Home Novel Umum HOT CHOCOLATE TEA LADY
HOT CHOCOLATE TEA LADY
Ramlah Rashid
21/10/2014 18:13:32
220,158
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 26

Telefon dicari-carinya, ditekan. Hah, bateri tidak bercas. Zafran mengeluh dan berdengus marah sendiri. Telefon hotel pula digunanya untuk menghubungi Shaza. Lama tidak berjawab, dia resah sendiri. ‘Oh, mungkin tidur lagi.’ Bersegera ke bilik mandi, membersih diri sekadar segar.

‘Hah, masih sempat untuk solat Subuh.’ Bisiknya sendiri, hanya ada kurang lebih lima belas minit untuk berakhir waktu solat wajib. Tergesa-gesa dia. Selesai solat, sekali lagi dia menghubungi Shaza, juga tidak berjawab. Kian gelisah. Dia menjenguk ke balkoni, mahu melihat luar bilik Shaza. Lengang pintu balkoni juga bertutup rapat. Keluar pula dia, menekan loceng pintu dan memanggil. Senyap.

‘Ya Allah apa berlaku?’ dia meminta bantuan pengawal hotel membuka pintu bilik Shaza. Dia sudah nekat.

“Saya call dia tak jawab, balkoni pun lengang. Pintu bertutup rapat, macam tak bukak sejak semalam.” Adunya kepada pengawal hotel.

Pengawal hotel menekan loceng lagi dan lagi, diketuk juga berkali-kali seraya menyebut mereka dari pengawal hotel, meminta Shaza membuka pintu.

“Macam tak ada orang.” Seorang dari dua lelaki itu berbincang sesama sendiri.

Last respond bila encik?”

“Malam tadi kami berpisah di sini. Dia masuk bilik dan saya masuk bilik saya.”

“Pukul berapa?”

“Sebelas malam sebaik check-in.”

Seorang dari pengawal menghubungi reception, minta petugas di situ melakukan inventory kunci kalau-kalau Shaza menyerah kunci bilik. Itu memungkinkan dia sudah keluar. Maklum balas diterima penghuni bilik bernombor yang dinyatakan tidak menyerah kunci untuk disimpan.

“Encik sudah hubungi hand phone dia?”

Zafran berlari ke biliknya semula, mengambil telefon yang sedang dicas. Dia berlari semula keluar sambil menghubungi Shaza. Tiada jawapan, nada panggil tidak dijawab, putus. Zafran menekan lagi nombor sama. Seorang pengawal menyendeng telinga, mengintip sebarang bunyi.

“Sah, hand phone di dalam, tak berjawab.”

“Ertinya?” Zafran sudah buntu akal. Debaran semakin menyakitkan. Tanggung jawab menjaga Shaza dan bimbang kehilangan insan tersayang.

“Ya Allah Za, tolonglah jangan buat macam ni.” Zafran semakin gelisah, marah dan takut semua beraduk menyakitkan.

“Sabar encik, kami akan minta encik sign surat kebenaran bilik ini dibuka.”

“Saya sign.”

Seorang dari mereka menghubungi lagi bilik kawalan, meminta kunci keselamtan dibawa ke situ. Sudah semakin ramai penghuni sebelah menyebelah datang bertanya masalah yang menyebabkan Zafran dan pengawal hotel berhimpun di situ. Maka pelbagai andaian dikarang antara mereka dan kisah dari pelbagai cerita dongeng, pengalaman dan filem yang mereka tonton dibualkan semuanya berkisar berkenaan kisah misteri bilik hotel. Dalam keserabutan cemas, Zafran menangkap setengah dari buah butir cerita. Menambahkan lagi ketakutan dan kebimbangan. Dia semakin tidak sabar.

“Assalamualaikum, kenapa ramai-ramai ni?”

Semua menoleh arah Shaza.

“Akh! Za, awak ke mana?” Zafran menarik Shaza. Muka yang lesi merah sudah namun wajah bimbang dalam ketakutan masih terlukis jelas.

Breakfast, kenapa?”

“Ini yang kita cari ni?” pengawal menunjuk Shaza.

“Saya bersiar-siar tengok view sekeliling hotel, cantik sangat. Lepas tu breakfast. Kenapa encik?” dia bertanya pengawal hotel yang lengkap berunifom itu selepas Zafran tidak menjawab soalan pertamanya.

Pengawal hanya menggeleng, senyum tampak lega dan mahu mentertawakan Zafran. Tidak seorangpun memberi penjelasan, mereka membiar Zafran menjelaskannya sendiri.

Zafran tidak terkata, menunduk menyeru semangat sendiri. Dalam hati hanya berucap syukur, butir rungut dan keluhan orang sekeliling mereka tidak lagi dihiraunya. Air mata bergenang panas, menggeleng kesal sungguh. Seorang demi seorang meninggalkannya, meneruskan urusan masing-masing. Ada yang tersenyum menyindir, tidak kurang tertawa perlahan. Pengawai hotel juga sudah pergi selepas memohon maaf kepada penghuni bilik lain yang turut cemas dan terganggu.

“Zaf, hei. Kenapa? Saya lapar, call hand phone awak tutup, call bilik tak jawab. Jadi, saya pergi sendiri.”

Please jangan buat lagi macam ni Za, tolong.”

“Zaf, sorry buat awak risau.” Berbisik dia perlahan. Simpati benar dia melihat Zafran yang seperti zombie kekeringan darah.

“Saya risau apa-apa berlaku pada awak, apa saya nak jawab pada Tuan Rusman.”

Shaza angguk berkali-kali. “Okay, saya janji saya tak buat lagi. Saya akan tahan lapar saya sehingga awak sendiri bawa saya pergi makan. Okay?” Lagi dibujuknya Zafran.

Zafran menghela nafas dalam, panjang.

“Sudahlah, saya dah balik ni kan? Saya hidup lagi, tak jadi mati.”

“Shaza!” marah benar dia gurauan Shaza. Ditarik semula tangan Shaza merapat padanya.

Shaza tersentak, ditangkap renungan tajam Zafran. Perlahan-lahan dia melerai pegangan Zafran, mengundur dua tapak ke belakang.

“Jangan cakap bukan-bukan boleh tak?”

Sorry.” Shaza sedikit menjauh dari Zafran. Dia semakin bimbang keadaan Zafran, Zafran sudah berubah. Sudah menjadi penakut, lembik dan fobia.

“Saya tak nak kehilangan awak lagi. Jangan tinggalkan saya, please janji dengan saya.”

“Zafran, kita ke sini nak buat kerja kan? Saya pembantu awak.” Bahu Zafran digoncang-goncangnya untuk menyedarkan mereka ke situ bukan berbulan madu atau menyemai kasih tetapi berkerja.

“Kita simpan perasaan kita, focus pada kerja. Boleh Encik Zafran?”

Zafran angguk perlahan, muka digosok-gosok keras, rambut dikuak ke belakang. Gayanya mahu membuang gelisah.

“Pergi bersiap, kita turun sarapan. Pukul sepuluh dah kena ada di sana.” Dia memaksudkan perlu sampai di pejabat pembentangan kertas kerja mesti tepat waktu.

LEGA. Untuk pusingan pertama mereka sudah boleh berlapang dada, masih ada sehari lagi Zafran perlu membuat pembentangan proposal di hadapan bos besar yang beribu pejabat di luar negara. Kerana produk yang akan diiklankan adalah milik antarabangsa, mereka perlu lebih berhati-hati memilih rakan untuk berkerjasama. Kepada Rusman sudah dimaklumkan kejayaan di pusingan pertama dan berjanji akan berusaha sebaik mungkin sewaktu finalsdan Rusman memberi semangat dan sokongan. Katanya, jika berjaya bersyukur mereka kepada Allah, jika Zafran dan Shaza gagal, anggap saja itu sebagai pengalaman yang berharga.

“Jaga Shaza macam nyawa awak. Ingat, dia anak saya. Hanya awak saya percaya untuk menjaga dia bermalam di luar.”

Satu pesanan berbunyi ugutan masuk ke kekotak ingatan Zafran. Dia tidak takut pada ugutan itu sebaliknya bangga diberi kepercayaan sebesar itu. Angguk dia berkali-kali, menyimpan penghormatan Rusman itu jauh ke dalam hati.

Malam itu Zafran mengatur makan malam istimewa bertujuan memohon maaf kerana membiar Shaza berlapar di malam sebelumnya.

Tidak dinner di restoran ternama, candle light dinner juga tiada sebaliknya Shaza di bawa ke bagan ikan bakar tersohor di Pekan Kuah. Dia tahu, Shaza tidak pernah ke Pulau Lagenda itu meski pun sekali. Keluar sahaja dari kampung, terus dia terbang ke negara orang sementara dalam negara sendiri dikenalinya melalui sejarah dan peta Malaysia.

“Terima kasih awak. Saya tak pernah tengok Langkawi live, selalu dalam gambar aja, search di ‘google’ tengok view Pekan Kuah, Dataran Helang. Selalu saya berangan-angan melancong ke sini, akhirnya kerana Luqman, saya dapat rezeki. Alhamdulillah.”

Zafran senyum, berpuas hati membuat Shaza gembira.

“Esok sebelum balik, sempat tak kalau kita pergi ke pusat bebas cukai sekejap? Tempat pelancong shopping?”

“Nak beli apa? 5 tahun kat England, tak puas shopping lagi?” Zafran senyum, mengusik.

“Nak tengok-tengok. Dulu orang-orang selalu buat rombongan ke sini semata-mata nak shopping, kan? Saya teringin jugak nak pergi tapi tak berpeluang.” Ada hiba ayatnya tetapi tidak langsung terpanggil untuk bersedih. Sebaliknya Zafran berasa simpati.

Direnung lama keterujaan Shaza, tampak gembira dalam kebanggaan melihat kemajuan negara sendiri.

“Saya teringin juga nak ke Camaron Higland, nak tengok ladang teh. Boleh awak bawak saya?

“Insyaallah, saya akan bawak awak keliling Semenanjung, kemudian terus ke Sabah Sarawak. Doakan kita ada jodoh.”

“Apa pulak kaitannya jodoh dengan melancong?”

“Semuanya tergantung jodoh. Macam sekarang, kerana jodoh kita, Luqman tiba-tiba ada emergency dan papa awak pulak sporting benarkan saya bawak awak.”

“Oh, itu jodoh namanya?” tidak sudah-sudah Shaza mengusik Zafran sejak peristiwa pintu bilik hotelnya hampir dipecahkan.

Zafran angguk bersungguh-sungguh, seekor demi seekor udang bakar dikopek kulitnya, diletak ke pinggan Shaza. Malam itu dia mahu menjadi penjaga, memberi kegembiran kepada Shaza.

“Kalau itulah, tak payahlah berdoa kita ada jodoh.” Hampir tertawa dia namun ditahan.

Zafran merenung keras.

“Kalau setakat nak melancong pusing Malaysia, saya boleh buat sendiri.”

Zafran tersinggung. “Ya, saya terlupa Shaza sekarang bukan Za saya yang dulu. Sekarang dunia di dalam genggamannya. Kereta aja ratus ribu, kan? Berhenti di lampu merah, semua lelaki tertoleh-toleh. Kad kredit tak pernah luak. Shopping tambah, shopping tambah. Apa nak kisah? Anak jutawan.”

Shaza tertawa perlahan, dicucuk tangan Zafran mengguna garfu. Zafran terjerit sakit.

“Jahatnya. Dalam baik, awak menyindir.”

“Memang betul kan? Saya memang dah tak diperlukan lagi. Awak boleh saja pergi sendiri.”

“Kenapa sensitive sangat ni? Saya tak bermaksud macam tu.” Merendah intonasinya sehingga bernada sayu memujuk. Terjerat sentimental dia.

Zafran sudah senyap, tunduk melunaskan kerja membuang kulit udang dan mengeluar isi ketam untuk disusun ke dalam pinggan Shaza. Shaza memerhati kerja telitinya, mengintip rajuk lelaki itu.

“Saya tak nak berdoa ditemu jodoh dengan awak semata-mata nak dibawa keliling Malaysia, tapi saya nak awak pimpin saya ke Jannah.” Entah dari mana ditemuinya ayat itu lalu dicopy dan dipaste ke laman hati Zafran. Berani benar dia.

Zafran merenung Shaza lama, Shaza berani menentang. Lama mereka berbicara bisu akhirnya Zafran tewas. Mengeluh dia perlahan.

“Za, kahwin dengan saya? Saya nak mintak awak jaga saya, saya tak mampu berdikari tanpa awak.”

Shaza pula mengeluh, tidak menolak cinta Zafran. Tetapi tidak menemui jalan pintas untuk mereka mencipta rentak sendiri sedangkan rentak tari Zafran sudah diatur keluarga ibu tirinya. Dia sama sekali tidak mahu merosakkan perhubungan baik dengan Nadia, Rusman juga sudah berharap Zafran menjaga Elsa.

“Kita tidak mampu merubah takdir, awak dah ditakdir akan menjadi adik tiri saya. Kita radha okay?”

“Za, kita lari?”

Shaza tertawa perlahan, dalam tawa ada air mata. Dia menyeka air mata perlahan, berpura-pura menggosok hidung.

“Nak lari ke mana? Ke planet?”

Giliran Zafran pula mengeluh.

“Dua puluh lima tahun awak mampu hidup sendiri.”

“Saya tak hidup sendiri, saya berkeluarga juga dua puluh lima tahun. Saya tidak mencemar maruah diri dan keluarga. Papa bangga dapat balik saya sebab saya sentiasa menjaga nama baiknya.”

Zafran angguk perlahan, akur dia. Benar Shaza sentiasa menjaga santun diri, nama Rusman kekal terpelihara meski dia terpaksa hidup dalam cacian, anak yatim piatu yang miskin.

“Tapi tolonglah. Sejak dulu saya tak cintakan Ell, saya cuma nak bantu Auntie Nadia jaga Ell disebabkan saya sudah terhutang budi pada Tuan Rusman. Kalau bukan sebab bantuan papa awak, emak saya dah tak ada.”

“Zaf, ajal maut dan jodoh pertemuan di tangan Allah. Jangan jadi munafik hanya kerana kesilapan bibir kita.”

Zafran angguk lagi. “Saya tak memikirkan akibat dari persetujuan saya. Waktu itu Auntie Nadia sangat tertekan, papa awak tak boleh tahu Ell hamil. Jadi saya bersedia menjadi suami sementara. Mana tahu kandungannya gugur beberapa minggu selepas saya bersetuju.”

“Sepatutnya awak bersyukur kalau tidak, sekarang ini awak dah pun jadi adik ipar saya.”

“Tapi tentu saya dah pun duda. Auntie benarkan kami bercerai apabila anak Ell selamat didaftarkan.”

Shaza mengeluh perlahan, kesal benar bunyinya. “Semakin hari, manusia semakin jahil agama, sewenang-wenang mempermainkan institusi perkahwinan. Kahwin cerai menjadi pewarna bibir.” Shaza mengomel, Zafran hanya diam. Kesal juga berkeputusan.

Previous: BAB 25
Next: BAB 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.