Home Novel Thriller/Aksi Ops! Zulaikha
Ops! Zulaikha
Hasrudi Jawawi
22/11/2012 08:35:52
139,869
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
24
MALAM itu ASP Jabir telah mengajak Kamal berjumpa di Al-Salam Bistro di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan. Keadaan bistro ketika itu agak padat. Terutama di kawasan tempat duduk yang berhampiran dengan skrin televisyen.

Kebanyakan pelanggan yang datang ke bistro ini ingin menonton perlawanan Bola Liga Dunia. Menonton bersama teman lebih seronok berbanding menonton sendirian di rumah.

Hampir setengah jam ASP Jabir terpaksa menunggu sendirian di bistro itu. Mujurlah dia jenis tak kisah. Dia tahu situasi anak buahnya itu. Sebagai seorang anggota polis, kerja tidak tentu masa. Andaikata ada kes di tengah malam dan memerlukan perkhidmatan mereka, hendak tak hendak mereka perlu bertugas. Semuanya demi keamanan negara.

Keadaan riuh rendah di bistro itu mengusir ketenangan yang ada. Tetapi, tidak pula dia rasa terganggu. Dia memahami situasi itu. Dia berada di tempat awam dan bukan di tempat persendirian. Tiada sesiapa yang berhak mempertikaikan kebisingan itu.

Teh tariknya yang sudah tinggal separuh diteguk sedikit. Matanya terus liar mencari kelibat Kamal di sebalik kegelapan malam. Dua minit kemudian, kelibat Kamal muncul dari arah bertentangan. Berbaju kemeja dan berseluar slack. Nampak kemas sekali berbanding dengannya yang hanya memakai t-shirt dan seluar bermuda. Lagipun, mereka bukan bertemu dalam waktu bertugas. Jadi, dia memilih untuk berimej santai.

“Assalamualaikum Tuan Jabir, maaf kerana terlambat,” pohon Kamal sambil menarik kerusi di hadapan ASP Jabir.

Matanya terpandang isi cawan di hadapan ASP Jabir. Sudah tinggal suku. Pasti ketuanya itu sudah lama menunggu.

“Waalaikumussalam,” jawab ASP Jabir dengan secubit senyuman. “Tak apa, saya tahu tugas awak. Saya dah laluinya dulu. Pesanlah minuman dulu.”

Kamal tersenyum sambil mengangguk. Tangannya diangkat ke arah pelayan. Dalam masa tidak sampai seminit, dia sudah pun selesai membuat pesanan. Sekadar memesan segelas teh tarik dan tosei.
“Tuan tak pesan makanan?” tanya Kamal bila melihat tiada pinggan kotor di atas meja.

“Saya dah makan di rumah tadi. Isteri saya masak. Tak apa, awak makanlah. Saya tahu, kerja awak sekarang semakin bertambah. Terpaksa menyamar demi membantu siasatan kes besar ini. Saya nak jumpa awak pun sebab nak tanya ada apa-apa maklumat untuk hari ini,” ujar ASP Jabir.

“Setakat ini, masih belum ada apa-apa maklumat yang boleh dijadikan bahan bukti atau menunjukan siapa suspek sebenar. Selepas saya meneliti setiap staf di Merbok Construction Berhad, saya berpendapat dalang sebenar dalam kes ini bukan dari kalangan staf bawahan. Tetapi, dari kalangan eksekutif dan pengurus besar.” Kamal mengutarakan pendapatnya selepas dia membuat penilaian sepintas lalu.

Di bangunan Merbok Construction Berhad siang tadi, dia hanya menjadi pemerhati setiap staf Merbok Construction Berhad yang mencurigakan. Buat masa ini belum ada suspek yang diyakini terlibat. Dia masih perlukan masa untuk menyiasat.

ASP Jabir mengangguk sambil meletak kedua-dua belah tangan di atas meja.

“Ada sesiapa yang awak rasa terlibat atau curiga?” tanya ASP Jabir lagi.

Kamal berkerut dahi memikirkan jawapan pertanyaan ASP Jabir it;u. Mindanya mula mengimbas setiap wajah manusia yang bekerja di Merbok Construction Berhad. Tapi, tidaklah semuanya dia dapat ingat. Hanya wajah manusia yang dianggap mencurigakan sahaja yang masih terbayang.

“Saya tak dapat nak bagi bukti atas penilaian saya ni. Tapi, saya perlu perhatikan gerak geri CEO Merbok Construction Berhad, iaitu Tan Sri Irfan dan adik Tan Sri Irfan, Dato’ Zabadi. Dua manusia ini di antara pemegang saham terbesar di Merbok Construction Berhad.”

ASP Jabir mengeluh halus. Kali ini dia tidak berapa yakin dengan jawapan Kamal. Kebiasaannya Kamal berkeyakinan tinggi setiap kali menjelaskan tentang analisa siasatannya. Dia perlu memberi masa kepada anak buahnya itu.

“Selain dari mereka?”

“Tak ada tuan. Saya masih perlukan masa untuk siasat lagi.”

ASP Jabir mengangguk lagi.

Suasana diam seketika. Masing-masing bermain dengan fikirkan sendiri. Tiba-tiba ASP Jabir terlihat kemeja biru panjang yang dipakai Kamal. Basah di bahagian dada, ketiak dan belakang. Lencun dengan peluh.

“Awak dari mana ni? Berpeluh macam baru lepas marathon aje?” tanya ASP Jabir menukar topik.
“Hah?” Kamal terpinga-pinga.

Dia melihat baju yang tersarung pada tubuhnya. Dia tidak sedar peluhnya yang menitis telah membasahi sebahagian baju kemeja yang dipakai. Buat seketika dia tergamam memandang ASP Jabir.



SEJAK tadi Darwish menguis-nguis sahaja nasi di dalam pinggan. Seleranya mati sejak kelmarin, bila memikirkan sikap Tan Sri Irfan secara tiba-tiba berkeras mengenai pembantu peribadinya yang baru itu. Hidup Darwish tidak setenang dahulu lagi.

Tan Sri Irfan tersengih sinis memandang wajah cemberot anak tunggalnya itu. Makanannya terus dijamah. Seketika kemudian dia memandang rambut anaknya dengan penuh ketelitian. Siap berkerut dahinya.

Darwish hairan melihat perilaku Tan Sri Irfan itu.

“Papa tengok apa?” tanya Darwish.

“Tak ada apa-apa, tengok kalau-kalau ada lagi sikat terbelit kat rambut kau. Macam-macam hal,” jawab Tan Sri Irfan kembali menyambung kunyahannya.

Darwish merengus sambil menarik muncung. Sakit hatinya pada Tan Sri Irfan masih bersisa. Tidak fasal-fasal dia terpaksa memotong rambutnya gara-gara sikat yang terbelit pada rambutnya semalam. Hilang sedikit ketampanannya bila jambul sudah tidak boleh dipacak-pacak lagi seperti selalu.

“Kalau ada sikat lagi, papa nak botakkan aje kepala kau. Sikat pun boleh terbelit kat rambut. Papa pun hairan. Ni mesti kau banyak kutuk papa dalam bilik tu, tu yang ALLAH bagi balasan cash kat dunia. Balasan yang ALLAH akan turunkan di dunia dan akhirat salah satunya adalah menderhaka kepada ibu bapa,” ujar Tan Sri Irfan sambil menyenduk kuah kari kepala ikan di hadapannya ke dalam pinggan.

Darwish menjeling Tan Sri Irfan.

“Kalau papa menderhaka dengan anaknya macam mana pulak?”

Pantas Tan Sri Irfan menunjal kepala anaknya itu.

“Ajaran sesat mana kau belajar ni, hah? Cikgu sekolah agama mana ajar kau seorang papa boleh menderhaka dengan anaknya?” kasar Tan Sri Irfan bertanya.

Amarahnya sudah dijentik. Ada sahaja jawapan yang diberikan Darwish. Susah benar anak tunggalnya itu mahu menuruti kata-katanya dengan hati yang tenang.

“Adui... sakitlah pa,” rengus Darwish sambil mengusap kepalanya. Muncung ditarik panjang.

“Tau pun sakit? Yang kau suka buat hati papa sakit, kenapa? Nasib baiklah papa masih boleh sabar dengan kau. Kalau tak? Dah lama papa humban kau dalam washing mesin tu.”

Darwish menarik lagi muncung semakin panjang. Pinggannya ditolak jauh ke tengah. Malas mahu main kuis-kuis nasi lagi.

“Papa buat Wish sakit hati tak apa? Papa tahu tak? Wish tak sukalah dengan perempuan tu. Suka buli Wish!” Akhirnya Darwish meluahkan apa yang dipendamnya sejak tadi.

“Ada papa kisah kau kena buli dengan pembantu peribadi kau tu? Selalu kau buli pembantu peribadi kau sebelum ni, boleh pulak?”

“Kalau Wish buli mereka tak apalah. Dia orang tu orang suruhan Wish. Mana ada orang suruhan buli ketua dia. Sekarang dunia dah nak terbalik agaknya.”

“Kau baru tahu dunia dah nak terbalik? Dah lama dunia ni terbalik nak oii...,” ujar Tan Sri Irfan sambil menyedut kepala ikan di tangan.

“Papa...” Darwish sudah merengek persis anak kecil. “Kalau papa tak nak pecat dia, Wish yang akan pecat dia.”

“Kan papa dah cakap sebelum ni. Hanya papa aje yang boleh pecat dia walaupun kat pejabat kau buli dia sampai dia nak letak jawatan.

Kau ingat, papa akan terima perletakkan jawatan dia? Kau ingat papa tak tahu kau buli dia buat kopi berpuluh-puluh kali hari ni supaya dia letak jawatan? Tak pasal-pasal kau sembur papa dengan air kopi tu.”

Nah! Sekali Tan Sri Irfan sudah membebel, terus panjang berjela. Awal-awal lagi Tan Sri Irfan sudah tahu anaknya itu pasti akan buat seribu satu cara untuk buat pembantu peribadinya letak jawatan seperti sebelum ini. Tapi dia yakin, pembantu peribadi anaknya kali ini tak sama seperti pembantu peribadi anaknya sebelum ini.

“Huh?” Terkejut Darwish dibuatnya. Dia mula menggelabah.

“Apa pun kau nak cakap, cakaplah! Papa tetap dengan keputusan papa. Papa takkan sesekali pecat Zulaikha!”

“Tapi kenapa?”

Darwish masih tidak puas hati. Gelas berisi air masak dicapai. Tekaknya terasa haus.

“Sebab papa yakin, Zulaikha mampu jadi pembantu peribadi kau dengan baik dan buat kau berubah. Kalau dia jadi menantu papa sekali pun, papa terima tanpa sebarang syarat.”

Bur!!!

Sekali lagi wajah Tan Sri Irfan disembur. Kali kedua untuk hari ini. Dia memandang anaknya sinis.

Darwish sudah menutup mulut. Apa yang berlaku tadi adalah tindakan luar kawalannya.

“Lari!!!” jerit Darwish lalu mencecet anak muda itu melarikan diri ke tingkat atas.

“Sabar ajelah,” kata Tan Sri Irfan pada diri sendiri sambil mengelap mukanya dengan tuala kecil yang digunakan Mak Lijah untuk mengelap meja.

Hendak buat macam mana. Tisu pun tiada dia atas meja ketika ini. Kain lap meja pun, kain lap mejalah.


Previous: 23
Next: 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.