Home Novel Travelog CINTA CAPE TOWN
BAB 26 (NORA ISMA FUAD)
26


‘Sesudah subuh’, barangkali kita biasa mendengar ucapan begitu, yang digunakan oleh orang-orang lama kita dahulu. Bermakna, mereka meninggalkan rumah sebegitu awal, seawal, semasa matahari mulai terbit. Ibu dan ayah pun nampaknya meninggalkan rumah sesudah subuh, sesudah ayah yang pulang dari masjid, berjemaah. Natrah tersenyum sendiri. Agaknya, kedua-dua ayahbondanya begitu bersemangat sekali ingin menyambut pulang anak lelaki mereka yang sudah beberapa bulan tidak pulang ke kampung halaman. Dan ‘semangat’ begitu, bukan kepada mereka sahaja, malah telah ‘berjangkit’ kepada Natrah sendiri.

Natrah segera bergerak ke bilik Katrina, dia membersihkan lantai dengan penyapu, dan menyudahkan dengan menggunakan mop dan membasahkan lantai bilik dengan air bersih dan sedikit campuran dettol. Dia seterusnya membuka cadar dan sarung bantal yang digunakan adiknya sebelum ini, dan menggantikan dengan sarung cadar dan bantal yang baru. Sebenarnya, tidak perlu bersusah payah pun, bilik ini masih bersih dan baru sahaja digunakan Katrina dan Pia. Bilik ini nanti akan digunakan oleh Ersyad, lebih sesuai dengan kedudukan bilik Katrina yang bersebelahan dengan bilik Natrah, sementara bilik Ersyad biarlah digunakan oleh tetamu mereka nanti. Dia merenung gambar tiga adik-beradik mereka yang digantung di dinding bilik Katrina. Setiap seorang daripada adiknya mempunyai kelebihan tersendiri.

Berbual dengan katrina, dia boleh berbicara tentang apa sahaja. Darimana makanan, perasaan atau keluarga. Berbeza dengan Ersyad, satu-satunya adik lelakinya ini, akan berkongsi banyak pengetahuan, baik dari segi perubatan dan juga pengetahuan Islamik. Dia rasa ‘hormat’ dengan konsep adiknya. Biarlah pengetahuan sains selari dengan konsep Islam, kerana agama Islam itu sendiri mencakupi semua bidang yang ada dalam dunia ini. Dia teringat lagi akan kata-kata Ersyad, “Biarlah kita menjadi saintis yang bukan sahaja pakar dalam bidang sains, kita juga pakar dalam bidang agama. Sama seperti para ilmuan dalam zaman keagungan Empayar Umayyah, Abbasiyah dan Uthmaniah.”

Natrah bergerak ke bilik Ersyad, perlu dikemaskan dengan lebih sedikit, maklumlah, sudah dua minggu dia tidak masuk ke bilik ini. Dia menyapu lantai dan mengemop lantai sebelum menggantikan cadar dan sarung bantal baru. Dia membakar lilin wangian Lavender dan meletakkan kaca tabungan lilin, dengan membiarkan api itu menyala lebih lama, mewangi dan menyegarkan bilik untuk tetamu mereka nanti.

Dia masih ingat, pesanan Ersyad semasa balik dahulu, katanya, “Lavender ini gunanya untuk merehatkan badan dan otot. Tetapi bauan ini tak boleh digunakan untuk orang mengandung kak, otot dan badan akan menerima isyarat ‘rehat’ sehingga boleh menyebabkan otot kandungan pun berehat sama, jadi kesannya bahaya untuk kandungan.” Dia melihat lagi, dan merasa puas hati dengan kerja-kerja pembersihan yang dia lakukan.

“Dah habis bersih Natrah?” Suara menyapa dari belakang.

Dia tersenyum. “Dah mak.”

“Tak payah beriya sangat Natrah, tak pernah kotor pun bilik-bilik tu.” Natrah hanya dapat melihat senyuman senang mak. Apa tidaknya, hujung minggu bersama Katrina, Pia dan Sara, dan hari ini bersama Ersyad pula. Tetapi tentu lebih indah, kalau semua dapat berkumpul sama.

“Ayah nak ke kebun. Isikan nasi lemak dalam bekas. Mak nak potong daging, buat rendang.” Mak Natrah segera meminta agar bekalan ayah Natrah dan ekerja kebun disiapkan.

“Baik mak. Ada daging hari ni?”

Mak Natrah tersenyum lagi. Hidangan daging rendang Rawa merupakan signature dishkeluarga mereka. Siapa yang tidak akan jatuh hati dengan hidangan itu! Mereka sama-sama bergerak ke arah dapur.

“Kebetulan Natrah, di pasar ada orang sembelih kerbau baru, tentu sedap.”

Natrah senyum lagi. “Mak, minggu ni kita asyik makan daging. Kena pulak dengan durian. Panas nanti badan.”

“Oh ya, sebut pasal panas, rendam bali, nanti kita masak air bali, sejukkan badan. Mak pun ada beli cincau juga di pasar tadi. sejukkan badan sikit. Kalau gamak panas, pergi je lah berendam di sungai belakang tu.” Mak Natrah tergelak kecil. Natrah menyiapkan bekalan ayahnya, dan meletakkan ke dalam raga. Dia seterusnya meletakkan bekalan itu di hadapan pintu rumah. Dia kemudiannya masuk semula ke ruang dapur dan membantu ibunya memasak.

“Nasi lemak ada lagi Natrah, Ersyad suka dengan nasi lemak.”

Natrah memulangkan senyuman ibunya, “Tak de mak, Nat masak lain. Syad tak suka yang lemak sangat, dia kan jaga kesihatan. Nanti Nat letak sikit saja santan.” Ibunya mengangguk. Maklumlah, bakal doktor, menjaga kesihatan sebahagian daripada keperluan individu.

Selesai memasak dan mengemas, Natrah dan ibunya bersiap menunggu zohor. Mereka berhasrat menanti Ersyad tiba untuk menikmati makan tengah hari bersama, lagipun mereka sudah menikmati nasi lemak untuk sarapan mereka. Natrah masih ingat lagi akan rencana yang dibacanya mengenai zohor, kebetulan ibunya bertanya lagi mengenai info ini, dalam menanti azan zohor berkumandang. Jika tiada azan pun, waktu solat zuhur boleh bermula apabila matahari tergelincir ke barat dan berakhir dengan ukuran bayangan sesuatu benda seperti kayu panjang itu sama betul panjangnya dengan kayu tersebut. Atau disebut juga bayangan matahari panjang segalah’ pesan orang-orang tua lama.

“Apa mak? Pasal cahaya waktu zohor?” Natrah bertanya lagi, mempastikan soalan ibunya sebelum dia menjawabnya.
“Warna alam seterusnya berubah daripada warna biru muda kepada warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian bertukar lagi kepada warna kuning mak.”

Natrah menerangkan bagaimana warna ini berfungsi dengan bahagian penghadaman manusia. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi aura atau warna spektrum yang sesuai dengan fungsi perut dan hati yang amat berkaitan dengan sistem penghadaman manusia. Warna kuning ini juga mempunyai rahsia yang berkaitan dengan aspek psikologi manusia iaitu keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya.
“Itulah rahsa solat yang kita kena fahamkan Natrah. Ajaran islam murni sekali ajarannya. Semuanya ada penjelasan yang jelas. Cuma, kita sahaja yang tidak faham dan tahu. Banyak rahsia yang kita kena pelajari.”

“Betul mak. rasanya sudah dengar azan tu mak.” Mereka mendiamkan diri sambil ‘menjawab’ azan secara perlahan dan kemudiannya melangsaikan zohor dengan berjemaah bersama.

“Mak, nanti Syad balik dengan kawan kan. Biar je lah mereka makan bersama, seganlah Nat nak makan sama.” Natrah meluahkan kepada ibunya. Ibunya tersenyum sahaja, itulah sifat gadis pingitan, malu untuk berhadapan dengan lelaki yang tidak mereka kenali.

Seperti dijangka, pada lewat jam 2 petang, sebuah kereta Camry berwarna kelabu mulai memasuki lorong jalan ke rumah Natrah.

Ibu Natrah memperbetulkan tudung di kepalanya sambil menanti tetamunya turun daripada kereta. Natrah masuk ke biliknya, menutup pintu biliknya dan sekadar mengintai daripada tingkapnya yang separuh terbuka, dengan harapan, mereka tidak akan menoleh kepadanya.

Ersyad yang turun daripada tempat duduk hadapan kereta, segera turun, bersalam dan berpelukan dengan ibunya.

“Mak, kenalkan ini Jonathan, Erving dan ini Dr.Saiful Daniel.” Ibu Maimunah hanya mengangguk, menghormati tetamu yang datang.

“Mak cik, terima kasih menerima saya di sini.” Dr Daniel segera mengucapkan terima kasih.

“Ya mak cik, terima kasih.” Jonathan yang digelar dengan nama mesranya Jon, berketinggian 176cm, berbangsa Thionghua, dengan susuk tubuh bersaiz kecil, segera mengucapkan terima kasih. Adatnya, tetamu yang dihormati mestilah mengucapkan terima kasih sebagai tanda penghargaan tuan rumah menerima tetamu.

“Jon ni mak, dia tak ada kampung. duduk di bandar, teringin nak tengok kampung.”

“Tak ada masalah Jon. Nanti bawa dia ke sungai lepas makan Ersyad.”

“Canteekkk mak cik. Tentu best mandi sungai.”Jonathan menyambuk, tersenyum. Udara di kawasan kedesaan yang dipenuhi dengan tanaman segar yang menghijau ternyata member rasa udara yang berbeza sekali dengan kawasan bandar!

“Ialah, tentu seronok. Lama sangat tak mandi sungai.” Erving yang berketinggian setinggi 156 cm, bakal graduan dalam bidang kejuruteraan kelihatan teruja dengan suasana kedesaan yang dilihatnya. Mata kecilnya, sinonim dengan mata bersaiz kecil milik orang Thionghua, kelihatan besar melihat suasana kehijauan yang berada di sekelilingnya. ‘Padanlah orang-orang di kampung lebih baik kesihatan mereka. Mereka berada dalam ‘zon hijau’ yang lebih selesa, dan banyak oksigennya.’ Dia berfikir sendiri, melayani kedamaian rasa yang dia sedang alami. Kepenatan berada dalam kenderaan pensyarah mereka, seakan hilang dalam redup pohom mangga di halaman rumah Ersyad.

“Ialah, lepas makan durian, panas-panas, kita mandi.” Ersyad tersenyum lagi. Seronok membayangkan dirinya bermandian di sungai.

“Jemputlah masuk, kita makan dulu.”

“Eloklah mak, kami dah singgah masjid hujung kampung tadi, untuk solat zohor. Perut pun berkeroncong dah ni.” Mereka sama-sama melangkah masuk ke rumah menimati makan tengah hari. Ersyad tiba-tiba teringatkan kakaknya, Kak Natrah.

“Kak Nat mana mak?”

“Ada. Kat bilik, dia rasa malu nak keluar.” bunya segera membisikkan ke telinga Ersyad.Ersyad tersenyum sendiri.

“Makan Dr.Daniel, Jon, Erving, jangan malu-malu pulak.”

Jonathan tersenyum lagi. “Sedap rendang mak cik ni. Nasi lemak pun sedap. Ni makanan kesukaan saya ni, nombor dua durian.” Pemuda berkaca mata yang berbeza jurusan dengan Ersyad ini, bakal akauntan, berkaca mata ini nampaknya menikmati makanan yang disediakan.

Erving mengangguk sama. Menikmati hidangan tengah hari yang enak, terasa bagaikan membazir dengan menghamburkan banyak kata-kata. Lebih baik rasanya berdiam diri dengan menikmati keenakan masakan yang berada di hadapan mata mereka.

Dr Daniel yang sejak tadi hanya memdiamkan diri, menikmati makanan dengan khusyuk mula berbicara, “Ini rendang apa ni makcik, unik rasanya.”

“Rendang Rawa.”

“Rawa? Ini pertama kali saya makan.”

“Sebelah keluarga mak cik, keturunan Rawa. Pak cik pula Jawa. Jadi Jawa campur rawa, jadi, Ersyad ni keturunan Wawa.” mereka semua tertawa sahaj mendengar celoteh Ibu Maimunah.

“Selepas makan, kita rehat sekejap, nanti, lepas tu pergi sungai, mandi. Lepas asar kan, kita pergi kebun durian. Malam nanti tidur sana nak tak?”

“Boleh, asalkan ada makanan.” Jawab Jonathan sambil ketawa.

“Itu bisa diatur,” disambut Ersyad ketawa.

Erving kelihatan terkejut. Dia memikirkan teman-temannya sebelum ini hanya bergurau mengenai situasi ‘tidur’ di dusun durian. Dia hanya memandang dengan ‘anak mata’ yang besar ke arah Ersyad dan Jonathan yang berada bertentangan dengan tempat duduknya. “Er makcik, di dusun tak ada harimau kan? Hantu pun tak ada kan?”

Ibu Maimunah tergelak lagi, “Mana pulak ada harimau. Kalau dulu-dulu ada lah. Kalau hantu, makcik rasa, hantu durian ada lah.” Dan dia tergelak lagi. Mereka yang lain sengaja ketawa kuat bagi menakut-nakutkan Erving lagi.

“Haiya kawan, mana ada hantu di dusun durian. Hantu pun takut kena hempap dek durian tau.” Jonathan mengusik lagi, menjadikan bahan ketawa mereka semakin kuat.

Makan tengah hari mereka ditamatkan dengan potongan mangga enak bersama teh nipis. Dr Daniel segera bangun dan mengucapkan ucapan terima kasih, “Saya balik rumah saya dulu, awak semua enjoylah ke kebun durian tu nanti. Lusa saya datang ambik awak semua.”

“Jadi Doktor tak pergilah ke kebun durian nanti?”

Dr Daniel tersenyum sambil berkata, “Terima kasih atas perlawaan awak semua. Petang ni saya mahu ke Hospital Ipoh, mahu jumpa dengan kawan saya, mungkin balik lambat sikit. Kami perlu berbincang kes.” Penjelasan Dr Daniel melegakan hati Jonathan dan Erving. Agak terganggu juga aktiviti mereka jika pensyarah yang dalam lingkungan usia akhir tiga puluhan ini hadir bersama-sama dengan aktiviti ‘bermalam di dusun nanti’.

Dr. Saiful Daniel segera berlalu dengan kereta Camrynya setelah selesai menjamu selera bersama-sama keluarga Ersyad. Dan Natrah pun segera keluar dari biliknya dan bertemu adiknya. Dia tidak kekok bertemu Jonathan dan Erving yang hanya sebaya Ersyad dibandingkan dengan Dr. Saiful daniel yang merupakan pensyarah kepada adiknya.

“Eh, kakak ada rupanya. Saya Jon.”

“Saya Erving.”

“Kak Natrah. Panggil saja Kat Nat.” Kedua-duanya tersenyum memandang wajah mulus Kak Natrah. Erving leka memandang Kak Natrah, segera fikirannya membandingkan antara Ersyad dan Kak Natrah, ‘jauh sekali berbeza dengan Ersyad. Kak Nat berkulit mulus, putih bersih kulitnya, berbeza dengan Syad yang berkulit bertona sawo matang. Yang sama antara keduanya adalah berhidung mancung’. Dia tersenyum lagi. Jonathan

juga merenung Kak Natrah yang berdiri di hadapan mereka, dalam fikirannya hanya memuji kakak Ersyad ini dalam diam. Dia berfikiran nakal juga, ‘Andailah Kak Natrah ini, adik Ersyad, tentu seronok, ada peluang dia memenangi hati Natrah.’ Dan dia juga tersenyum sendiri.

Ersyad terpandangkan wajah-wajah teman-temannya yang masing-masing tersenyum sendiri. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Benarlah kata kajian psikologi, lelaki akan kalah dengan pandangan mata mereka. Sekali pandang sahaja, deria mata itu akan menjadikan naluri kejantanan terus berkata-kata. Atas dasar inilah lelaki selalunya tewas ‘nafsu’ dengan perempuan cantik yang menggoda mereka. Ersyad sempat melihat wajah kakaknya yang merona kemerahan, terasa malu dengan tenungan dua lelaki yang jauh lebih muda daripada usianya.

Ibu Ersyad hanya tersenyum, mengetahui rasa malu yang tersimpan di dalam hati anak perempuannya.

“Okaylah. Kak Nat mahu kemaskan meja. Pergilah berehat.”

Natrah mengangguk lagi, mengiyakan perkenalan diri teman-teman Ersyad. Semalam adiknya telah menyatakan nama teman-temannya. Melihat mereka beredar ke bilik untuk berehat, Narah mengemas meja makan di ruang dapur. Di hatinya, bagai menyimpan perasaan suka sendiri. Sempat dintai tetamu mereka daripada tingkap biliknya. ‘Boleh tahan Dr Daniel tadi tu’. Tidaklah kacak sangat. Wajah yang biasa. Rambut yang bergelombang. Macam orang filem lama-lama dahulu. Klasik. Wajah orang Melayu tulen, ada sepasang mata, telinga, dan bibir. Segelumit janggut yang disimpan rapi. Dahi yang agak melebar, tandanya bijaksana. Ketinggian di paras sederhana, dan kulit sawo matang. Mata yang sederhana besarnya, tetapi pandangan yang tidak melingas, bermakna orang yang tidak ‘kaki perempuan’.

Dia tersenyum lagi. Sendiri. Dalam senyuman Natrah mengandungi rahsia pandangan matanya sendiri. Hanya dia yang tahu. Solo. Sendiri. Hati perempaunnya terusik lagi. Walaupun dalam hatinya berteka sendiri, barangkali silelaki itu sudah beristeri, dia tidak peduli. Sekadar ‘jatuh hati’ sedikit, apa salahnya. Hatinya bernyanyi kecil lagi.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh (NORA ISMA FUAD)Noor arbaiah ismail