Home Novel Travelog CINTA CAPE TOWN
BAB 25 (NORA ISMA FUAD)

Bab 1-22 akan menggunakan gantinama diri "AKU" dalam bab-bab ini. Dilabelkan dengan nama watak.

Bab 1- 6 merujuk kepada SAIFUL ANUAR BIN AZIZI,

BAB 7-11; NUR KATRINA BT. DAUD.

BAB 12-17 NURNATRAH BT. DAUD.

bAB 18-21 ADUHA @ DUHA.

SEMUA WATAK2 INI / BAB 1- 21; AKAN BERAKHIR DI SATU TEMPAT iaitu Break Through Event. Dan seterusnya, tiada gantinama diri pertama lagi yang akan digunakan. BAB 22; watak dikembangkan dgn gantidiri ketiga.

Selamat Membaca! Mengalu-alukan pandangan pembaca! Saya dahului dengan ucapan terima kasih. Suntingan bab-bab hanya dimasukkan secara rawak sahaja.

25

Kepala Duha terasa berat sedikit. Dengan bahagia rongga atas hidung yang terasa bagai ‘ketat’ sedikit, dia pasti dia telah didatangi tetamu biasa, ‘encik flu’ atau ‘cik selsema’. Penyakit yang biasa tetapi sebenarnya meleumpuhkan sistem pemikiran untuk berfikir dengan logik dan bijak kerana rongga hidung yang sendat! Dia bersih beberapa kali, barangkali kerana semalam, dia dengan tidak sengaja mendedahkan kepalanya ke balkoni, di waktu hujan turun, sekadar mencari Manisah. Dan akhirnya, dia kesali, Manisah berkemungkinan telah pulang ke kampung ibunya, dan merajuk panjang. Rongga di bahaian matanya pun, terasa berat. Sudah jelas, ‘cik selsema’ sudah mengunjunginya lagi. Dia merancang tidak akan hadir ke galerinya hari ini. Diharapkannya, tidak ada pertemuan penting antara pelanggan dan dirinya hari ini. Nanti, pada jam 10 pagi, dia akan menelefon Rashdan dan membuat pengesahan temujanji.

Dia teringat akan mug dan pinggan yang dia tinggalkan di sinki semalam. Dia segera bergerak ke dapur yang telah diwarnakan dengan dua tona pilihan Manisah. Warna ‘putih mutiara’ dan ‘hijau apple’. Kata Manisah, warna hijau mengurangkan rasa lapar dan mahu makan, berbanding dengan warna jingga, yang akan merangsang selera manusia, kerana jingga kata Manisah, adalah warna bahagia! Kabinet dapur yang juga dipilih oleh Manisah. Katanya dia suka, “Yang ringkas sahaja. Tak perlu kerawang sana-sini.” Semuanya mengikut pilihan Manisah. Dan apartment yang mewah ini, adalah hadiah perkahwinan Manisah dan Duha, daripada ibu dan bapa Manisah, walaupun sekadar bayaran deposit, cukup untuk meringgankan kehidupan dua insan yang baru mendirikan rumahtangga. Hijau ‘apple’ yang masih mengiurkan selera kepada Duha. Duha membasuh mug yang telah digunakan. Semalam selepas makan malam, dia sengaja meningalkan sebiji pinggan dan gelas yang dia gunakan, dengan harapan Manisah akan mengemas untuk dia. Sayangnya, sehingga pagi tadi, dilihatnya pinggan dan gelasnya tidak disentuh langsung! Bukan begitu sifat Manisah, isterinya ini tidak akan mungkin meninggalkan pinggan dan gelas yang tidak bercuci. Dia masih ingat akan kata-kata Manisah.

“Rasullullah berpesan, jangan ditinggalkan pinggan atau mangkuk yang tidak berbasuh kerana hal ini mewarisi kepapaan.” Dan Manisah tidak akan membiarkan biarpun sebiji pinggan yang berada di sinki, terbiar tanpa dibasuh. Agaknya, Manisah tidak pulang ke rumah mereka lagi. Rajuknya agaknya masih belum reda. Masaalahnya, dia tidak tahu ke mana Manisah menghilang!

Telefon rumahnya berdering beberapa kali, diangkatnya telefon itu.

Dia menyebut salam, disambut dengan pemanggil di hujung gagang. Ternyata panggilan daripada ibunya lagi.

“Baru bangun ke Duha?”

“Tak la mak, dah lama bangun. Ingat nak baring sekejap.”

“Duha sihat?” Soalan ibu yang sudah menjengah ke penghujung usia lima puluhan itu memancing telinga Duha lgi.

Duha tersenyum sendiri. Kenapa kerap sangat orang bertanyakan keadaan kesihatan dia. Dia tentunya sihat. Sedikit situasi selsema tidak menjadikan dia sakit!

“Baik mak. Mak sihat?” Soalan tipikal biasa. Jika ditanya tentang kesihatan kita, adatnya, tanyalah kembali kesihatan orang yang bertanya.

“Betul ke sihat Duha? Tapi suara bunyinya sengau semacam saja.”

“Sengau?” Duha tergelak di hujung gagang lagi.

Ibunya tergelak sama. “Ya Duha, sengau.”

“Ala mak, selsema sikit saja. Masalah kecil mak.” Segera dia menyatakan hal sebenar kepada ibunya, Duha tidak mahu ibunya kuatir akan dirinya.

“Jangan lupa ya Duha, penghujung bulan, sabtu yang terakhir, mak nak buat kenduri doa selamat sikit. Jangan pulak Duha tak balik ya.”

‘Kenduri, entahlah, tidak pasti aku tahu tentang kenduri yang mak sebutkan. Tetapi diberitahu lagi, tahulah aku’. Duha menyebut sendiri. “Ya mak, tak akan lupa.” Dia berjanji lagi. Sama seperti janji yang lepas, dia terlupa juga akan tarikh kenduri yang sepatutnya dia hadiri di kampung ibunya.

“Ya la, macam tiga bulan lepas, lepas tu Duha lupa.” Suara mak Duha menceritakan seolah kisah ‘duka’. Ada rahsia yang tersembunyi di sebalik nada suara itu.

Duha mengetip bibirnya sendiri, “Mak, minta adik ingatkan ya. Suruh dia sms Duha dua tiga hari sebelum itu.” Duha gagal mengesan mengapa secara tiba-tiba ibunya mahu membuat kenduri doa selamat lagi, entahlah, bagai ada sesuatu yang tersembunyi di sebalik semua itu, dan dia tidak berani bertanya.

“Dato’ dan datin pun sudah bersetuju untuk datang.”

“Mak, panggil sahaja Rohayati dan Syamsul mak, tak payah lagi berdato dan datin.”

Duha hanya mendengar ibunya ketawa, “Bukan senang nak dapat gelaran tu tau. Nanti mak mertua Duha akan bawa Ati sekali.” Dan sekali lagi membuatkan Duha tersentak. ‘Ati’ dan ‘Zehra’, siapa mereka?

“Okay mak, nanti jumpa di sana. Nanti Duha akan masukkan wang ke akaun bank mak. Mak tentu perlukan duit untuk kenduri.”

Duha mendengar ibunya ketawa menandakan senang hati lagi. “Tak payah lagi Duha. Tak luak duit yang kamu hantar.” Sebaik sahaja gagang diletakkan kembali ke asalnya, Duha terasa kepalanya semakin pening. Dua biji tablet ubat selsema pastinya akan menenangkannya.

‘Sengau’, dia teringat akan kata-kata ibunya lagi. Manisah tidak akan kuatir dengan suara sengau Duha. Sudah banyak kali sepanjang perkahwinan mereka, suara Duha yang serak-serak merdu menjadi garau, tetapi kepada Manisah, yang kerap disebutnya,

“Suka suara awak macam ni, seksi. Macam Amy Search tau.” Suka dia mengusik. Gurauan manja yang mengasyikkan! Dan Duha tercari lagi, ke mana perginya pemuja dirinya? Ke mana dia, wanita pujaan sukmanya yang selalu memuja suara garaunya ketika dia selsema lagi?

Dia masih lagi tertanya lagi, siapa ‘Ati’ dan ‘Zehra’ yang disebutkan ibu mertuanya. Dalam kekalutan itu, dia hanya sempat bersms Rashdan.

Rasa tak ada temujanji. Saya datang petang sikit, jam 3.

Dan menekan ‘send’. Ternyata Rashdan tidak mengambil masa yang lama untuk membalasnya.

Okay. Kak Vimmi akan datang petang, sudah ubah temujanji.

Duha memuji pekerjanya dalam diam. Bijak! Bijaksana! Duha merebahkan dirinya kembali di sofa. Kenangan demi kenangan datang berbalam-balam, melelapkan matanya yang sudahpun kepenatan.

Jam loceng yang berbunyi membangunkan dia. Bagaikan ‘dijampi-jampi’, sakit kepala yang dia rasakan sebelum ini, sudahpun hilang. Lama juga dua tidur. Hampir dua jam lamanya. Dia bangun membersihkan diri dan melangsaikan solat Zuhurnya sebelum bersiap untuk ke galerinya.

Duha agak terkejut melihat galerinya yang disinggahi pelanggan yang baru. Biasanya hanya pelanggan yang biasa sahaja yang akan terus datang ke galeri. Maklum sahajalah, bidang seni lukis bukanlah suatu bidang yang mampu difahami oleh semua orang. Hanya orang ‘seni’ yang mampu mentafsir seni dengan memahami segala bentuk tafsiran di sebalik semua lukisan-lukisan yang dipamerkan di galerinya.

“Ni Encik Duha, pemilik galeri.” Dia segera diperkenalkan dengan tetamu galeri.

“Hai. Saya baru sahaja terbaca mengenai galeri ini di blog. Quite impressive.”Duha segera menghulur tangan kepada pelanggan barunya. Lelaki yang dalam penghujung usia tiga puluhan atau awal empat puluhan mengikut telahan Duha segera menghulur tangan kanannya kembali untuk bersalaman dengannya. Lelaki itu segera menghulurkan kartu perniagaannya.

“Sudah lihat-lihat sekeliling?’ Duha bertanya lagi. “Ada yang menarik minat encik…?” Cepat Duha bertanya.

“Syam sahaja. Tidak perlulah berencik-encik.” Duha sekadar mengangguk mendengar penjelasan pelanggannya yang mahu dibiasakan dengan panggilan ‘Syam’.

Dia percaya layanan yang bersifat peribadi akan lebih dihargai oleh pelanggan, apatah lagi layanan kelas pertama oleh pemilik galeri sendiri. Duha sedang mencongak kalau perlu ditanyakan kepada pemuda ini akan minatnya kepada lukisan daripada jenis-jenis yang tertentu.

“Ya. Saya berminat dengan satu lukisan untuk pejabat saya. Minggu depan saya akan datang lagi, tentu ada lukisan yang baru kan?”

Duha tersenyum. “Ada, Insya_Allah. Konsep bagaimana yang Encik Hisyam suka? Abstrak? Karya Bahan Campuran? Pemandangan?”

“Tak kisah sangat apa konsepnya. Tapi yang saya mahu cari lebih kepada konsep flora. Isteri saya mahu letakkan di spa yang akan dirasmikan.”

“Kalau begitu, okay, saya akan usahakan dengan pilihan-pilihan yang Encik Hisyam perlukan.” Mereka berjabat tangan. Pelanggan yang memperkenalkan dirinya sebagai Hisyam segera berlalu bersama sekeping lukisan yang dibelinya.

“Hari ni Puan Vimmi datang lagi?” Lily tiba-tiba datang menyapa. Duha tergelak, dia memahmi maksud kata-kata Lily tadi.

“Hari ni tak de food testing. Dia datang bawa lukisan saja.”

Muka Lily nampaknya berkerut lagi, “Dah la saya tak makan. Saya ingat dengar je nama Puan Vimmi, dia datang bawa makanan lagi.”

Rashdan tergelak. Cepat sahaja Lily mencubit lengannya. Dia menjerit kesakitan. “Diet lagilah tu. Kalau lapar Lily, makan je kek dalam peti sejuk tu.” Duha cepat-cepat memeri cadangan.

Daripada kaca pintu, ternampak Vimmi datang bersama lukisan-lukisan yang dijanjikannya.

“Nak minum Puan Vimmi?” Cepat Lily bertanya. Duha hanya meilhat dengan senyuman di wajahnya.

“Boleh juga.” Ini ‘Water Lily’.Dan ini pula ‘Lavender’.Duha cepat memandang ke arah lukisan yang dibentangkan oleh Vimmi. Dia dapat melihat kegembiraan pelukis sewaktu melakarkan lukisannya.

Bunga Lily yang berwarna merah jambu, unggu dan merah menyala. Gabungan dengan dedaun hijaun dalam tiga tona yang teratur. Dengan dedaun kembang yang kembang indah, berliuk perlahan, menutupi sebahagian besar daripada air tasik yang melatari lukisannya. Dan air tasik yang kelihatan tenang, tidak diasak dengan angin, walaupun boleh nampak deaun lily yang agak melintuk perlahan.

“Lukisan ini nampak bahagia. Lukisan boleh bercerita!”

Vimmi hanya ketawa. “Yang saya tahu, orang saja boleh bercerita, bukannya lukisan?”

Duha tergelak kembali. “Boleh. Boleh dilihat dari sudut warna yang digunakan. Gabungan warna merah, unggu, merah jambu, warna ceria. Dedaun hijau yang digunakan pun bertenaga, nampak segar. Pelukisnya mesti seorang yang sedang bahagia dengan perasaan yang dia miliki.” Vimmi sekadar mengangguk. Apa tidaknya, dia sedar sewaktu melakarkan lukisan ini, jelas Katrina sedang berada di alam percintaan dengan Nik Hisyam. Tentulah lukisannya menggambarkan bahagia! jelas sekali telahan Duha!

Duha memerhatikan tandatangan yang bertulis, Cat.

“Namanya Cat?”

“Katrina. Nur Katrina.” Nama yang disebut Vimmi, terasa indah, bagaikan melekat lama di minda.

“Yang satu lagi?”

Vimmi segera membuka lukisan yang dibawa bersamanya. Lukisan yang menggambarkan lautan bunga lavender yang berwara unggu dan kuning, yang berlintuk liuk dibuai angin.

“Lukisan yang cantik, tapi nampak amatur lagi?”

Vimmi menganggak mukanya, memandang Duha. “Memang benar dia amatur, tak ada latihan melukis di mana-mana!”

“Cantik, tak ada masalah, cuma lihat cara dedaun ni melintuk. Kalau pelukis profesional, arah anginnya akan datang dari pelbagai arah. Jadi dedaunnya dan bunganya akan melintuk pelbagai arah, bukan satu arah saja.”

“Ooh, begitu, jadi bagaimana…?” Dia bertanya lagi, perlu juga dia tahu kedudukan lukisan ini.

“Boleh. Saya terima.” Duha tersenyum lagi.

“Nama pelukisnya pula, Natrah. Nur Natrah.” Duha sempat membelek tandatangan di bawah dasar lukisan itu, bertanda, Nat.

Duha mengangguk lagi. “Adik beradik?”

“Ya. Natrah, kakaknya, Katrina, adik.”

Lily kemudiannya datang membawa dua mug minuman dan meletakkan ke meja kopi di hadapan kaunter galeri. “Lily, bawa baucer penyerahan, minta Puan Vimmi tandatangan dan isikan butirannya.” Vimmi mengangguk.

“Bayarannya bagaimana nanti. Kalau terjual, saya akan bayar Vimmi atau pelukisnya.”

“Bayar mereka. Saya sudah bawa nombor akaun dan salinan kad pengenalan seperti yang Duha pesankan.”

“Okay, kalau begitu.” Duha mengangguk lagi.

“Lily, nanti lengkapkan fail pelukis yang baru ya.” Dia segera meminta Lily melengkapkan fail, mudah melengkapkan kerja dengan informasi yang lengkap.

“Terima kasih Puan Vimmi ya. Susah payah bawa ke sini.”

Vimmi tersenyum sahaja, “Tak ada susahnya. Kawan-kawan saya ni memang berbakat.”

“Terima kasih atas usaha sama ini.”

Duha hanya menyaksikan Vimmi meninggalkan galeri setelah mengucapkan ucapan terima kasih. Dan dia terus memandang lukisan itu dengan penuh minat dan tanda tanya, ‘Agaknya pelukis-pelukis ini tengah bahagia, sentiasa. Tergambar jelas daripada lukisan-lukisan mereka.’. Lukisan memang pandai bercerita.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh (NORA ISMA FUAD)Noor arbaiah ismail