Home Novel Travelog CINTA CAPE TOWN
BAB 9 NURKATRINA DAUD (NORA ISMA FUAD)

Bab 1-22 akan menggunakan gantinama diri "AKU" dalam bab-bab ini. Dilabelkan dengan nama watak.

Bab 1- 6 merujuk kepada SAIFUL ANUAR BIN AZIZI,

BAB 7-11; NUR KATRINA BT. DAUD.

BAB 12-17 NURNATRAH BT. DAUD.

bAB 18-21 ADUHA @ DUHA.

SEMUA WATAK2 INI / BAB 1- 21; AKAN BERAKHIR DI SATU TEMPAT iaitu Break Through Event. Dan seterusnya, tiada gantinama diri pertama lagi yang akan digunakan. BAB 22; watak dikembangkan dgn gantidiri ketiga.

Selamat Membaca! Mengalu-alukan pandangan pembaca! Saya dahului dengan ucapan terima kasih. Suntingan bab-bab hanya dimasukkan secara rawak sahaja.


9

Petang hari khamis, rutin biasa. Aku seperti ibu-ibu dan isteri yang lain, menguruskan sarapan, makanan tengah hari, mengemas dan semuanya seperti biasa. Tiada yang luar biasa aku kira. Rutin yang penuh dengan kebosanan. Petang hari, aku akan mengambil Sara di sekolah, dan aku akan membawa Sara dan Pia keluar untuk menikmati makan malam, walaupun berlaku pada petangnya, bersiar barang sekejap dan akan pulang ke rumah selepas itu.

Ketika kami tiba di menghampiri pagar hadapan sekolah, Sara masih belum tiba di situ, barangkali masih di surau mengerjakan sembahyang asar. Aku sentiasa mengingatkan dia agar menunaikan solat dengan baik! Sempat sekilas memori bersama Hisyam datang lagi. Hisyam@ Nick taat sekali mengerjakan solat, sesibuk mana, atau ke mana sahaja kami berada, dia tetap akan mengerjalan solat biarpun hanya berhamparkan sehelai sejadah mini di tepi padang bola!

“Mama, Kak Caya tak de. Mana Kak Caya mama?” Ayat pendek Pia yang diulang berjali-kali segera mengembalikan aku kepada alam realitiku, alam realiti yang sepatutnya menghadirkan aku dan Pia serta Sara di dalamnya. Aku yang sedang duduk memandu di dalam kereta kami. Aku yang sedang bersama Pia yang aku pakaikan dengan sehelai seluar denim dan baju putih bercorak gambar kartun kegemaran dia, Dora, yang biasanya disebut, ‘Doya’. Dan ‘Sara’ menjadi ‘Caya’.

Aku menoleh lagi memandang Pia yang aku dudukkan di kerusi ‘kanak’kanak’ yang dipasangkan ke tempat duduk penumpang di sebelah pemandu! Dia nampaknya sedang duduk dengan selesa. Pia yang hampir menjengah ke usia tiga tahun, berhidung mancung, bertubuh sederhana montel, petah bercakap walaupun masih pelat-pelat sebutannya kepada huruf ‘s’ dan ‘r’, nampaknya duduk selesa, sambil tersenyum riang melihat pandangan mataku yang terarah kepada wajahnya.

Cepat-cepat aku ciut pipi gebunya. Dia memulangkan senyumnya, yang aku sering labelkan sebagai ‘naughty and chicky’. Kadang-kadang lirik matanya, dan tawanya sering menggambarkan betapa dia penuh dengan ideanya yang sangat realistik, tetapi bercirikan kenakalan yang sedikit mencabar minda sebagai seorang ibu!

“Kakak Sara belum keluar lagi. Kita tunggu sekejap.” Segera aku mengambil beberapa biji kismis daripada bekas plastik bertutup yang aku bawa, dan menghulurkan kepadanya. Dia mengunyah sambil menggerak-gerakkan tubuh kecilnya di kerusi yang berikat kemas, di dalam kenderaan tempatan kami yang sudahpun berusia dua belas tahun.

Wajah Sara yang tersenyum, sedang berdiri di hadapan pagar sekolahnya menjadikan wajah senduku bertukar ceria lagi. Entah bila masanya, dia sudahpun berada di situ. Mungkin di saat aku sibuk memerhatikan Pia yang melompat galak di dalam kenderaan kami. Dia melambai menandakan suka melihat kami. Aku mengangkat tangan memintanya menunggu aku memusingkan kereta ke arahnya. Membiarkan Sara melintas jalan ke arah kereta kami, agak membahayakan dirinya, apatah lagi di tengah-tangah kesibukan ibu bapa mengambil anak-anak selepas tamatnya kegiatan kokurikulum sekolah Sara.

Dia yang kelihatan manis sekali dengan pakaian seragam Aikidonya yang digelar ‘do-gi’ atau sebutannya yang berbunyi doe-gee, berwarna putih dan dilengkapkan dengan tali pinggang berwarna merah. Tali pinggang merah bermakna, Sara telah lulus beberapa tahap peperiksaan yang membolehkan dia memakai tali pinggang dengan warna yang berbeza. Bermula dengan tali pinggang putih, kuning dan hijau, dan barulah bertukar kepada tali pinggang merah. Sejak tahun satu lagi, Sara telah menyertai kelas pertahanan yang berasal dari Jepun ini.

Pia yang berada di kerusi duduknya di hadapan turut menjerit memanggil nama kakaknya berulang kali. Gembira melihat satu-satunya saudaranya ini.

“Kak Caya. Kak Caya.” Riuh rendah jadinya suara Pia menjerit berualang kali. Bunyi pelatnya yang menyebut ‘Sara’ memang indah sangat didengari!

Sara terus membuka pintu belakang kereta buruk kami dan bersandar dengan wajah cerianya.

“Pia, ni kak bawa balik sweetuntuk Pia.”

Aku nampak dia segera menghulurkan sebiji gula-gula untuk adiknya. “Sara, kan mama dah cakap, jangan beri gula-gula untuk Pia. Nanti rongak giginya, makan sweet.”

“Maaf mama, lupa la. Last mama, please,Kali ni je okay.” Sara bersuara lagi. Agaknya dia lupa akan pesananku minggu lepas. Aku tidak mahu Pia mendekatkan tabiat dirinya dengan makanan ringan dan gula-gula. Makanan ringan termasuk gula-gula hanya mengandungi gula dan perasa serta warna yang tidak diperlukan oleh tubuh terutamanya kanak-kanak. Gula yang berlebihan bukan sahaja memberikan mereka tenaga yang berlebihan, menyebabkan situasi hyper active(hiper aktif) berlaku kepada seseorang kanak-kanak. Mereka akan berlompatan dan menjerit dengan tenaga yang berlebihan, kerana mendapat tenaga daripada gula yang tidak diperlukan sama sekali.

“Mama, kenapa Pia tak boleh makan gula-gula?” Soalan Sara menjadikan aku beralih sebentar melihat gaya Pia memamah gula-gula pemberian kakaknya.

Aku tersenyum sambil melihat Sara yang duduk di belakang dengan menggunakan cermin di bahagian tengah kenderaan.

“Gula ini biasanya memberi tenaga Sara. Kalau Pia banyak sangat tenaga, nanti dia susah tidur. Susahlah mama kalau Pia tak mahu tidur cepat malam-malam. Mama kan kena bangun awal pagi. Sara dan papa kena makan sarapan, ke sekolah dan kerja.”

Aku menerangkan perlahan sambil melihat Pia menjilat jari tangan kanannya. Yang sukar aku jelaskan adalah, gula akan menjadikan Pia hyper active. Hyper activeini merujuk kepada kumpulan kanak-kanak dengan aksi yang terlalu aktif. Bergerak, bermain dan melakukan pergerakan dengan kadar yang ‘melampau-lampau’. Mereka boleh memanjat, membaling, menjerit dan sebagainya, semuanya dengan kadar yang terlalu aktif! Teringat aku dengan sebuah artikel yang pernah aku baca sebelum ini, kanak-kanak hyper activeini sepatutnya menunjukkan kepintaran seorang kanak-kanak asalkan tenaga yang berlebihan itu disalurkan kepada jalan yang sepatutnya. Kanak-kanak ini sepatutnya didedahkan dengan pembelajaran yang berkesan dan mereka tidak mempunyai banyak masa hanya untuk aktiviti yang lasak sahaja.

“Lagipun Sara tengok cara dia makan, kan comot habis tangan, kadang-kadang kena baju baju dia lagi. Lagipun, gula ni boleh sebabkan Pia jadi montel nanti.”

Obes! Itulah ketakutanku. Melihat anak-anak yang berada di kawasan kejiranan, mahu pun di media massa seperti di kaca televisyen, akhbar, majalah yang memaparkan kanak-kanak yang mempunyai berat berlebihan menakutkan aku sebenarnya. Kanak-kanak yang bersaiz begitu sebenarnya, tidak mempunyai fizikal yang sihat! Dan kesihatan fizikal selanjutnya akan membawa kepada kesihatan mental juga. Kecerdasan membawa kepada kecergasan minda!

“Pagi tadi, cikgu Sara ada pesan kami jangan ambil makanan ringan. Kata cikgu, semua tu ada banyak perasa makanan.”

“Betul.”

“Tapi mama kan, cikgu tak bagitahu pun perasa makanan tu apa.” Aku tertawa sejenak mendengar cerita Sara. Rasanya bukannya salah gurunya yang tidak menerangkan maksud perkataan itu. Kanak-kanak ini kadangkala hilang fokus dalam kelas, dan tidak mendengar sepenuhnya informasi guru mereka.

“Tentu cikgu ada cakap Sara. Sara yang tak dengar tak?”

Dia ketawa. “Ada kawan sebelah Sara sedang tanya soalan dengan Sara. Sebab tu Sara tak dengar.”

Benar sekali telahanku. Kekuatan telinga manusia hanyalah satu arah sahaja. Jika kita berbual dengan kawan atau teman seblah, tentunya kita tidak akan dapat mendengar fakta atau kata-kata guru di hadapan.

“Kan mama dah kata, jangan bercakap ketika guru mengajar. Bila Sara dengar kawan, telinga Sara tak akan mendengar kata-kata guru lagi.”

“Maaf Mama.” Katanya pendek. Aku sedari, suara sayu Sara membuktikan dia terasa menyesal memperlakukan begitu.

“Pancaindera manusia ini hebat sekali dijadikan Allah. Pun begitu, telinga kita hanya akan dengar sesuatu pada masa yang sama. Kalau perhatian Sara kepada suara kawan di sebelah, Sara tak akan dengar suara guru lagi.”

“Ya la mama, lain kali Sara tak buat lagi.”

“Janji bagi orang Islam ini berat hukumnya. Jangan hari ini berjanji, esok-esok Sara akan lakukan lagi!”

Sara mengangguk-angguk, dengan rasa bersalah, aku kira, “Tidak mama. Tapi kawan Sara tu selalu suka tanya Sara bila cikgu bercakap.”

Aku sedari ini bukanlah masalah yang berpunca daripada anakku, Sara. Mungkin teman sebelahnya kurang memahami bahasa guru yang terlalu cepat, atau dia suka berkhayal ketika pembelajaran di sekolah. Jadinya dia akan cepat ketinggalan informasi daripada gurunya.

Segera aku sambung ayatku, “Sara cakap dengan kawan Sara, ketika cikgu mengajar, janganlah tanya Sara lagi. Lepas cikgu habis terangkan semuanya, baru tanya. Kalau tak faham pun, bukannya tak boleh tanya guru kan. Cikgu takkan marah kalau Sara tanya kan?”

“Tak, mana cikgu nak marah. Semua cikgu Sara okay je, kalau tanya.”

“Itu baru cara yang betul. Zaman mama dulu, dengan cikgu-cikgu mama memang kita tak berani. Nak senyum pun, fikir banyak kali. Takut sangat dengan cikgu.”

Sara tersenyum sahaja. Begitulah perbezaan yang paling nyata antara hubungan guru-murid, barangkali begitu juga yang terjadi antara ibu-anak.

Tapi kan, mama belum beritahu apa maksud perasa makanan.” Kata-kata Sara membuatkan aku tergelak. Hampir lupa aku dibuatnya dengan soalan Sara awal tadi.

“Perasa tu mengandungi pengawet yang tidak memberi faedah kepada badan kita. Perasa diletakkan ke dalam makanan supaya menjadikannya lebih enak dimakan. Selalunya perasa tidak membawa apa-apa kebaikan kepada badan manusia.”

“Okay. Faham ma.” Pia disebelah pula sebut dengan nyanyian lagu ‘Phonic’nya sendiri. Berlagu galak dengan perkataan, “A, aaa, aa, aa, A for apple….”

“Kita nak ke mana Sara?” Kebiasaannya pada setiap hari rabu, di mana selepas kelas Aikido Sara, kami akan sama-sama menuju ke Pekan Taiping, sekadar makan di luar, dan ke kedai buku jika perlu. Aku tidak menyiapkan makan malam untuk keluarga dan akan membungkus makanan untuk Saiful.

“Sara nak makan mee sup ikan la mama.”

“Okay.” Aku tahu kegemaran Sara. Mee yang diperbuat daripada isi ikan, dimesin panjang-panjang seperti mee, dan pasangannya kuah sup. Berendam bersama di dalam mangkuk, ternyata mee dan kuah sup itu pasangan yang ideal, bagaikan pinang dibelah dua. Sangat ideal berada di dalam mangkum sederhana saiznya, dan akan diletakkan bersama daun sup, serta sayur sawi bersama. Ternyata makanan kesukaan Sara sangat sedap dimakan semasa panas-panas.

Pia juga suka menikmati mee sup ikan itu juga. Tapi kanak-kanak seperti Pia, tidaklah beriya menghabiskan mee itu pun. Sehabis kuat, Pia hanya menjamah seurat dua mee sahaja. Selebihnya, aku yang terpaksa menghabiskan semangkuk mee ikan itu.

Kami agak bertuah, perjalanan dari sekolah Sara ke pekan Taiping agak lengang. Aku hanya memandang ke hadapan, fokus dengan pemanduanku. Dari cermin tengah kereta, aku melihat Sara asyik membaca sebuah buku ceritanya. Pia entah apa angannya. Dia duduk asyik dengan patung beruangnya. Mulutnya bergumal menyanyikan lagu Phonickegemarannya. Sara dan Pia dalam dunia mereka sendiri! Begitu juga aku.

Apatah lagi, walaupun hari ini suasana agak suram, mendung menyelubungi mega di langit. Awan gemalan yang biasanya memutih di angkasa, berwajah duka, seduka hatiku sejak seminggu lalu. Sebenarnya, sudah lama memendam perasaan sendiri. Banyak perkara yang sering menjadikan aku dan Saiful berbalah, walaupun kadangkala tidaklah sehingga benar-benar bersengketa, tetapi masih meninggalkan bekas di hatiku ini.

Dia terlalu pasif dalam semua perkara, sampaikan hasratku untuk menghantar Pia ke Tadika pun disangkalnya mentah-mentah. Masih kuingat lagi bait-bait ayatnya yang bukan sahaja menolak niat baikku, malah seolah cuping telingaku digigit-gigit dan dimamah dek kata-kata pedas Saiful. “Kalau dah hantar Pia ke kelas, Kat nak buat apa di rumah, merayau je.”

“Kalau Pia tak biasa bersosial dengan orang lain, susah untuk dia belajar berkawan dengan orang lain.” Aku masih cuba memujuknya.

Mukanya berwajah cuka ketika memandangku. Matanya berbulat besar, memandang sinis, dengan ekor matanya kemudiannya. “Cakap je, kat malas nak jaga anak sendiri. Jadi ibu ni Kat, kalau malas nak jaga anak sendiri, macam mana?”

Dan mendengar kata-kata pedasnya, aku hanya terdiam, malas lagi bertikam lidah dengannya lagi. Pada mulanya, mahu sahaja aku membalas kata-katanya, dengan kata-kata, ‘Bila pulak, Kat kata malas. Kalau aku malas mahu menjaga anak, buat apalah penat-penat aku merancang untuk mempunyai anak lagi, sedangkan proses mengandungkan anak-anak bukanlah peristiwa yang mudah untukku. Tetapi memikirkan dia sudah menyentuh perkataan ‘malas’ nampaknya, dia sudah memasuki frasa menuduhku untuk tidak berfungsi baik sebagai seorang ibu! Satu tuduhan yang keterlaluan. Padahal, aku hanya menyatakan satu ideal yang sangat idealistik. Dan hatiku luka sekali, dipasak dengan kata-katanya.

Saiful telah melabel aku dengan perkataan ‘ibu yang malas’, ditambah lagi dengan duka dan luka disignifikasikan sebagai isteri yang malas, selalunya! Label yang menjadikan aku sebagai ‘dingin’ untuk berdampingan dengannya!

Aku sudah memikirkan masak-masak, jika Pia bakal dihantar ke sekolah tadika atau lebih tepat pascatadika, Pia akan didedahkan dengan pelbagai aktiviti, diperkenalkan dengan pelbagai nilai-nilai baik, yang boleh membantunya dengan memperbaiki hubungan sosial antara teman-temannya. Pia boleh belajar bertoleransi, sabar, berkongsi dan yang paling penting, Pia akan belajar membina rangkaian sosial yang baik bersama kawan-kawannya yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Maklumlah, di rumah, Pia hanya terdedah kepada satu unit keluarga sahaja. Satu kaum! Melayu! Soal perpaduan ini, harus dimulakan semasa kanak-kanak lagi, seumpama peribahasa yang selalu menyebut, ‘Melentur buluh, biarlah bermula daripada rebungnya.’ Kalau sudah menjadi ‘buluh’, sudah keras, tiadalah gunanya mahu mempraktikkan laungan ‘Slogan Satu Malaysia’, di saat hati sudah wujud prasangka politik, wujud pemisahan kaum berdasarkan warna kulit dan emosi kebencian perkauman.

Dan tiba-tiba siaran yang dinyatakan oleh juruhebah menangkap di cubing telingaku lagi. “Lagu Yuna, Yang sebenarnya akan didendangkan sebentar lagi. hayatilah lagu ini.”

“Mama, kuatkan sikit radio ma,” kata Sara tiba-tiba. Aku hanya tersenyum. Anak sulungku ini benar gemar benar dengan nyanyian Yuna.

Aku membiarkan sahaja alunan lagu Yuna, mengalunkan gelombang perasaanku, yang terasa manis dan pahitnya, rasa cinta yang pelik berulang dek penangan momentum antara aku dan Saiful.

Dan benarlah kata-kata lagu itu lagi, adakah ‘benci’ itu sebenarnya cinta? Adakah cinta perlukan sokongan sifat ‘benci’ bagi memperkukuhkan perasaan cinta? Adakah cinta penuh dengan perasaan yang berkobar, yang merah label warnanya? Cinta yang menyala seperti merah yang menyala! atau rindu seperti biru yang merayu! Cinta penuh dengan pesona warna kasih dan benci? Umumnya, pakar motivasi akan mengatakan, dalam rumahtangga, persoalan dan kebencian, mesti diteliti akan puncanya, atau akar umbinya. Dan puncanya, hanya satu, Saiful. Dia selalu mengecilkan kebolehanku dengan ungkapan perkataan magiknya.

Dan aku terpaksa bersetuju dengan George C.Marshall, ‘Don’t fight the problem, decide it.’

Kehilangan kata-kata adalah biasa! Jangan kehilangan akal dan rasa, alamatnya, hilanglah kekuatan sebagai insan!Tetapi andai setiap hari kehilangan kata-kata, lama kelamaan akan menjelmalah sindrom kehilangan' bisa akal dan rasa', bagai 'ular yang hilang bisanya', lalu binasalah cinta. Masalahnya cuma, satu permasaalahan kami, masalah kami bukan sekadar tidak boleh dibincangkan, kami akan berbalah, dan aku akan mengalah, meski pun bukannya sebabkan aku bersikap kalah, tetapi perasaan dan semangat telah direbahkan, dek aura gelombang negatif Saiful yang selalunya bertegaskan akan sifat ‘malas’aku! Perkataan magiknya, ‘malas’. Selalu sangat dia memperumpamakan aku dengan ‘malas’, dan malas bukanlah sikapku! Entah agaknya, berapa ratus kali dia akan mengatakan, ‘Aku malas itu dan ini’. Dan aku menjadi bosan dilabelkan begitu! Sumpah! Aku sudah bosan. Sebosannya!

“Mama, depan tu mama, ada parking.” Suara Sara menamatkan khayalan panjangku dengan persoalan aku dan Saiful. Melihat ke wajah Sara, fikiranku melayah sekejap. Aku seharusnya melihat diriku sebagai ibu kepada dua gadis cilikku, Sara dan Pia, dan bukannya meilhat diriku sebagai seorang wanita yang mengharapkan pencinta! Sekurangnya, masih ada kewajaran dalam memikirkan diriku yang akan kekal sebagai suri di rumah itu! Aku lihat di cermin dapanku, ternyata terdapat dua ruang parking yang masih kosong betul-betul di hadapan kedai makanan sup kesukaan Sara.

Segera mendukung Pia yang kelihatan seronok dapat keluar bersiar-siar. Maklumlah, setiap hari dia hanya berada di rumah sahaja. Peluang keluar bersiar satu kelegaan kepada dirinya. Dia segera aku dudukkan ke dalam kerusi rotan kanak-kanak. Sara yang duduk di sebelahku, segera memesan makanan kesukaannya. Aku sendiri, meminta sepingga nasi ayam hailam yang disukai Pia.

“Mama, telefon papa. Nak tanya, papa nak makan apa malam ni?”

“Sekejap lagilah Sara. Kita makan dulu. Nanti telefon ya.” Sekadar berdalih. Payah untukku memulakan keakraban, sedangkan hatiku masih terluka, kemudian, dilukai lagi, dan lagi.

Selepas menerima mangkuk makanan kami, barulah aku mengeluarkan telefon bimbitku lambat-lambat. Itu pun setelah didesak lama oleh Sara. Aku sengaja mencari helah menyuapkan makanan untuk Pia sementara Sara mendail nombor papanya.

“Hello papa. Sara dan Pia dengan mama di kedai sup. Papa nak makan apa?”

Kulihat Sara tersenyum-senyum sendiri. Entah apa agaknya yang dibisikkan oleh Saiful sehingga membuatkan dia tersenyum.

“Mama, papa nak cakap.”

Aku segera menggeleng, “Cakap dengan papa, mama malas nak cakap. Pia nak makan.” Sengaja aku memberi helah lagi. Entahlah, mood berbicara susah lama mati.

“Mama kata, dia malas nak cakap dengan papa. Pia nak makan.” Ayat yang sama yang aku sebutkan tadi. Berbunyi kelakar jika difikirkan balik, tetapi sebenarnya berbaur ‘sinis’. Aku mengharapkan agar saiful memahami ayat yang aku luahkan kepada Sara. Persoalannya hanya satu, Saiful itu ‘pekak’ dan bukannya ‘peka’!

“Mama, papa kata tak payah beli makanan untuk papa. Nanti papa makan di luar saja dengan uncleWan.” Kata-kata Sara menggambarkan Saiful akan lewat sedikit untuk pulang ke rumah. Berperasaan lega juga, tidak susahlah untuk aku berpura-pura untuk tidak menegurnya. Sebaiknya, aku akan segera pulang. Selepas Isyak, pasti Pia akan tidur. Dan aku sendiri akan cepat-cepat melelapkan mata. Begitu juga Sara. Kebiasaannya, pada malam khamis begini, dia akan tidur lebih awal kerana keletihan, menghabiskan harinya yang panjang.

Dan seperti dijangka, Sara tidur awal malam ini. Begitu juga Pia. Ketika aku melabuhkan kepalaku di bantal, kedengaran bunyi kunci dibuka di ruang tamu. Aku tidak mahu lagi menghiraukan kepulangan Saiful yang perlu kusambut, sebaliknya hanya cuba menyambut malam yang dingin. Harapnku, masih belum terlambat bermimpi untuk bertemu Nik Hisyam lagi!Dan adakah mimpiku akan tiba?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh (NORA ISMA FUAD)Noor arbaiah ismail