Home Novel Seram/Misteri Fitrah
Fitrah
Hana Mizari
3/3/2018 23:49:01
122,146
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 25

SOULMATE

Sfera yang dijelmakan Darma tadi retak secara tiba-tiba. Retakan halus itu merebak dengan pantasnya ke seluruh permukaan sfera itu. Sekelip mata sahaja permukaan sfera itu retak seribu. Muncul cahaya yang amat terang lagi menyilaukan dari celah retakan yang muncul. Cahayanya berserakan menerangi segenap ruang.

Darma yang pada waktu itu hendak melancarkan serangan seterusnya terpempan seketika. Matanya membeliak luas. Pantas dia berkalih ke arah sfera yang dijelmakannya tadi.

Arya yang sedang bersembunyi di sebalik tiang-tiang tinggi di sekitarnya turut mengintai untuk melihat apa yang berlaku. Sebelah lengannya diangkat untuk menutup sedikit matanya kerana silau melihat cahaya tersebut.

Retakan halus yang muncul tadi semakin membesar. Tinggal tunggu masa sahaja sebelum sfera itu pecah. Ada suatu daya yang teramat kuat di dalamnya sedang menolak keluar dari dalam sfera tersebut.

Prank!

Sfera itu pecah berderai ibarat kaca yang jatuh ke lantai. Serpihan-serpihannya yang halus ibarat habuk terbang bercempera di udara sebelum menghilang begitu sahaja. Sejurus itu, cahaya yang menyilaukan mata tadi terus melimpah keluar sebanyak-banyaknya sebaik pecahnya sfera tersebut.

Cahaya tersebut perlahan-lahan menghilang sebelum mula menampakkan satu susuk tubuh di tengahnya.

"Alamak! Dia dah berjaya rungkaikan persoalan tu!" omel Darma geram sambil memerhatikan susuk tubuh yang muncul dari dalam sfera yang retak tadi.

Setelah cahaya itu menghilang perlahan-lahan, barulah Arya dapat melihat dengan lebih jelas apa yang keluar dari dalam sfera tersebut. Lengannya yang diangkat tadi diturunkan. Ilya dilihatnya sedang berdiri dalam keadaan terpinga-pinga di tempatnya. Arya tersenyum meraikan kejayaan Ilya.

Ilya menoleh ke kiri dan kanan. Mengamati persekitarannya. Masih cuba menghadam situasi yang sedang dihadapinya sekarang.

'Kat mana pula ni? Tadi kat hutan, ni kat tanah lapang mana pula ni?' soal Ilya di dalam hati.

Darma yang berasa geram kerana Ilya berjaya melepaskan diri dari dimensi tersebut mula bertindak. Dia menjelmakan sebilah pedang untuk dihunus ke arah Ilya yang masih bingung. Arya yang sedar akan situasi itu terus keluar dari celah tiang-tiang tinggi itu.

Pantas dia berlari ke arah Ilya.

"Ilya! Hati-hati!" teriak Arya meminta perhatian Ilya.

Walau bagaimanapun, refleks Ilya lambat memandangkan dia tidak terlatih. Nasib baik Arya sempat mendapatkannya. Tubuh Ilya dicempung sebelum Arya melompat meninggalkan tempat itu.

Darma semakin berang tatkala menyedari serangannya tidak mengena. Ilya yang baru menyedari dirinya dicempung ibarat tuan puteri hanya mampu terpinga-pinga.

"Arya, apa dah berlaku ni? Sekarang ni kat mana pula? Kenapa kau boleh ada kat sini?" soal Ilya bertubi-tubi.

"Maaf. Saya takda masa untuk tu. Kita cuba kalahkan spirit ni dulu. Nanti saya atau pun dia akan terangkan segala-galanya pada awak."

Ilya menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan Arya ini. Ada kelainan pada nada yang selalu digunakannya. Arya ini kelihatan lebih berperasaan dan berekspresi. Selalunya, Arya lebih selalu menggunakan nada mendatar dalam pertuturan. Mimik mukanya juga jarang menunjukkan sebarang ekspresi.

Setelah memastikan kedudukan mereka agak jauh, Arya meletakkan tubuh Ilya dengan perlahan ke atas lantai. Ilya perlahan-lahan bangun lalu bangkit berdiri. Arya turut berdiri di sisi Ilya. Pandangan mata Arya dikalihkan ke arah Darma yang berada jauh daripada mereka berdua.

Arya mendiamkan diri sejenak. Memikirkan sesuatu. Dia juga pelik bagaimana Ilya boleh tiba-tiba melepaskan dirinya. Setahunya, bukan senang untuk melepaskan diri daripada teka-teki yang dibuat Darma.

Sebelum ini, semasa dia berhadapan dengan Darma, Arya ditinggalkan dalam satu bilik yang penuh jalan sesat lagi mengelirukan. Bilik itu hanya ada satu sahaja pintu keluar. Pintu itu akan membawa dia keluar dari lipatan dimensi itu. Dengan menggunakan kuasa intuisinya, Arya berjaya mencari jalan keluar.

Pada masa itu, persona Arya yang asal mengawal tubuh ini. Dia hanya bertindak sebagai penunjuk jalan.

Setelah dia berjaya menjumpai pintu itu, automatik tubuhnya dibawa keluar daripada lipatan dimensi tersebut lalu membawa dia berhadapan dengan Darma. Spirit itu memang suka menguji dan mempermainkan manusia.

"Ilya, awak cuba jangan jauhkan diri daripada saya," pesan Arya.

Ilya mengangguk. Dia seperti pernah mendengar Arya meninggalkan pesanan itu kepadanya sebelum ini. Baru beberapa hari yang lalu Ilya diperangkap sekumpulan spirit ke dunia pelik. Arya juga yang menyelamatkannya daripada dunia itu. Arya juga yang meninggalkan pesanan itu kepadanya.

Arya mendepangkan tangannya ke hadapan. Beberapa anak panah cahaya menjelma keluar dari tangannya lalu menuju ke arah Darma. Darma turut melancarkan anak panah yang sama menepis kesemua serangan itu. Anak panah itu semua berlaga di udara.

Ilya hanya mampu membeliakkan matanya melihat semua perkara luar biasa itu berlaku di hadapan mata. Mindanya sibuk memikirkan dari mana anak panah cahaya itu datang dan bagaimana mereka berdua menghasilkannya. Menggunakan logik akal dan pengetahuan Sains yang sedia ada, dia sibuk memerah otaknya untuk berfikir.

Arya tidak berputus asa. Kali ini dia melancarkan lebih banyak anak panah ke arah Darma. Setiap anak panah itu menuju ke arah yang berbeza. Anak panah cahaya daripada Arya itu datang dari segenap arah untuk disasarkan ke tubuh Darma.

Darma membina perisai di sekelilingnya untuk mengelakkan semua serangan itu. Dia tidak sempat untuk menepis semua anak panah itu. Ia terlalu laju.

Arya yang pada masa itu masih mendepangkan tangannya ke hadapan menguatkan lagi kekuatan serangannya. Anak panah cahaya yang tercacak ke atas perisai halimunan buatan Darma terus-menerus cuba ditujah masuk oleh Arya dengan menyalurkan lebih kekuatan dari jauh.

Darma terkejut dengan kekuatan serangan itu. Dia turut cuba menguatkan perisainya agar tiada anak panah yang berjaya menembusi perisai tersebut.

Lambat-lambat perisai yang dibuat Darma mula meretak lalu membenarkan anak panah yang berada di sekeliling menusuk masuk dan menghala ke arah tubuhnya. Beberapa letupan kecil terhasil tatkala anak panah itu mengenai tubuh spirit itu.

Darma menjerit kesakitan. Kecederaan yang bertambah di tubuhnya sedikit sebanyak menyedut keluar tenaganya pergi.

"Belum lagi," ujar Arya sekali lagi mendepangkan tangannya ke hadapan.

Beberapa anak panah cahaya menjelma di hadapan kedua-dua tapak tangannya yang dibuka. Kesemua anak panah itu ditujukan kepada Darma dari segenap arah. Dia pada waktu itu masih belum bersedia. Hanya sempat membuat perisai untuk menghalang serangan itu daripada mengenai tubuhnya.

Walau bagaimanapun, tubuh Darma yang masih lemah menyebabkan refleksnya lambat. Perisai yang cuba dibentuknya masih tidak sempurna. Akibatnya, anak panah yang menuju ke arahnya sempat masuk sebelum perisai itu tertutup dengan sempurna. Letupan terhasil dalam perisainya sendiri.

Disebabkan perisai itu agak kuat, impak letupan hanya terkurung di dalam perisai tersebut. Arya tersenyum sinis melihat hasilnya. Ilya pula hanya mampu membeliakkan matanya melihat fenomena itu di hadapan mata. Dia memandang ke arah Arya tidak percaya. Arya membalas pandangan Ilya itu dengan senyuman di bibir.

Darma mengerang kesakitan di dalam perisai tersebut. Lama-kelamaan, erangan kesakitan Darma menghilang bersama kepulan asap yang terperangkap di dalam perisai tersebut. Perisai halimunan itu turut menghilang.

Arya sudah bersedia di posisinya. Ilya disuruh untuk berdiri di belakangnya untuk mengelakkan sebarang kemungkinan buruk berlaku. Walau bagaimanapun, baru sahaja Arya hendak mengatur rancangan seterusnya, berlaku satu gegaran yang amat dahsyat.

Akibat terlalu panik, Ilya dan Arya tidak sempat melakukan apa-apa. Semuanya berlaku dengan pantas. Lantai tempat mereka berdua berpijak merekah lalu memisahkan mereka berdua. Semakin lama semakin banyak rekahan muncul lalu meranapkan keseluruan dimensi itu.

Satu cahaya yang amat terang lagi menyilaukan menyusul kemudian setelah seluruh dimensi itu ranap. Ilya dan Arya sudah terpisah jauh. Masing-masing hilang di balik cahaya terang itu.

***

Dbuk!

Ilya mendapati dirinya terjatuh di atas tanah berumput. Tubuhnya sedang terbaring. Matanya menatap langit malam nan indah dihiasi bintang-bintang bersinar cemerlang. Perlahan-lahan Ilya cuba untuk bangkit dan duduk. Tubuhnya masih terasa sakit akibat terjatuh dari atas.

Pemandangan di sekitarnya diperhatikan. Nampaknya sekarang dia berada di halaman rumah orang. Dapat dilihat melalui sebuah rumah yang tersergam indah di hadapannya. Beberapa pasu bunga turut disusun cantik di halaman rumah.

Tingkap-tingkap di rumah itu masih gelap. Nasib baiklah tiada penghuni rumah itu yang menyedari kehadirannya. Jika tidak, pasti Ilya akan dituduh sebagai penceroboh.

Ilya bangkit berdiri. Rumput-rumput yang melekat di bajunya dibersihkan. Dia berjalan ke arah pagar rumah tersebut. Ketinggian pagar itu mencecah ketinggian orang dewasa. Ilya yang agak rendah pasti agak sukar untuk melepasi pagar tersebut.

Matanya melilau ke segenap ruang. Mencari kalau-kalau ada barang yang sesuai dijadikan platform untuk dia melompat dan melepasi pagar tersebut. Mata Ilya menangkap kelibat sebuah pohon rendang yang ditanam di tepi pagar.

Ilya berjalan ke arah pokok itu untuk memanjatnya. Perlahan-lahan dia merangkak ke arah dahan pokok yang menganjur ke arah tebing pagar rumah itu. Dia harus berhati-hati. Jika dahan pokok itu patah, pasti sakit rasanya jika dia terjatuh. Sudahlah kesakitan di badannya sekarang masih belum hilang. Lagipun, dia akan membuat bising nanti.

"Berjaya!" gumam Ilya setelah berjaya berdiri di atas tebing pagar tersebut.

Matanya memandang ke bawah. Ilya terasa sedikit gayat ketika menganggarkan ketinggian tempat dia berada sekarang dengan tanah di bawah. Namun dikuatkan juga semangat untuk melompat ke bawah.

Ilya hampir tergolek tatkala kakinya mencecah tanah. Dia cuba mengekalkan keseimbangan tubuhnya agar tidak terjatuh.

"Ilya!"

Ilya terdengar suara Arya memanggilnya dari jauh. Ilya melilau memerhatikan persekitaran untuk mencari punca bunyi itu.

"Sini! Kat atas, Ilya," beritahu Arya setelah mendapati Ilya tidak menjumpai kedudukan dirinya.

Ilya mengerutkan dahi. Pelik mendengar apa yang diberitahu Arya.

"Kat atas?" soal Ilya pelik.

"Ya, saya kat atas pokok ni," beritahu Arya selamba. Ilya terus mendongak ke atas. Melihat ke arah pokok yang berhampiran. Pokok itu tumbuh berdekatan dengan tempat dia berdiri sekarang, tetapi di luar pagar.

Tatkala Ilya ternampak kelibat Arya di atas pokok, si jejaka itu terus melambai ke arahnya. Dia kemudiannya terjun dari pokok tersebut lalu mendarat di hadapan Ilya.

"Macam mana awak boleh ada kat atas pokok? Awak panjat ke pokok tu?" soal Ilya sebaik sahaja Arya mendarat di hadapannya.

"Tadi, masa awak mula-mula sedar, awak ada kat mana? Atas pokok juga ke?" Arya menjawab soalan dengan soalan.

"Tadi? Oh, tadi saya ada kat dalam halaman rumah orang tu," cerita Ilya selamba sambil menuding jari ke arah rumah yang dimaksudkan. Arya terus memandang ke arah yang ditunjukkan Ilya.

"La, ya ke? Macam mana awak boleh keluar? Orang dalam rumah tu tak perasan ke?" Terkejut Arya mendengar cerita Ilya.

"Saya panjat pokok kat tepi pagar tu untuk keluar dari halaman rumah tu. Nasib baik mereka tak perasan," cerita Ilya lagi.

"Jadi kita sama-sama duduk atas pokoklah ni." Arya cuba berseloroh tetapi dengan nada mendatar. Ilya tidak pula terasa ingin ketawa mendengar seloroh Arya. Sebaliknya hanya melemparkan renungan kosong sahaja.

"Dah, jom kita balik," ajak Arya sebelum mula mengatur langkah untuk pulang.

"Tapi, Arya, ada banyak benda yang saya nak tanya kat awak ni." Ilya tidak ingin pulang tetapi mahu terus mengajukan soalan kepada Arya.

Arya menghentikan langkahnya lalu berpaling untuk memandang Ilya.

"Apa yang awak nak tanya?" soal Arya.

"Malam ni dan insiden hari tu kat sekolah. Dua kali awak selamatkan saya. Macam mana awak tahu kat mana nak cari saya?"

"Oh, itu. Soulmate yang bagitahu." Selamba Arya menerangkan.

"Ha? Soulmate? Apa tu?" Ilya semakin kusut mendengar penerangan Arya.

"Soulmate tu gelaran yang saya berikan kepada persona yang menghuni dalam tubuh saya ni. Persona ni wujud hasil dari manifestasi kuasa saya. Kuasa untuk memberikan firasat dan intuisi yang tepat akan segala bahaya yang bakal menimpa. Persona ni juga akan bagitahu segala maklumat yang saya perlukan jika saya sedang menyiasat sesuatu perkara. Kira macam pemberi maklumatlah peranan soulmate saya ni," terang Arya panjang lebar.

Berkerut-kerut dahi Ilya cuba memahami apa yang disampaikan Arya. Arya pula hanya tersenyum melihat reaksi Ilya. Kebiasaannya memang orang tidak faham atau enggan faham pun akan kuasanya ini.

Ilya ingin bertanya lebih lanjut tetapi Arya telah memotong terlebih dahulu.

"Dah, jom kita cakap sambil jalan je. Kita tak boleh lama-lama kat sini. Keluarga awak mesti sedang tunggu kat rumah," ajak Arya lagi.

Ilya mengekori langkah Arya yang sedang mencari di mana kedudukan basikalnya diparkir. Tempat Arya sebelum memasuki ke spiritual realm tidak sama dengan tempat dia keluar. Oleh itu, dia hampir terlupa di mana dia memarkir basikalnya tadi.

"Kuasa apa pula ni, Arya? Light Arts ke?" Ilya mula mengajukan soalan sambil berjalan.

"Tak. Ini lebih kepada special attribute yang hanya ada pada orang-orang tertentu saja. Special attribute ni unik bagi setiap golongan magi," balas Arya.

Ilya bertambah pening mendengar informasi dan istilah-istilah baru daripada penerangan Arya.

"Jangan bimbang, Ilya. Saya percaya awak pun akan ada special attribute seperti golongan magi yang lain."

Ilya terhenti terus mendengar kata-kata Arya itu. Dia seperti pernah mendengar seseorang pernah berkata perkara lebih kurang sama seperti yang baru dituturkan Arya tadi. Arya turut terhenti sama.

"Apa maksud awak, Arya? Saya pun ada juga kuasa tu? Kenapa awak cakap macam tu?"

"Sebab saya yakin awak adalah magi juga seperti kami."

"Magi?" Ilya meneruskan perjalanannya semula bersama Arya.

"Ya, magi. Sebab awak boleh nampak spirit. Lagi satu, awak mudah menarik perhatian golongan spirit. Mereka takkan tertarik dengan manusia biasa. Kalau ada pun, jaranglah. Mereka lagi mudah tertarik kepada golongan magi," terang Arya.

"Mudah tertarik. Jadi, tu ke sebabnya saya ni asyik diganggu spirit-spirit yang nakal tu?" Ilya membuat kesimpulan.

"Ya, sepatutnya macam tulah." Arya mengiakannya.

"Jadi, sepatutnya saya ni ada kuasa macam awak jugalah. Adakah saya akan mendapat soulmate macam awak juga?" Ilya bertanya lagi.

"Tak semestinya. Soulmate ni saya bagi nama je sebab dia bertindak sebagai pembantu dan ada personaliti tersendiri. Kuasa ni unik ada pada saya je. Setiap orang lain special attribute-nya. Contohnya, salah seorang pemberi maklumat Exorcizans, special attribute dia boleh mengetahui maklumat peribadi seseorang cukup hanya dengan mengetahui nama penuh dan tarikh lahir saja."

"Oh, macam tu pula. Jadi, kuasa saya ni apa?"

"Tak tahu. Saya rasa awak lebih tahu pasal kuasa awak tu. Takpa, mungkin kuasa awak tu belum muncul lagi, Ilya."

Ilya mendengus mendengar jawapan itu. Nampak sangat dia tidak berpuas hati mendengar jawapan itu. Bukannya dia marahkan Arya tetapi cuma tidak berpuas hati kerana masih banyak lagi persoalan yang belum dirungkai. Semakin jauh dia meneroka, semakin banyak pintu-pintu persoalan baru dibuka.



Previous: BAB 24
Next: BAB 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.