Home Novel Umum HOT CHOCOLATE TEA LADY
HOT CHOCOLATE TEA LADY
Ramlah Rashid
21/10/2014 18:13:32
222,156
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 28

“Sejak bila perhubungan serius awak dengan Elsa?”

Zafran buntu mahu menjawab bagaimana.

“Usah takut, saya terbuka. Saya hanya nak tolong awak dan Ell, saya nampak seperti ada sesuatu yang tidak tepat antara awak dan Ell. Macam ada yang tak kena.”

Zafran menghela nafas panjang, liar matanya mencari kekuatan dan semangat di mana-mana, jelas itu hanya ada di wajah Rusman. Maka kekal matanya di mata Rusman. Rusman menunggu, senyum di matanya benar-benar membekal semangat.

“Begini tuan, baik juga saya berterus-terang. Tetapi sebelum itu, maafkan saya.”

Rusman angguk, tekun menunggu.

“Saya tidak pernah ada apa-apa perasaan pada Ell, saya bersedia bertunang dengannya kerana nak tolong selamatkan maruah keluarga tuan.” Zafran sudah menyebut tajuk, maka segala isi yang tersembunyi di dalam kitab hatinya dibentang.

Rusman angguk-angguk dan geleng kesal. Katanya dia membantu kewangan Zafran untuk perubatan ibunya adalah kerana kemanusiaan, tidak langsung mengharap balasan. Dan kerana Zafran seorang pekerja yang komited dengan tugas dan membawa banyak keuntungan dalam syarikat, Rusman tidak berasa rugi membantu. Dia ikhlas.

“Jadi macam mana? Awak nak teruskan pertunangan awak dengan Ell atau bersetuju kahwin dalam dua bulan terdekat atau nak putuskan pertunangan awak?”

Zafran terkulat-kulat, mana satu jawapan yang boleh diangguknya. Dia mahu menyebut putuskan pertunangan mereka tetapi berasa tidak sampai hati. Tidak mahu mengecewakan Nadia dan menimbulkan kemarahan Adam.

“Berhenti berfikir fasal orang lain apabila ianya melibat perasaan. Ingat, kesilapan awak memilih persimpanan akan merosakkan seluruh perjalanan bukan sahaja awak sendiri tetapi juga orang lain sama.”

“Maksud tuan?”

“Ell, awak, keluarga dan buah hati awak.”

Ternganga mata Zafran, tidak disangkanya Rusman menuduh dia punya buah hati, kembali berdebar dia. Tangan yang kian mendingin diselit di bawah paha, sudah tidak mampu lagi dia meriba sepuluh jari, rasa dingin benar, kecut tidak berdarah.

Rusman pula senyum, jarang benar Zafran melihat senyum begitu dari Rusman, tetapi petang itu dia seakan berlainan benar.

“Jadi?” Rusman masih menunggu jawapan dia rupa-rupanya. Zafran menyangka Rusman tidak mendesak dia menjawab waktu itu.

“Jadi apa tuan?”

“Apa keputusan awak tentang masa depan dengan Ell.”

Zafran menghela nafas panjang, deras tidak tersangkut lagi. Dia menyelesakan diri, menarik kerusi rapat ke meja Rusman, lengan dilengkar di atas meja. Dia seakan bersedia sepenuhnya dan Rusman menunggu juga bersungguh-sungguh.

“Saya tak cintakan Ell, tuan. Dulu sewaktu saya diminta bertunang dengan Ell, saya berharap supaya akan ada cinta datang kemudian. Tapi…”

“Tapi dicantas?”

“Tak, bukan.” Pantas dia menangkis telahan Rusman.

“Emm, saya tak mampu tuan.” tergagap-gagap dia. “Saya dah mencuba tapi saya langsung tak berjaya.”

“Bukan kerana awak sudah bertemu seseorang yang lain?”

“Bukan.” Berkali-kali dia menggeleng. Nafas panjang dihela lagi, dia berusaha supaya tidak berhohong.

“Selepas gagal cinta pertama saya, saya sudah tidak berminat untuk bercinta lagi. Bukan saya tak cuba, saya berusaha sehabis daya tapi saya tak boleh.” Lambat-lambat dia mengatur ayat patah demi patah.

Rusman angguk juga satu demi satu.

“Belum bertemu pengganti sampai sekarang?”

Zafran geleng juga perlahan, satu demi satu.

“Kenapa?”

“Saya masih ingat dia.”

Rusman bernafas dalam, direnung Zafran lama, jauh ke dalam. Zafran membiar, senafas demi senafas sudah semakin tenang dia. Tunduk berhadapan Rusman, dia berasa semakin dekat dengan pengarah urusan itu, Rusman seakan semakin memahaminya. Dia nyaman sekali.

“Bukan saya tidak berdoa supaya saya melupakannya, tetapi mungkin Allah belum makbulkan atau mungkin hati saya tidak ikhlas berdoa.”

“Baik, dengar sini.” Rusman seakan mahu beramanat.

Zafran menumpu.

“Saya di sini bukan setakat majikan awak, tetapi boleh juga dianggap sebagai kawan, abang, bapa atau pakar motivasi jika awak memerlukan mana-mana satu di antara mereka untuk awak berkongsi masalah. Saya harap awak tidak menyalah gunakan kepercayaan dan keistimewaan awak sebagai staff yang saya beri sepenuhnya kepercayaan.”

“Baik tuan, saya faham. Dan saya akan berjumpa tuan nanti bila-bila saya perlukan telinga untuk mendengar. Terima kasih kerana mempercayai saya, saya hargai tuan.”

Rusman angguk, faham dan yakin Zafran faham. Dia memberi isyarat menamatkan perbincangan petang itu, jam tangan dibacanya dalam senyap. Zafran bangun.

“Tapi tuan, saya mohon tuan faham. Saya bukan menolak Ell kerana siapa Ell tetapi dia tak pernah masuk ke dalam hati saya.”

“Sebab cinta pertama awak, right?”

“Mungkin.”

Rusman angguk bersungguh-sungguh, faham benar dia.

“Pergi cari di mana adanya apa yang awak tercari-cari itu.”

Zafran mendapat semangat baharu, yakin dia pelangi selepas hujan. Pintu biliknya diketuk dua kali sebelum ditolak perlahan. Terjengul kepala Shaza di celah pintu yang tersendeng.

“Papa. Kata nak keluar minum?” Shaza tidak melihat Zafran berdiri di hadapan meja Rusman.

“Ha, ya. Tepat Sha sampai. Papa pun dah selesai dengan Zafran.”

“Zafran?” Shaza melangkah masuk, berasa segan benar bertentangan Zafran di hadapan Rusman.

“Kenapa? Macam nampak hantu?” Rusman senyum. Dia sudah bangun.

“Bukan, tak sangka papa ada meeting dengan Encik Zafran. Sorry pa.”

“Tak apa, bukan meeting formal. Zafran ada masalah, kami berbincang mencari solutionnya.”

“Oh, so dah selesai?” tidak berani dia merenung Zafran, hanya kepada Rusman diletak matanya.

“Belum.”

“Oh, okay.” Shaza membantu mengangkap beg Rusman, mahu dibawa keluar.

“Zafran, Sha kadang-kadang ada fikiran yang bernas, kalau ada masa cuba berbincang dengan dia masalah awak. Mana tahu Sha boleh tolong?”

“Masalah?” Zafran terpinga-pinga, semakin tidak faham apa yang cuba disampaikan Rusman. Dia tidak ada masalah dan perbincangan mereka selama di bilik itu bukan berkenaan masalahnya tetapi berkenaan pertunangannya dengan Elsa. Itu juga sudah selesai.

Shaza pula tertawa perlahan, lucu mendengar Rusman mengangkat dia sebagai pakar motivasi.

“Kita pergi minum dulu Zafran.”

“Eh, tak apalah tuan.”

“Jom lah. Awal lagi ni.” Rusman merenung jam tangan lagi. “Belum pukul 6 lagi. Awak selalu sampai rumah tepat masa ke?”

“Tak jugak.”

“Tak kisah kalau terlewat sikit?”

“Tak akan ada yang kisah.”

“Orang tua awak?”

“Ayah dah pencen, jadi dia orang dah pindah ke kampung.”

“Oh, jadi awak tinggal seorang aja?”

Zafran angguk, masih malu-malu mahu minum bersama bos besar dan anaknya. Dia ternampak jam tangan Shaza. Puas hatinya melihat gadis itu gembira dengan jam tangan baharu.

“Jom lah, makan-makan dulu, dah kenyang baru balik.”

“Sayang, dah puas tidur?” Rusman memeluk bahu Shaza sambil meninggalkan bilik pejabat. Zafran berjalan di belakang mereka.

“Dah, Sha tadi keluar jumpa kawan dekat-dekat sini masa papa mesej. Sebab itu cepat aja sampai.”

“Oh, siapa?”

“Kawan lama.”

Angguk-angguk Rusman, sesekali dia menoleh Zafran di belakangnya memastikan Zafran selesa menjadi orang ke tiga di antara mereka.

“Zafran, you okay?”

“Okay tuan.”

“Kita pergi minum dulu ya? Saya belanja awak makan pai yang sangat sedap. Saya suka makan pai tu.”

“Kat mana papa?”

“Nanti kita pergi, Sha cuba nanti.” Rusman sudah mengarahkan Pak Abu memandu ke tempat diarahkan.

“Kereta parker kat mana?”

“Sha naik teksi, takut jam. Lagipun saja nak balik naik kereta papa.”

Rusman senyum, tepuk-tepuk bahu Shaza.

Zafran masuk ke tempat duduk hadapan, Rusman dan Shaza di belakang. Pak Abu akur arahan tanpa bertanya apa-apa.

“Ibu Sha pun suka makan pai tu. Selama mengandungkan Sha, ibu mesti pesan dekat papa. Kalau papa tak beli, ibu merajuk.” Gembira benar dia bercerita saat bahagianya melayan isteri yang hamil.

“Manjanya ibu?”

Rusman angguk bersungguh-sungguh. “Manja macam Sha.”

“Tapi Sha tak pernah merajuk.”

“Iya ke?” Rusman memegang tangan Shaza, diletak di atas ribanya, mereka berpegangan mesra. “Boleh percaya ke Zafran?” Rusman memandang Zafran di hadapan.

Zafran hanya senyum, menoleh Rusman dan Shaza di belakang. Kekuk benar dia menjadi penyemak kemesraan Rusman dan Shaza. Shaza tertawa perlahan.

Previous: BAB 27
Next: BAB 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.