Home Novel Seram/Misteri Fitrah
Fitrah
Hana Mizari
3/3/2018 23:49:01
122,145
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 11

KEHIDUPAN SEHARIAN ILYA

Langit senja itu kelihatan suram tetapi damai sekali. Warnanya nan membiru pada waktu tengahari bertukar jingga menandakan matahari sudah bersedia untuk terbenam di ufuk barat. Ilya memilih untuk mengambil angin di luar sambil menatap langit jingga di pangkin rumah moyangnya.

Walaupun pada keesokan harinya dia bersekolah, dia berasa malas untuk pulang ke rumahnya. Dia bercadang untuk ponteng sahaja kelas pada keesokannya. Lagipun dia sebenarnya telah pergi ke rumah moyangnya senyap-senyap tanpa pengetahuan Airis dan Rosmaria. Airis pasti amat marah jika mengetahui tindakan Ilya melarikan diri dari rumah tanpa kebenaran.

Ilya mendongak ke langit. Satu hembusan nafas yang panjang dilepaskan. Tangannya menongkat ke belakang untuk menyokong tubuh badannya.

"Ilya taknak masuk?" tanya Bidasari yang telah pun berdiri di sebelahnya. Dia melabuhkan punggung di sebelah Ilya.

Ilya memandang ke arah moyangnya lalu menggeleng sekejap.

"Jomlah masuk Ilya. Tak baik senja-senja macam ni duduk kat luar. Lagipun kamu kan istimewa. Kamu akan menarik perhatian spirit jika kamu berterusan duduk di luar," pesan Bidasari dengan lembut.

"Baiklah, nek," ujar Ilya sebelum bangkit dan berjalan untuk masuk ke rumah mengikuti langkah Bidasari.

"Ilya!" Belum sempat Ilya menapak untuk naik ke rumahnya, dia mendengar seseorang memanggil namanya dengan marah.

Ilya memusingkan tubuhnya ke belakang untuk melihat siapakah yang memanggil namanya pada petang sebegini. Bidasari turut melakukan perkara yang sama. Ilya dapat melihat seorang wanita muda berdiri terpacak di hadapan pintu pagar perkarangan rumah itu. Wajahnya kelihatan merah padam menahan marah.

Wanita itu terus berjalan menghampiri Ilya. Langkahnya dihayun kencang kerana menahan kemarahan. Setelah dia sampai berhampiran Ilya, dia terus merentap tangan Ilya dengan kasar sekali.

"Airis," panggil Bidasari dengan penuh kelembutan.

Airis tidak mempedulikan panggilan moyangnya sebaliknya terus menarik tangan Ilya dengan kasar. Ilya cuba melawan. Dia memprotes tindakan Airis.

"Airis, masuklah dulu," pelawa Bidasari sekali lagi.

Airis terus menghentikan tindakannya. Dia memandang Bidasari. Kemarahannya cuba diredakan sebentar untuk melayan moyangnya.

"Maaf, nenek. Kami berdua sibuk. Esok Ilya sekolah. Dia kena balik malam ni juga." Airis menerangkan keadaan yang sebenarnya kepada Bidasari.

Ilya terus menarik tangannya daripada terus dipegang Airis.

"Saya taknak balik. Malaslah saya nak pergi sekolah esok," bentak Ilya.

"Ilya!" jerkah Airis setelah mendengar kata-kata yang terpacul keluar dari mulut Ilya. Ilya memandang tempat lain untuk mengelakkan matanya bertentangan dengan Airis. Dia memberontak.

"Ilya, tak baik kamu cakap macam tu, sayang. Kamu kena ikut cakap kakak kamu," nasihat Bidasari penuh kelembutan. Sebelah tangannya mengusap kepala Ilya.

"Taknak. Lagipun siapa nak temankan nenek nanti?" bantah Ilya tanda protes.

"Kamu jangan degil boleh tak?" marah Airis lagi. Matanya dijegilkan. Nada suaranya telah naik satu oktaf.

"Ilya tak baik macam tu. Kamu kena dengar nasihat orang. Nenek boleh jaga diri nenek di sini. Maria kan ada. Pokok-pokok tu semua akan temankan nenek di sini. Lagipun evil spirit suka pada budak yang tak mahu dengar kata. Kamu nak macam tu?" Bidasari tidak berputus asa. Dia masih mencuba untuk menasihati cicit kesayangannya itu.

Airis memandang moyangnya dengan pandangan pelik. Dia kemudian menarik tangan Ilya semula. Kali ini dia menarik dengan daya yang lebih kuat daripada sebelumnya. Ilya terdorong tubuhnya mendekati Airis.

"Dah, Ilya jom kita balik sekarang," arah Airis penuh ketegasan.

"Nenek, kami pulang dulu ya? Maaf sangat sekiranya Ilya menyusahkan nenek," kata Airis meminta diri. Dia menundukkan sedikit kepalanya untuk meminta maaf kepada moyang mereka. Ilya yang berada di sebelah Airis turut melakukan perkara yang sama.

"Baiklah, nek. Jaga diri." Ilya akhirnya akur dengan permintaan Bidasari.

Sebelum pulang, Bidasari sempat mendekatkan mulutnya ke telinga cicitnya untuk membisikkan sesuatu. Ilya mengukirkan senyuman penuh misteri tatkala mendengarnya.

Mereka berdua melangkah pergi meninggalkan rumah moyang mereka. Bidasari menghantar mereka berdua pulang dengan pandangannya. Setelah mereka berdua berada cukup jauh, Maria tiba-tiba sahaja muncul di sebelah Bidasari. Dia memandang Airis dari belakang dengan pandangan tipikal. Dia berasa kurang selesa dengan tindakan Airis yang baginya kurang menghormati orang tua.

"Takpa, biarkanlah dia Maria. Biarkanlah mereka dengan pandangan mereka. Bukan kita boleh buat apa pun," tutur Bidasari dengan hati yang sayu. Dia seperti boleh membaca apa yang terlintas di fikiran Maria.

Maria menatap wajah tuannya dengan penuh sayu. Lidahnya sudah kelu untuk berbicara. Dia berasa kecewa dengan sikap ahli keluarga Bidasari yang bertindak memulaukannya. Semuanya gara-gara kebolehannya untuk berkomunikasi dengan tumbuhan dan melihat spirit.

Ilya dan kakaknya berjalan menyusuri denai berliku-liku yang menghubungkan kampung terpencil itu dengan dunia luar. Di penghujung jalan itu, sebuah dron berpenumpang telah menunggu kepulangan mereka berdua. Tidak seperti tadi, dron itu boleh memuatkan dua orang penumpang.

Ilya dan Airis masuk ke dalam teksi dron itu. Airis menetapkan lokasinya Stesen Kereta Api Pekan Sahara. Mereka akan pulang ke rumah dengan cara yang sama Ilya datang ke kampung itu.

***

Ilya melabuhkan punggungnya di atas katil. Dia mengenakan pakaian tidur berupa maxi separas bawah lutut berwarna putih serta bermotif strawberi merah dan merah jambu. Telinganya masih bernanah mendengar bebelan panjang daripada Airis.

Sejurus sahaja mereka berdua sampai ke rumah, Airis terus berleter panjang kerana keluar rumah tanpa kebenaran. Bukannya Ilya sengaja pun untuk membuat mereka risau. Akan tetapi dia tahu, jika dia menyatakan hasratnya untuk pergi ke rumah moyangnya, mereka pasti tidak akan membenarkannya. Bidasari memang telah lama dipulaukan oleh ahli keluarganya yang lain. Dia dianggap tidak waras kerana seringkali dilihat bercakap seorang diri.

Rosmaria pula hanya mendiamkan diri. Sedikit pun dia tidak membantah, malah dia setuju dengan tindakan Airis meleteri adik bongsunya. Rosmaria sendiri yang memberitahu Airis tentang ketiadaan Ilya di rumahnya. Airis yang panik dengan berita tersebut hampir sahaja menelefon polis kerana menyangkakan Ilya telah melarikan diri dari rumah.

Ilya hanya meninggalkan sekeping nota yang bertulis.

Jangan risau pasal saya, pergi dulu.

Walaupun bebelan panjang Airis cuma mengambil masa selama setengah jam, namun Ilya dapat merasakan bebelannya itu berpanjangan selama bertahun-tahun.

Walau bagaimanapun, Ilya berasa sedikit hairan bagaimana kakaknya boleh mengetahui keberadaannya di rumah Bidasari? Dia berfikir sejenak.

Terlintas di fikirannya untuk menjenguk meja belajarnya. Di atasnya diletakkan beberapa buah buku pelajaran, alat tulis yang diletakkan dalam tin, sebuah tablet dan telefon pintar miliknya.

Ilya mengambil telefon pintar itu. Baru dia teringat bahawa semasa dia sampai di Pekan Sahara, dia ada menggunakan GPS untuk menentukan koordinat lokasi yang ingin ditujunya. Selalunya dia menutup data mudah alih dan GPS untuk mengelakkan dirinya daripada dikesan. Namun pada kali ini Ilya cuai dan terlupa untuk menutupnya semula.

"Patutlah, aku ada tracking device bersama dengan aku rupanya!" Ilya meletakkan telefon pintar itu dengan kasar kerana kesal dengan kecuaiannya.

"Kalau ikutkan orang yang tak mahu dirinya dikesan, dah lama dia musnahkan je smartphone bodoh ni!" kata Ilya lagi menahan geram.

Ilya mengambil keputusan untuk masuk tidur. Lampu dipadamkan sebelum dia naik ke katilnya.

***

Sekolah Menengah Sains GEN-01 Bandar Medici.

Buku Teks Biologi dikeluarkan Ilya dengan penuh kemalasan. Sejujurnya itulah subjek yang paling dibencinya walaupun Airis meminta dia menumpukan perhatiannya kepada subjek itu.

Airis berharap sangat Ilya dapat merealisasikan cita-citanya yang tidak kesampaian iaitu menjadi doktor. Bagi Airis, kerjaya sebagai doktor merupakan pekerjaan yang mulia kerana tugasnya menyelamatkan nyawa orang lain. Dia juga berhasrat ingin membantu ahli keluarganya yang sakit sekiranya dia menjadi doktor. Namun begitu, hasratnya tidak kesampaian. Maka harapan itu disandarkan pada bahu Ilya agar dapat merealisasikan cita-citanya pula.

Ilya sebenarnya lebih meminati bidang Fizik dan Matematik. Dia sendiri pun tidak tahu kenapa dia amat meminati kedua-duanya.

Tambah parah lagi, guru yang mengajar subjek Biologi di kelasnya merupakan sepupunya sendiri. Tatkala Airis mengetahui Rosmaria mengajar subjek Biologi di kelas Ilya, dia berasa begitu berbesar hati. Dia juga telah memesan supaya Rosmaria memastikan Ilya tidak bermain-main sepanjang sesi pembelajaran di sekolahnya.

Personaliti Rosmaria di sekolah pula berlainan sekali jika dibandingkan dengan keadaannya di rumah. Jika di rumah, dia kelihatan periang seperti kanak-kanak, Rosmaria menjadi tegas dan berdisiplin ketika berada di sekolah. Memang tiada ruanglah untuk Ilya bermain-main semasa di kelas ini.

"Akhirnya kelas dengan singa betina tu berakhir juga," keluh Ilya pada waktu rehat di sekolahnya.

Dia kelihatan berdiri keseorangan di koridor di sekolahnya sementara menunggu Layla. Mereka berdua memang selalunya menghabiskan masa bersama-sama. Dia berdiri menghadap tingkap kaca lutsinar yang berada di sepanjang koridor sekolah itu.

Bedebuk!

Tiba-tiba Ilya merasakan tubuhnya dilanggar seseorang. Tidak, lebih tepat lagi dia sebenarnya ditolak seseorang dengan kasar sehingga tubuhnya jatuh terjelepok di atas lantai. Kedengaran hilaian tawa daripada beberapa orang pelajar perempuan berhampiran dengannya.

"La, ada orang ke? Sorry-lah tak nampak. Aku ingatkan tunggul kayu tadi," ujar Nandhina, salah seorang daripada pelajar perempuan yang berambut pendek dan berwarna merah. Berseloroh sahaja bunyinya.

Kata-kata sinis Nandhina itu disambut dengan hilaian tawa daripada Syasya dan Misya, dua orang lagi pelajar perempuan yang berada di belakangnya. Mereka bertiga berpeluk tubuh. Pandangan mereka dilemparkan dengan penuh kebencian.

Ilya mengetap giginya menahan geram. Dia merenung tajam ketiga-tiga pelajar perempuan di hadapannya itu. Ilya bingkas bangun untuk menghadap ketiga-tiga insan durjana itu. Sejurus sahaja Ilya berjaya bangun, Nandhina terus menolak Ilya lagi sekali.

Bedebuk!

Badannya jatuh buat kali kedua. Kali ini Ilya malas untuk bangun. Dia tahu jika dia cuba bangun lagi sekali, tubuhnya akan ditolak berkali-kali oleh orang sakit mental di hadapannya ini.

"Amacam? Sedap duduk atas lantai? Memang itulah tempat yang selayaknya untuk kau. Memang dasar orang tak geti nak bersyukur!" sindir Nandhina dengan nada penuh kebencian. Matanya terus merenung tajam ke arah Ilya yang duduk di atas lantai.

"Dahlah, jom kita blah dari sini. Tak kuasa aku nak layan perempuan sewel ni," ajak Nandhina kepada Syasya dan Misya. Mereka bertiga meninggalkan Ilya yang masih terduduk di atas lantai.

Setelah memastikan kelibat ketiga-tiga kaki buli itu tiada di pandangan matanya, Ilya terus bangun. Tangannya membersihkan uniform sekolahnya yang agak kotor kerana terjatuh di atas lantai sebentar tadi.

"Nenek kata ada perkara menarik akan berlaku di sekolah hari ni, tapi takda apa pun yang berlaku. Lagi nasib aku malang adalah," rungut Ilya sendirian. Bibirnya dimuncungkan.

"Ilya, pergilah ikut kakak kamu balik rumah. Ada perkara menarik bakal berlaku esok hari di sekolah. Hm?" Kata-kata daripada moyangnya semalam terngiang-ngiang di telinganya.

"Ilya! Maaflah lambat, ada urusan sikit tadi. Lama ke tunggu?" panggil Layla dengan nada riang persis seorang kanak-kanak diajak bermain.

"Takdalah, kejap je," bohong Ilya. Dia melemparkan renungan kosong. Cuba menyembunyikan perasaannya.

Dia berasa malas untuk membiarkan Layla mencampuri urusannya. Biarlah dia menanggung masalah ini seorang diri. Jika Layla mengetahui akan tindakan Nandhina tadi, pasti dia akan bertindak balas terhadap perbuatannya dan ini akan menimbulkan lebih banyak masalah. Dia tidak mahu menyusahkan lagi hidup Layla, cukuplah mereka sekeluarga telah memberi layanan baik terhadap dirinya.

"Dah, jom Ilya!" ajak Layla seraya memimpin tangannya.

Mereka berdua berjalan beriringan di koridor. Ilya tidak mempedulikan celoteh Layla yang bercerita pelbagai topik pada hari itu. Layla memang mulutnya becok seperti mulut murai. Bertentangan dengan Ilya yang selalunya mendiamkan diri.

Setelah beberapa minit mereka menelusuri perjalanan di koridor itu, Ilya menyedari ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya. Dia dapat merasakan sejenis garisan seperti melintasi tubuhnya. Langkah Ilya terhenti seketika. Layla yang perasan akan tingkah rakannya itu turut menghentikan langkahnya.

"Kenapa, Ilya?" tanya Layla. Dia memandang ke arah Ilya dengan riak wajah penuh tanda tanya.

Mata Ilya masih memandang ke hadapan dalam keadaan terbuntang luas. Dia diam tidak terkutik. Layla yang melihat tingkah Ilya itu terus mengalihkan pandangannya ke hadapan sebelum memandang semula sahabatnya itu.

Layla tidak faham apa yang menyebabkan Ilya terhenti langkahnya secara tiba-tiba. Dia juga tidak tahu apa yang sebenarnya dilihat sahabat karibnya. Baginya, tiada apa-apa yang aneh menjadi penyebab kepada Ilya terpempan seketika. Namun tidak bagi Ilya. Dia dapat lihat beberapa makhluk aneh pelbagai rupa sedang terbang dan memenuhi ruang udara di koridor itu. Makhluk aneh itu kelihatan ngeri lagi menakutkan.

"Ah, benda ni lagi! Kenapalah ia perlu terjadi sekarang?" rungut Ilya dengan nada lirih. Dia tidak mahu Layla mendengar apa yang dikatakan olehnya.

"Ilya?" Panggilan Layla itu mengejutkan lamunan Ilya.

Ilya meneruskan perjalanannya lalu diikuti pula oleh Layla. Matanya masih ralit memerhatikan sekumpulan spirit yang bergentayangan di hadapannya. Namun begitu, ada sesuatu yang menghairankan gadis itu. Makhluk separa lutsinar yang berkeliaran di hadapannya seperti sedang mengerumuni seseorang iaitu seorang pelajar lelaki. Dia sedang membelakangi pandangan Ilya, oleh itu Ilya tidak dapat melihat wajahnya.

Rasa ingin tahu mula menyelubungi dirinya. Dia betul-betul ingin tahu siapakah sebenarnya lelaki itu dan kenapa dia menjadi perhatian golongan spirit. Adakah lelaki itu seperti dirinya? Adakah dia boleh melihat spirit seperti dirinya? Apa yang menyebabkan spirit itu tertarik kepada lelaki misteri itu?


Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hana Mizari