintaannya. Dia sudah yakin Shaza tidak akan menerima
jawatan yang ditawarkan selepas apa yang berlaku di bilik mensyuarat antara dia
dan Adam. Sejujurnya dia sendiri tidak
bersetuju tindakan Adam mempertikai kedudukan Shaza di situ. Sama ada dia layak
atau tidak menjawat jawatan yang diamanahkan, itu hak Tuan Rusman. Shaza anak
dia, dia berhak.
Shaza merenung
tangannya yang dipegang Zafran. Dengan
tangan kanan dia melerai pegangan Zafran.
“Cukup, semuanya dah selesai.”
Perlahan dia melerai. “Dan please respect me.” Berlalu.