Home Novel Thriller/Aksi Ops! Zulaikha
Ops! Zulaikha
Hasrudi Jawawi
22/11/2012 08:35:52
139,785
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
02
ASP Jabir tersenyum bangga melihat dua anggota polisnya yang berdiri di hadapannya. Bangga bila misi besar yang diserahkan kepada mereka berdua berjalan dengan lancar. Tak sampai seminggu, suspek dapat diberkas walaupun terpaksa menggunakan kekerasan.

ASP Jabir lebih lama memandang ke arah Zulaikha. Ini tugas pertama untuk gadis tinggi lampai itu yang berpangkat inspektor. Dia kagum dengan gadis itu walaupun tidak berperwatakan kasar namun dia tangkas dalam melakukan kerjanya.

Akhbar Sinar Harian di tangan diletaknya di atas meja. Sepatah bicara pun tidak kedengaran dari mulut ASP Jabir mahupun kedua-dua anggotanya. Sunyi sepi seketika.

Zulaikha dan Kamal berpandangan. Hairan melihat ketua mereka itu. Sejak tadi hanya tersengih melihat mereka berdua silih berganti.

“Eh, apa berdiri tu. Sila duduk,” arah ASP Jabir.

“Terima kasih tuan.” Serentak mereka bersuara.

“Saya bangga dengan awak, Laikha. Ini tugas berat pertama awak. Tapi, awak dapat laksanakan dengan baik,” puji Jabir dengan senyuman meleret.

Zulaikha berasa lega mendengar kata-kata ketuanya itu. Kemudian dia mengalihkan pandangan ke rakannya di sebelah.

“Kan saya dah cakap kat tuan sebelum ni. Walaupun Laikha ni lemah lembut orangnya tapi begitu tangkas dan cekap,” puji Kamal pula.

Mata Kamal terus memandang Zulaikha yang sudah tersipu-sipu malu. Malu bila dipuji melambung tinggi.

“Janganlah cakap macam tu, segan saya,” ujar Zulaikha sambil menundukkan kepala.

“Jadi, lepas ni tak perlulah tuan bagi tugasan kecil pada Laikha lagi,” cadang Kamal lagi.

ASP Jabir tergelak. Ya, dia sedar, dia selalu bagi tugas kecil pada Zulaikha. Dia menyangka wanita itu hanya mampu buat kerja-kerja pengintipan kecil. Rupanya, kemampuan wanita itu melebihi dari apa yang dia sangka. Dahsyat!

“Maafkan saya, Laikha. Selama ni, saya anggap awak hanya mampu buat tugas kecil sahaja. Tak sangka, perlantikan awak menjadi pembantu Mal atas dasar kekurangan anggota, terselit satu hikmah untuk awak dan unit kita ni,” jelas ASP Jabir sambil memandang Kamal sekilas.

Kamal mula mengukir senyuman lebar. Senang hatinya mendengar kata-kata ketuanya itu.

“Tak apa tuan, saya tak ada hal. Mungkin rezeki saya baru sampai,” ucap Zulaikha masih tersipu malu.
Dia sendiri tidak sangka yang dia dapat melepaskan tembakan tepat ke pergelangan tangan sasaran. Entahkan nasib menyebelahi dia atau sebab dia memang sudah mahir menembak.

“Baiklah, memandangkan awak dah berjaya selesaikan kes ni, saya akan naikkan tugasan awak kepada tugasan yang lebih mencabar selepas ini. Kalau ada kes yang besar, saya akan serahkan kat awak. Macam mana? Ada berani?”

Zulaikha terkaku seketika memandang ASP Jabir di hadapannya. Kemudian dia memandang pula Kamal di sebelah. Terkejut dan tidak sangka dengan apa yang ASP Jabir baru katakan tadi.

“Betul ke tuan?” tanya Zulaikha ingin kepastian.

ASP Jabir hanya mengangguk. Dari duduk bersandar kini sudah duduk menegak sambil kedua-dua belah tangannya di atas meja. Matanya memandang Zulaikha dan Kamal yang duduk di hadapannya secara bergilir-gilir.

“Ya. Kenapa? Awak tak yakin?”

“Emm... bukan macam tu. Cuma saya agak berdebar-debar. Tak sangka saya akan dapat kes yang lebih besar.”

“Mungkin awal-awal ni agak rasa kekok dan tak tahu nak buat apa. Sama macam Kamal masa mula-mula dulu. Selalu ulang-alik jumpa saya tanya pendapat. Bila dah lama-lama tu, okeylah,” jelas ASP Jabir cuba menenangkan debaran Zulaikha.

“Baiklah tuan. Saya sedia menerima tugasan tu.”

“Tapi ini tak bermakna awak takkan buat kerja lain. Kalau tak ada kes besar, saya akan bagi kes kecil jugak, ya.”

Zulaikha mengangguk.

“Kalau macam tu, kita bersurai. Kalau ada kes baru, saya akan hubungi kamu berdua,” ujar ASP Jabir sambil mengemas mejanya.

Zulaikha mengangguk. Kamal di sebelahnya kelihatan gelisah seolah-olah ada sesuatu yang ingin diluahkan tapi tidak mampu diutarakan. Dadanya terasa senak menahan apa yang sedang dipendamnya ketika ini.

Zulaikha dan Kamal serentak bangun.

“Kalau tak ada apa-apa, kami minta diri dulu tuan,” pinta Zulaikha.

“Tuan, Laikha.” Tiba-tiba Kamal yang sejak tadi diam mula bersuara. Kelihatan gugup sekali.

Zulaikha yang baru sahaja nak mengatur langkah untuk keluar dari pejabat itu terhenti. Dia berpaling ke arah Kamal, serentak dengan ASP Jabir.

“Ada apa-apa yang awak nak beritahu ke, Mal?” tanya ASP Jabir, hairan melihat kegelisahan salah seorang anak buahnya yang berpangkat Chef Inspektor itu.

“Hmm...” keluh Kamal.

Tak tahu macam mana nak luahkan. Tapi, dia tetap nak luahkan. Dia sudah tidak sanggup memendam lagi. Jika dia lambat, dia khuatir ketuanya itu akan mengekalkan keputusannya. Dia merasakan sekarang waktunya untuk dia meluahkan apa yang terpendam sejak dulu.

Zulaikha yang turut hairan melihat sikap Kamal itu turut menanti jawapan dari lelaki itu. Suspen pula dibuatnya.

“Hmm... memandangkan Inspektor Zulaikha baru dinaikkan skop pekerjaannya dan masih baru untuk melaksanakan tugas besar selepas ni. Boleh tak awal-awal ni tuan lantik dia jadi pembantu saya?

Sepanjang menjadi pembantu saya nanti, dia boleh belajar selok-belok menyelesaikan kes besar. Bila dia sudah betul-betul yakin dan mahir, baru boleh bagi dia uruskan sendiri tugasan besar yang lain,” terang Kamal meluahkan apa yang terpendam.

Takut-takut Kamal memandang ASP Jabir dan Zulaikha. Khuatir cadangannya itu ditolak mentah-mentah oleh mereka berdua.

ASP Jabir terdiam sambil menyandarkan tubuhnya kembali. Cadangan Kamal itu ditimbang seketika. Ada benarnya juga cadangan Kamal itu. Boleh diguna pakai.

“Betul jugak kata-kata kamu tu Mal.”

ASP Jabir bersetuju dengan cadangan Kamal. Dia memandang ke arah Zulaikha pula.

“Awak pulak macam mana? Boleh atau tak jadi pembantu Mal buat sementara waktu?”

Zulaikha terkaku. Wajah Kamal dan ASP Jabir dipandang silih berganti. Terkedu dia buat seketika.


Previous: 01
Next: 03

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.