Bab 1-22 akan menggunakan gantinama diri "AKU" dalam bab-bab ini. Dilabelkan dengan nama watak.
Bab 1- 6 merujuk kepada SAIFUL ANUAR BIN AZIZI,
BAB 7-11; NUR KATRINA BT. DAUD.
BAB 12-17 NURNATRAH BT. DAUD.
bAB 18-21 ADUHA @ DUHA.
SEMUA WATAK2 INI / BAB 1- 21;
AKAN BERAKHIR DI SATU TEMPAT iaitu Break Through Event. Dan seterusnya,
tiada gantinama diri pertama lagi yang akan digunakan. BAB 22; watak dikembangkan dgn gantidiri ketiga.
Selamat
Membaca! Mengalu-alukan pandangan pembaca! Saya dahului dengan ucapan
terima kasih. Suntingan bab-bab hanya dimasukkan secara rawak sahaja.24
Setibanya di rumah, hati merasa lapang. Katrina turun dari keretanya
secara cepat-cepat, membuka pagar dengan menoleh ke kiri dan kanan. Dalam
situasi di Malaysia sekarang ini, timbul juga rasa bimbangnya sekali-sekala.
maklumlah, orang merompak dan mencuri sampai ke halaman rumah orang tanpa rasa
bersalah. Buka pagar sahaja pun, kadangkala sempat dirompak lagi. Lagi malang,
perompak mengapa-apakan tuan rumah, tidak cukup sekadar ‘merosakkan’ harta
benda dan ‘jiwa’. Di parkirnya kereta di halaman, dan cepat-cepat menutup dan
mengunci pintu pagarnya kembali. Dia membangunkan Sara yang sudah pun tertidur
dalam kereta.
“Sara bangun, dah sampai rumah.” Sara bangun sambil menenyehkan matanya.
Dia bangun dan meluru masuk ke dalam rumah dan berbaring di sofa, masih dalam
keadaan mengantuk. Katrina mengangkat Pia yang masih tertidur setelah menghidupkan
suiz penghawa dingin di bilik anak-anaknya.
“Sara, pergilah tidur dalam bilik, mama dah buka aircond.”Dia meletakkan Pia dengan berhati-hati di atas katilnya.
Dia memunggah beg-begnya, dan alatan melukisnya satu persatu. Durian
dikeluarkan dari bonet kereta dan diletakkan di belakang rumahnya, di tempat
yang terlindung daripada hujan, sambil kepalanya meninjau kedua-dua jirannya.
andainya mereka ada di belakang, tidaklah perlu dia menelefon mereka untuk
memberi durian kiriman ibubapanya.
“Dah balik Kat?” Suara yang menegurnya segera disahut. Suara Kak Nordian,
jiran yang ditunggu, mesra dipanggil Kak Dian.
“Baru sampai kak. Elok sangatlah kak muncul ni.”
Kak Dian tertawa, “Kenapa pulak.”
Katrina segera menoleh dan menghampiri pagar yang memisahkan kedua
deretan rumah mereka. “Mak dan ayah saya kirimkan durian untuk keluarga kak.
Ingat nak telefon kak sekejap lagi.”
“Ya ka, alhamdulillah. Baru semalam ingat nak beli durian. Hari ni Allah
sudah beri rezeki.” Senyuman Kak Dian melegakan hati Katrina. Bagaikan diseru,
dia pun muncul di saat dia memerlukan jirannya. Katrina mengangkat buah durian
dan memberi kepada jirannya. Enam biji semuanya.
“Banyak ni Kat!”
“Tak pe, memang akak punya. Nak bagi Kak Nani sebelah juga, tapi tak
nampak dia pun.”
“Kalau tak salah hari tu Kak Nani kata diorang balik kampung, tapi hari
ni dah balik la kot.” Kata-kata Dian menyenangkan hatinya. Takut juga Katrina
untuk terus menyimpan lama durian di dapurnya. Durian kalau disimpan lama tidak
akan seenak durian yang baru.
“Okay la Kak Dian, Kat masuk dulu. Nak kemas barang sikit.”
“Ya. Terima kasih ya Kat. Ni durian baik ni. Tentu anak kak si Farahnaz
tu suka, dia balik petang ni.”
“Iya ke? Tentu seronok jumpa dia nanti. Esoklah kita sembang.” Kak Dian
mengangguk. Maklumlah, pesara guru, dia mempunyai banyak masa dengan berada di
rumah.
Katrina mengangkat beg ke dalam bilik. Bingkai yang terpapar pesanan
al-Ghazali dibelek lagi. Hadiah perkahwinan oleh Kak Natrah. Setiap patah
perkataan dibelek lagi.
Anakku!, Engkau sekarang akan berpindah dari rumah
tempat engkau dibesarkan...
Dan akan berada ditempat tidur yang
tidak engkau kenal.
Dan rakan hidup yang engkau tidak biasa
dengannya..
Itulah suamimu.
Jadilah engkau sebagai tanah untuknya
dan
ia akan menjadi sebagai langitmu.
Jadilah engkau sebagai lantai untuknya
dan
ia dapat kau jadikan tiangmu.
Jadikanlah dirimu ibarat seorang khadam
kepadanya,
nescaya dia pula akan menjadi khadam
kepadamu..
Jangan engkau memaksa-maksa apabila
engkau meminta sesuatu daripadanya.
Dengan cara yang demikian akan menjadi
ia merasa benci padamu.
Jangan pula engkau menjauhkan diri
nescaya ia akan melupakan engkau.
Dan kalau ia pula menjauhkan diri
secara marah kerana sesuatu sebab yang tertentu,
maka yang eloknya jauhkanlah dirimu daripadanya
semasa marah.
Peliharalah hidung,telinga dan matanya.
Janganlah membiarkan dia menghidu
sesuatu daripada mu melainkan yang harum.
Janganlah membiarkan dia mendengar
sesuatu daripada dirimu melainkan yang baik, dan janganlah membiarkan dia melihat sesuatu daripada dirimu melainkan
yang cantik belaka.
Katrina menyedari banyak perkara yang tidak lagi dia patuhi. Mungkin, dia
hanya membiarkan dirinya yang selekah di hadapan Saiful, mungkin dia tidak lagi
mempamerkan rasa ‘cinta’ dengan kerap bermasam muka. Mungkin! Banyak sekali
kesalahan perasaan yang dipamerkan kepada Saiful yang mengundang Saiful
memfokus kesalahannya. Mungkin! Dia harus bersikap optimis, jika dia menujukkan
cintanya kepada Saiful, dia percaya, Saiful akan memulangkan perasaan yang
sama!
Setelah habis mengemas, dia hanya mengintai anak-anaknya yang masih tidur
nyenyak, mungkin keletihan sepanjang perjalanan. Kartina mulai mengaktifkan
komputer buruk di meja belajar abak-anaknya, cuba mencari maklumat tentang al
Ghazali yang dibisikkan oleh kakaknya pagi tadi.
Matanya
tertera kepada maklumat di skrin, membacanya perlahan, sekadar mendengar di
koklea sendiri, “Imam Al-Ghazali atau nama sebenarnya
adalah Abu Hamid Ibnu Muhammad al-Tusi al-Ghazali, dikenali dengan pelbagai
gelaran termasuklah Ahli Sufi, ahli falsafah. Imam al-Ghazali dianggarkan telah
menulis hampir 300 buku yang mencakupi pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti
mantik, akhlak, tafsir, ulumul Quran, falsafah, dan sebagainya. Walau
bagaimanapun, sebahagian besar hasil tulisannya telah hangus dibakar oleh
tentera Moghul yang menyerang kota Baghdad ketika itu.”
“Moghul?” Dia mencuba mengingati sejarah lama itu, tetapi
gagal. Maklumlah, sudah lama meninggalkan pengajian sejarah Islam. Dia
meneruskan bacaannya, “Antara kitab yang musnah termasuklah 40 Jilid Tafsir,
Sirrul Alamain (Rahsia Dua Dunia), dan al Madhnuuna bihi ala Qhairiha (Ilmu
Yang Harus Disembunyikan Dari Orang-orang Yang Bukan Ahlinya,). Terdapat juga
sejumlah 84 buah buku tulisan beliau yang berjaya diselamatkan seperti Al
Munqiz Mm al Dhalal (Penyelamat Kesesatan), Tahafut al Falsafah (Penghancuran
Falsafah), Mizanul Amal (Timbangan Amal), Ihya Ulumuddin (Penghidupan
Pengetahuan), Mahkun Nazar fMengenai Ilmu Logik), Miyarul Ilmu, dan Maqsadil
Falsafah (Tujuan Falsafah).”
‘Inilah sejarah yang perlu kita ketahui selalu. Kagum dengan
Kak Narah, walaupun tiada internet di rumah, dia sentiasa dapat mengetahui
banyak pengetahuan penting. Dia selalu membaca. Barangkali, Ersyad, dan
hubungkait dengan hal ini juga. Dia kerap mengirim Kak Natrah pelbagai bahan
bacaan untuk kakak sulungnya ini.’ Hati Katrina berbisik sendiri.
Dia teringat
akan Saiful, agaknya dia perlu memberitahu bahawa mereka sudah selamat tiba di
rumah. Segera menekan telefonnya, sekadar menghantar mesej kepada suaminya.
Kami sudah tiba di rumah. Ada rendang mak. Ada durian.
Dan dia
menekan, hantar. Dan kurang seminit, dia mendengar getaran daripada telefon
bimbitnya semula.
Alhamdulillah. Nanti abang bawa balik lauk sikit. Kat tak payah masak
lagi. Tentu penat memandu.
Buat pertama kalinya setelah berkali-kali terasa hati,
kerapkali kalinya sejak-sejak kebelakangan ini, kali ini sms Saiful membuat
Katrina tersenyum sendiri. Sudah lama dia tidak terasa dihargai! Barangkali,
berjauhan sejenak menjadikan perasaan cinta bertaut lagi!
Dan selang tidak berapa saat, dia mendengar getaran lagu
lagi. Barangkali Saiful bersms lagi. Katrina melihat skrin telefonya lagi,
daripada Vimmi.
Dah sampai rumah Kat? Kalau tak ada aral, esok lukisan
dibawa ke galeri.
Katrina segera membalas sms Vimmi.
Sudah di Taiping. Terima kasih sister.
Segera menekan berkataan hantar. Dia termenung sendiri.Dalam fikiran Katrina
berlegar kata-kata perbualan mereka ketika sepetang bersama Kak Natrah semalam.
Kebetulan Sara dan Pia bersama ibu dan ayah ke kebun durian lagi, tinggal
mereka berdua, menyicah mangga bersama sambal istimewa. Dan Katrina mengadu
segala hal yang mengganggu perasaannya kepada Kak Natrah. Sangkanya Kak Natrah
akan bersimpati dan mengambil jalan memihak kepada dirinya, sebaliknya Kak
Natrah hanya memintanya bersabar dan beralah.
“Kak Nat tahu Kak Nat bukanlah orang
yang tepat untuk beri nasihat Kat. Kak belum pun berkahwin. Belum ada
anak-anak. Bukan mudah untuk berumahtangga ni Kat. Tengok Kak Nat, sampai
sekarang belum berkahwin lagi. Kat beruntung sudah bertemu jodoh.”
“Kat bukan tidak rasa bertuah
berumahtangga kak, tapi kadangkala
Saiful tu, susah mahu diajak berunding.”
“Bukan senang mahu pertahankan
rumahtangga Kat. Alang-alang Kat sudah berumahtangga, cubalah pelihara hubungan
suami isteri. Banyak yang kita sebagai isteri kena korbankan.”
Katrina senyum lagi, sambil menelan
rasa kepahitan kata-kata Kak Nat. “Berbincang, cuma kali ni Kat kena tegas.
Katakan kepada Saiful, jangan disebut perkataan yang Kat tidak suka, contohnya
dia akan kata Kat malas untuk menjaga anak. Terangkan kepada dia, Kat tak suka
diperkatakan begitu.”
“Kat akan cuba Kak Nat.”
Kak Natrah tersenyum lagi. Entah
daripada mana Kak Natrah memperolehi kesabaran yang jitu. “Kat rasa ayah tu
begitu tenang macam tu. Masa dulu muda-muda, ayah pun boleh ‘tahan’ orangnya.
Panas baran, banyak ‘songeh’ kata orang. Ibu banyak bersabar. Bila semakin tua,
mungkin dengan kepatuhan kepada Allah yang semakin menebal, ayah okay
sekarang.” Kata-kata Kak Natrah mungkin ada kebenarannya. Katrina hanya
mengangguk.
Katrina hanya mendiamkan diri,
mengenang akan masa lampaunya. Dia banyak habiskan masanya di asrama, bermula
daripada tingkatan satu sehingga ke tingkatan lima dan seterusnya mendapat
peluang melanjutkan pelajaran, sedangkan Kak Natrah sepanjang masa berada di
rumah yang sama dengan ayah. Kak Natrah tentunya lebih masak dengan perangai
ayah mereka.
“Yang penting bersabar dan berdoa.”
‘Ya kak. Bersabar dan berdoa.’ Katrina melepaskan keluhan
perlahan. Kata-kata Kak Natrah menjadi azimat untuk dipegangnya selalu.
Mungkin, hari inilah detiknya permulaan untuk cinta baru. Setelah sekian lama,
Katrina merasakan dirinya disinggahi perasaan yang baru. Dia terasa bayangan
rasa cinta baru. Dia terasa rindukan Saiful!