Home Novel Thriller/Aksi Ops! Zulaikha
Ops! Zulaikha
Hasrudi Jawawi
22/11/2012 08:35:52
139,847
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
20
RASA bengangnya masih menebal. Apa yang berlaku di banglo tadi benar-benar telah mencabar kesabarannya. Apa yang telah pembantu peribadinya lakukan terhadapnya benar-benar telah melampaui batas!

Syafiq dan pembantu peribadinya sebelum ini, seorang pun tidak ada yang berani masuk ke biliknya. Tapi, pembantu peribadinya yang baru ini benar-benar berani!

Dia menjeling pembantu peribadinya di sebelah dengan ekor matanya. Ikutkan hati ingin sahaja dia membelasah wanita itu. Mujurlah dia masih waras dan masih sedar dia seorang lelaki dan pembantu peribadinya itu seorang wanita. Jika Syafiq yang duduk di sebelahnya ketika ini, sudah diseliginya sepuas hati. Dia bukan lelaki dayus!

Zulaikha sejak tadi perasan ketuanya itu sibuk mencuri pandang ke arahnya. Tapi ada dia kisah? Yang penting, dia sudah menjalankan tugasnya yang diamanahkan dengan betul. Dalam masa yang sama, dia perlu menyiasat semua pekerja di Merbok Construction Berhad.

Dia tidak sangka, Kamal sanggup memohon kerja sebagai pemandu Darwish semata-mata ingin memantau dan membantu dia menjalankan misi ini. Mati-mati dia sangka Kamal menang loteri sehingga mampu membeli kereta mewah ini. Rupa-rupanya kereta ini milik Tan Sri Irfan.

Akan aku perdajal kau sampai kau menangis dan nak berhenti kerja. Kau ingat, kau garang, aku takut? Kata-kata itu hanya terdetik di hati Darwish sambil menjeling benci pada pembantu peribadinya di sebelah.

Kau ingat aku takut ke dengan jelingan kau tu? Sorry sikit… aku tak takut. Jadi pembantu peribadi kau hanya kerja sampingan aku aje. Kerja utama aku adalah menyiasat siapa dalang sebenar dalam kes kongsi gelap yang mula terbongkar beberapa minggu yang lalu. Dalang sebenarnya masih belum dikesan lagi. Aku akan pastikan misi ini berjaya, bebel Zulaikha di dalam hati.

Walaupun mereka berdua saling berpaling, tapi hati masing-masing terus bertingkah dan bertikam lidah.
Kamal menjeling dua manusia yang duduk di tempat duduk belakang melalui cermin pandang belakang. Zulaikha memandang ke kanan. Anak majikannya pula memandang ke kiri. Masing-masing memandang ke luar kereta.

Apa yang dah berlaku kat mereka berdua ni? Masing-masing tarik muka. Kamal tertanya-tanya di dalam hati. Dia merasakan anak majikannya itu dan Zulaikha seolah-olah sedang berperang dan tidak boleh berbaik. Jika beginilah hubungan mereka, susahlah Zulaikha ingin menyelesaikan misinya dengan segera.

Lima minit kemudian kereta yang dipandu Kamal berhenti betul-betul di pekarangan pintu masuk utama bangunan Merbok Construction Berhad. Sepanjang perjalanan tadi, keadaan dalam kereta sunyi sepi. Tiada sepatah kata pun terluah dari mulut masing-masing.

Berhenti sahaja kereta, Zulaikha terus melangkah keluar. Dia mahu membukakan pintu untuk ketuanya.

“Tak perlu, aku boleh keluar sendiri!” ujar Darwish sambil melangkah keluar.

Sengaja dia bertindak demikian. Ingin buat pembantu peribadinya itu sakit hati. Dia terus sahaja melangkah laju menuju ke lobi bangunan Merbok Construction Berhad.

Zulaikha hanya mampu mengeluh halus. Ingin dibelasah, lelaki itu ketuanya. Lagipun ketuanya tidak buat salah, jadi dia tidak boleh sewenang-wenangnya membuli. Hanya kesabaran yang menjadi pendinding api kemarahannya ketika ini.

Kamal yang sudah berdiri di sisi kereta hanya tersenyum sambil menjengketkan bahu. Dia pun pening dengan sikap Darwish yang tidak sepadan dengan usianya. Keanak-anakkan walaupun usia sudah 34 tahun.

“Sabar okey?” pesan Kamal sekadar memberi kata semangat pada Zulaikha agar tidak mudah putus asa.

Zulaikha hanya tersenyum dan mengangguk sekali lalu. Kemudian pantas mengekori langkah ketuanya yang sudah jauh ke dalam.



“TERIMA
kasih abang, sebab tolong jelaskan pada papa tentang perasaan Dira. Sebelum ni Dira dah cuba nak jelaskan tapi Dira tak kuat. Abang tahu sendiri, kan? Sikap papa tu, kalau dia kata hitam, hitamlah yang dia nak. Tak boleh nak tukar jadi putih,” ucap Qadira dengan senyuman terharu.

Dia masih dalam proses menerima apa yang papanya cakapkan pagi tadi perlahan-lahan. Dalam sekelip mata sahaja papanya boleh menerima perasaannya terhadap Darwish. Dia benar-benar bangga dengan abangnya itu kerana berjaya menundukan egois papanya yang terlalu ampuh selama ini.

Qadir tersenyum nipis. Wajah adiknya itu dipandang sekilas.

“Aku kan dah berniat minggu lepas, nak tolong kau bersatu dengan Darwish. Jadi, aku kotakanlah niat aku tu,” jawab Qadir sambil memusing stereng keretanya ke kanan.

Qadira terus tersenyum. Selepas ini dia perlu menyusun strategik untuk meraih semula cinta Darwish. Dia tidak akan membiarkan begitu sahaja. Dia akan membalas cinta Darwish sepenuh hati. Di pejabat nanti, dia perlu bertemu dengan Darwish untuk menjelaskan hal perasaannya.

“Dira tak sangka, papa boleh jadi selembut itu. Ilmu apa abang guna untuk lembutkan hati papa?” tanya Qadira sekadar berbasa basi.

“Tak ada ilmu apa-apa pun. Aku cuma beritahu dia hubungan kekeluargaan tu lebih penting berbanding harta dan kedudukan. Kalau harta dan pangkat kita dapat tapi keluarga entah ke mana, tak boleh jugak, kan? Harta tu siapa nak warisi kalau bukan anak sendiri. Betul tak?” jawab Qadir tersusun cantik ayat-ayatnya.

Namun hakikat sebenarnya, hanya TUHAN sahaja yang tahu maksud yang tersirat di sebalik setiap perbuatannya. Apa yang pasti setiap apa yang dia lakukan bukanlah berlandaskan keikhlasan. Tetapi, semuanya punya motif yang tersirat.

Terharu Qadira mendengar kata-kata abangnya itu. Abangnya itu luarannya sahaja nampak sentiasa serius. Tetapi di dalamnya tetap ada kasih sayang untuk keluarganya. Selepas ini hatinya semakin senang bekerja sebumbung dengan Darwish. Hatinya terus kembang kerana diselubungi dengan rasa bahagia yang memuncak.

“Lagipun kau tu adik aku. Kalau tak aku yang tolong, siapa lagi?” sambung Qadir sambil memberhentikan keretanya.

Mereka sudah pun sampai di pekarangan pintu utama Merbok Construction Berhad.
“Lepas ni, kalau aku ada kerja luar, kau naik kereta dengan papa ke pejabat okey? Sementara tunggu kereta kau keluar,” beritahu Qadir sambil membuka tali pinggang keledarnya.

“Waa... papa nak belikan Dira kereta?” tanya Qadira teruja sekali sambil melangkah keluar dari kereta.
Langkah disusun laju menghampiri abangnya itu. Tidak sabar pula nak tahu berita selanjutnya.

Qadir tidak terus menjawab pertanyaan adiknya itu. Dia menyerahkan kunci kereta kesayangannya, iaitu Mitsubishi Lancer Evolution X kepada salah seorang pembantunya untuk diparkir di kawasan parkir khas.
“Itu abang tak tahu. Papa yang belikan. Kalau nak tahu, kau tanyalah papa sendiri,” jawab Qadir sambil melangkah masuk ke dalam bangunan Merbok Construction Berhad.

“Alah...” keluh Qadira sedikit kecewa. “Maknanya papa dah belikan kereta untuk Diralah? Baru nak mintak Honda Jazz,” sambungnya lagi dengan satu keluhan halus.

“Kalau kau rasa kau nak kereta tu, pergilah jumpa papa. Manalah tahu dia belum order lagi. Boleh kau mintak Honda Jazz kau tu,” balas Qadir sambil melangkah ke arah lif.

Qadira buat muka. Pasrah ajelah, desis hatinya.

Langkah Qadir tiba-tiba perlahan bila terpandang sepupunya bersama seorang wanita di hadapan pintu lif.

Qadira turut memperlahankan langkahnya bila melihat abangnya berhenti dari terus melangkah. Dia kehairanan.

“Kenapa bang?” tanya Qadira.

Namun abangnya tidak menjawab. Sebaliknya asyik memandang ke suatu arah. Dia mengekori pandangan abangnya. Dia turut berasa hairan bila melihat Darwish bersama seorang wanita.

“Siapa wanita tu?” tanya Qadira hairan.

Beberapa saat kemudian, kelihatan Darwish melangkah masuk bersama wanita yang masih belum mereka kenali itu ke dalam lif.

Qadir tidak menjawab pertanyaan Qadira. Dia sendiri tidak tidak tahu siapa wanita itu. Wanita itu juga tidak pernah dilihat di Merbok Construction Berhad sebelum ini. Secara kebetulan, Syafiq bekas pembantu peribadi Darwish melangkah melintasi mereka.

“Syafiq!” panggil Qadir serius nadanya.

Syafiq yang sedang asyik menyemak isi fail di tangannya memandang ke arah suara itu. Bila mendapati yang memanggilnya itu Qadir, cepat-cepat dia menutup fail di tangan lalu melangkah menghampiri lelaki itu.

“Ya Tuan Qadir. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” tanya Syafiq sopan sekali.

“Emm... siapa wanita bersama Darwish tadi?”

Qadira memandang abangnya. Tidak sangka, abangnya akan bertanyakan soalan itu. Dia hanya menjadi pemerhati dan pendengar yang setia.

“Oh wanita yang bersama Darwish tadi? Wanita itu adalah pembantu peribadi dia yang baru,” jawab Syafiq jujur.

“Pembantu peribadi yang baru? Jadi, apa nasib kau sekarang?” tanya Qadir dengan kerutan di dahi. Hairan dengan jawapan yang diberikan Syafiq.

“Saya sudah dipindahkan ke jabatan tender.”

Qadir hanya mengangguk. Tidak tahu pula yang sepupunya itu sudah berani ambil pembantu peribadi wanita. Setahunya, sepanjang Darwish berkhidmat di Merbok Construction Berhad ini, semua pembantu peribadinya lelaki. Tapi kenapa tiba-tiba bertukar kepada perempuan? Dia mula merasakan ada sesuatu yang sedang sepupu dan pak ciknya rancangkan.

“Tak apalah, thanks for your info,” ujar Qadir lalu melangkah ke arah lif diekori Qadira di sebelah.
Kebetulan sampai sahaja mereka di hadapan lif, pintu lif terbuka. Segera dua beradik itu melangkah masuk. Qadira jadi bingung. Tidak faham dengan emosi abangnya itu. Terus bertukar serius selepas mendengar jawapan lelaki yang ditemuinya tadi.

“Aku harap lepas ni kau kena kuat. Sebab kau dah ada saingan untuk meraih semula cinta Darwish,” pesan Qadir kepada Qadira selepas beberapa minit mendiamkan diri.

Qadira tidak menjawab. Dia semakin bingung. Tidak faham dengan pesanan abangnya itu.

Previous: 19
Next: 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.