Home Novel Thriller/Aksi Ops! Zulaikha
Ops! Zulaikha
Hasrudi Jawawi
22/11/2012 08:35:52
139,857
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
04
“HAI Darwish...” gedik sekali Qadira menyapa Darwish dari muka pintu lif.

Darwish dan Tan Sri Irfan terlopong seketika. Tidak sangka akan dipertemukan dengan gadis mengada-ada itu lewat pagi begini.

“Eh, Uncle Irfan pun ada. Good morning Uncle Irfan.”

Tan Sri Irfan tidak menjawab. Begitu juga dengan Darwish. Hampir empat tahun gadis itu menghilangkan diri, kini muncul semula tanpa diduga.

Sebenarnya, gadis ini bukan menghilangkan diri. Dia menyambung pelajarannya ke luar negara dalam jurusan pengiklanan. Namun, ada satu tragedi pahit di antara gadis itu dengan Darwish yang menyebabkan lelaki itu yang dulunya seorang yang bijak dan berkaliber semasa di universiti, kini menjadi seorang lelaki yang tidak berkeyakinan langsung. Semua ini disebabkan gadis di hadapan mereka itu.

“Darsuki, jom!” ajak Tan Sri Irfan kepada pembantu peribadinya.

Mood Tan Sri Irfan terus hilang. Perasaan bengangnya semakin bertambah. Sudahlah bengangnya pada Darwish masih meluap-luap, kini ditambah lagi bengangnya selepas kemunculan gadis itu.

Darsuki tanpa banyak soal, terus mengekori langkah ketuanya menuju ke pekarangan pintu utama Merbok Construction Berhad. Sudah sedia menunggu kenderaannya di luar bangunan.

Darwish sudah buat muka. Dia masih terkejut dengan kemunculan gadis itu. Syafiq pula bingung melihat reaksi ketuanya. Gadis yang tiba-tiba muncul itu masih belum dikenali.

Qadira memandang Tan Sri Irfan dengan senyuman meleret sehingga kelibat orang tua itu bersama pembantunya semakin menjauh. Beberapa saat kemudian dia kembali memandang Darwish yang masih berada di dalam lif.

“Hai Darwish, lama tak jumpa awak, windu yang teramat windu,” luah Qadira penuh manja sekali.
Dengan tergedik-gedik dia melangkah masuk ke dalam lif. Darwsih sudah memejamkan mata dan menggenggam tangan. Menahan geram yang teramat sangat. Kemunculan Qadira tidak disenangi. Dia tidak suka gadis itu muncul di dalam hidupnya lagi. Dia tidak suka!

“Syafiq, jom keluar dari lif ni,” arah Darwish.

Syafiq mengangguk lalu mengekori langkah ketuanya dari belakang.

Qadira terkejut dengan tindakan insan yang masih dia sayangi itu. Disebabkan fikirannya belum berapa matang empat tahun lalu, dia telah kehilangan lelaki itu. Bila dia sudah berjauhan, barulah dia sedar yang dia telah membuang insan yang selalu mengambil berat tentang dirinya dan menyayangi dirinya sepenuh hati. Baru sekarang dia rasa menyesal. Dia berharap kepulangannya ke tanah airnya ini, dapat memiliki hati Darwish kembali.

“Wish! Awak nak pergi mana? Takkan tak nak jumpa Dira? Kita dah lama tak jumpa, kan? Sampai hati awak buat saya macam ni!” rajuk Qadira sambil melangkah terkedek-kedek mengejar Darwish yang melangkah laju menuju ke arah pintu utama Merbok Construction Berhad.

Darwish tidak mengendahkan panggilan itu. Dadanya terasa senak bila suara itu terus melantun memenuhi ruang pendengarannya. Bingit! Dia tidak suka suara itu lagi. Kerana wanita itu, hidupnya kucar kacir dan berkecamuk.

“Awak...”

Qadira mencapai lengan Darwish bila lelaki itu tidak mahu memberhentikan langkahnya.

Darwish terkejut dengan tindakan Qadira itu. Dengan kasar dia merentap tangannya.

“Auwww!” rengek Qadira kesakitan sambil memegang tangannya.

Terkejut dia dengan tindakkan kasar Darwish itu. Sudah bencikah lelaki itu terhadap dirinya?

Darwish tidak mengendahkan. Sebaliknya terus mnengatur langkah menuju ke arah kenderaan yang sudah sedia menunggunya di luar bangunan.

“Darwish! Dah lama kita tak jumpa. Awak tak rindukan saya ke? Saya rindukan awak, tahu tak?” pekik Qadira penuh emosi.

Sedih bila dia diperlakukan begini. Manusia yang lalu-lalang di ruang lobi itu tidak diendahkan.

Langkah Darwish terhenti. Tapi tidak pula dia menoleh ke belakang. Hatinya terasa membengkak dan berdenyut-denyut dek menahan bengang. Apa yang telah Qadira lakukan terhadap dirinya sebelum ini memang sukar untuk dimaafkan. Buat masa ini, dia masih belum boleh memaafkan wanita itu.

Qadira mengukirkan senyuman bila melihat Darwish memberhentikan langkahnya. Namun senyumannya itu tidak bermakna. Selepas beberapa saat, Darwish melangkah masuk ke dalam kereta bersama pembantu peribadinya tanpa mengendahkan dirinya lagi.

Dengan pantas dia berlari mendapatkan Darwish. Tetapi, kenderaan yang dinaiki Darwish lebih awal bergerak sebelum dia menghampiri.

“Darwish!” panggil Qadira.

Kenderaan yang dinaiki Darwish terus bergerak laju meninggalkan pekarangan bangunan itu.
“Tak apa, ini baru permulaan,” bisiknya.



KEDUA-DUA hujung dahinya dipicit-picit dengan menggunakan jari hantu dan ibu jari tangan kanannya. Cuba melegakan rasa pening kepala yang tiba-tiba terasa.

Keluhan demi keluhan dihembus keluar. Masalahnya dengan Darwish masih belum selesai, kini masalah baru pula muncul. Semakin berserabut kepala otaknya.

“Budak tu muncul lagi. Entah apa pulak dia nak kali ni. Nak hancurkan hidup Wish agaknya,” luah Tan Sri Irfan sambil melepaskan nafas panjang.

Dia duduk bersandar memandang ke luar kenderaannya. Dia ada temu janji dengan pelanggan sebentar lagi di sebuah hotel bertaraf lima bintang di Putra Nilai.

Darsuki hanya mendiamkan diri. Dia sendiri tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk membantu menyelesaikan masalah baru majikannya itu. Dia sebagai pekerja paling lama bersama Tan Sri Irfan sejak lelaki korporat itu dianugerahkan gelaran ‘Tan Sri’ lima belas tahun lalu, sudah mengetahui punca masalah ketuanya ketika ini. Sudah pasti berkaitan dengan Darwish dan Qadira.

Suasana diam seketika. Tan Sri Irfan sibuk memikirkan jalan penyelesaian masalahnya. Manakala Darsuki yang hampir seusia Tan Sri Irfan itu sibuk melayani I-Pad yang baru sahaja digunakan. Banyak yang perlu dipelajari kerana gadget kecil itu adalah produk yang masih baru di pasaran Malaysia.

“Suki, kau ada idea tak macam mana nak selesaikan masalah aku. Sejak Dira tinggalkan Wish empat tahun lalu, Anak aku tu semakin tak serius. Keras kepala. Ikut suka dia aje. Tak mantang. Aku ingat ketiadaan Dira dapat memulihkan semangatnya yang hilang.

Sebaliknya tak. Sekarang, budak tu muncul lagi. Aku takut perangai Wish semakin teruk. Sejak empat tahun ni, budak tu selalu datang lambat ke pejabat, tak serius dan...”

Tan Sri Irfan sudah tak tahu nak kata apa lagi. Walaupun sudah dimarahi dan dinasihati baik-baik, Darwish masih begitu. Sama seperti empat tahun lalu. Keanak-anakkan!

Darsuki menekan butang ‘off’ pada sisi i-Padnya. Tidak sopan pula, ketika ketuanya bercakap dia membuat kerja lain. Dia mula memikirkan masalah ketuanya itu. Jika Tan Sri Irfan dalam kerungsingan, dia juga akan menerima kesannya.

“Aku dah buntu. Aku dah buat macam-macam, tapi Wish masih macam tu. Aku dah penat. Aku ni dah tua, kalau boleh aku nak Wish uruskan syarikat. Tapi...” keluh Tan Sri Irfan dengan sedih.

Tersentuh hati Darsuki melihat kesedihan majikannya itu.

“Sabarlah Tan Sri. Mungkin semua yang berlaku ni, pasti ada hikmahnya.”

“Sampai bila Suki? Usia aku bukan semakin muda. Kudrat aku bukan semakin kuat. Zabadi pulak semakin hari semakin berani nak sindir aku. Semakin hari, semakin giat dia melobi anak lelaki dia pada ahli lembaga pengarah yang lain.

Merbok Construction Berhad ni aku usahakan penuh gigih sebelum ni. Zabadi tu cuma tolong-tolong aje walaupun share kami sama banyak. Aku tak nak Merbok Construction Berhad diuruskan orang lain. Aku nak waris aku sendiri yang uruskan.”

Tan Sri Irfan meluahkan isi hatinya yang dipendam-pendam selama ini. Pilu hatinya mengenang nasib dirinya. Dia senang meluahkan pada Darsuki. Darsuki telah dianggapnya seperti sahabat kerana lelaki itu masih setia dengannya sejak l5 tahun lalu.

Semakin tersayat hati Darsuki mendengar luahan rasa ketuanya itu. Perlahan bahu Tan Sri Irfan diusap. Dia turut berfikir ketika itu. Dalam beberapa saat, muncul idea yang dianggap bernas melintasi mindanya.
“Hah!” Tiba-tiba Darsuki menjerit.

“Oh meletop!” Tak fasal-fasal Tan Sri Irfan melatah terkejut.

“Kau ni kan...” ucap Tan Sri Irfan, menumbuk bahu Darsuki.

“Adui!” jerit Darsuki.

“Suka buat aku terkejut tau! Kenapa tiba-tiba menjerit ni?”

Darsuki masih mengusap-usap bahunya yang terasa sengal. Seketika kemudian dia tersenyum memandang ketuanya itu.

“Hah, apa hal pulak ni? Tersengih-sengih macam tu. Kau ingat, kau kacak lagi ke?” sindir Tan Sri Irfan hairan melihat pembantu peribadinya itu.

“Saya ada idea macam mana nak bantu Wish. Saya tak pasti keberkesanan idea saya ni. Tapi tak salah mencuba, kan?”

Berkerut dahi Tan Sri Irfan memandang Darsuki.
“Apa idea kau?”

Darsuki menarik nafas sebelum menjawab, “Apa kata kita ganti pembantu peribadi Wish tu kepada wanita?”

Tan Sri Irfan terdiam seketika. Mindanya mula mencerna cadangan Darsuki itu. Kenderaan yang mereka naiki ketika ini masih bergerak menuju ke detinasi yang dituju.

“Tak boleh. Wish yang pilih sendiri setiap pembantu peribadi dia. Selama ni, mana ada perempuan jadi pembantu Wish tu? Dia kata perempuan susah nak ajak berunding,” jelas Tan Sri Irfan.

Sebelum ini sudah ramai yang jadi pembantu peribadi Darwish. Tapi, semuanya lelaki. Dia pun malas mahu ambil tahu tentang pemilihan pembantu peribadi anaknya itu. Pemilihan diberikan sepenuhnya kepada Darwish. Padanya, pembantu peribadi perlulah pandai menjaga hal ketuanya dari segala aspek termasuk hal yang melibatkan perasaan.

“Ya, itu saya tahu. Tapi untuk pemilihan kali ni, biar Tan Sri yang buat dan kita pilih wanita,” cadang Darsuki beria-ia sekali.

Darsuki yakin rancangannya kali ini dapat membantu ketuanya itu.

“Tapi si Syafiq tu nak campak mana? Dia tak pernah buat hal. Dan aku nampak dialah pembantu peribadi yang boleh tahan dengan sikap Wish tu. Takkan kita nak berhentikan dia tanpa sebab?”

“Pasal si Syafiq tu, kita hantarlah dia ke jabatan lain. Banyak lagi jawatan yang perlukan orang yang dah tahu selok belok perniagaan Merbok Construction Berhad ni,” jawab Darsuki memberikan cadangan.

“Haah, betul jugak. Tak sangka. Bijak jugak kau, kan? Walapun dah tua bangka,” puji Tan Sri Irfan namun dalam pujian tetap ada kutukan.

Ketawa Darsuki yang tadi nampak ikhlas, tiba-tiba kaku dan nampak sinis sekali. Aku dah bagi idea baik punya, dia boleh kutuk aku? Bisik Darsuki di dalam hati. Sakit hatinya mendengar kutukan majikannya itu.

Tan Sri Irfan tertawa riang. Namun tak sampai seminit ketawanya mati.

“Kenapa kita nak tukar pembantu peribadi Wish kepada perempuan?” Masih ada yang dimusykilkan Tan Sri Irfan.

Laa… aku ingatkan dia dah faham. Lembab jugak dia ni, kutuk Darsuki di dalam hati.

“Tan Sri, cara lelaki dan perempuan berbeza. Manalah tahu, kalau ada perempuan sentiasa di sisi Wish boleh mengubah Wish kepada seorang yang serius dan komited dengan kerja?”

“Ooo....” Panjang Tan Sri Irfan menyebut huruf itu.

Sekarang, baru Tan Sri Irfan faham apa yang dimaksudkan Darsuki di sebalik rancangannya itu. Kenapalah aku tak terfikir cara ni sejak dulu? Detik hatinya.

Previous: 03
Next: 05

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.