Home Novel Thriller/Aksi Ops! Zulaikha
Ops! Zulaikha
Hasrudi Jawawi
22/11/2012 08:35:52
139,862
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
09
LAJU Syafiq berlari menuju ke pintu utama Merbok Contruction Berhad. Selepas mendapat panggilan dari ketuanya yang dia sudah hampir sampai, segera dia melangkah turun untuk menyambut ketuanya. Begitulah rutinnya.

Sebaik sahaja Syafiq sampai di pintu utama bangunan Merbok Contruction Berhad, kereta yang dinaiki Darwish berhenti betul-betul di pekarangan pintu masuk. Lekas-lekas Syafiq membuka pintu kereta untuk ketuanya itu.

“Selamat pagi... eh silap! Selamat tengah hari Tuan Darwish,” ucap Shafiq setelah ketuanya melangkah keluar dari kereta.

Dengan memakai kod putih dan cermin mata hitam tersangkut di dalam poket kod, dia melangkah pantas menuju ke lobi. Tangannya dengan selamba menarik telinga Syafiq seketika.

“Eh! Apa tuan ni, sakitlah!” rengek Syafiq sambil mengusap telinganya yang kelihatan merah kerana dipiat Darwish tadi.

“Kau saja, kan? Perli aku,” ucap Darwish, rasa tersindir dengan ucapan pembantu peribadinya itu.
Dia sedar, dia datang lewat ke pejabat hari ini. Orang lain sudah sibuk mahu keluar makan tengah hari, dia pula baru mahu menunjukan muka.

“Betul apa? Kan dah tengah hari ni. Pekerja-pekerja lain dah keluar lunch, saya pulak kena mengadap tuan. Lapar tau tak?” Berani sungguh Syafiq menjawab. Bila perut sudah lapar, lantang sahaja mulutnya berkata-kata.

“Eee... budak ni. Aku sekeh jugak, kang.”

Darwish sudah mengangkat siku mahu menyiku Syafiq. Syafiq cuba mengelak. Tapi dia tahu, ketuanya itu sekadar mengacah cahaja.

“Papa aku dah sampai?” tanya Darwish.

“Mestilah dah. Tan Sri sejak pujuk 8.00 pagi dah ada kat pejabat. Tuan aje yang datang lambat,” jawab Syafiq.

Namun ayat hujungnya di perlahankan. Harap-harap tak didengar Darwish.

Tersentap hati Darwish bila diperli pembantu peribadinya begitu. Mendadak dia berhenti sambil menala siku ke arah dada Syafiq.

“Aduh!!!” jerit Syafiq bila siku ketuanya terkena dada. Senak dibuatnya.

“Padan muka kau. Lain kali, perlilah lagi.”

Puas hati Darwish dapat mengenakan pembantu peribadinya itu. Langkahnya terhenti betul-betul di hadapan pintu lif.

“Apa kerja aku hari ni?” tanya Darwish, sedikit pun tidak memandang Syafiq di sebelah. Matanya terus memandang nombor lif dari tingkat 20 mula bergerak ke bawah.

Belum pun sempat Syafiq menjawab, tiba-tiba muncul seseorang di sebelah Darwish.

“Hai! Bakal pewaris CEO Merbok Construction Berhad baru nak tunjuk muka? Dah pukul 1.00 petang baru nak masuk ofis?” sindir Qadir sambil memandang jam di tangan.

Bibirnya tersengih sinis. Namun matanya tidak memandang sepupunya itu. Tetap memandang nombor lif.

Berkerut dahi Darwish. Tidak senang dengan kemunculan sepupunya itu. Entahlah, dia sendiri tidak tahu apa salah dan silapnya,kerana dia tidak pernah sebulu dengan Qadir. Bagaikan seteru. Tapi, dia malas ambil kisah. Setiap kali berjumpa, pasti ada sahaja kata-kata yang menyakitkan hati Darwish.

“Yang kau sibuk apa hal?”

“Mentang-mentanglah ni syarikat bapak kau. Suka hati kau aje nak datang pukul berapa, kan?”
Darwish tertawa sinis.

“Nasib baik kau sedar akan hakikat tu. Tak perlukan aku nak beritahu banyak kali.” Puas hatinya dapat menyindir Qadir.

Qadir mengetap gigi menahan geram. Ikutkan hati ingin sahaja dia menumbuk mulut sepupunya itu. Mujurlah kesabarannya masih menebal.

Beberapa saat kemudian, pintu lif terbuka. Tercipta satu rancangan jahat di minda Qadir untuk mengenakan Darwish. Di saat pintu lif terbuka, dengan kuat dia menolak bahu Darwish dengan bahunya sehingga sepupunya itu rebah ke lantai. Mujurlah ada Syafiq. Tidak fasal-fasal Syafiq kena hempap dengan ketuanya.

Qadir cepat-cepat melangkah masuk lalu menekan punat tutup. Tak mahu Darwish menggunakan lif yang sama. Sempat lagi dia menjelir lidah pada Darwish yang masih terlentang di atas tubuh pembantu peribadinya sebelum pintu lif tertutup rapat.

“Kurang asam betul dia ni!” bentak Darwish sambil terkial-kial bangun.

Orang ramai yang lalu lalang di situ, ada yang menahan gelak melihat keadaan mereka. Bingkis dia berdiri lalu membetulkan kot sambil berlakon seolah-olah tak ada apa-apa berlaku.

“Apa kau ni Fiq? Dah tak ada tempat lain nak tidur? Atas lantai lobi ni jugak kau nak bergolek, apa hal?” marah Darwish mahu menutup rasa malunya.

Sudahlah dia tindih tubuh Syafiq, kini dia ingin memalukan lelaki itu pula. Keji!

Syafiq bangun dan terus berdiri. Dia menjeling sinis pada ketuanya dan hanya mampu menahan geram. Melawan nanti, kena pecat pula.

Jaga kau Qadir! Aku akan balas balik! Detik hati Darwish berdendam. Bila pintu lif terbuka, laju sahaja dia melangkah masuk diekori Syafiq dari belakang.

“Kenapa kau tak call aku pagi tadi? Biasanya, pukul 8.00 pagi dan selepas tu setiap sejam kau akan call aku suruh aku ke ofis. Tapi hari ni, senyap aje telefon aku tu. Kau dah hilang ingatan ke? Atau, orang tua tu tak perasan yang aku belum masuk ofis pagi tadi?” tanya Darwish selepas pintu lif tertutup.

Syafiq tertunduk cuak. Dia mula dilanda serba salah. Apakah perlu dia berterus terang ketika ini?

“Apa hal kau diam?” tanya Darwish, hairan.

Dia sudah masak dengan perangai pembantu peribadinya itu. Kalau diam begitu dan kelihatan serba tidak kena, sudah pasti ada sesuatu yang dirahsiakan.

“Baik kau cakap, sebelum aku campak kau dari tingkat atas ke bawah,” ugut Darwish.

Syafiq sudah menggigit jari ketakutan. Namun, dia masih mendiamkan diri. Tan Sri Irfan sudah memaklumkan kepadanya supaya dia merahsiakan hal itu. Tapi, tidak sangka Darwish dapat menghidunya terlebih dahulu. Apa perlu dia buat ketika ini?

“Fiq, kau nak aku sepit kepala kau kat pintu lif ni atau kau nak beritahu apa yang kau sedang rahsiakan tu?” Darwish mengugut lagi bila pembantu peribadinya itu masih tidak menjawab pertanyaannya.

“Fiq!”

Darwish tidak mampu menahan sabar. Dia menoleh memandang Syafiq dengan pandangan yang cukup tajam.

Syafiq sudah ketakutkan. Dia tiada pilihan. Jika dia terus merahsiakan, ada juga yang akan putus kepala nanti. Dia tidak sanggup mati sia-sia di lif ini.

“Sebenarnya, pagi tadi saya sibuk membantu Tan Sri buat interview.”

Sudah bocor rahsia. Syafiq, memang sukar mahu menyimpan rahsia dengan ketuanya itu.

“Interview? Interview apa? Dah melambak pekerja kat Merbok Construction Berhad ni, masih tak cukup lagi ke? Kali ni jawatan apa? Pencuci tandas ke?” Empat soalan terus Darwish tanyakan.

“Err...” Syafiq sudah kebingungkan.

“Cakap ajelah!” bentak Darwish sudah tidak tahan sabar.

“Interview untuk pembantu peribadi Tuan Darwish yang baru!” Syafiq menjawab dalam latah kerana terkejut dibentak Darwish.

“Apa??? Pembantu peribadi aku???”

Terbeliak mata Darwish.

“Ngee...”

Syafiq menggigit jari ketakutan. Habislah nasibnya selepas ini.



KAWASAN kejadian di pagar sebagai kawasan larangan dengan menggunakan pita berbelang merah putih dengan lebel kawasan larangan.

Kejadian itu melibatkan sebuah kereta jenis Toyota. Pihak polis dan forensik masih menjalankan siasatan pada kenderaan yang sudah rentung terbakar itu.

DSP Faliq dan Kamal memandang anak-anak buahnya dan pihak forensik menjalankan tugas masing-masing. Kejadian ini masih diklasifikasikan sebagai kemalangan selagi identiti mangsa tidak diketahui. Pihak forensik memaklumkan sebentar tadi ada kesan DNA manusia di bahagian tempat duduk pemandu.

“Awak agak, kejadian ni berlaku disebabkan kemalangan atau disebabkan khianat?” DSP Faliq bertanya pendapat Kamal di sebelah.

Kamal tidak terus menjawab. Dia berfikir sejenak. Sekilas dia melihat pihak wartawan sedang membuat liputan dan ada juga yang sedang menanti punca kes ini secara kasar. Siasatan masih dijalankan dengan teliti ketika ini.

“Buat masa ini, bahan bukti yang kita jumpa tak menjelaskan apa-apa konklusi kasar. Masih dianggap kemalangan. Kita perlu tunggu sebentar lagi. Kalau-kalau, ada bukti lain yang boleh mengaitkan kes ini dengan punca lain.”

DSP Faliq mengangguk. Setiap analisa yang Kamal buat, semuanya bernas. Itulah gunanya pembantu. Boleh sama-sama memberi pendapat dan pandangan.

Masing-masing diam seketika. Sabar menanti pihak forensik dan anggota polis lain menjalankan penyiasatan.

“Oh ya, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah dapat mengesan nombor enjin kereta ini milik siapa?” tanya DSP Faliq, ingin kepastian.

“Belum lagi tuan. Kita sedang menunggu jawapan,” jawab Kamal.
Beberapa minit kemudian, salah seorang anggota forensik menghampiri mereka untuk melaporkan sesuatu.

“Tuan, selepas diperiksa,hanya terdapat satu jenis DNA sahaja di dalam kereta tu. Ini bermakna hanya seorang sahaja yang ada di dalam kereta,” ujar pakar forensik itu.

DSP Faliq dan Kamal saling berpandangan. Kemudian mereka mengangguk.

“Ada tak bukti-bukti lain yang boleh mengenali identiti mangsa?” tanya DSP Faliq, sekadar ingin tahu hasil siasatan terbaru.

“Siasatan masih dijalankan. Salah satu cara untuk mengesan identiti mangsa hanya dengan melihat pemilik kereta ini mengikut nombor enjin kereta ini. Kami sudah menghantar nombor enjin berikut kepada pihak JPJ untuk siasat siapa pemilik kereta ini.”

“Pihak JPJ ada menghubungi kamu?”

Pakar forensik itu menggeleng.

“Kami sedang menanti panggilan mereka tuan.”

“Baiklah. Jika ada apa-apa maklumat tentang mangsa, sila maklumkan saya segera. Para wartawan sedang menanti keterangan saya mengenai kes ini,” ujar DSP Faliq.

“Baik tuan,” akur pakar forensik itu lalu meminta diri kembali ke tempat kejadian. Kawasan itu turut dikawal pihak polis yang telah ditugaskan.

Kamal hanya menjadi pemerhati sejak tadi.

“Kes jenayah di Malaysia semakin berleluasa hari ke hari. Kes bunuh begini dah macam jadi perkara biasa. Setiap minggu ada sahaja kes bunuh,” luah DSP Faliq.

“Itulah tuan. Kekurangan didikan agama sejak kecil dan terlalu ikutkan perasaan amarah dan dendam membuatkan kes bunuh menjadi semakin berleluasa,” ujar Kamal, meluahkan pendapatnya pula.

DSP Faliq mengangguk. Beberapa minit kemudian, telefon bimbit DSP Faliq berbunyi. Sekilas dia memandang skrin telefon bimbitnya. Panggilan dari pihak JPJ. Dengan perasaan ingin tahu dua menjawab panggilan itu.

“Ya, saya DSP Faliq. Result pasal nombor enjin itu dah keluar?” tanya DSP Faliq selepas panggilan disambungkan.

Mendengar pertanyaan itu, Kamal turut memasang telinga. Berkerut dahinya mendengar perbualan DSP Faliq dengan pihak JPJ.

“Apa???” ASP terkejut.

“Baiklah, saya nak kamu siasat lebih terperinci tentang individu itu.”

Talian terus dimatikan.

“Kenapa tuan? Nama pemilik kereta ni dah diketahui ke?” tanya Kamal, ingin kepastian.
DSP Faliq mengangguk.

“Pemilik kereta ni bernama, Ah Meng.”

Kamal terpaku kerana terkejut dengan jawapan yang berikan DSP Faliq.

Previous: 08
Next: 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.