Home Novel Umum HOT CHOCOLATE TEA LADY
HOT CHOCOLATE TEA LADY
Ramlah Rashid
21/10/2014 18:13:32
222,723
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 27

Zafran senyum menoleh Shaza yang terlentuk tidur, sampai di persimpangan masuk ke kawasan rehat dan rawat, Zafran melencung berhati-hati. Perlahan-lahan kereta diberhentikan di tepi jalan, tidak mahu Shaza terjaga. Dia mahu Shaza lena sampai tiba di rumah, biar dia puas. Perlahan-lahan juga dia keluar, membuka beg di belakang kereta, mengambil sesuatu dari dalam begnya lalu dimuatkan ke dalam beg tangan Shaza di tempat duduk belakang. Senyum dia angguk sendiri. Sebiji bantal kecil dibawa keluar, dia beralih ke pintu penumpang, dibukanya berhati-hati. Penyandar kerusi Shaza ditumbangkan seselesanya, diletak bantal kecil di bawah leher. Diselimutkan. Semakin larut malam, penghawa dingin kereta semakin sejuk, dia bimbang Shaza kedinginan. Selesai kerja ringannya dia senyum, berpuas hati lalu meneruskan perjalanan.

Dari sebuah lagu ke sebuah lagu mersik perlahan membuai rasa, beralih kepada bacaan al-quran dan zikir munajat penyejuk jiwa berputar mengikut aturan biasa, kereta dipandu Zafran sudah menghampiri kawasan perumahan Rusman. Shaza dikejutkan, perlahan.

Shaza terpinga-pinga, rasa puas benar tidur selesa umpama tidur di katil sendiri.

“Dah sampai ke?”

“Kejap lagi, sepuluh minit lagi. Bangun loding dulu, nanti pening.” Seperti dia di zaman kanak-kanak dibangunkan neneknya untuk ke sekolah gayanya.

Shaza tegakkan penyandar, kuak selimut, alihkan bantal dari bawah lehernya.

“Eh, lama benar ke saya tidur? Sorry tak temankan awak drive.”

Zafran senyum. “Tak apa, dah sampaipun.”

“Siap berbantal, berselimut? Siapa buat semua ni?”

“Entah. Hantu kut.” Zafran bersahaja sambil menghulur botol air minum yang diambil dari celah gear kereta.

Shaza menyambut baik. “Awak jangan main-main.”

“Tak tahu. Saya kan focus, awak yang suruh saya berhati-hati memandu. Saya tak menoleh awak pun.”

“Jahat, ya?” Shaza membentak, marah dipermain kan Zafran.

“Tolong selimutkan pun jahat ke? Tengok awak tu letih sangat selepas shopping macam orang hilang akal. Semua dah beli, kan?”

Shaza tertawa perlahan, sedikit demi sedikit air diminumnya.

“Malu saya.”

“Kenapa?”

“Orang selimutkan.”

“Tak ada apalah. Anggap saya macam papa awak.”

“Papa?” Shaza tertawa perlahan, berkerut pandang Zafran lama.

“Masa saya jaga awak, awak anggap saya macam bapak. Faham?” Zafran marah ditertawakan ayatnya.

Shaza terus tertawa membuat Zafran tersenyum sendiri. Shaza mengeluh pula.

“Hem, terus tak beli jam tu kan? Awaklah. Nak survey, nak survey. Tengok, langsung tak beli.”

“Awak kan dah ada jam?”

“Tapi saya nak jam yang itu. Faham?”

“Jangan membazir boleh tak?”

Shaza mengerling Zafran, kucam dia marah keinginannya tidak tercapai.

“Marah?”

Shaza terus kucam, tunjuk rupa merajuk. Zafran tertawa terus, semakin meledak. Shaza berdengus, merenung Zafran. Zafran tunjuk jam di tangannya, sama benar dengan jam yang dibelek Shaza di kedai jam bebas cukai Pulau Langkawi tetapi untuk lelaki.

“La, awak beli? Saya awak larang!”

“Saya tak ada jam. Kan jam saya hilang di bilik solat semalam? Jadi, kenalah beli baru. Awak kan ada jam? Jam awak pakai tu pun mahal juga.”

“Dah hilang baru boleh beli jam idaman saya tu?” dia masih bengang, marah tindakan Zafran menentang kemahuannya.

“Bertahun-tahun tahu, saya idamkan jam tu. Dulu masa di England kawan-kawan shopping jam, saya mana ada duit.”

“Oh, sekarang dah ada duit, nak beli jugak jam macam tu walaupun ada jam?”

“Kalau saya mati, celik mata saya tahu?”

Zafran tertawa lagi, semakin kuat. Shaza hairan Zafran semakin tidak sensitive walaupun dia menyebut soal terkilan dan mati. Berbeza benar dari selalunya, Zafran akan berusaha memenuhi impian dan kehendaknya. Shaza dipaut hiba, sedih benar. Dikerling juga jam tangan milik Zafran.

Mereka sampai di persimpanan naik ke perbukitan menghala ke kawasan perumahan orang tua Shaza. Berhati-hati Zafran membelok, menukar kepada lampu tinggi kerana jalan di situ sedikit gelap.

“Dah, dah. Jangan sedih lagi. Balik ni, mandi air panas, tidur. Sebelum tidur berdoa dulu semoga satu hari awak dapat jam impian tu.

Shaza tidak mempeduli, kucam merenung ke hadapan kereta. Kerata Zafran selamat berhenti di hadapan pintu pagar rumah. Zafran membantu mengangkat beg-beg Shaza masuk ke rumah, hanya tepi pintu, dia kembali ke kereta. Ditunggu pula sehingga pintu pagar automatic berkunci sempurna, dia berasa lega meneruskan perjalanan pulang ke rumah. Tidak kering-kering senyumnya mengingat gelagat Shaza yang terkilan tidak sempat membeli jam idaman.

Asalnya Shaza sudah menerpa ke meja memperaga jam tangan mewah itu, sudah dibeleknya sepasang jam berjenama yang konon sangat diimpikan, dicuba pakai dan diambil gambar mengguna telefon tetapi Zafran memberi alasan mereka akan ke situ semula nanti selepas menghabiskan satu pusingan meronda setiap kedai. Nanti mereka mungkin akan temui jam yang serupa dengan harga yang lebih murah. Tetapi sewaktu Shaza asyik membeli banyak cenderaha hati, Zafran menyelinap ke kedai jam itu semula dan membeli sepasang jam impian Shaza lalu disembunyikan. Selepas membeli banyak barang, Zafran membawanya kelaluan lain, berpura-pura tergesa-gesa konon mengejar feri akhir untuk ke jeti Kuala Kedah. Shaza tidak begitu terkilan awalnya kerana mungkin terlupa kerana terlalu letih dan mengantuk.

BIBIK sudah tergesa-gesa bangun, membantu Shaza mengangkat beg naik ke bilik dan membawa sedikit makanan masuk ke dapur. Dia turut dibelikan Shaza dua pasang baju tidur, tidak ketahuan gembiranya dia. Bertalu-talu terima kasihnya, menitis air mata gembira terharu diingati anak tuan rumah. Shaza hanya senyum, turut riang melihat kegembiraan pembantu rumah itu.

Shaza selesai mandi, bersiap untuk menyambung tidur tetapi mata sudah hilang kantuknya. Segar. Dia membelek-belek telefon, terdapat dua panggilan terlewat tidak disedarinya. Mungkin sewaktu dia tidur sepanjang perjalanan, Zafran tidak mengejutkannya. Dicari panggilan yang terlepas itu, ‘Enna’.

‘Enna? Apa hal call aku?’ Shaza berfikir sendiri. Sejak makan malam bersama Kamarul dan Zafran tempoh hari, baru malam itu dia dihubungi.

Shaza terkenang perubahan Enna yang sudah tidak seramah dahulu, tidak langsung riang bertemu setelah lama berpisah dan seakan ada yang tersembunyi antara dia dengan Zafran. Shaza berungut begitu kepada Zafran tetapi Zafran kata usah peduli.

Shaza hairan terus dan kemushkilannya semakin berakar apabila menerima dua panggilan dari Enna. “Sayang tak sempat jawab, nak call semula?” Shaza melihat waktu di telefonnya.

‘Siang nantilah. Tak kan nak ganggu dia pukul empat pagi ni.’ Berkira-kira dia sendiri, telefon diletak di sisi bantal, bersiap untuk tidur apabila pesanan dari Zafran masuk di kotak chathing.

Malas-malas Shaza membuka, masih berasa marah pada Zafran.

‘Dah tidur ke? Saya tertinggal barang kat dalam beg awak. Tengok jap, ada tak kat situ.’

Shaza berdengus, malas benar hendak membuka almari mengambil beg tangan dan adalah mustahil barang Zafran boleh tertinggal dalam begnya. Dia meletak semula telefon di tempatnya, malas.

Zafran menelefon pula. Shaza terpaksa menjawab juga kerana tidak sempat mematikan nada dering, dia bimbang deringan telefonnya terdengar ke luar bilik. Lalu dia menjawab perlahan.

“Ada tak barang saya? Hilanglah.”

“Barang apa? Tak kan barang awak dalam beg saya?”

“Garangnya. Tengoklah sekejap.”

“Ngantuklah…”

“Tolonglah. Kang kalau saya mati malam ni, celik mata saya.” Dia mengulang ayat Shaza.

Shaza mahu mentertawakan tetapi berpura-pura masih marah. Berdengus dia seraya bangun.

“Jap, orang bukak almari.”

Zafran senyap, menunggu pastinya. Beg tangan diambilnya dibawa ke katil. Mahu dibuka di atas katil sahaja untuk mencari barang Zafran.

“Barang apa?”

“Ada lah, dalam kotak warna merah. Cuba tengok.”

Kotak merah? Kotak apa warna merah? Shaza hairan namun menggeledah juga. Beg tangannya tidaklah sebegitu besar dan ruang di dalam tidak begitu luas, mustahil tidak menemui kotak yang dimaksudkan Zafran. Dia membuka poket berzip yang menjadi pembahagi beg, kotak berbentuk empat segi panjang leper dikeluarkan sambil berfikir bagaimana barang Zafran boleh tercicir ke situ. Puas dia mengingat-ingat bilakah Zafran menumpang barangnya di situ. Telefon masih didakap di telinga kiri, tangan kanan berusaha membuka kotak.

“Lamanya, ada ke tak?”

“Kalau jumpa, saya boleh bukak tak?”

“Boleh, tapi berhati-hati sikit.”

“Kenapa? Apa barang dalam tu?”

“Bom jangka.”

Shaza sudah senyum, dia sudah dapat mengagak Zafran pasti ada muslihat. Sejak dahulu dia sering melakukan kejutan.

“Tak jumpa lagi, nanti ya.” Shaza tidak tertahan lagi langsung tertawa apabila melihat jam impiannya diselit kemas di dalam kotak itu. Benar, itulah jam yang sudah dicubanya di kedai jam.

“Ada kan?” Zafran sudah tertawa.

“Awak jahat!”

“La, tak bagi beli jahat, belikan pun jahat jugak?”

“Main-main ya?”

“Okay, dengar sini baik-baik.” Zafran sudah serius, dia menghela nafas panjang seakan mahu melunas sebuah janji yang berat.

Shaza menunggu, terus juga membelek jam di tangan kanan.

“Za, I love you. Sangat-sangat. Saya tak mampu menghadiahkan awak barang termahal, tetapi jam impian awak itu didatangkan sepasang. Saya pakai satu, awak pakai satu. Saya beli khas untuk kita.”

Menitis air mata Shaza, diseka berkali-kali. Berusaha dia supaya Zafran tidak mengesan tangisnya. Membiar Zafran berayat panjang, dia hanya diam.

“Walaupun beza kita sudah seperti langit dan bumi dan awak mampu beli apa sahaja yang awak inginkan tapi saya tetap cintakan awak dulu kini dan semoga selamanya.”

Shaza diam juga, terus juga menahan tangisan sendiri. Tidak mahu Zafran mengetahui dia sedang menangis.

“Sama ada awak dengar atau tidak, inilah kali terakhir saya meluahkannya. Selepas malam ini saya akan lebih pasrah, bersedia menerima apa sahaja ketentuan takdir. Jika nanti awak bersedia menerima saya, just beri isyarat yang memungkinkan saya faham awak juga cintakan saya. Kita bawa lari hati kita mengikut adat agama dan budaya.” Panjang ayat Zafran, Shaza hanya mendengar.

“Za, assalamualaikum my princess, good night and sweet dreams. I love you so much and forever.”

“Waalaikumsalam.” Walau disembunyi tangisnya namun kedengaran dalam suara menjawab salam.

Sebaik salamnya dijawab, telefon sudah berdesing bererti Zafran sudah menamatkan panggilan. Shaza tersedan sendirian, sudah gagal mengempang kesedihan, terharu dan hiba.

‘Ya Allah kuatkan hati aku, aku sudah berjanji tidak akan ada air mata kerana kekasih atau cinta lelaki tetapi hari ini aku tewas. Apakah ini kerana hasutan syaitan, atau memang kerana sifatnya hati perempuan itu engkau jadikan lemah.’

Previous: BAB 26
Next: BAB 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.