Home Novel Seram/Misteri Fitrah
Fitrah
Hana Mizari
3/3/2018 23:49:01
122,145
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 15

LIGHT ARTS

"Ilya!" teriak Rosmaria lalu menerpa ke arah Ilya serta-merta.

Lega benar hati Rosmaria tatkala dia ternampak sepupunya berjalan bersama Layla dan Arya. Tubuh kecil Ilya didakap Rosmaria dengan penuh erat. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu melepaskan dakapannya itu. Biarlah mereka berdua dalam keadaan sebegitu selama-lamanya. Bukan apa, dia tidak sanggup lagi untuk kehilangan Ilya. Sebelum ini, Ilya pernah menghilang tanpa memberitahu ke mana dia ingin pergi. Keadaan ini membuatkan Rosmaria bertambah risau.

"Kak Rosmaria, maaflah buat kakak risau sekali lagi," ucap Ilya mendatar.

Arya dan Layla pula hanya memerhati sahaja dari tadi.

"Ah, takpa Ilya. Awak dah selamat pun kakak dah rasa lega dah. Ilya jangan buat macam ni lagi tau," pesan Rosmaria sambil mengusap lembut rambut Ilya.

Sementara itu, orang lain yang berada di sekeliling mereka hanya memerhati sahaja drama tidak berbayar itu. Masing-masing sudah tertanya-tanya tatkala memerhatikan tingkah mereka berdua. Rosmaria yang menyedari mereka sedang diperhatikan terus melepaskan dakapannya. Malu pula apabila dia menyedari tingkah mereka berdua diperhatikan.

"Dahlah, jom kita balik!" ajak Rosmaria lalu memimpin tangan Ilya untuk pulang bersama.

Ilya hanya akur.

"Awak berdua pun balik ke rumah segera. Jangan merayau pula ke mana-mana," pesan Rosmaria kepada Arya dan Layla yang masih berada di situ.

"Baik," jawab Arya dan Layla serentak tetapi dengan nada berbeza. Layla bernada riang manakala Layla lebih mendatar dalam lantunan suaranya.

Rosmaria terus mengajak Ilya pulang bersamanya. Tangan Ilya dipimpin seolah-olah dia masih kanak-kanak. Akan tetapi, Ilya tiba-tiba sahaja mematikan langkahnya lalu berpusing untuk menghadap Arya dan Layla

"Arya!" panggil Ilya.

Arya dan Layla yang sudah mula berjalan meninggalkan tempat itu mematikan langkah masing-masing serentak lalu berpusing.

"Ada apa, Ilya?" tanya Arya ingin tahu akan apa sebab Ilya memanggilnya tadi.

"Ehm, boleh kita berjumpa lagi lepas ni?"

"Boleh. Esok waktu rehat jumpa dekat kawasan bangunan lama. Dekat tempat tadi, okey?" ujar Arya bersetuju dengan permintaan Ilya.

Layla yang mula salah faham sudah tersenyum nakal. Wajah Ilya dan Arya ditenungnya silih berganti. Rosmaria pula tidak mengesyaki apa-apa. Dia tidak kisah Ilya berkawan dengan Arya. Dia juga tidak tahu akan bahaya kawasan bangunan lama sekolah memandangkan dia masih baru di sekolah itu.

"Okey," balas Ilya pendek.

Selepas itu, mereka berempat meninggalkan kawasan sekolah itu sebelum senja menjelang tiba.

Dalam perjalanan pulang, Ilya terfikirkan sesuatu. Setahunya, dia sudah berada cukup lama di dunia pelik itu sebelum dia berjaya keluar bersama Arya. Bagaimana hari masing siang lagi semasa dia keluar? Sekurang-kurangnya, matahari sudah terbenam di ufuk barat semasa dia keluar dari dunia itu. Ilya mula berasa pelik.

'Masa itu sifatnya relatif. Bukannya mutlak seperti persepsi kebanyakan orang. Masa yang berlalu di dimensi itu berlalu lebih pantas dari dunia ini.' Tiba-tiba sahaja ayat ini terlintas di fikiran Ilya.

Ilya menghentikan langkahnya spontan sebaik sahaja ayat itu terlintas di fikirannya. Sejujurnya dia tidak pernah membaca tentang kerelatifan masa sebelum ini. Dia tidak tahu-menahu pun akan konsep itu. Inilah kali pertama Ilya terfikir sebegitu.

Tatkala Ilya cuba menghadam ayat yang terlintas di mindanya, tubuhnya terpempan seketika. Dia berasa seperti hilang imbangan, seperti ada sesuatu bebanan yang berat menimpanya saat ini. Barangkali ayat itu dan teori kerelatifan masa terlampau berat untuk dihadam Ilya di kala ini.

***

Sampai sahaja di rumah, tatkala Ilya dan Rosmaria membuka pintu, Airis sudah tercegat di hadapan pintu dengan menayangkan riak wajah marah bercampur bimbang. Oleh kerana terlampau panik, Rosmaria sempat menelefon Airis untuk memberitakan kehilangan Ilya. Apa lagi, Airis yang pada waktu itu sedang bersiap-siap untuk pulang ke rumah terus bergegas meninggalkan tempat kerjanya. Nasib baiklah, hari itu dia tidak ditugaskan untuk berkerja pada malam harinya.

Setelah mendapat berita bahawa Ilya telah dijumpai beberapa minit kemudian, Airis bercadang untuk menunggu sahaja mereka di rumah.

"Ilya! Kamu merayap pergi mana tadi? Susah hati kami dibuatnya tahu tak! Dah, lain kali jangan buat macam ni lagi!" marah Airis mula meleteri adik bongsunya.

Ilya hanya senyap dan mendengar leteran kakaknya dengan pasrah. Sesekali terdetik di hatinya untuk mempertahankan dirinya. Akan tetapi, adakah kakaknya akan percaya dengan ceritanya? Percayakah Airis akan ceritanya terperangkap dalam dunia pelik bersama sekumpulan spirit dan diselamatkan seseorang dengan kuasa luar biasa? Sudah tentu kakaknya Airis akan menuduh dia sengaja mereka cerita untuk mencari alasan.

Malam itu, setelah makan malam, Ilya sempat menjenguk ibunya. Pada waktu itu, ibunya sudah bangun. Tubuhnya masih lemah dan tidak bertenaga. Ilya duduk bersimpuh di sisi katil ibunya. Tangan kasar Puan Kamiliya diambil Ilya lalu diletakkan di pipinya yang gebu.

"Il ... ya," panggil Puan Kamiliya lemah.

Tubuhnya masih lemah dan terlantar di atas katil. Dia tidak mampu untuk bangun. Wajah bersih Ilya ditatap dalam-dalam seolah-olah itulah kali terakhir dia melihat wajah anak bongsunya. Puan Kamiliya dapat merasakan yang hayatnya sudah tidak lama lagi. Kemungkinan bila-bila masa sahaja dia akan pergi meninggalkan dunia itu buat selama-lamanya. Dia sudah tidak mampu bertahan lagi dengan penyakit misteri yang bersarang di tubuhnya.

Ilya mendekatkan mukanya ke muka ibunya. Tangan Puan Kamiliya sudah diletakkan di sisi.

"Ya, mama," sahut Ilya.

"Macam mana sekolah? Okey?" soal ibunya prihatin.

"Okey, semuanya baik."

"Airis dengan Rosmaria mana?"

"Mereka kat dapur tengah kemas lagi."

Puan Kamiliya mengukirkan senyuman pahit. Senyuman cuba diukir di bibirnya untuk meredakan segala resah di hatinya. Sayu dan pilu rasa hatinya tatkala memikirkan beban yang terpaksa ditanggung anak-anaknya.

Jauh di sudut hatinya, dia ingin sekali cepat sembuh agar dapat berkhidmat semula kepada keluarga dan menumpahkan kasih sayang kepada anak-anaknya. Apakan daya, tubuh badannya enggan berkerjasama dengan kehendak hatinya. Badannya tidak bertindak balas dengan baik dengan ubat-ubatan dan segala rawatan yang diberikan. Sungguh, dia berasa amat kecewa dengan dirinya sekarang.

"Mama, mama jangan risau mama. Ilya akan cari cara untuk sembuhkan penyakit mama tu," ujar Ilya penuh keazaman.

Puan Kamiliya hanya mampu membalas dengan senyuman pahit. Tangannya diangkat perlahan-lahan untuk mengusap kepala Ilya.

"Tak payahlah Ilya bersusah-payah. Mama rasa mama dah tak lama dah ni," ujar Puan Kamiliya dengan lemah.

"Takpa, mama jangan risau. Ilya dah nekad nak tolong mama. Mama rehat je okey."

Ilya sudah membulatkan tekad di hatinya, walau apa pun yang terjadi, dia tetap ingin mencari punca penyakit misteri yang melanda keluarganya. Dia mahu membuktikan kepada kakaknya dan semua orang di bandar itu bahawa pendapatnya itu betul.

Pada malam itu, Ilya menemani ibunya di sisi katil sampai ibunya tertidur. Setelah ibunya melelapkan mata, Ilya menarik selimut untuk menutupi tubuh ibunya lalu membiarkan Puan Kamiliya enak dalam dakapan mimpi.

"Selamat malam mama," ujar Ilya melirih sebelum meninggalkan bilik itu.

Lampu bilik itu dipadamkan sebelum dia mula berjalan keluar.

***

Ilya membuka bekal yang dibawanya dari rumah. Pada waktu rehat, Ilya terus membawa bekalnya ke kawasan bangunan lama sekolah seperti yang dijanjikan. Tempat semalam di mana Ilya tersedar setelah dia keluar dari dimensi itu menjadi tempat untuk dia berkelah, cuma kali ini dia mengambil tempat di kaki lima sebuah bangunan yang berhampiran. Ketika dia sampai, Arya masih belum berada di situ.

Layla tidak bersamanya pada hari ini kerana dia bertugas. Mudahlah Ilya untuk menanyakan berbagai-bagai soalan nanti. Dia tidak mahu Layla mengesyaki apa-apa. Biarlah Layla menganggap hubungan mereka berdua seperti pasangan kekasih sahaja.

Kawasan itu kelihatan agak sunyi tetapi tidak menyeramkan seperti semalam. Sebaliknya suasana di sini kelihatan damai sekali. Sesekali angin yang bertiup menampar lembut pipi gebunya. Kelihatan beberapa robot pekerja membersihkan kawasan di sekeliling tempat tersebut. Tempat itu agak sunyi sedikit memandangkan bangunan-bangunan di sini sudah jarang digunakan.

Ilya masih menanti kehadiran Arya dengan setia. Dia pasti Arya tidak akan memungkiri janjinya. Sementara menunggu, dia membuka bekalnya. Di dalamnya terdapat roti sandwich telur yang disusun dengan cantik sekali. Setiap hari, Ilya akan menyediakan bekalnya sendiri.

"Dah lama tunggu ke?" soal suara seseorang dari arah belakang.

"Taklah, baru kejap," balas Ilya mendatar.

Arya terus mengambil tempat di sisi Ilya. Dia turut membawa roti berinti krim strawberi dan air kotak perisa oren yang dibeli dari kafe sekolahnya.

"Maaflah lambat. Tadi pergi beli makanan kejap," terang Arya tanpa dipinta.

"Oh, takpa. Faham. Nak?" Ilya menghulurkan Arya bekal yang dibawanya.

Arya kelihatan malu-malu untuk mengambilnya.

"Ambillah jangan malu-malu. Saya bawa banyak ni. Orang lelaki kena makan banyak. Mana cukup makan tu je," ucap Ilya selamba.

"Terima kasih. Mak saya pun selalu cakap benda yang sama," ujar Arya sambil mengambil sekeping roti sandwich dari bekal yang dibawa Arya.

Mereka berdua terus menjamu selera tanpa berkata walau sepatah pun.

"Apa yang awak nak tanyakan semalam, Ilya?" soal Arya setelah masing-masing menghabiskan makanannya.

"Pasal semalam tu. Apa yang awak lakukan tu, Dark Arts ke?" soal Ilya tanpa berlengah.

"Semalam? Oh, yang tu. Itu sebenarnya bukan Dark Arts tetapi Light Arts."

"Light Arts? Apa bezanya dengan Dark Arts?" soal Ilya semula yang mula membuntangkan matanya.

"Light Arts tak sama macam Dark Arts. Sebab Dark Arts perlukan bantuan spirit untuk gunakannya. Light Arts ni orang tertentu je yang dapat secara semula jadi sejak lahir."

"Orang tertentu? Apa syarat orang tertentu untuk dapat Light Arts tu?" Ilya terus-menerus mengajukan soalan.

"Setakat ni kami takda jawapan lagi untuk tu. Tapi, apa yang saya perasan, biasanya orang yang dapat Light Arts ni orang yang ada kebolehan melihat spirit."

Ilya mengangguk faham.

"Dari mana kuasa Light Arts tu datang? Kenapa awak boleh dapat pula? Kenapa tak orang lain?" Bertalu-talu soalan yang diajukan Ilya. Perasaan ingin tahu membuak-buak dalam dirinya.

Arya menarik nafas dalam-dalam lalu menghembuskannya. Kemudian dia bersandar di dinding bangunan di belakangnya sambil mendongak melihat langit nan membiru. Ilya pula terus menanti jawapan daripada Arya dengan setia.

"Maaf. Saya takda jawapan untuk semua tu. Saya sendiri pun sebenarnya tertanya-tanya sejak saya tahu saya dapat kebolehan ni."

Ilya melepaskan keluhannya.

"Awak tahu apa-apa tak pasal Dark Arts?"

"Dark Arts? Saya tak pasti pasal tu. Sekarang ni susah nak cari maklumat pasal Dark Arts ni. Tapi, mungkin kita boleh tanya orang lain yang ada kebolehan lihat spirit macam kita."

"Ramai ke orang lain macam kita?" Ilya mula berasa teruja. Dia mendekatkan tubuhnya ke arah Ren.

Bersemangat Ilya tatkala dia mengetahui ramai orang yang sama seperti dirinya. Dia betul-betul tidak menyangka bahawa ada orang lain yang sama juga seperti dirinya. Sejujurnya, Ilya teringin sangat untuk berjumpa dengan orang lain yang mempunyai kebolehan sama seperti dirinya. Dengan berjumpa dengan mereka, pasti dia dapat berkongsi susah senang bersama mereka. Pasti mereka akan faham masalah yang dihadapinya.

"Hmm, ada satu forum di Internet tempat kami semua berkumpul. Nanti saya akan tunjukkan kat awak." Arya menegakkan semula badannya lalu menghadap wajah Ilya.

"Mungkin kat situ saya boleh tanya pasal Dark Arts." Ilya berkira-kira dalam hatinya. Hujung jari telunjuknya diletakkan di hujung bibir.

"Kenapa awak berminat sangat nak tahu pasal Dark Arts?"

Soalan yang diajukan Arya membuatkan Ilya terpana seketika. Dia kemudian menunduk memandang rumput yang berada di hadapannya.

"It's personal. Lagipun, banyak sangat perkara pelik yang saya dah saksikan dalam hidup ni. Banyak sangat perkara yang bertentangan dengan Sains saya dah tengok depan mata saya ni. Tapi, bila saya cerita dan tanya kat orang, semua orang kata saya penipu. Semata-mata sebab mereka tak pernah tengok apa yang saya tengok, alami perkara yang saya alami, terus mereka tuduh saya ni penipu. Huh!" Ilya mengeluh kasar.

Rumput yang ada di hadapan Ilya dicabut satu-persatu olehnya.

Arya pula mengeluarkan telefon pintarnya dan mencari satu aplikasi bernama Mobile Litter Bin. Aplikasi itu merupakan aplikasi untuk mencari dan memanggil tong sampah bergerak yang berhampiran. Aplikasi itu memberi kemudahan kepada penggunanya membuang sampah tanpa perlu mencari tong sampah. Tong sampah itu disambung dengan Internet untuk menghubungkan dengan aplikasi telefon pintar Mobile Litter Bin.

Sejurus itu, sebuah tong sampah yang bergerak menggunakan roda di bawahnya menghampiri Arya. Arya terus menggumpalkan plastik pembungkus roti dan dicampakkan ke dalam tong sampah bersama kotak minuman yang telah habis diminumnya tadi.

Ring!

Loceng berbunyi menunjukkan masa rehat telah tamat. Mendengarkan itu, Arya terus bangun lalu menepuk-nepuk belakang seluarnya untuk membersihkan debu-debu yang melekat.

"Dah, masa rehat dah tamat. Jom balik kelas," ajak Arya.

Ilya mengambil bekas makanan yang dibawanya sebelum turut bangun. Mereka berdua terus beredar untuk ke kelas masing-masing. 

Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hana Mizari