Home Novel Seram/Misteri Fitrah
Fitrah
Hana Mizari
3/3/2018 23:49:01
122,103
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 30

BIBLIOTHECA ALEXANDRINA

“Bibliotheca Alexandrina?” soal Ilya menunjukkan minat.

“Ya, ia merupakan perpustakaan terbesar di bandar ni dan yang terbesar di negara ni,” terang Arya.

“Woah ....” Ilya berasa teruja mendengarnya.

“Perpustakaan ni ada sejarahnya sendiri. Ia dah lama dibina sejak zaman dulu lagi sebagai sumber ilmu utama dan tempat para ilmuwan melakukan kerja-kerja penterjemahan. Perpustakaan ni pernah runtuh dulu dan dibina semula sebanyak beberapa kali sebagai satu usaha untuk memulihara ilmu di dalamnya,” terang Kayril dengan teruja dan panjang lebar.

“Jadi, kita nak pergi Bibliotheca Alexandrina ke apa ni?” soal Ilya tidak sabar.

“Ya, pakcik rasa kalau kamu nak cari lebih banyak maklumat, eloklah kamu pergi situ. Lagipun, tak lengkap rasanya lawatan ke bandar ni tapi kalau tak pergi perpustakaan tu. Arya, bawalah Ilya pergi situ. Kayril kalau nak ikut sekali boleh pergi dengan mereka. Kamu ingatkan jalan nak pergi sana?” saran Farma.

“Tak payah, guna dron je pergi sana.” Arya mencadangkan cara yang lebih mudah untuk pergi ke destinasi itu.

“Ada ke dron tiga penumpang?” Kayril meletakkan jarinya di hujung dagu sambil memandang ke atas.

“Tak payah, kau pergi jalan kaki je. Exercise sikit.” Arya sengaja mengusik Kayril dengan nada selamba.

“Weyh ... kejam!” Kayril tidak tahan diusik Arya.

“Dah, jom kita pergi Ilya,” ajak Arya tanpa mempedulikan rajukan Kayril. Ilya terus mengikuti langkah Arya yang turut juga tidak mempedulikan Kayril.

Mereka berdua terus melangkah keluar dari rumah Farma. Kayril ditinggal mereka seorang diri.

“Weyh, janganlah tinggalkan aku. Seriuslah ni. Aku nak pergi naik apa ni? Takkan nak jalan kaki je?” Kayril cepat-cepat mengejar Arya dan Ilya yang telah pun berada di luar.

“Ala ... kau pergi je jalan kaki. Masa kecil-kecil dulu kan kita pergi jalan kaki je. Kau ingat lagi, kan shortcut pergi sana?” Arya tidak putus-putus mengusik Kayril sambil jarinya ligat menari di atas skrin telefon pintar. Langsung dia tidak memandang ke arah Kayril.

Ilya hanya terpinga-pinga melihat tingkah dua jejaka itu. Tidak sangka pula mereka begitu rapat sehingga boleh bergurau sebegini. Pasti Arya selalu datang sini untuk berjumpa dengan bapa saudaranya ini. Mungkin sebab ini mereka berdua boleh selalu berjumpa.

Setelah menekan butang ‘YES’, Arya memandang semula ke arah Kayril yang baru sampai ke tempat mereka berdua berada.

“Kau tempah dron kau sendiri. Kalau nak ikut,” cadang Arya mendatar.

“Okeylah ... sekurang-kurangnya tak sekejam suruh jalan kaki, kan?” Kayril akur dengan cadangan Arya lalu turut mengeluarkan telefon pintarnya. Dia turut membuat tempahan untuk ke destinasinya iaitu Bibliotheca Alexandrina.

“Kau jangan salah tempah pula. Nanti pergi tempat lain, kau nangislah seorang-seorang kat sana,” pesan Arya.

“Tahulah,” balas Kayril, tidak tahan dengan usikan terus-menerus daripada Arya.

Tidak berapa lama kemudian, dron yang ditempah Arya sampai terlebih dahulu daripada yang ditempah Kayril. Tatkala Arya dan Ilya melangkah masuk ke dalam dron itu dan pintunya tertutup, Kayril hanya mampu melihat sahaja. Dia hanya mampu pasrah apabila ditinggalkan mereka berdua.

Muka selamba Arya sejurus sebelum dron itu berlepas menambahkan rasa sakit hatinya. Arya seperti sengaja mengusiknya.

Nice! Aku kena tinggal. Rasanya tak lama sangat kan untuk dron seterusnya sampai?” Kayril cuba menyedapkan hatinya. Namun begitu, alangkah malangnya nasib Kayril pada hari itu. Dron yang ditempahnya hanya sampai kira-kira setengah jam sejurus dron yang dinaiki Arya dan Ilya berlepas.

Sebaik dron itu mendarat di perkarangan rumah Farma, Kayril pada waktu itu sedang mencabut-cabut rumput di kelilingnya akibat terlalu bosan menunggu. Mungkin Farma patut mengucapkan terima kasih kepada Kayril kerana tolong mencabutkan rumput panjang di sekitar rumahnya secara percuma.

Dapatlah Farma menjimatkan penggunaan tenaga elektrik robot pencabut rumput miliknya walaupun robot itu menggunakan tenaga solar sebagai sumber tenaga.

Baru sahaja Kayril ingin melangkah ke arah dron tersebut, tiba-tiba pintu dron itu tertutup secara automatik sebelum sempat Kayril menaikinya. Kayril terpinga-pinga melihatnya. Dia fikir, ada kesilapan teknikal pada dron tersebut. Dia juga berharap, kesilapan teknikal itu hanya seketika dan pintu dron itu akan terbuka semula.

Ternyata sangkaannya meleset. Sudahlah pintu dron itu tidak mahu terbuka, malah dron itu secara tiba-tiba berlepas sendiri tanpa mengambil penumpang. Melongo sahaja Kayril melihat dron itu terbang meninggalkannya.

Satu notifikasi daripada aplikasi perkhidmatan dron berpenumpang itu masuk ke telefon pintar milik Kayril. Pantas Kayril mengambil telefon pintar itu untuk melihat apakah notifikasi itu. Matanya membulat sebaik membaca butiran notifikasi aplikasi tersebut.

Dia mendapat mesej daripada syarikat swasta yang mengendalikan perkhidmatan dron itu. Mesej itu datang dalam bentuk permohonan maaf kerana tersalah menghantar dron ke tempatnya. Dron yang sepatutnya akan dihantar dalam masa beberapa minit lagi. Kayril diminta untuk bersabar.

Kayril sudah tidak boleh bersabar lagi. Mahu sahaja dia baling telefon pintar itu ke udara untuk melepaskan geram. Walau bagaimanapun, dia masih ada rasionalnya. Tidak akanlah disebabkan dron, dia mahu melepaskan geram kepada telefon pintarnya?

“Kenapa malang sangat nasib aku hari ni?” soal Kayril marah seorang diri. Sekali lagi dia duduk mencangkung lalu mencabut rumput di sekitarnya.

“Eh, kamu tak pergi lagi ke, Kayril?” soal Farma yang baru keluar dari rumahnya.

“Entah, nasib malang apa yang timpa saya hari ni,” jawab Kayril monyok.

Farma ketawa kecil melihat Kayril yang mula merajuk. Kayril semakin cemberut kerana dia rasa dirinya diusik Farma pula.

“Dahlah, nanti tak lama lagi sampailah tu,” pujuk Farma setelah mendapati wajah monyok Kayril.

Tidak lama selepas itu, barulah dron berpenumpang yang ditempahnya sampai. Dron itu mendarat betul-betul di hadapan mereka berdua. Kali ini Kayril berharap tiada lagi sebarang kesilapan berlaku. Kesabarannya sudah betul-betul menipis sekarang.

Pintu dron terbuka. Kayril melihat sahaja ke arah dron yang sudah terbuka pintunya itu tanpa sedikitpun berganjak. Dia risau dron itu akan mempermainkannya seperti tadi.

“Betullah tu, kot. Apa lagi, Kayril, pergilah.”

Kayril terus melangkah ke arah dron itu dengan teragak-agak sampai betul-betul di hadapan pintunya. Dia tidak terus masuk kerana ingin memastikan dron kali ini tidak akan meninggalkannya seperti kes tadi. Farma hanya tersenyum melihat tingkah Kayril.

Setelah beberapa saat menunggu dan pintu itu tidak tertutup, barulah Kayril melangkah masuk. Dia mengambil tempatnya lalu memakai tali pinggang.

Bye, pakcik,” ucap Kayril sejurus sebelum pintu itu tertutup.

Dron itu mula berlepas. Kayril melambai ke arah Farma melalui tingkap lutsinar dron itu.

***

Ilya melihat ke arah sebuah bangunan yang tersergam indah di hadapannya. Bangunan yang terdapat 15 anak tangga di hadapannya itu merupakan Bibliotheca Alexandrina. Beberapa orang keluar dan masuk dari pintu keluar perpustakaan itu.

Ilya melihat bangunan itu dengan penuh keterujaan. Dia sudah tidak sabar lagi untuk meneroka khazanah ilmu di dalamnya.

“Ilya, jom masuk!” ajak Arya seraya memimpin tangannya untuk masuk ke perpustakaan itu. Ilya hanya akur mengikut langkah Arya menaiki 15 anak tangga itu.

“Eh, tak tunggu Kayril sekali ke?” soal Ilya sambil kakinya mendaki satu demi satu anak tangga perpustakaan itu.

“Tak payah. Dia bukannya budak kecil pun mudah tersesat,” balas Arya selamba.

Sometimes you can be pretty ruthless,” komen Ilya tiba-tiba.

“Apa?” soal Arya seraya menghentikan langkahnya sejenak di anak tangga yang ketujuh lalu memandang ke arah Ilya. Langkah Ilya turut termati.

“Teruk awak buli Kayril hari ni,” balas Ilya.

“Memang dah biasa sejak dari kecil,” jawab Arya mendatar. Langkah mereka diteruskan semula.

“Oh, dah agak dah. Patutlah awak usik dia selamba je.” Arya tersenyum tipis mendengar ulasan Ilya. Bagi Ilya, hari ini dia dapat lihat banyak sisi Arya yang tidak diketahuinya. Dia nampak lebih bersosial hari ini.

***

Sebaik Kayril sampai, dia terus sahaja mencari buku-buku berkaitan ritual dan adat tradisi lama. Buku-buku yang diambilnya dibawa ke hulu dan ke hilir sambil mencari keberadaan Arya dan Ilya di perpustakaan itu.

“Manalah budak berdua ni pergi? Dahlah tak tunggu aku!” omel Kayril sendiri.

Dia berjalan dari sebuah meja ke sebuah meja. Mencari-cari kelibat dua orang rakannya. Tangannya sudah terasa lenguh akibat membawa buku-buku itu dalam tempoh yang lama. Berasa menyesal pula tidak mencari Arya dan Ilya terlebih dahulu.

Dek terlalu teruja tadi, dia terus menuju ke rak buku untuk mencari buku-buku yang ingin dibacanya. Kayril memang seorang ulat buku. Dia pantang nampak buku-buku yang tersusun elok di rak buku. Pasti tempat itu akan dituju terlebih dahulu untuk menyambar buku-bukunya tanpa memikirkan perkara lain.

Dari jauh, Kayril ternampak Arya dan Ilya sedang sibuk menelaah beberapa buah buku yang terbentang di atas meja. Lagak mereka seperti ilmuwan sedang melakukan kerja penyelidikan sahaja. Tanpa membuang masa, Kayril terus mengatur langkah ke arah meja tempat mereka berdua berada.

“Tak tunggu aku pun,” ujar Kayril memulakan bicara sambil meletakkan buku-buku tebal yang dibawanya.

Buku-buku itu diletakkan Kayril dengan berhati-hati agar tidak mengeluarkan bunyi bising daripada hempasannya ke atas meja. Lagipun, dia amat menjaga buku-buku itu. Dia tidak mahu buku itu rosak.

Arya dan Ilya langsung tidak membalas sapaan Kayril. Malah, mereka langsung tidak mengangkat wajah. Sengaja tidak mempedulikan Kayril yang baru tiba. Kayril menarik sebuah kerusi kosong di hadapan mereka berdua lalu melabuhkan punggungnya di situ.

“Tekun nampak, sampai tak perasan aku datang.” Sekali lagi Kayril cuba meminta perhatian mereka berdua tetapi hampa.

Arya dan Ilya terus-menerus tenggelam dalam dunia buku masing-masing. Sama ada mereka terlalu khusyuk membaca atau sengaja mengusik Kayril.

Kayril akhirnya bosan menunggu reaksi mereka berdua. Dia terus mengambil sebuah buku yang berada di atas sekali di menara buku yang dibinanya sendiri lalu memulakan pembacaannya.

“Lambat sampai?” Arya tiba-tiba menyapa. Pembacaannya dihentikan seketika.

“Hmm ....” Kayril menjawab malas. Matanya terus ditumpukan pada buku yang dibacanya. Sengaja tidak mahu mengangkat wajah dan melayan Arya. Mahu membalas dendam perbuatan Arya sebentar tadi.

“Okeylah, maaf pasal tadi. Memang sengaja pun,” ucap Arya sebelum menyambung usikannya sekali lagi.

Kayril yang baru hendak mula berbicara dengan Arya termati niatnya tatkala mendengar Arya mengatakan dia memang sengaja mengusiknya. Dia terus senyap. Tidak melafazkan sebarang bicara. Arya pula terus membatu memandangnya tanpa henti.

Melihatkan Arya yang memandangnya, Kayril terus menceritakan apa yang terjadi tadi sehingga dia terlambat.

“Tadi aku terlambat sebab ada masalah teknikal. Boleh pula mereka salah hantar dron,” rungut Kayril masih tidak puas hati.

“Kau memang ada nasib malang dengan dron. Sebelum ni macam ni juga kan?” Arya sempat lagi mengusik.

“Hmm ... kau tulah kedekut sangat taknak tumpangkan aku.” Kayril menolak kesalahan ke atas bahu Arya.

“Mana ada dron tiga penumpang. Maksimum dua je. Takkan Ilya nak kena tinggal seorang.” Arya membidas Kayril semula. Dia memandang ke arah Ilya yang masih tekun menelaah buku.

Kayril berbual dengan Arya sambil menyelak buku yang berada di hadapannya. Walaupun mulutnya sibuk melayan Arya, matanya ralit memerhatikan susunan aksara yang terpapar pada halaman buku tersebut.

“Ya tak ya, Ilya nak campak mana pula. Hmm ....” Kayril terdiam sejenak memikirkan sesuatu.

“Ha ... apa kata kau belajar rajin-rajin jadi engineer, lepastu kau design-lah dron tiga penumpang pula.” Kayril mengusulkan cadangan setelah diam sejenak. Tanpa sengaja, suaranya dikuatkan sehingga menarik perhatian orang yang duduk berhampiran mereka bertiga.

Kayril yang tersedar kesilapannya itu terus menutup mulutnya akibat malu. Suaranya cuba diperlahankan dalam bicara selanjutnya.

“Taknak. Kaulah jadi engineer. Aku nak jadi historian macam pakcik aku.” Arya menolak mentah-mentah cadangan Kayril.

“Jadi historian? Samalah. Seronok kan, belajar sejarah? Kita dapat mengembara ke masa silam. Kita dapat menyelami apa yang difikirkan masyarakat masa silam. Kita dapat belajar banyak perkara dalam sejarah. Sejarah bagaikan sebuah cerita. Ada permulaan, perkembangan, ada klimaks, ada peleraian. Menurut kata bijak pandai, historia magistra vitae est. Sejarah adalah guru kehidupan ....” Kayril menjadi terlebih teruja pula tatkala menyebutkan tentang cita-citanya dan minatnya.

“Dah, dah, dah. Kau lupa ke kau sekarang ni kat dalam perpustakan?” Arya mengingatkannya semula.

“Ha ahlah, lupa pula aku.” Kayril menjeling ke kiri dan kanan sebelum menggaru kepalanya yang tidak gatal. Sekali lagi dia terlebih teruja. Jika dia menarik perhatian orang ramai lagi buat kali ketiga, pasti mereka akan berasa marah.

Kayril terus-menerus menyelak buku dengan laju sekali lalu sahaja. Dia seolah-olah tidak membaca langsung buku itu. Ilya sehinggakan pelik melihat tingkah Kayril itu. Dia perhatikan sahaja tingkah laku Kayril sedari tadi. Pembacaannya tergendala seketika dek ralit memerhatikan Kayril.

“Dia sebenarnya tengah baca tu. Nampak je macam tak baca.” Arya tiba-tiba bersuara.

“Hah?” Ilya memandang Arya pelik.

Setelah buku itu habis diselak, Kayril terus menutupnya. Dia kemudian memandang ke atas seperti sedang berangan. Semakin lama Ilya memerhatikan Kayril, semakin pelik dia dibuatnya.


Previous: BAB 29
Next: BAB 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.