Home Novel Seram/Misteri Fitrah
Fitrah
Hana Mizari
3/3/2018 23:49:01
122,156
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 2

MATI

Sembilan tahun kemudian.

"Ilya!"

Ilya mendapati dirinya berada di sebuah ruang kosong yang gelap tanpa sebarang cahaya. Ruang kosong itu keluasannya infiniti tiada berbumbung, berdinding dan berlantai. Ilya hanya terapung seorang diri di ruang kosong yang gelap itu.

"Ilya!"

Suara itu memanggil lagi. Ilya tidak dapat mencari dari manakah puncanya suara tersebut. Dia keseorangan di ruang kosong itu, tiada sesiapa pun bersamanya pada waktu ini. Waktu? Ada ke waktu? Tiada konsep waktu di dalam ruang kosong berkeluasan infiniti itu sepertimana tiadanya cahaya di ruang gelap gelita. Oleh itu, Ilya sendiri tidak dapat mengagak berapa lamakah dia berada di tempat ini.

"Ilya!"

Suara itu memanggil sekali lagi. Kali ini kekuatan suara itu bertambah kuat dari sebelumnya. Ilya memandang ke kiri dan kanannya untuk terus mencari punca suara itu. Suara itu terus bergema di ruang kosong. Ruang kosong yang tiada konsep hadapan, belakang, kiri dan kanan oleh kerana keadaannya yang terlampau gelap. Ilya tidak dapat mencari dari mana arah suara itu kerana suara itu bergema di keseluruhan ruang.

"Ilya!"

Kali ini Ilya cuba membuka mulutnya untuk mengeluarkan suaranya. Dia ingin menjawab panggilan itu. Dia ingin bertanya di manakah dia sedang berada sekarang. Dia mahu memberitahu sang pemilik suara itu tentang keberadaannya sekarang. Walaubagaimanapun, segala usahanya gagal. Suaranya seperti tersekat di kerongkong, sedikit pun tidak mahu keluar. Ilya tidak berputus asa. Dia terus membuka mulutnya untuk berbicara.

"A ... a ... h."

Akhirnya Ilya berjaya mengeluarkan suaranya. Walau bagaimanapun, setelah dia berjaya mengeluarkan suaranya, dia mendapati dirinya berada di tempat lain. Suasana di sekelilingnya berubah. Tiada lagi ruang kosong infiniti yang gelap gelita. Baru dia sedar yang selama ini dia bermimpi. Dia tersedar di sebelah katil ibunya yang kini sedang terlantar di hospital. Rupa-rupanya dia tertidur di birai katil ibunya.

'Mimpi rupanya,' desis Ilya di dalam hati.

'Mesti aku penat sangat ni sampai tertidur,' sambung Ilya lagi.

Dengan perlahan-lahan dia bangun dari posisinya yang tidur terduduk. Dia melihat Puan Kamiliya masih lagi nyenyak tidur di pembaringannya. Seingat Ilya, sudah setahun lebih ibunya Puan Kamiliya terlantar di hospital. Semuanya bermula pada suatu petang apabila tiba-tiba sahaja ibunya diserang sakit dada. Akibatnya, Airis yang sudah pun berkerja sebagai jururawat bergegas membawa ibunya ke hospital tempat dia berkerja.

Sejak dari hari itu, Ilya berkorban masa dan tenaganya untuk menjaga ibunya di hospital. Sekali-sekala Airis akan melawat ibunya jika ada kelapangan waktu. Dia tidak dapat selalu menemani ibunya oleh kerana kekangan waktu yang dialami olehnya. Tugas Airis sebagai jururawat menyebabkan dia terlampau sibuk dengan pelbagai urusan. Lily pula memberi alasan dia terlampau sibuk dengan pelajarannya. Sekarang Lily sudah melanjutkan pelajaran di sebuah kolej dalam bidang farmaseutikal. Maka, kesudahannya tinggallah Ilya keseorangan menjaga ibunya di hospital.

Ilya memandang Puan Kamiliya yang sedang nyenyak tidur di atas katil. Tubuh ibunya berselirat dengan pelbagai wayar yang bersambung dengan alatan untuk memantau keadaan kesihatan ibunya. Hatinya berasa sayu melihat ibunya diperlakukan begitu sekali. Ibunya kelihatan terseksa di atas katil namun senyuman yang manis tidak lekang dari bibir ibunya. Puan Kamiliya sering berpesan kepada Ilya bahawa dia perlu tabah untuk menghadapi segala dugaan hidup.

"Ilya...." Suara misteri yang sama didengarinya dalam mimpi kini bergema pula di alam nyata.

"Ah, sudah!" rungut Ilya. Dia kemudian menoleh ke kiri dan kanannya untuk mencari kelibat suara itu.

"Sini, sini ataslah. Aku di atas ni." Suara itu memberitahu keberadaannya.

Ilya mendongak untuk mencari empunya suara itu. Kelihatan seorang kanak-kanak perempuan separa lutsinar terapung di udara. Kakinya terjuntai ke bawah.

"Ah, kau lagi ke Mimi? Aku ingatkan siapa tadi," ujar Ilya setelah mendapati makhluk terapung itu yang memanggilnya.

"Kau ni kenapa? Macam tak suka je aku datang sini."

"Buat apa kau datang sini?"

"Aku. Dah tentulah aku datang ni nak temankan kau. Aku tengok kau ni sunyi je seorang diri. Jadi aku datang sini nak ajak kau main."

"Hmmm ... tak payahlah. Kau datang nak kacau aku je kan?" tanya Ilya sambil mengangkat keningnya.

"Uish, mana ada. Hmmh! Mimi nak merajuklah," balas Mimi sebelum menghilangkan diri. Ilya menghela nafas lega.

"Bergurau je, hihihi," sergah Mimi secara tiba-tiba di sebelah Ilya. Rupanya telah berubah dari rupa kanak-kanak berwajah polos kepada makhluk yang menakutkan. Mukanya hancur seperti baru digilis lori balak, kedua-dua biji matanya tersembul keluar, mulutnya pula tiada sebaliknya diganti dengan lubang yang hitam, tangan dan kakinya pula mempunyai kuku yang panjang dan tajam.

Ilya tidak menunjukkan sebarang reaksi terkejut atau takut dengan makhluk menyeramkan yang berada di hadapannya. Sebaliknya dia terus merenung kosong makhluk itu. Matanya tidak berkedip sedikit pun. Ekspresi mukanya tiada perasaan. Mimi yang kecewa terus menukar rupanya kepada rupa kanak-kanak semula.

"Kalau kau rasa kau boleh takutkan aku dengan cara macam tu, kau memang silap besarlah. Kau bukan tak tahu aku dah menghadap benda macam ni lama dah, sejak aku tujuh tahun lagi. Itu pun kau punya pasal," gumam Ilya dengan nada mendatar.

"Hehe, alamak lupa pula aku. Tapi bukan aku yang jadi puncanya." Mimi cuba membela dirinya.

"Hmmm? Eh, bukan kau ke yang kacau aku dulu?" Ilya mengerutkan dahinya.

"Memang aku yang kacau kau dulu, tapi kau memang dah ada kebolehan melihat spirit tu sebenarnya, cuma kau tak aktifkan lagi. Bila aku cuba rasuk kau dulu, aku telah tidak sengaja mengaktifkan kebolehan kau yang terpendam tu. Aku rasalah." Mimi cuba memberi penjelasan walaupun dia kurang pasti.

"Hmmm...," balas Ilya sambil menyepetkan matanya.

Tidak berapa lama kemudian datang seorang jururawat ingin memeriksa keadaan ibu Ilya. Mimi terus menghilangkan dirinya sekelip mata. Ilya memandang jururawat itu dengan pandangan kosong. Jururawat yang baru memasuki bilik itu memandang keseluruhan bilik tersebut. Dia kemudian memandang Ilya pelik. Dia memandang Ilya dari atas hingga ke bawah untuk memeriksa keadaannya.

"Adik cakap dengan siapa tadi sebenarnya?" tanya jururawat itu kepada Ilya.

"Kawan?" jawab Ilya selamba. Jururawat itu terus menggelengkan kepalanya. Dia kemudian menyambung tugasnya memeriksa keadaan Puan Kamiliya.

Ilya hanya memerhatikan sahaja jururawat itu menulis sesuatu di atas kad rekod perubatan ibunya. Setelah selesai, dia meletakkan semula kad itu di hujung katil. Sebelum dia sempat melangkah keluar, Ilya menanyakan sesuatu kepada jururawat itu.

"Missy, bila agaknya mama saya boleh keluar hospital?" Jururawat itu terkejut dengan pertanyaan Ilya.

Dia kemudian menghela nafas berat sebelum menjawab, "Mama kamu masih belum menunjukkan tanda dia akan sembuh. Doktor pun tak bagi kebenaran lagi. Maaf, saya tak boleh jawab. Nanti adik tanyalah doktor, ya?"

"Tak payahlah nak tunggu sampai mama saya ni sembuh. Dah takda harapan lagi dah. Lagipun buat menyemak je kan keluarga kami ni di hospital kan? Orang macam keluarga kami ni memang tak patut pun jejakkan kaki kami ke hospital kan?" soal Ilya dengan nada mendatar sahaja. Mukanya pula tidak menunjukkan sebarang ekspresi. Jururawat itu melopong mendengar kata-kata yang terpacul keluar dari mulut Ilya.

Sekali lagi jururawat itu menghela nafas berat sebelum menjawab, "Adik, adik banyakkan bersabar ya dik. Penyakit yang mama adik hadapi ni berat. Memang ia akan ambil masa untuk sembuh. Adik jangan risau. Niat kami cuma nak tengok pesakit kami sembuh sahaja, kami tiada niat lain pun."

"Missy, jangan ingat saya bodoh. Missy ingat saya tak tahu ke? Doktor pun masih tak tahu lagi kan punca penyakit mama saya walau dah setahun lebih mama saya terlantar di sini. Hospital ni dah macam rumah nombor dua saya dah. Ayat tu dah berulang-ulang kali orang cakap pada saya, tapi hasilnya tetap sama. Malah, tiada siapa pun ahli keluarga saya pernah sembuh bila dirawat di hospital," balas Ilya masih dengan nada mendatar.

"Adik...," panggil jururawat itu sambil cuba memegang bahu Ilya. Dia masih berusaha untuk memujuk Ilya.

"Jangan sentuh saya," kata Ilya mendatar lalu menepis tangan jururawat itu.

"Adik!" Jururawat itu terkejut dengan tindakan drastik Ilya itu.

"Sudah. Pergi. Tinggalkan saya di sini," kata Ilya dengan riak wajah tiada perasaan. Jururawat itu akur lalu meninggalkan bilik itu.

"Kesian. Dahlah ibunya sakit tenat. Anaknya pula seorang tak boleh diharap, seorang lagi sakit mental. Sedih aku tengok keluarga tu," gumam jururawat itu sendirian apabila dia berada di luar bilik itu.

****

"Doktor, saya nak discharge mama saya hari ni juga," pinta Ilya kepada doktor yang merawat ibunya. Nada suaranya masih lagi mendatar. Ia lebih kepada arahan bukan permintaan.

Terbeliak mata doktor itu apabila mendengar permintaan Ilya.

"Adik, maafkan doktor. Doktor bukan tidak mahu benarkan mama kamu pulang cuma keadaan kesihatannya masih belum membolehkanya pulang. Adik bersabar ya?"

"Hmm, bersabar. I'm laughing at that statement. Sabar tu memang dah ada kat dalam darah daging saya dah," ujar Ilya dengan senyuman sinis. Doktor itu terkejut dengan kata-kata yang dilemparkan Ilya.

"Adik, tak baik cakap macam tu. Lagipun kalau mama kamu tinggal di hospital, pihak kami akan cuba sedaya upaya untuk menyembuhkan penyakit mama kamu. Kalau adik bawa pulang mama ke rumah, nak buat apa? Takkan adik nak biarkan sahaja mama kamu mati tanpa apa-apa ikhtiar?"

Ilya berpusing ke belakang dengan drastik menyebabkan rambutnya yang lurus, hitam dan panjang separas punggung itu mengerbang sedikit. Dia kemudian berjalan beberapa langkah sebelum menoleh untuk memandang doktor itu semula.

"Sama je duduk di hospital ke, di rumah ke, hasilnya tetap sama. Mama saya akan mati juga, kan?" kata Ilya dengan nada sinis. Doktor itu cuma mampu melopong. Lidahnya sudah kelu untuk menyusun kata bagi meyakinkan Ilya supaya mengubah keputusannya.

"Sudahlah tu, doktor. Bagi saya sign borang AOR (At Own Risk) je pada saya. Biar saya jaga mama saya di rumah. Kurang-kurang mama saya tak terseksa dengan segala bagai wayar berselirat tu," kata Ilya selamba sambil menghulurkan sebelah tangannya tanda kesediaannya untuk menerima risiko.

***

"Ilya! Ilya! Ilya!" panggil Airis dengan oktaf yang tertinggi. Lehernya pula tegang dengan urat kerana terlampau marah dengan tindakan drastik adik bongsunya itu.

Ilya yang sedang menemani ibunya di dalam bilik tidur keluar menyerah diri kepada kakaknya dengan langkah bersahaja. Daripada riak wajahnya, dia tidak menunjukkan rasa bersalah atas perbuatannya.

"Kenapa dengan kamu ni ha? Kenapa kamu tak bincang dengan kakak dulu. Suka-suka hati kamu je nak discharge mama. Kamu tahu tak mama tu sakit kronik. Bila-bila masa je mama akan mati tau!" jerkah Airis sambil bercekak pinggang. Mukanya merah padam menahan marah.

"Semua manusia akan mati juga akhirnya tak kisahlah macam mana teruk pun dia jaga kesihatan dia. Sia-sia je kalau pergi hospital pun," balas Ilya selamba. Matanya pula melirik ke tempat lain. Dia malas mahu bertentangan dengan kakaknya yang sedang menyinga itu.

Pang! Satu tamparan kasar dilepaskan Airis ke pipi Ilya. Pipinya yang putih gebu itu sedikit merah dengan kesan tamparan dari Airis. Ilya terus merenung kakaknya dengan renungan kosong. Sedikit pun dia tidak rasa bersalah dengan tindakannya.

"Kurang ajar! Kamu sedar tak dengan apa yang kamu cakap ni?" bentak Airis lagi setelah puas melepaskan tamparan ke pipi Ilya.

"Betul apa yang saya cakap ni kan? Sia-sia je kalau pergi hospital, bukannya boleh baik pun," jawab Ilya.

"Apa yang kamu merepek ni, Ilya?" Hati Airis menjadi semakin panas mendengar bait-bait kata yang keluar dari mulut Ilya.

"Kakak tak ingat apa yang jadi pada datuk, nenek, mak saudara, bapa saudara, datuk saudara, nenek saudara, sepupu-sepapat ipar-duai semua, termasuklah papa. Sekarang ni giliran mama pula. Semuanya sama je kan. Buat penat pergi balik hospital sudahnya hasilnya sama je kan?" kata Ilya sebelum berjalan masuk semula ke bilik ibunya.

Kata-kata Ilya itu menyebabkan Airis terputus kata untuk membalasnya. Memang benar selama ini dia cuma mampu bersabar sahaja berhadapan dengan kematian mereka semua. Walaupun mereka telah berikhtiar dengan membawanya ke hospital, namun mereka semua tetap mati juga akhirnya. Jawapan pihak hospital sentiasa sama, pasti mereka akan menyatakan mereka tidak dapat lagi mengesan punca penyakitnya apatah lagi untuk merawatnya.

Selama ini Airis cuma bersabar sahaja mendengar tohmahan dan kata-kata nista yang keluar dari mulut rakan-rakan sekerjanya tentang kematian saudara-maranya. Mereka semua menuduh ahli keluarganya tidak mahu mendengar nasihat doktor atau tidak patuh pada rejim rawatan. Sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya. Airis telah cuba sedaya upaya untuk membantu dan menasihati ahli keluarganya yang sakit. Dia tahu bahawa ahli keluarganya yang sakit itu tidak sedikit pun berniat untuk membelakangkan nasihat doktor dalam menerima rawatan terhadap penyakit yang dihidapi mereka.

Dia cuma mampu berasa cemburu sahaja apabila melihat pesakit lain sembuh seperti sediakala apabila menerima rawatan yang sewajarnya dari pihak hospital. Kecanggihan teknologi perubatan yang dikecapi oleh negara tempat tinggalnya iaitu Negara Scientia memungkinkan hampir kesemua penyakit diubati dengan rawatan yang selamat dan tidak menyakitkan. Penyakit yang tidak mampu diubati pula akan diberi rawatan berterusan sekurang-kurangnya untuk membolehkan penghidapnya menjalani kehidupan normal.

Sepatutnya, saudara-maranya juga akan sembuh jika mereka mendapat rawatan sewajarnya namun keadaan sebaliknya yang berlaku. Natijahnya mereka dituduh tidak mahu mengikut nasihat doktor menjadi punca mereka tidak berjaya sembuh termasuklah dalam kalangan rakan sekerjanya sendiri.

Airis sudah lama makan hati berulam jantung dengan sindiran pedas yang dilemparkan rakan sekerjanya. Airis selama ini cuma memendam perasaannya sahaja seorang diri. Dia berasa amat malu dengan rakan sekerjanya sendiri. Dia berasa hina dengan ahli keluarganya sendiri. Dia sendiri sudah tidak tahu bagaimana caranya dia harus membantu ahli keluarganya yang sakit.


Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.