Home Novel Travelog CINTA CAPE TOWN
BAB 3; SAIFUL ANUAR AZIZI, (NORA ISMA FUAD)
      

Bab 1-22 akan menggunakan gantinama diri "AKU" dalam bab-bab ini. Dilabelkan dengan nama watak.

Bab 1- 6 merujuk kepada SAIFUL ANUAR BIN AZIZI,

BAB 7-11; NUR KATRINA BT. DAUD.

BAB 12-17 NURNATRAH BT. DAUD.

bAB 18-21 ADUHA @ DUHA.

SEMUA WATAK2 INI / BAB 1- 21; AKAN BERAKHIR DI SATU TEMPAT iaitu Break Through Event. Dan seterusnya, tiada gantinama diri pertama lagi yang akan digunakan. BAB 22; watak dikembangkan dgn gantidiri ketiga.

Selamat Membaca! Mengalu-alukan pandangan pembaca! Saya dahului dengan ucapan terima kasih. Suntingan bab-bab hanya dimasukkan secara rawak sahaja.
3

Katrina yang juga biasanya kupanggilan dengan gelaran Kat, bagaikan dilanda Taufan Katrina dua tiga hari ini. Cuma kalau dibandingkan istilah taufan sebenarnya, Taufan Kartina yang berlaku di rumah, tidaklah sebahaya mana.

  

Katrina bagaikan moodysangat kebelakangan ini. Semuanya bagai tak kena. Kalau tak salah, mengikut kata mak, mak akan katakan, “Pengaruh angin kus-kus lah tu.” Entah apa sebabnya. Perempuan ni setahu aku hanya dua sahaja situasi diserang ribut taufan. Pertama, menunggu kedatangan ‘datang bulan’, mengikut bahasa orang-orang tua. Agaknya, disebabkan kedatangan setiap bulan mengikut pusingan normal seorang wanita biasa. Berapa pusingan harinya? Entahlah! Mengapa pula aku perlu ambil pusing semua itu.Sebagai lelaki, aku ‘ tak ambil pusing’ semua perkara yang tiada kaitan denganku. Yang aku pasti, sebulan sekali, pasti Kat akan bercuti sembahyang. Pada masa itulah mood nya selalunya ‘semacam’ sahaja.

Kedua, kalau dia mengandung. Setiap kali dia mengandung, dalam trimester pertama atau tiga bulan pertama, sekali lagi dia dilanda taufan Melur, Yasi, Labis, Guba, Narjis, Megi, Xangsane atau sehabis teruk Taufan Katrina, sesuai sangat dengan namanya. Taufan Katrina!

Untungnya amukan Katrina hanyalah membuatkan dia hanya akan membisu, seribu bahasa. Tiada sepatahpun yang akan lahir daripada bibirnya yang bagaikan limau seulas itu. Bayangkanlah, seperempuan yang bertahi lalat sebutir ini, yang terletak di atas bibir membisu seribu bahasa. Pelik! Diam bukan bermakna ‘setuju’, Cuma ‘membatu’. Tetapi sikap diam itulah yang sering ‘membunuh’ segala emosiku. Si dia hanya mendiamkan diri bagaikan Amerika dan Rusia yang sedang ‘berperang dingin’. Tidak juga berperang tetapi ‘dingin’. Cuma perangainya tidak kufahami puncanya, atau arah datangnya. Dia tidak pernah membincangkan masalahnya bersamaku, malah aku juga tiada masa untuk bertanya.

Yang aku sedar, seminggu nanti, ‘eloklah anginnya itu’. Tanpa pujukanku, tanpa pujuk rayu atau kata maaf daripadakupun, ‘sejuknya’ akan tiba apabila angin ‘panas dan puting beliungnya’ akan distabilkan. Entahlah apa yang boleh meneutralkan ‘asid marah’ yang menjarah dalam tubuh badannya? Atau dalam mindanya? Atau dalam gelodak jiwanya? Yang menjadikan dia berkelakuan sedemikian rupa?

Bukankah dalam tubuh wanita, hanya hanya satu bahagian akal, dan sembilan lagi adalah nafsunya? Wanita hanya dikawal sepenuhnya oleh keinginan jiwanya, perasaannya mahupun hatinya sahaja, bukan fikiran bijaknya. Dan begitulah nekadku, biarlah Kat ‘sejuk’ sendiri!

Pagi tadi, aku hanya dapat memandang dia melipat sejadah dan telekung tanpa berkata sepatahpun. Seterusnya, dia hanya keluar terus daripada bilik tidur kami ke bilik anak-anak kami. Itulah cara ‘Taufan Katrina’ berlaku dalam rumah kami. Tidaklah seteruk taufan Katrina yang melanda Amerika Syarikat. Cuma, aku dilanda amukan emosi. Sudah tiga hari Kat berkeadaan begini. Merajuk barangkali! Dan aku masih tidak menemui rahsia rajukannya. Malamnya pun, aku rasakan dia sengaja melambat-lambatkan kerjanya di ruang bawah sana. Jarang melihat dia melipat dan mengemop ruang tamu dan dapur setelah jam 11 malam. Selalunya dia hanya berkelakuan pelik seperti ini, jika dia sedang ‘perang dingin’ terhadapku. Barangkali sama seperti Perang Dingin, perang tanpa senjata tang meibatkan hanya perang ideologi antara pihak Kapitalis yang diketuai oleh Amerika dan juga pihak Komunis yang diketuai oleh Rusia. (dahulunya USSR tetapi sudah berpecah) Tiaa pergaduhan mahupun pertengkaran, tetapi tidak bertegur sapa sesama sendiri. Lagilah kalut! Diam tidak semuanya bererti mahu atau setuju! Diam Kat menandakan ‘protes’.

Aku cepat-cepat bersiap dengan mengenakan seluar jeans dan berbaju kemeja daripada kain kapas, yang kelihatan tebal tetapi tahan lasak. Berada dalam terowong yang dibina tidak sama situasinya berada di bawah terik mentari. Walaupun terlindung daripada kepanasan, haba panas akan cukup terasa. Di tingkat bawah kedengarannya suara Kaisara Kamila, puteri sulungku yang baru berusia sepuluh tahun. Agaknya dia sedang bersarapan. Segera aku menuruni anak tangga menuju ke meja makan kami.

“Papa, makan.” Dia mempelawa aku dengan senyuman manisnya. Wajahnya persis Kat. Bak kata orang lama, sebiji macam muka ibunya. Berwajah bujur sireh, kening yang lebat. Matanya jauh lebih sepet daripada Kat sendiri. Berbibir halus, mulus berwarna merah jambu yang cantik. Kulitnya putih bersih, jauh sekali dengan warna kulitku yang sawo matang. Mata Kaisara yang memandang tepat ke wajahku, aku memulangkan pandangan itu dengan menghadiahkan dia sebuah senyuman, “Papa datang ni.” Kat sebaliknya hanya membatu lagi.

Perbualan kami bersama, masih tidak mendapat ‘tindakan’ daripadanya. Amukan dalam hatiku berkata sendiri, ‘Apa kena dengan awak ni Kat. Apa yang tak kena dengan saya.’ Dan aku pasti, pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya, bukannya diriku sendiri. Tapi sekali lagi, semua soalan mati di sini lagi. Terkunci sendiri lagi. Atau, Kat marah dengan tindakanku menegurnya lagi. Kadangkala Kat ni pun, semacam juga, pantang ditegur saja, mulalah ‘perang dingin’ bermula lagi. Tetapi sebagai seorang suami dan bapa kepada puteri-puteri kami, salahkah aku menegur sikapnya yang salah! Sebagai suri rumahtangga, dia seharusnya dapat menguruskan hal rumahtangga dengan baik. Tiada toleransi terhadap sikap memukul anak begitu saja. Tidak kepada Kaisara dan BabyPia kami. Agaknya semuanya ini ada kaitan dengan peristiwa tiga malam lepas! Agaknya!

Sebagai suami, aku terasa malas mahu membangkitkan dan menyelesaikan semua persoalan yang berlegar dalam berlegar dalam fikiran wanita. Dia meletakkan sebuah pinggan di hadapanku tanpa berkata sepatahpun. Aku segera menyauk sesenduk mee goreng dan kemudian menjamahnya perlahan. Air teh tarik yang Kat sediakan, aku hirup perlahan. ‘Sedap’, sekadar memuji sendiri. Memerhatikan sekeliling, suara Pia tidak kedengaran, agaknya masih belum bangun daripada tidur lagi.

Seandainya tidak memikirkan mood Kat yang sedang dilanda hurikan, mahu sahaja aku memuji mee goreng dan teh tarik yang disediakan isteriku. Tetapi dalam menyelami situasi dia yang hanya membatu, terasa pujianku hanya akan menjadi sia-sia sahaja.

“Papa, nanti papa boleh datang tak ke sekolah Sara?” Soalan anak gadis pertamaku ini, seolah sengaja membawa aku kembali ke alam realitiku. Aku segera memerhatikan ke wajah Kat, namun masih tiada jawapan. Segera aku berpaling kepada Sara.

“Sekolah Sara? Ada apa dengan sekolah Sara?”

“Kan mama akan datang, jangan risau. Bukankah selalu mama yang datang?” Cepat-cepat kulihat Kat menyampuk perbualan kami. Ayatnya berbunyi sedikit sinis, ada ritma getaran sedikit di hujungnya. Entahlah! Aku perhatikan wajah Kat lagi. Dia tidak bersuara. Riak wajahnya menggambarkan dia tidak begitu gembira dengan soal balasku kepada Sara. Wajah bujur sireh itu masih kelihatan mendung benar.

Bunyi hon van di luar sana menjadikan Sara bingkas bangun dan cepat-cepat meluru ke arah pintu rumah kami. Aku segera bangun dan mengekori Sara. “Hari ni papa hantar Sara ke sekolah. Papa beritahu Pak Cik Chan tu.” Segera aku keluar dan memberitahu Chan, pemandu van sekolah Sara, yang aku akan menghantar Sara ke sekolahnya.

Sekurangnya, aku mesti mengambil tahu perkembangan anak gadis cilikku ini. Aku bimbang, seandainya aku bertanya kepada Kat, dia akan membatu berterusan. Melihat akan gayanya yang begitu dalam tempoh melebihi 48 jam, aku mengagak, Kat akan dilanda ribut taufan dalam tempoh yang agak lama juga. Sara segera mencapai bekalnya yang disediakan Kat. Sejak awal perkahwinan kami, Kat telah menjadi isteri dan ibu yang baik kepada kedua-dua puteri kami, Kaisara Kamila dan Sophiellea Kamila, anak bongsu kami, yang akan berusia genap tiga tahun Julai akan datang.

“Jom.” Mengajak Sara segera.

“Ada apa di sekolah Sara nanti?”

Sara merenungku dengan pandangan mata yang agak aneh. Barangkali pelik dengan soalanku tadi. “Ala, papa tak tahu lagi ke? Mama tak cakap dengan papa?” Aku terpaku sejenak. Tentu ada implikasinya jika aku menyatakan hal sebenarnya. Terdapat beberapa pilihan untuk aku nyatakan jawapanku terhadap soalan Sara. A. Aku menyatakan hal sebenarnya. Kat barangkali benar-benar terlupa memberitahu tentang rancangan di sekolah Sara. B, atau barangkali, dia sudah menyatakan hal yang sebenarnya, dan aku barangkali terlupa. Atau C, tiada satupun perkara di atas. D, Barangkali, aku yang tidak mengambil berat menjadikan Kat keberatan memberitahuku peristiwa penting di sekolahnya.

“Mama dah beritahu, tapi papa sudah terlupa la. Sara boleh beritahu papa sekali lagikan?” Senyuman Sara melegakan aku. Senyumannya benar-benar mirip Kat. Senyuman yang menampakkan sepasang barisan gigi yang tersusun indah. Macam senyuman seorang model atau barangkali seorang pelakon.

“Papa ni pelupa la. Kan ada Hari Kantin di sekolah Sara. Ada banyak jualan di sekolah.”

“Papa dah tua Sara, memang lah lupa.” Oh ini rupanya, hari Kantin? Fahamlah aku, di sekolah Sara ada jualan, barangkali bertujuan amal ataupun menambah wang untuk kegunaan sekolah.

Setibanya di hadapan pagar sekolah Sara, aku memakir keretaku di tepi pagar. Tangan kanan segera aku hulurkan kepada Sara, dia mencium tanganku dua kali. “Sekali untuk semalam. Semalam tak sempat jumpa papa sebelum tidur.” Aku mengangguk. Semalam aku pulang agak lewat, terdapat sedikit masalah di tempat kerja. Kebocoran kecil air dari tangki dalam terowong boleh menjadi nahas buruk jika dibiarkan begitu sahaja. Pemendapan air boleh berlaku dan boleh memberi kesan kepada pemasangan paip dalam tebing dalam terowong. Kebocoran walaupun kecil sahaja, belum dibendung sebelum ianya berakhir dengan tragedi. Lagipun, sehingga hari ini, syarikat telah berjaya mengekalkan rekod tanpa kemalangan jiwa dan harta.

Aku mencium pipinya sekali di sebelah kanan dan bertukar ke sebelah kiri. Segera aku mengeluarkan duit dua puluh ringgit daripada dompetku dan menghulurkan kepada Sara.

“Untuk belanja. Mungkin Sara perlu wang lebih sikit untuk hari kantin.” Melihat wajah senyuman dia, hati menjadi lapang. Terasa lega. Bagaikan melihat senyuman Kat di rumah kami yang telah aku tinggalkan. Mungkin, Kat mengandung lagi tak? Empat tahun lepas, bila tiba-tiba angin ‘taufan’ Kat datang, rupanya dia mengandungkan Baby Piakami, Sophiellea Kamila. Mungkin! Siapa tahu! Aku hanya akan membiarkan Kat dengan angin ributnya asalkan dia tidak ‘mengganas’ dan mengganggu kami! Dan seperti dialog dalam ceritera lama, ‘Biarkanlah Luncai terjun dengan labu-labunya’, asal sahaja dia tidak menjejaskan keharmonian rumahtangga kami! Tidak kepada aku, Kaisara Kamila atau Baby Piakami.

Lagu lama Roxxette, Crazy about you,berdendang indah mengembalukan nostalgia indah aku dan Kat. Aku sendiri bagaikan menyanyi kuat mengikut rentak irama lagunya.

Ooooo...
I’m crazy about you
I’ll give you all my love
Yes I’m crazy about you
Night and day, day and night
I’ll be your heart’s salvation

Hey baby, let’s stay together
Let’s make it now and forever
I want to show it and shout it
and tell the whole world about it…

Ternampak akan kereta yang berhenti di sebelah lampu isyarat seolah ketawa mengejekku. Pandangan kedua pemandu dan insan di sebelahnya yang leka memandang ke arah keretaku, bagaikan mengejekku yang turut sama bernyanyi, sekuat suara radioku. Lantas aku mulai mendiamkan diri membiarkan irama lagu itu terus berkumandang terus, berirama, memainkan bahasa cinta sekadar di jiwa sang jantan ini.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh (NORA ISMA FUAD)Noor arbaiah ismail