Bab
11
Kampung Silak Tua
“BETUL KE itu abang, mak?” Bahiyah bertanya
berkali-kali. Besar matanya melihat kereta Jimmy beredar dari halaman rumah pak
ngah tadi.
“Ya… itulah abang Bahiyah. Semasa Bahiyah kecil dulu,
dialah yang suka dukung Bahiyah,” cerita Mak Jiha dengan gembiranya.
Dia bersyukur kerana doanya setiap hari akhirnya
dimakbulkan juga. Dengan kuasa ALLAH di saat-saat genting seperti itu, anaknya
pulang. Namun apa yang membuatkan dia sangat bersyukur ialah apabila melihat
Jimmy pulang dalam keadaan yang selamat dan elok. Itulah doanya setiap masa.
Janganlah anaknya ditimpa apa-apa petaka.
Jawapan ibunya, membuatkan Bahiyah tersengih lebar. Dia
kemudiannya berlari ke dapur untuk membantu Aisha menyusun kuih.
Mak Yan yang tadinya diam sahaja di sebelah Mak Jiha
terus bersuara sambil tersenyum. “Gembira betul dia,” katanya, merujuk kepada
Bahiyah.
“Dia mana ingat? Semasa abangnya pergi dulu, dia
belum lagi setahun umurnya,” jawab Mak Jiha. Pinggan di tangannya dilap sampai
kering. Namun ingatannya tetap melayang jauh ke belakang.
“Dia ada cakap dia ke mana selama ni?”
Mak Jiha menggeleng. Terasa kulit mukanya berubah
panas. “Biarlah dulu, Yan. Kalau dia tak cakap, kak long malas nak tanya-tanya.
Silap-silap tanya, nanti merajuk lagi.”
Mak Yan angguk faham.
“Dia dah balik tu, syukur sangat dah. Kak long pun
tak sangka dapat tengok muka dia semula hari ni. Macam mimpi pun ada.” Mak Jiha
kesat air matanya yang gugur tanpa sengaja. Sememangnya dia sangat bersyukur
dan terharu.
Melihatkan Mak Jiha begitu terharu, Mak Yan usap lengan
Mak Jiha dengan lembut. Dia faham hati seorang ibu. Walaupun tidak pernah
diluahkan namun ibu mana yang tidak rindukan anak. Itu belum dicampur soal
risau dan takut kalau apa-apa yang buruk menimpa anak. Anak-anak sahaja yang
tidak pernah faham perasaan seorang ibu.
“Kita anggap aje perkara tu tak pernah berlaku, kak.
Moga-moga sejuk hati dia. Hendak dia balik selalu ke sini tengok kak long dan
adik-adik dia selepas ni.”
Mak Jiha angguk lemah. Begitulah harapan dia,
selepas Jimmy balik ke situ setelah begitu lama meninggalkan mereka. Kepulangan
Jimmy menunjukkan bahawa mereka tidak pernah dilupai. Cuma mungkin, rasa rajuk
yang masih ada di hati anaknya, menjadi batu penghalang selama ini. Dia faham
sengketa dua beranak itu mesti dipadamkan segera cuma dia tidak tahu bagaimana.
“Lama ke dia balik?” tanya Mak Yan sambil menyusun
pinggan-pinggan yang sudah dilap oleh Mak Jiha.
“Dia tak cakap pulak, Yan. Tapi kalau boleh, biarlah
dia balik lama sikit.” Itulah harapan Mak Jiha.
Dia belum puas menatap wajah Jimmy. Malah mendengar
suara Jimmy juga dia tidak puas. Suara yang telah berubah. Dia sedar, kini
anaknya sudah menjadi seorang lelaki dewasa. Betapa begitu lama masa yang sudah
berlalu.
*****
DI DAPUR, Aisha dan Bahiyah sedang leka berbual.
Kuih talam dan kuih lapis yang sudah dipotong-potong, disusun elok. Kini mereka
menyusun gelas pula di atas dulang.
“Akak nampak kereta abang tadi?” tanya Bahiyah.
“Cantik, kan?”
Aisha tersenyum. Wajah ceria Bahiyah ditatap lama.
Dia faham Bahiyah sedang gembira. Dia juga percaya Mak Jiha dan Johan juga
sedang gembira. Dia sendiri tumpang gembira kerana dia tahu keluarga itu masih
bersedih setelah apa yang berlaku.
“Bolehlah ajak abang Bahiyah tu jalan-jalan,”
katanya mengusik.
Bahiyah mengangguk laju. “Bahiyah nak ajak abang
bawa Bahiyah, mak dan Abang Johan jalan-jalan dekat bandar. Dah lama kami tak
pergi.”
“Esok pergilah. Esok kan ada pekan sehari?” balas
Aisha. Kalau diajak, mahu juga dia turut serta tetapi malulah pula hendak
menawarkan diri. Nanti apa pula kata ibu bapanya kalau tahu.
“Betul juga cakap Kak Aisha tu. Nanti Bahiyah ajak
abang.”
“Abang Bahiyah tu... dah kahwin ke?” tanya Aisha
perlahan. Tidak nampak pula sesiapa bersama Jimmy tadi. Lagipun kalau Jimmy
sudah ada orang rumah, tentu sudah ada di situ membantu mereka sekali.
“Entahlah, kak. Tak ada kut? Nanti Bahiyah tanya
mak,” jawab Bahiyah. “Tapi kalau tak ada lagi bagus. Boleh Kak Aisha kahwin dengan
dia.”
“Hisy! Bahiyah ni!” Segetus cubitan hinggap di
pinggang Bahiyah. Lantas Bahiyah mengekek ketawa.
“Anak dara dua orang! Buat kerja tu diam-diam sikit.
Anak dara apa ni? Suara sampai ke depan boleh dengar!” tegur Mak Yan dari luar
dengan suara yang kuat.
Bahiyah dan Aisha sama-sama menutup mulut namun
senda gurau mereka berdua tetap berterusan.
*****
SETELAH siap mengelap pinggan mangkuk, Mak Jiha
bangkit berdiri. Dia naik ke ruang tamu pula sambil membawa sebatang penyapu.
Hajatnya untuk membersihkan tempat itu sebelum membentang tikar. Semuanya perlu
disiapkan sebelum kariah masjid tiba. Walaupun tidak ramai yang akan datang
bukanlah bermakna semuanya patut dibuat sambil lewa.
“Kita tutup dululah tingkap-tingkap ni. Senja-senja
macam ni tak baik biarkan tingkap dan pintu terdedah.” Langsung dia menuju ke
arah tingkap rumah Mak Yan. Ada lapan buah tingkap jenis panjang dari atap ke
lantai. Ditarik daun tingkap satu persatu lalu dikunci dengan bacaan Bismillah.
Kerana sudah jelas dalam satu hadisRiwayat Al-Bukhari dan juga Muslim yang mencatatkan
Rasulullah saw bersabda bahawa; “Jika malam menjelang atau kamu masuk pada petang
hari, tahanlah anak anak kecil kamu. Karena syaitan bertebaran pada waktu itu,
dan apabila malam telah terlewati sesaat, maka biarkanlah mereka. Kuncilah
pintu-pintu dan sebut nama Allah karena sesungguhnya syaitan tidak membuka
pintu yang terkunci. Tutuplah tempat tempat air kalian dan sebutlah nama Allah.
Tutuplah bejana-bejana kalian dan sebutlah nama Allah, meskipun kalian meletakkan
sesuatu yang melintang di atasnya. Dan padamkan lampu-lampu kalian.”
Maka bagi Mak Jiha
sendiri dia amat menjaga perkara itu seperti yang pernah diajar oleh ibubapanya
dahulu. Dia juga telah mengajar perkara yang serupa kepada anak-anaknya.
Baginya waktu senja ialah waktu yang perlu diawasi. Dia sentiasa memastikan
setiap tingkap dan pintu di rumah ditutup apabila waktu senja dan anak-anaknya
berada di tempat yang berbumbung. Itu sunnah nabi dan penuh dengan seribu satu
kebaikan.
“Tutuplah dulu, kak long,” balas Mak Yan yang baru
selesai memasang lampu tangga dan menutup daun pintu. Kemudian Mak Yan masuk ke
dalam bilik tidurnya untuk menutup tingkap tetapi tidak lama kemudian dia
terjerit.
Mendengarkan jeritan Mak Yan, Mak Jiha terus meluru
masuk. Ketar tubuhnya apabila melihat Mak Yah terduduk di birai katil sambil
menekup muka.
“Kenapa, Yan? Bawa mengucap,” katanya sambil memeluk
bahu Mak Yan. Dia tahu ada sesuatu yang telah menganggu fikiran Mak Yan di situ.
“Bawa mengucap, Yan. Bawa mengucap.” Katanya berulang kali.
Akhirnya, barulah Mak Yan mengucap sebelum memeluk
tubuh Mak Jiha dengan erat. Mak Jiha biarkan sahaja.
“Kenapa, mak? Kenapa mak menjerit?” Aisha dan
Bahiyah meluru masuk ke dalam bilik dengan wajah yang cemas.
“Tak ada apa…,” balas Mak Jiha. “Dah masuk waktu
maghrib ni. Siapa boleh bersolat, pergi ambil wuduk cepat. Kita berjemaah.
Dalam waktu-waktu macam ni sikit pun kita tak boleh leka.”
“Kenapa mak menjerit tadi?” tanya Aisha tadi.
“Mak kamu tak apa-apa. Janganlah kamu risau. Pergi
bentang sejadah kat luar. Kita solat sama-sama. Jangan lupa tutup semua tingkap
dan pintu belakang. Penuh pulak rumah dengan nyamuk aedes.” Mak Jiha cuba
mengendurkan keadaan. Dia tidak mahu hal itu diperbesar-besarkan.
Mak Yan angguk tanpa bersuara. Barulah Aisha dan Bahiyah
keluar dari situ menuju ke dapur semula. Suasana menjadi senyap sunyi.
“Jangan diikutkan sangat. Mari kita bersolat dan
mengaji sedikit. Senja-senja macam ni, ada aje dia cuba menganggu kita,” pujuk
Mak Jiha lagi. Di masih teringat apa yang menimpa dirinya di belakang rumah
tadi. Sehingga ke saat itu dia mudah amat terkejut.
“Yan nak tutup tingkap tadi tiba-tiba… ramai aje
dekat tingkap tu Yan nampak. Tak berkepala pulak tu. Membuak-buak darah keluar
dari lehernya, kak. Bau hanyir tak usah cakaplah.”
“Hisy! Kamu ni Yan. Jangan diingat benda-benda tu
semua. Lupakan aje. Jangan cerita pulak dengan anak-anak,” tegur Mak Jiha. Dia
kemudiannya bangkit menutup kesemua tingkap di situ sebelum menarik lengan Mak
Yan keluar dari situ. “Dahlah tu, mari kita solat.”
Senja itu mereka berjemaah bersama-sama dengan
diimamkan oleh Mak Jiha sendiri.