“Maklong nampak letih, kita berhenti minum dulu?” Zafran memberi cadangan perlahan, hanya mahu
Shaza mendengar.
Shaza angguk, lagi dia menoleh Shatiah di belakang. Menung wanita itu menghibakannya.
“Emak nak singgah toilet
ke? Atau beli air?”
“Boleh juga, mak rasa nak buang air.” Baru itu dia mengkhabarkannya.
Shaza mengeluh perlahan, ‘sudah ditanya baru dia
beritahu. Kesian emak.’ Shaza mengerling Zafran, Zafran juga seakan
mendengar suara hati Shaza. Turut
mengerling dengan bucu mata.
“Nanti dah pindah duduk dengan Sha, seronoklah maklong. Tak sunyi lagi.” Zafran merenung Shatiah melalui cermin
pandang belakang kereta.
Shatiah seperti terpinga-pinga jelas fikirannya tidak di
situ, sudah jauh mengembara atau masih tinggal di kampung. Shatiah minta diulang.
“Nanti maklong seronok, tinggal dengan Sha di Kuala
Lumpur.” Zafran menyingkatkan ayatnya
tetapi kekal bermakna serupa.
Shatiah angguk, senyum dia tetapi hambar benar. “Rumah Zaf dekat ke dengan rumah Sha?”
Zafran geleng. “Jauh,
rumah Sha dengan dengan rumah papanya dekat.”
“Oh.” Angguk Shatiah
berkali-kali, faham.
“Tapi jangan risau, bila maklong nak saya temankan maklong
pergi mana-mana call aja saya, saya akan datang cepat.”
“Tak apalah, Sha kan ada?”
“Sha selalu sibuk. Saya banyak masa free.” Zafran tetap menawarkan. Shaza senyum membiar Zafran terus memujuk
hati Shatiah.
“Oh, Sha sibuk kerja ya?”
“Ha ah. Maklumlah anak kesayangan bos.”
“Hei.” Shaza mencubit
paha Zafran. “Suka hati aja ya?”
Zafran bertindak balas, mengelak cubitan Shaza tetapi tetap
kena.
“Memang betul apa? Kena selalu temankan papa kan? Tak pun
Abang Adam….” Zafran melunakkan suaranya
memberi maksud manjanya sebutan abang itu.”
Shaza menjeling dengan senyum manis. “You jealous Encik Zafran?”
“No, setakat macam Adam tu, tak ada maknanya I nak jealous.”
“Betul?” Shaza
mengugut, masih manis senyumnya mengusik.
Shatiah memerhati dengan mata hati, senyum dia di dalam
hati. Gembira bahagianya Shaza dan
Zafran.
Zafran berkerut menoleh Shaza, ada curiga di rona wajahnya.
“Awak jangan macam-macam, Shaza Amirah. Jangan ada apa-apa
dengan dia okay?” Zafran pula berbunyi
ugutan tetapi masih berbau gurauan, tajam dia menjeling menghantar senyum
dengan cara itu.
“Alamak, takutnya.
Bila bos I marah, I jadi takut sangat.”
“Siapa bos?”
“Encik Zafran kan bos saya? Saya ditawarkan jawatan untuk
membantu tugas Encik Zafran.” Shaza
menceber mengajuk panggilan ke atas Zafran apabila mereka di pejabat.
Zafran tertawa perlahan, Shatiah sudah tersenyum. Puas hatinya, ‘benar kata orang ikan di laut
asam di darat tetapi soal hati sukar dimengerti. Walaupun keluarga bermusuhan, tetapi
cucu-cucu saling bercintaan.’ Mengeluh
pula Shatiah di dalam hati, bimbang berlaku sesuatu yang buruk di penghujung
laluan Zafran dan Shaza. Dia tidak mahu
Shaza kecewa seperti mana dia kecewa dan tidak mahu Zafran terluka. Berdoa dia di dalam hati semoga Allah memberi
yang baik-baik kepada ke dua-duanya.
“Sha, papa tahu ke Sha nak duduk dengan emak?”
“Tahu, mama pun tahu.
Tapi papa bagi syarat, Sha mesti selalu balik ke rumah papa. Seminggu sekali tidur kat sana.”
Shatiah angguk, faham dia.
“Tapi emak tak menyusahkan Sha ke?”
“Apa yang susahnya?
Menyenangkan lagi adalah. Sha tak payah balik kampung untuk jumpa emak.
Kan?”
“Amboi, dengar macam nak buang kampung aja? Dah tak sayang
kampung dah, sejak dah kaya ni?” Zafran
bersenda, dikerlingnya Shaza dengan senyum mengusik.
“Hee. Dia ni jahat
mulut tau. Lagi-lagi kaya, lagi-lagi kaya.
Yang kaya tu papa, bukan saya. Tahu tak?” lagi Shaza mahu mencubit paha Zafran, Zafran
berjaya mengelak. Tidak sampai cubitan
Shaza.
“Betul? Nanti jangan
sampai tak nak balik kampung langsung, kasihan saya.” Dia menyudahkan ayatnya dengan rungutan
perlahan, manis mengusik.
“Balik lah, orang kata tempat jatuh lagikan dikenang, kan?
Inikah pulak tempat menumpang.”
Zafran terangguk-angguk, mengejek kata-kata Shaza.
“Kami menumpang aja selama ini kan? Dan sudah sampai masanya
kami menyerah balik apa yang kami pinjam.
Tapi jangan bimbang, kami bukan bangsa pelupa. Kami tempat ingat segala
budi dan jasa.” Bunyinya seakan memujuk
Zafran, tetapi jelas kedengaran hiba pula.
Zafran mengeluh perlahan.
Dia teringat kata-kata neneknya
berkenaan hasratnya mahu membawa Shaza ke dalam keluarga mereka.
“Nenek tak benarkan Zaf kahwin dengan cucu Piah. Berkawan pun tak boleh.” Itu keputusan neneknya mengulang ayat serupa
sewaktu kali pertama Zafran menyuarakan
hasrat.
Zafran berdengus, mahu menentang tetapi runduk mata ibunya
merenung membuat dia kelu. ‘Sedarlah
Zafran, nenek membesarkan engkau dari pra tadika hingga usia hampir menjejak
dua puluh tahun. Berapa besar budi
nenek?’ dibentak hati sendiri, menentang
rasa mahu menentang.
Dan ibunya membujuk juga supaya dia mengambil kira perasaan
orang tua dalam memilih jodoh. Mahu akurkah
dia dengan mengorbankan kebahagiaan? Hah.
“Kenapa tak masuk simpang hentian?” Shaza mengejutkan dia dari lamunan panjang.
“Kata nak singgah toilet, nak beli air bagai?”
“Ala, saya terlupa, tak perasan simpang.” Kesal benar Zafran.
“Yang mana satu jawapan betul? Tak perasan simpang atau
terlupa nak singgah?” Shaza mengusik,
senyum. Dia tahu Zafran sedang melamun.
Zafran geleng kesal, Shatiah di belakang ditolehnya. “Maaf maklong. Saya salah.”
“Tak apa.”
“You okay Encik Zafran, ke, nak saya drive? Penat ya?”
masih mahu bersenda Shaza, tidak disedarinya Zafran sudah serius.
“No, I ok.”
“Atau melamun? Ingat siapa?”
lambat-lambat butir pertanyaan Shaza, sengaja mahu mengusik Zafran yang
tiba-tiba seakan hanyut sendiri.
“Ingatkan awak.”
“I’am here. Tak payah
nak ingat-ingat.” Masih dia mahu
bersenda.
“Za, kita kahwin?”
Shaza menoleh Shatiah di belakang, mahu memastikan sama ada
Shatiah mendengar atau dia juga sedang tuli seketika. Malu dia dilamar Zafran di hadapan Shatiah
kerana menyangka Shatiah tidak mengetahui status perhubungan mereka.
“Sudi tak awak bersusah senang dengan saya? Saya teringin
nak jaga awak.” Merah seraut wajah
Zafran. Tebal sudah.
“Zaf, kita dah bincang perkara ini beberapa kali kan?”
“Ya, dan awak dah beberapa kali menolaknya. Saya cuma nak
dengar sekali sama ada awak terima saya atau menolak saya.”
“Kenapa awak risau sangat? Saya tak kan ke mana-mana, saya
tak akan meninggalkan negara.
Percayalah.”
“Bukan itu soalan saya dan saya tak nak dengar keputusan
yang itu. Tapi saya nak dengar sama ada
awak bersedia menjadi isteri saya atau tidak.”
“Zafran,” lagi Shaza
mengerling Shatiah.
Shatiah sudah berpura-pura tidur, terlentuk ke pintu kereta
sebelah belakang Zafran.
“Saya nak jumpa papa awak, awak kata nanti awak yang
bagitahu. Saya nak bagitahu maklong, awak kata nanti awak selesaikan. So macam mana? Saya bersungguh-sungguh tapi
awak main-main.”
“Zafran, kenapa setiap kali balik kampung emosi awak jadi
lain hah? Di office tak pulak macam ni?”
Zafran mengeluh perlahan.
Shaza menunggu pertanyaannya dijawab.
“Sebab kampung selalu mengingatkan saya, awak mungkin bukan
untuk saya dan besarnya penghalang cinta saya pada awak. Saya takut.”
“Awak terlalu takut pada bayang-bayang sendiri.”
“Ya, saya takut. So
what? Apa masalahnya, mengapa awak sentiasa mengelak?” sudah meninggi suara Zafran.
Shaza menegak jari telunjuk di hadapan bibir memberi isyarat
supaya Zafran memperlahan suara, tidak mahu mengejutkan Shatiah yang lena. Zafran mengeluh perlahan.
“Maklong.” Zafran berkeras. Shaza mengerling Zafran.
Shatiah buka mata, berpura-pura baru tersedar dari
lena. “Dah sampai ke?”
“Belum.” Kucam
Zafran, terus tekun memandu tidak menoleh Shatiah, tidak juga Shaza.
“Maklong izinkan tak saya berkahwin dengan anak maklong?”
Shatiah terpinga-pinga, dia beralih duduk di tengah-tengah
kereta. Zafran dan Shaza direnungnya
silih berganti dari belakang.
“Saya nak melamar anak maklong, saya nak jadi menantu
maklong yang paling setia.” Terlalu
luhur ayat Zafran, Shaza kelu sendiri. Tidak
disangkanya Zafran mampu mengungkap dialog maut itu terus kepada Shatiah.
‘Macam skrip drama, macam ayat novel.’ berkerut kening Shaza merenung Zafran yang
serius.
“Maklong terima siapa sahaja pilihan Sha.”
Zafran angguk, berpuas hati gayanya tetapi masih serius dan
bersungguh-sungguh. “Maklong tolong
tanya anak maklong, hendak atau tidak dia kahwin dengan saya? Sudi atau tidak dia jadi isteri saya?” soalan Zafran seakan terlalu keanak-anakan,
Shatiah tersenyum.
Shaza sedar ada ukiran sindiran di bibir Shatiah, dia
menoleh Shatiah di belakang. Hairan.
“Zaf, apa sebenarnya yang membuat kamu jadi macam ni? Setahu
maklong, hanya lelaki yang jiwanya sedang disakitkan sahaja yang hilang rasa
malu berterus-terang macam ni. Cerita
dengan maklong.”
Zafran menghela nafas panjang, dalam.
“Cemburu pada Sha? Apa yang Sha buat?” dia mahu memarahi Shaza jika mendapati Shaza
menduakan Zafran.
“Tak ada apa. Awak
tak pernah cemburukan saya kan?”
“Nenek dengan ayah tak suka saya kawan dengan Sha. Nenek dah risikkan anak kawan dia untuk
saya.”
“Owh.” Angguk Shatiah
berkali-kali.
Shaza merenung Zafran lama.
“So, awak tak nak kahwin dengan perempuan pilihan nenek maka kerana itu awak melamar saya?”
“No, saya tak nak kahwin dengan perempuan lain kecuali
awak.” Kembali keras suaranya, sudah
marah kerana Shaza tidak memahami dia.
“Baik, emak terima lamaran Zafran untuk mengahwini
Shaza. Tapi mesti dengan restu orang tua
Zaf.”
Zafran berpuas hati, angguk dia berkali-kali. “Kahwinkan kami secepat mungkin.” Tegas perintahnya. Shatiah tersenyum lagi.
“Ya Allah, mengapalah awak jadi macam ini Zaf. Cuba bertenang.”
“Saya dah tak boleh tunggu lagi. Tolonglah faham.” Dari keras, sudah jatuh merayu dia, mendayu
benar.
Hiba pula perasaan Shaza, Shatiah turut terharu. Sudah dijangkanya pasti ada rintangan
perhubungan Shaza dan Zafran dan bentuk rintangan itu sangat menakutkan. Takut benar Shatiah untuk menghadapinya
kerana dia sendiri tekat, dia hanya membenar Zafran mengahwini Shaza sekiranya
ke dua-dua mereka mendapat restu dari keluarga masing-masing. Itu prinsibnya. Dia tidak akan merestui jika orang tua Zafran
atau papa Shaza menentang.
“Kita berdoa ya? Setiap yang baik itu pasti Allah bukakan
jalannya, yang penting jangan sesekali membelakangkan orang tua, emak dan ayah
adalah yang pertama wajib dihormati.
“Saya hormat orang tua saya, tapi mereka sentiasa mendesak
saya. Saya tak boleh buat keputusan
sendiri walaupun sudah setua ini.”
Shatiah angguk.
“Tidak ada emak dan ayah yang suka anak mereka sengsara. Sabar ya? Nanti kita fikirkannya.”
Zafran diam, tidak angguk bersetuju, menelingkah juga tidak
lagi. Dia hanyut ke dalam dirinya
sendiri.
“Sungguh awak sanggup bersusah dengan saya?” lagi dia mengulang soalan serupa. Tidak berpuas hati dia selagi Shaza tidak
menjawab.
Shaza mengeluh, bosan sudah dia.
“Sha, Zafran cuma nak dengar dari mulut Sha sendiri. Susah sangat ke nak jawabnya?” Shatiah juga sudah bosan menunggu, simpati
dia pada kesungguhan Zafran.
“Emak, malulah Sha.”
Tersipu Shaza melempar wajah ke kiri, menyembunyi cara itu.
Shatiah senyum, puas dia tetapi Zafran masih tidak berpuas
hati, tetap juga mahu jawapan yang pasti.
“Saya lagi malu, terhegeh-hegeh. Dah macam hidung tak mancung, pipi yang
tersorong-sorong. Saya sedar siapa saya
berbanding awak, tapi saya cintakan awak dari dulu. Dari awak bukan siapa-siapa sampailah awak
sudah menjadi Cinderella berkasut cantik.”
Zafran sudah membuat Shatiah hampir tersedak. Sudah tenggelam malunya, terlupa mungkin,
bersama mereka ada ibu angkat Shaza yang turut dipanggilnya maklong sejak zaman
kanak-kanak.
“Zaf, tolonglah. Saya
geli dengar dialog awak tu.”
“Awak tak suka saya kan?”
“Ya Allah, susahnya nak cakap dengan awak ni, kenapa?” Shaza sudah kian tertekan.
“Susah nak cakap, tulis.
Teknologi sekarang bukan macam zaman emak dulu-dulu.” Shatiah juga sudah semakin bosan, sudah
banyak dia mencampuri sandiwara pasangan sejoli itu.
Zafran masih kucam, focus memandu. Turun naik nafasnya menunjuk rupa dia
sesungguhnya tidak tenteram. Shatiah
kembali beralih ke tepi, menyandar bahu pada pintu kereta, bersiap untuk pejam
semula namun mahu terus mengintip.
Telefon Zafran bernada panggilan, dia mengerling melihat
nombor yang tertera di skrin telefon.
Mengeluh dia perlahan tetapi dijawabnya juga mengguna alat bebas pegang.
Dia mengucap salam, sopan. Lama pula dia
hanya mendengar ucap panjang dari pemanggil, rona wajahnya sudah berubah gelap,
tampak tidak senang dan marah juga disimpan ketat. Shaza merenung tajam.
“Abang tolong aja.
Maklong kan nak pindah KL?”
Shaza sudah berkerut, sudah terbau dia siapa menghubungi
Zafran. Cuak juga hatinya, bukan kerana
takut dimaki hamun orang itu seperti di zaman kanak-kanaknya tetapi kesal
membuat Zafran tersepit. Dia tidak mahu
Zafran menjadi anak derhaka dan tidak sama sekali mahu menjadi duri dalam
keluarga Zafran.
“Bukan abang tak nak bagitahu tadi, tapi kalau abang
bagitahu emak izinkankah?” dia
menyambung selepas lama diam, hanya mendengar.
Tahulah Shaza, Zafran sedang bicara bersama Acik Salmah.
“Emak tolonglah terangkan pada ayah dengan nenek.” Bosan rupanya Zafran, lusuh dan tertekan
benar.
Shaza tidak bertanya walaupun Zafran sudah menambatkan
perbualan, Shatiah juga diam. Hanya memahami apa yang mereka sudah fahami,
tidak mahu menambah keresahan Zafran.