Home Novel Seram/Misteri Fitrah
Fitrah
Hana Mizari
3/3/2018 23:49:01
122,128
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 1

PENYAKIT MISTERI

800 tahun kemudian.

"Maafkan saya Puan Kamiliya, saya tak dapat buat apa-apa untuk selamatkan suami puan. Pihak kami dah cuba sedaya upaya. Harap puan banyakkan bersabar," kata doktor separuh baya itu kepada Puan Kamiliya.

Tika itu air mata Puan Kamiliya sudah mengalir membasahi pipinya. Hatinya rasa begitu pedih, bagai dihiris-hiris dengan pisau tajam. Hatinya berbolak-balik memikirkan ketiga-tiga orang anak perempuannya yang masih kecil. Selepas kehilangan suami yang tercinta, Puan Kamiliya terpaksa memikul tanggungjawab untuk membesarkan ketiga-tiga anaknya keseorangan.

Seorang gadis kecil berusia lingkungan tujuh tahun berambut lurus berwarna hitam separas bahu menerpa bilik yang menempatkan bapanya. Di belakangnya seorang lagi gadis lebih tinggi sedikit daripadanya cuba menghalang gadis kecil itu daripada memasuki bilik tersebut. Namun begitu, adik perempuannya lebih lincah pergerakannya sehingga dia tidak sempat menangkapnya.

"Mama! Mama! Macam mana dengan papa, mama? Saya rindu nak main dengan papa lagi," kata gadis kecil itu dengan suara seperti mahu menangis. Dia menarik-narik baju Puan Kamiliya mendesak ibunya memberikan jawapan.

Puan Kamiliya tidak menjawab soalan anak bongsunya. Kesedihan yang menyelubunginya saat ini menghalang otaknya daripada memproses kata-kata untuk menjawab pertanyaan anak perempuannya. Lidahnya sudah kelu untuk berbicara.

Puan Kamiliya membiarkan persoalan itu tergantung tidak berjawab. Sementara itu, anak gadisnya masih lagi menarik-narik baju ibunya meminta jawapan. Doktor yang merawat bapanya hanya mampu mendiamkan diri. Dia sendiri tidak tahu bagaimanakah mahu memberi jawapan kepada anak kecil yang tidak tahu apa-apa itu.

"Sudahlah, tu Ilya! Jangan ganggu doktor nak buat kerja. Kan mama pesan tadi jangan masuk bilik ni tanpa kebenaran mama," kata kakaknya kepada gadis bernama Ilya itu.

"Airis! Kenapa dengan kamu ni ha? Mama bagi kerja mudah pun kamu tak boleh nak buat! Nasib baik adik kamu tu cuma dua orang je. Kalau 10 orang mama tak tahulah nanti jadi apa!" herdik Puan Kamiliya kepada Airis, kakak Ilya merangkap anak sulungnya.

"Maafkan saya, mama. Ilya ni degil sangat nak tengok papa. Airis dah cuba halang dah tapi...." Airis cuba membela dirinya.

"Mama taknak dengar alasan!" Belum sempat Airis menghabiskan kata-katanya, Puan Kamiliya menyambung lagi bebelannya. Dia merenung Airis tajam.

"Sudah, Airis bawa adik kamu keluar. Lily mana?" sambung Puan Kamiliya lagi.

"Ada kat luar," jawab Airis malas.

Sementara itu, Ilya cuba menghampiri katil bapanya. Dia dapat lihat bapanya terlantar di atas katil. Matanya terpejam rapat. Dadanya juga statik, tiada pernafasan seperti yang sepatutnya ada pada manusia yang sihat. Sekali tengok, dia kelihatan seperti sedang tidur dengan aman.

Bapanya sudah terlantar berbulan-bulan di hospital kerana menghidap penyakit misteri. Para doktor tidak mengetahui apakah punca penyakit bapanya itu. Akibatnya, bapanya hanya menerima rawatan palliative sedative, iaitu rawatan paling pasif diberikan kepada pesakit yang tiada harapan sembuh. Sudah puas sepasukan doktor yang datang dari pelbagai kepakaran melaksanakan pelbagai teknik rawatan sebagai ikhtiar, namun keadaannya masih sama. Malah, keadaan bapanya semakin lama semakin teruk saban hari dia ditahan di hospital. Para doktor sudah buntu dengan kes bapanya itu.

Dalam suasana yang masih tegang antara Airis dan Puan Kamiliya, doktor terus menjalankan tugasnya iaitu menguruskan pesakitnya yang telah pun meninggal dunia. Ilya pula hanya memerhatikan mereka semua menjalankan tugas. Dia masih tidak mengerti apa yang sedang berlaku sebenarnya. Dia hanya memerhati doktor dan jururawat membuat kerja mereka.

Ilya menghampiri salah seorang jururawat muda yang bertugas lalu bertanya, "Kak, macam mana dengan papa saya?"

Jururawat muda itu hanya mampu tersenyum kelat melihat kanak-kanak berwajah polos itu. Dia menggelengkan perlahan. Ilya masih lagi tidak mengerti. Apalah yang mampu difahami kanak-kanak semuda tujuh tahun itu. Dia menyengetkan kepalanya ke sebelah meminta penjelasan.

"Maafkan kami, dik. Kami tidak dapat menyelamatkan papa kamu," beritahu seorang jururawat yang lebih berusia.

"Maksud kakak, papa ... papa dah ... takda ke?" tanya Ilya dengan membeliakkan matanya. Dengan rasa berat hati, jururawat itu mengangguk perlahan.

Ilya menekup mulutnya kerana tidak percaya dengan jawapan yang keluar dari mulut jururawat itu. Sejujurnya dia masih lagi berharap bahawa bapanya masih boleh diselamatkan walaupun harapannya amat tipis. Air mata mula mengalir dari tubir matanya. Hembusan nafasnya pula berselang-seli dengan tangisan yang cuba ditahan-tahan. Badannya pula terhenjut-henjut kerana menahan tangis.

Ilya tidak mahu menangis di hadapan orang ramai. Dia harus tabah. Dia masih ingat lagi pesan bapanya semasa dia masih hidup bahawa dia harus kuat untuk menghadapi segala dugaan hidup.

Akhirnya empangan air mata yang sudah lama bertakung di tubir mata Ilya pecah juga. Sedikit demi sedikit suara tangisan Ilya menerjah keluar daripada peti suaranya. Dia sudah tidak dapat menanggung kesedihan lagi, lalu meluru keluar daripada bilik itu. Dia mahu melayan perasaannya di luar. Airis yang melihat tingkah adik bongsunya itu terus mengejar Ilya. Puan Kamiliya terus berada di bilik itu untuk sedikit urusan.

"Ilya, kamu nak pergi mana tu? Tunggu kakak!" panggil Airis lalu mengejar Ilya.

Mereka berdua melintasi Lily yang ralit bermain permainan di tablet milik ibunya. Sedikit pun dia tidak berasa sensitif dengan keadaan yang menimpa keluarganya. Apa yang dia tahu, hanyalah menghabiskan masanya dengan gajet sahaja. Tangisan Ilya pula semakin lama semakin kuat. Bergema suara tangisannya di ruang koridor hospital itu. Orang yang berada di sekeliling Ilya sudah mula berbisik-bisik sesama mereka sambil melemparkan pandangan sinis kepada Ilya.

"Kenapa dengan budak tu?" kata seorang wanita separuh umur berbadan gempal kepada rakannya.

"Oh, budak tu. Bapa dia masuk hospital sebab sakit apa tah. Berkurun lamanya tak baik-baik," balas seorang wanita muda berpakaian seksi dan bersolek tebal di sebelahnya. Mukanya sudah menjadi seperti anak patung porselin dibuatnya.

"Berkurun? Mana kau tahu?" tanya wanita berbadan gempal itu lagi.

"Mana taknya, asyik muka keluarga dia je keluar masuk hospital. Aku rasa makcik cleaner pun kenal dengan mereka sekeluarga, hahaha," sampuk seorang lagi wanita muda bergincu tebal dengan nada sindiran.

"Uish! Bapa dia sakit apa tu sampai berkurun tak baik-baik?" tanya wanita berbadan gempal itu lagi.

"Entahlah, tah sakit apa tah. Orang lain boleh je baik, tak kiralah teruk macam mana pun. Teknologi perubatan di negara kita ni canggih kan? Mana boleh ada orang tak boleh sembuh. Huh! Cuma orang yang tak tahu bersyukur je yang tak tahu nak gunakan kemudahan ni sebaiknya. Macam contohnya keluarga mereka tulah. Dah panggil doktor pakar dari seberang pun tak boleh baik lagi," balas wanita seksi itu pula.

"Oh, macam tu ke ceritanya. Eii jangan-jangan ni mesti kes tak makan ubat ni, tak pun taknak ikut nasihat doktor bertauliah tu. Nilah masyarakat kita kan, percaya sangat dengan nasihat doktor palsu reban ayam, tak pun nasihat tok nenek mak tiri janda laki bini sepupu adik ipar ex-boyfriend dia. Lepastu sudahnya dah jadi gitu nak salahkan perubatan moden pula," sambung wanita berbadan gempal itu pula.

"Orang macam tu pun wujud juga ke? Eh, kalau dah macam gitu gayanya tak payah datang hospitallah, buat semak je tahu tak!" kata wanita bergincu tebal tiba-tiba beremosi.

Ilya yang mendengar perbualan mereka semua tidak mampu melawan dan membela dirinya. Entah kenapa hatinya rasa bagai ditusuk sembilu sahaja saat ini. Setiap kata-kata sindiran yang dilemparkan mereka bagai anak panah tajam yang menikam jantungnya. Keadaan Ilya pada saat ini bolehlah diibaratkan makan hati berulam jantung. Esakan tangisnya pula menjadi semakin lama semakin kuat. Dia bersedih bukan kerana sedih tentang kematian bapanya tetapi kerana kata-kata nista yang dilemparkan sekumpulan wanita itu.

"Oi, budak kecik! Kau boleh diam tak! Anak aku ni nak tidur pun tak aman. Kalau anak aku nangis lagi lepas ni aku belasah kau cukup-cukup! Biar kau yang gantikan tempat bapa kau lepas ni!" jerkah seorang lelaki muda berbadan sasa memakai baju-T berwarna hitam dan bergambar tengkorak yang duduk berhampiran Ilya.

"Sudahlah tu bang. Dia tu kecik lagi. Mana dia tahu apa-apa," kata seorang wanita muda yang sedang memangku seorang bayi.

"Biarkan dia rasa. Dia ingat hospital ni bapak dia punya agaknya. Nak menjerit-jerit macam beruk. Kalau nak terjerit-jerit macam beruk pergi duduk zoo lagi bagus!" balas lelaki itu dengan jelingan tajam.

Ilya membalas kata-kata nista lelaki itu dengan renungan tajam. Giginya diketap sehingga menggigil menahan kemarahan. Kedua-dua tangannya digenggam seerat-eratnya. Pandangannya persis pemangsa yang ingin menerkam mangsanya.

"Apa tengok-tengok! Kau ingat kau seorang je yang susah. Ni anak aku ni demam panas tahu tak. Dah dekat satu jam aku duduk sini tapi giliran tak sampai-sampai lagi. Tah apa yang doktor buat pun aku tak tahulah!" sambung lelaki muda itu lagi.

Ilya mendengus kasar. Nafasnya turun naik dengan pantas sekali. Dia bersedia untuk menyerang mangsanya bila-bila masa sahaja.

Dbuk!

Secara tidak semena-mena tubuh kecil Ilya itu dilanggar dua orang kanak-kanak yang lebih besar daripadanya kerana berlari-lari dalam hospital. Ketiga-tiganya jatuh serentak. Kemudian datang pula seorang wanita muda untuk menengking Ilya. Dia menyangka Ilya yang menolak mereka berdua sampai jatuh walhal keadaan adalah sebaliknya.

Ilya terduduk kerana berasa tidak tahan lagi mendengar tohmahan-tohmahan daripada orang di sekelilingnya. Di kirinya, sekumpulan wanita yang menghina keluarganya memandang sinis Ilya. Di kanannya pula, lelaki muda berbaju tengkorak terus merenungnya tajam. Di hadapannya pula wanita yang merupakan ibu kepada dua orang budak itu. Mereka semua memarahinya serentak.

"Aaaahhh!" jerit Ilya.

Ilya terus mencapai apa sahaja yang berhampiran untuk dilemparkan kepada mereka semua. Mereka semua terkejut dengan tindakan drastik Ilya lalu terus melarikan diri masing-masing. Ilya tidak mampu lagi mengawal emosinya. Kemarahannya ibarat gunung berapi yang dipendam beribu tahun tiba-tiba meletus dan memuntahkan lahar. Tidak cukup dengan itu, Ilya turut memecahkan semua pasu-pasu bunga yang berada berhampiran dengannya.

Setelah habis pasu-pasu bunga di situ dipecahkan, dia terus berjalan menghampiri dinding untuk menghantukkan kepalanya berulang-ulang kali.

Tong! Tong! Tong! Tong!

Semua orang yang berada di situ hanya mampu memerhatikan sahaja tingkah Ilya. Mereka terkejut dengan tindakan kanak-kanak tujuh tahun yang sedang mengamuk itu. Sebahagian yang lain pula bertindak merakam perbuatan Ilya dengan telefon pintar masing-masing. Tiada seorang pun cuba menghalang kelakuan Ilya.

"Ilya! Ilya! Sudahlah tu, Ilya!" Tubuh Ilya dipeluk erat kakaknya Airis. Ilya meronta untuk melepaskan dirinya. Airis menguatkan pegangannya.

"Ilya, tolong dengar cakap kakak ni," kata Airis separuh merayu. Ilya tetap tidak mempedulikan permintaan kakaknya.

"Hei, Lily! Tolong kakaklah! Tolong kakak pegang adik kamu ni!" Lily masih lagi ralit dengan tablet milik ibunya.

"Ish, taknaklah kak. Takutlah," kata Lily tetapi matanya masih ditumpukan pada skrin tablet.

Tidak jauh daripada situ, kelihatan sebatang tubuh separa lutsinar sedang terapung-apung di udara. Tubuh itu menyerupai seorang kanak-kanak perempuan lebih kurang sebaya Ilya. Dia hanya memerhatikan sahaja Ilya sedari tadi.

"Menarik," gumam makhluk itu sendirian.

Tidak berapa lama kemudian datang beberapa orang staf hospital cuba menenangkan Ilya. Mereka membantu Airis memegang tubuh Ilya yang masih meronta-ronta. Salah seorang daripada mereka membawa picagari di tangannya bersedia untuk menyuntik ubat penenang ke badan Ilya.

Kudrat Ilya tidak mampu untuk melawan kekuatan beberapa orang dewasa. Akhirnya dia mengalah juga. Dia terpaksa merelakan dirinya untuk disuntik ubat penenang ke tubuhnya. Makhluk yang memerhatikan Ilya sedari tadi mula cemas.

"Tak boleh jadi. Aku kena bertindak, hehe," kata makhluk itu diikuti dengan ketawa yang menjengkelkan. Makhluk yang terapung itu terus meluru ke arah Ilya. Kehadiran makhluk itu tidak disedari semua orang yang berada di situ.

Apabila tangan Ilya hampir sahaja disuntik, tiba-tiba sahaja kekuatannya menjadi luar biasa. Dia menolak dan menepis semua orang yang berada di sekelilingnya. Mereka semua terperanjat. Riak wajah Ilya yang menayangkan kemarahan berubah secara tiba-tiba. Dia tersenyum sinis. Badan Ilya kemudian terapung di udara. Mereka semua terpegun melihat kejadian aneh itu.

Namun begitu, keadaan itu tidak berkekalan lama. Tidak semena-mena, Ilya menjerit sekuat hati seperti menahan kesakitan yang amat sangat. Badannya menggelupur di udara. Lama dia dalam keadaan itu sebelum akhirnya tidak sedarkan diri. Tubuh badannya itu terjatuh ke bawah tetapi sempat disambut salah seorang staf hospital. Selepas itu, Ilya yang tidak sedarkan diri itu dikerumuni orang ramai. Airis dan Puan Kamiliya turut berada di situ. Mereka berdua memanggil nama Ilya serentak. Mereka berdua panik.

"Apa yang dah berlaku sebenarnya?" tanya salah seorang staf yang berada di situ.

"Entah," balas rakannya yang berada di sebelah.

"Tak boleh jadi. Aku ingatkan aku mahu pinjam tubuh manusia ni sekejap dan main-mainkan semua orang kat sini. Tapi anehnya badan aku jadi panas sangat, lepastu ada semacam berpuluh-puluh jarum menyucuk tubuhku serentak sebelum aku dipaksa untuk keluar dari tubuh itu. Pelik. Setahu aku ia cuma akan berlaku kalau aku menceroboh badan yang telah berpunya, tapi aku tengok dia ni macam kosong je jadi aku masuk je lah. Pelik dan tak masuk akal. Hmmm apa-apa je lah. Aku sendiri pelik hehehehe," kata makhluk yang cuba memasuki tubuh Ilya tadi.


Previous: PROLOG
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.