Home Novel Seram/Misteri Fitrah
Fitrah
Hana Mizari
3/3/2018 23:49:01
122,146
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 12

LELAKI MISTERI

Sekumpulan spirit mengerumuni seorang lelaki yang berdiri keseorangan di koridor. Salah satu daripada spirit menghampiri lelaki itu. Spirit itu kelihatan seperti seorang wanita berambut panjang dan berbaju putih. Rambutnya yang panjang menutupi hampir keseluruhan mukanya melainkan biji matanya yang kelihatan tersembul keluar. Makhluk itu menganga dan ingin menggigit bahu pelajar lelaki itu. Giginya yang runcing jelas kelihatan.

Ilya yang terkejut melihat keadaan itu terus berlari menghampirinya. Layla berasa pelik dengan tindakan Ilya itu lalu mengejarnya. Tatkala Ilya menghampirinya, pelajar lelaki itu berpusing lalu menampakkan wajahnya. Dia seperti mengetahui keberadaan Ilya di belakangnya sebelum ini.

"Eh? Macam pernah lihat? Tapi kat mana?" getus Ilya di dalam hati. Ilya terpempan. Langkahnya dimatikan beberapa langkah di hadapan pelajar lelaki itu.

Layla telah pun berada di sebelah Ilya. Tangan Layla dilalukan di hadapan muk Ilya yang telah membeku bak ais.

"Ilya?" panggil Layla.

Mulut lelaki itu kelihatan terkumat-kamit melafazkan sesuatu. Ilya tidak dapat mendengar apa yang diperkatakan lelaki itu walaupun jarak mereka cuma beberapa centimeter sahaja. Tidak semena-mena, kesemua spirit yang berapungan di sekelilingnya hilang dalam sekelip mata. Spirit yang berada agak jauh daripada mereka berdua pula telah melarikan diri ke tempat lain.

Ilya cuba mengingat semula siapakah gerangannya lelaki yang berada di hadapannya sekarang. Rambutnya kelabu. Iris matanya berwarna merah sama seperti Ilya. Wajahnya kelihatan tenang seperti langsung tidak menyedari bahaya yang menimpanya sebentar tadi.

Dengan langkah bersahaja, lelaki itu menghampiri Ilya seraya membisikkan sesuatu di telinganya, "Lain kali hati-hati. Ya?"

Bahu Ilya ditepuk perlahan. Lelaki itu terus berselisih dengan Ilya lalu meninggalkannya. Ilya memusingkan tubuhnya dan memandang lelaki itu yang telah pun berjalan meninggalkannya. Layla memerhatikan Ilya dan pelajar lelaki itu silih berganti.

"Ilya?" Panggilan Layla mengembalikan Ilya ke alam nyata.

Ilya terus memandang semula wajah kawan baiknya. Dia sedang tersenyum nakal.

"Ilya, awak suka dia ke?" Ilya tidak mempedulikan pertanyaan itu. Dalam otaknya ligat mencari siapakah lelaki itu sebenarnya.

"Siapa dia?" tanya Ilya spontan.

"Oh, dia tu Arya Shaputra, Kelas Satu Beta," balas Layla dengan nada teruja. Ilya dan Layla pula ditempatkan di Kelas Satu Alpha.

Layla memang tidak tahu-menahu apa yang berlaku sebentar tadi antara mereka berdua. Akibatnya dia salah faham. Mati-matian dia menyangkakan Ilya telah jatuh cinta dengan Arya Shaputra.

"Macam mana awak kenal dia?" tanya Ilya. Pertanyaan itu dilontarkan dengan pantas tetapi mendatar.

"Ini Layla Almyra-lah, semua pelajar sekolah ni saya tahu," ujar Layla sambil mendabik dada.

"Lagipun hari tu awak juga yang tanya pasal budak ni kan? Takkan awak sendiri dah lupa pula." Layla cuba mengingatkan Ilya tentang sesuatu.

Ilya mengerutkan dahinya. "Bila?"

"Hari tu masa dekat kedai buku yang awak berlanggar dengan dia tu." Sekali lagi Layla cuba mengingatkan Ilya tentang sesuatu.

"Berlanggar? Kedai buku?" Ilya cuba mengingatkan semula perkara yang telah dilupakannya. Jari telunjuknya diletakkan di hujung bibir. Matanya dilirikkan ke atas.

"Ah, Mimpi tu! Lelaki tu sama macam yang saya tengok dalam mimpi!" kata Ilya di dalam hati. Matanya dibeliakkan. Sebelah tangannya digenggam dan diketuk pada sebelah lagi tangannya. Dia dapat korek semula memori tentang lelaki itu di dalam perpustakaan mindanya.

Melihatkan reaksi Ilya, Layla terus bertanya, "Kenapa, Ilya awak dah ingat balik?"

"Okey, saya ingat. Terima kasih kerana ingatkan saya semula," ujar Ilya.

"Takda hallah, lagipun ini memang tanggungjawab saya untuk menyatukan awak berdua." Layla tersenyum nakal.

"Menyatukan? Apa yang awak cakap ni Layla?" Ilya tidak mengerti apa yang cuba disampaikan Layla.

"Buat tak tahu pulak. Awak suka dia kan?" tanya Layla tanpa berselindung. Dia menampar bahu Ilya dengan kuat sekali. Mukanya merah padam kerana terlampau teruja.

"Layla, awak dah salah faham. Maaflah kerana mengecewakan awak," kata Ilya sebelum berjalan meninggalkan Layla. Dia sudah malas melayan olah rakan karibnya.

"Ilya, malu-malu pula. Takpa Ilya malu-malu pun comel." Layla tertawa kecil.

"Eh, Ilya tunggu sayalah!" teriak Layla setelah mendapati Ilya berjalan laju meninggalkannya.

***

Sesi persekolahan telah pun tamat. Langit bertukar warnanya menjadi jingga menandakan hari yang ingin melabuhkan tirainya. Semua pelajar Sekolah Menengah Sains GEN-01 bersiap-siap untuk meninggalkan perkarangan sekolah itu.

Ilya berjalan beriringan bersama Layla menuju ke pintu pagar sekolah. Suasana kelihatan suram sekali. Kala senja sebegini spirit banyak berkeliaran. Ilya masih ingat akan pesan moyangnya. Lagipun semasa dia mula-mula mendapat kebolehan melihat spirit, dia memang boleh melihat dengan jelas spirit berkeliaran apabila tiba waktu senja. Oleh itu, awal-awal lagi dia telah masuk ke dalam rumahnya kerana takutkan spirit. Meremang bulu roma Ilya apabila mengingatkan saat itu.

Layla seperti biasa, mulutnya tidak berhenti menuturkan pelbagai perkara. Apa sahaja yang terlintas di fikirannya pasti diceritakan kepada Ilya. Ilya tidak mempedulikan celoteh rakannya. Dia hanya ingin cepat sampai ke rumahnya sahaja.

Tiba-tiba, Ilya ternampak sesuatu yang menarik perhatiannya. Kelihatan seorang kanak-kanak sedang menangis seorang diri di bawah sebuah pohon yang rendang. Pohon itu masih berada dalam perkarangan sekolah. Apa yang peliknya, tiada siapa pun yang mempedulikan kanak-kanak itu. Pelajar-pelajar lain yang melalui berdekatan dengan kanak-kanak itu langsung tidak mempedulikannya seperti kanak-kanak itu tidak wujud pada pandangan mereka.

Entah apa yang merasuknya ketika itu, Ilya terus mengubah haluannya untuk menuju ke arah kanak-kanak itu. Tatkala Ilya menghampiri kanak-kanak itu, suara tangisannya semakin jelas kedengaran. Badannya terhenjut-henjut menahan kesedihan. Ilya tidak dapat melihat muka kanak-kanak itu dengan jelas kerana dia menutup wajahnya dengan kedua-dua belah tangannya.

Ilya melutut di hadapan kanak-kanak itu supaya kepalanya selari dengan kepala kanak-kanak itu. Keadaan kanak-kanak itu masih sama, langsung tidak mempedulikan kehadiran Ilya di situ.

"Adik, kenapa adik nangis?" tanya Ilya dengan lembut.

Kanak-kanak itu masih tidak menghentikan tangisannya.

"Kenapa adik ada kat sini?" tanya Ilya tidak berputus asa.

Namun kanak-kanak itu masih tidak mempedulikan pertanyaan Ilya dan meneruskan tangisannya.

"Mak ayah adik mana?" Ilya terus mengajukan pertanyaan kepada kanak-kanak itu.

Setelah soalan tadi dilontarkan, kanak-kanak itu terus senyap. Dia menurunkan tangan yang menutup wajahnya. Wajahnya yang menunduk diangkat perlahan-lahan untuk menghadap Ilya.

Wajah kanak-kanak itu kelihatan polos sekali. Garisan halus kelihatan di pipinya kesan daripada menangis terlampau lama. Wajah kanak-kanak itu muram.

Ilya setia menunggu respons daripada kanak-kanak itu. Ilya bercadang untuk membawa kanak-kanak itu pulang ke pangkuan keluarganya jika kanak-kanak itu tahu alamat rumahnya. Jika tidak, dia akan membawa kanak-kanak itu ke balai polis. Ibu bapa kanak-kanak itu pasti sedang risau sekarang lebih-lebih lagi pada waktu lewat petang sebegini.

"Adik, jom...." Ilya memulakan bicara memecahkan keheningan antara mereka berdua.

"Jom kita main!" Belum sempat Ilya menghabiskan ayatnya, kanak-kanak itu telah memotong percakapannya terlebih dahulu. Nadanya kedengaran riang sekali.

Wajahnya bertukar ceria serta-merta. Dia terus bangun lalu menarik tangan Ilya untuk pergi bersamanya. Ilya tidak mampu melawan. Badannya terdorong untuk mengikuti langkah kanak-kanak itu dek pegangan yang kuat daripada kanak-kanak itu.

Pegangan kanak-kanak itu begitu erat. Malah kekuatan pegangannya begitu luar biasa, mustahil daya sekuat itu datang daripada seorang kanak-kanak dengan usia semuda itu. Tangannya pula begitu dingin seperti bukan tangan manusia yang memegangnya. Ilya pernah merasakan kedinginan seperti itu sebelum ini tetapi dia tidak ingat bila, di mana, dan tangan siapa yang dipegangnya pada waktu itu.

Ilya ditarik kanak-kanak misteri itu berlari masuk lebih jauh ke dalam kawasan sekolahnya. Larian kanak-kanak itu memaksa Ilya untuk turut sama berlari dengannya. Mereka berdua berlari, berlari dan terus berlari. Matahari pula semakin menghampiri ufuk barat. Hari semakin gelap.

"Adik, dah lewat petang ni. Jom balik jelah. Sekarang ni tak sesuai waktu untuk bermain. Main esok jelah." Ilya cuba menasihati kanak-kanak itu agar pulang ke rumah.

Kanak-kanak itu tidak mempedulikan nasihat Ilya. Malah lariannya menjadi semakin laju. Ilya dibawa melewati beberapa buah bangunan lama di sekolahnya. Setelah sekolah itu mengalami beberapa fasa pembangunan, beberapa buah bangunan baru didirikan untuk menggantikan bangunan lama. Oleh itu, orang sudah jarang pergi ke bangunan itu melainkan ada urusan penting atau bangunan yang sedia ada tidak cukup untuk menampung jumlah pelajar di sekolah itu.

Kawasan yang menempatkan beberapa buah bangunan lama itu kelihatan sunyi-sepi. Sesekali kedengaran bunyi unggas berterbangan untuk pulang ke sarang masing-masing. Bunyi desiran daun-daun pokok yang merimbun juga turut menyapa gegendang telinga Ilya.

"Tunggu? Sejak bila dalam kawasan sekolah ini dipenuhi semak-samun dan pohon merimbun?" getus hati Ilya.

Setahu Ilya, kawasan persekitaran sekolah itu dijaga rapi oleh beberapa buah robot pekerja. Robot-robot pekerja itu ditugaskan untuk membersihkan serta menjaga rapi persekitaran sekolah menggantikan tugas tukang kebun dan para pekerja pembersihan sejak beberapa dekad yang lalu. Mustahil untuk pokok-pokok itu tumbuh meliar dalam kawasan sekolahnya sendiri hatta kawasan bangunan lama sekalipun. Tidak mungkinlah robot-robot pekerja itu curi tulang.

Ilya mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan persekitarannya. Dia mengamati persekitarannya dengan teliti. Pohon-pohon merimbun tumbuh meliar di sana-sini. Di sekelilingnya penuh dengan semak-samun berketinggian separas lutut. Beberapa pohon memanjat melingkupi bangunan-bangunan lama di sekelilingnya. Lantai simen yang kian retak turut dipenuhi dengan tumbuhan menjalar.

Sementara itu, bangunan lama di sekitarnya kelihatan amat usang. Sekali tengok seperti telah ditinggalkan berabad-abad lamanya. Lumut tumbuh di sana-sini. Sebahagian dinding telah tertanggal catnya. Sebahagian bumbung bangunan lama tersebut telah terkopak menampakkan alang-alang besi yang telah berkarat. Istilah bangunan lama mungkin tidak cukup untuk menerangkan keadaan bangunan yang berada di sekelilingnya, usang mungkin lebih tepat.

Ilya menelan liurnya beberapa kali. Dia barangkali telah sampai ke dunia lain, bukan lagi kawasan sekolahnya. Kanak-kanak yang berada di hadapannya ini juga besar kemungkinan bukan manusia. Dia mungkin spirit.

Baru dia teringat dari mana datangnya kedinginan yang dirasakannya sebelum ini. Tangan yang dirasakan dingin sebelum ini merupakan tangan Maria. Ya, kanak-kanak misteri di hadapannya ini mempunyai tangan sedingin Maria. Betullah andaian Ilya, kanak-kanak itu merupakan spirit.

Kanak-kanak itu membawa tubuh Ilya lebih jauh ke dalam kawasan bangunan usang itu. Semakin lama semakin jauh ke dalam. Langit pula semakin lama semakin gelap. Ilya dibawa kanak-kanak itu berjalan mengelilingi kawasan bangunan lama. Sesekali mereka berdua membelok ke kiri, ke kanan, ke kiri, dan ke kanan semula. Begitulah keadaan mereka berulang-ulang. Ilya semakin risau. Dia khuatir dia akan sesat dan tidak tahu jalan pulang jika mereka berdua berjalan lebih jauh.

"Adik, takpa ke kita masuk jauh-jauh dalam ni? Kalau sesat macam mana?" Ilya cuba berunding dengan kanak-kanak itu.

Selepas soalan itu dilemparkan kepada kanak-kanak itu, dia terus menghentikan langkahnya. Ilya turut berhenti secara mendadak apabila kanak-kanak itu berhenti. Tangannya masih memegang erat Ilya.

Dia diam sejenak seraya berpusing ke belakang. "Takpa, boleh kita berdua bermain selama-lamanya di sini," ujar kanak-kanak itu dengan nada mengerikan. Seraya itu dia terseringai penuh misteri.

Sekali lagi Ilya menelan liurnya. Tekaknya dirasakan perit. Wajahnya menjadi pucat tidak berdarah namun Ilya cuba berlagak tenang. Ilya tidak mahu kanak-kanak itu mengetahui bahawa dia sedang ketakutan.

Setelah lama Ilya mendiamkan diri, kanak-kanak itu berpusing dan membawa Ilya berjalan lebih jauh. Baru Ilya perasan, perjalanan yang mereka berdua lalui amat jauh. Sejak daripada tadi mereka berdua berjalan, Ilya dapat anggarkan bahawa kawasan bangunan lama yang dilaluinya lebih luas daripada kebiasaan. Menurut anggarannya, kawasan ini seluas berpuluh kali ganda daripada luas keseluruhan kawasan sekolahnya.

"Macam mana ruang dalam kawasan sekolah ni boleh jadi lebih luas daripada sepatutnya?" desis Ilya di dalam hatinya.

'Kerana ruang dan masa itu sifatnya relatif. Apa yang kita lihat di hadapan mata tentang dunia ini tidak sama dengan hakikat yang sebenarnya.' Tiba-tiba ada suara misteri yang menerjah kotak fikirannya.

Ilya berasa terkejut dengan apa yang didengarnya. Dari mana datangnya suara asing itu?


Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.