Sementara itu di Batu Silak…
DI DALAM sebuah lubang berbentuk empat segi seperti
lubang kubur, seorang lelaki baru sahaja mencelikkan matanya. Pertapaannya
untuk malam yang keempat sudah selesai. Ada lagi tiga malam sebelum malam yang
dinanti-nantikan itu tiba.
Perlahan-lahan dia bangkit, meninggalkan timbunan
najis kelawar yang menimbus seluruh tubuh bogelnya sejak malam berlabuh. Dia
bangun dan keluar dari lubang itu. Kini dia bergerak ke hadapan sebuah batu
yang berbentuk seperti meja empat segi berwarna kehitaman.
Dia pijak batu itu lalu bersila di atasnya. Dia
memejamkan matanya semula sambil membaca mentera yang diturunkan oleh ayahnya
dahulu kepada dia selaku pewaris ilmu puja. Semua yang telah dihafal sejak
berusia lima tahun, dibaca dengan lancar dan penuh khusyuk. Itulah kali
pertama, dia bertanggungjawab memuja puaka Batu Silak. Dia tidak mahu melakukan
kesilapan.
Apa yang belum cukup, ialah tiga nyawa untuk
dipersembahkan. Dan dia yakin tiga malam lagi selepas upacara pertapaan dan
memuja itu selesai, segalanya akan beres.
Khairul terus berada di atas batu itu dan di suatu
sudut pula, sesusuk orang tua sedang merenung tajam ke arahnya. Malam kian larut.
*****
22 tahun yang lalu..
DENGAN muka masam, Khairul bertegas untuk duduk
sahaja di dalam kereta. Dia tidak mahu turun. Malah tidak mahu ke tempat itu.
Dia tidak suka.
“Turun!” paksa ayahnya yang telah membuka pintu
kereta luas-luas.
Dia menggeleng.
“Turun! Sampai bila nak jadi penakut macam ni?”
Ayahnya mencerlung tajam tetapi dia diam sahaja.
“Tak nak, abah!” Khairul menolak tangan ayahnya apabila
lengannya ditarik dengan kuat. Sayangnya pegangan ayahnya mengalahkan gari
besi. Dia berpaut pada apa sahaja yang boleh dicapai namun kudrat seorang budak
kecil sepertinya tidak sekuat mana. Akhirnya pegangan tangannya terlepas.
Lalu tubuhnya dihela tanpa belas kasihan, ke sebuah
kubur lama. Tidak jauh dari Batu Silak.
“Tak nak!” Dia berundur ke belakang apabila melihat
kuburan lama itu dipenuhi dengan tulang-temulang yang pelbagai rupa. Ada pula
mayat tanpa kepala yang sedang mereput. Dia mahu muntah. Lutut kecilnya
menggigil.
“Masuk!” tengking ayahnya lagi sambil memegang
tangannya kuat-kuat.
Air matanya berjuraian turun. Sungguhpun dia menyayangi
ayahnya namun arahan itu amat berat untuk dipatuhi. Dia berundur makin jauh
sayangnya tangannya direntap kuat sekali lagi dan belum sempat dia berfikir,
tubuhnya ditolak masuk ke dalam kubur itu.
Dia tersungkur jatuh dan kemudian menggelupur
apabila menyedari yang dia terjatuh di atas mayat tanpa kepala. Dia bingkas
bangkit.
“Abah! Tolong, abah!” Dia mendongak ke atas. Dia
hulurkan tangan meminta bantuan. Tetapi sayang, ayahnya hanya memandang tanpa
perasaan.
Kemudian dia terlihat sesuatu yang membuatkan
matanya tidak berkelip. Di sebelah ayahnya berdiri seorang lelaki tua yang tidak
pernah dilihat sebelum ini.
Dia tergamam kerana lelaki tua itu amat hodoh dan
mengerikan rupanya. Wajah lelaki itu hampir tiada kerana dihurung ulat yang berjerembik hampir memenuhi keseluruhan
muka. Darah pula meleleh-leleh dari segenap rongga yang ada.
Ketakutannya bertambah.
“Abah!” Dia melaung lagi. Dia melingas mencari jalan
untuk memanjat ke atas semula namun setiap apa yang cuba dicapai bagaikan reput
sehingga dia gagal berpaut.
“Abah! Tolong! Tolong, abah!” Jeritannya bersulam
tangis. Gerun hatinya apabila terpijak tulang-temulang di bawah kakinya. Namun
panggilannya hanya dipandang sepi. Ayahnya tetap pergi meninggalkan dia di situ
tanpa sebarang pesan.
Dia terduduk sendiri. Tidak percaya.
Dia mahu atau tidak, masa terus bergerak laju. Senja
makin lama makin tua. Malam melabuh tirai dan kegelapan mula membungkus setiap
inci kawasan itu. Suara-suara haiwan makin keras. Bayangan-bayangan ngeri makin
jelas.
Dia masih di situ.
Tergigil-gigil ketakutan apabila mula merasakan dia
bukan lagi berseorangan. Dalam bias cahaya bulan yang mencuri masuk melalui
dedaun pokok, dia dapat melihat seorang tua yang berwajah hodoh duduk
mencangkung di sudut lubang sedang melahap sesuatu. Sesekali menderam. Sesekali
memandang tajam ke arahnya.
Apabila diperhati elok-elok, sedarlah dia lelaki tua
itu sedang mengunyah badan manusia yang tidak berkepala. Dia menjerit nyaring
lalu pengsan.
Keesokan paginya, dia tersedar apabila pipinya
terasa hangat ditujah cahaya matahari. Apabila dia membuka mata, dilihat
ayahnya sedang merenung wajahnya dari atas. Dia hanya terkelip-kelip tidak tahu
apa yang mahu diharapkan tetapi dia berasa lega kerana orang tua hodoh yang
dilihatnya malam tadi sudah tidak ada.
Tanpa disangka, ayahnya menghulurkan sebatang kayu
yang yang sudah ditakuk-takuk ke dalam lubang kubur.
“Naik!” perintah ayahnya.
Lalu tanpa berfikir panjang, dia memanjat kayu itu
sampailah ke atas dan keluar dari lubang kubur itu.
“Sekarang kamu tak takut lagi, kan?” tanya ayahnya
sambil merenung tepat ke dalam matanya.
Dia menarik nafas lega. Memang pada waktu itu
dirasakan segenap perasaannya telah berubah. Dia rasa sebati dengan tempat itu.
Serasi dengan tanah. Serasi dengan seluruh ruang lingkup yang berbeza. Dia rasa
lebih kuat. Dia rasa lebih hebat.
Sejak itu dia tidak menolak lagi kalau diajak masuk
ke dalam Batu Silak.
*****
Lima belas tahun selepas kejadian itu…
“Baliklah,
abah tenat,” kata Khairul melalui telefon. Pada waktu itu dia hanya
mengharapkan adik-adiknya dapat balik sekejap menjenguk wajah ayahnya bersama
ibu mereka.
“Kami tak mahu balik. Abang ajelah yang uruskan ayah
tu,” balas adik Khairul yang bongsu. Mereka cuma tiga beradik. Kesemuanya
lelaki dan Khairul anak yang sulung.
“Tapi abah nak jumpa kamu. Abah nak jumpa mak. Bawa
mak balik. Tolonglah,” jawab Khairul. Dalam keadaan begitu, dia mengharapkan
agar adik-adik dan ibunya berlembut sedikit. Dia tahu daripada keadaan ayahnya
yang sakit tenat itu, umur ayahnya sudah tidak panjang. Apatah lagi setiap
siang dan malam ayahnya menangis tidak henti-henti. Hatinya jadi susah.
“Tak ada gunanya kami jumpa abah. Lagipun kami
takut, nanti puaka tu pergi pulak dekat kami. Kami tak nak terbabit dengan
benda syirik tu. Abang ajelah ambil. Kan abang sama aje dengan abah?”
“Sekurang-kurangnya baliklah sekejap jenguk abah.
Abah dah tenat. Abah menangis tak henti-henti kau orang tahu tak?” Suara
Khairul mula meninggi. Dia ketepikan segala kata-kata yang melukakan hati.
Dalam saat seperti itu dia benar-benar berasa
keseorangan. Sememangnya hidup dia dan ayahnya penuh rahsia. Mereka tidak
bercampur atau berkawan dengan ramai orang kerana takut rahsia mereka
diketahui. Apatah lagi mereka hidup tidak seperti orang Islam. Mereka tidak
bersolat. Masjid adalah kawasan larangan. Azan pula bagai api yang boleh mendidihkan
darah. Mereka terpaksa hidup jauh dari semua itu dan keluar hanya apabila
benar-benar perlu.
“Abah tu menangis bukan ingatkan kami. Itu puaka
yang menangis sebab tak nak berpisah dengan abah. Saya rasa lebih baik abang
panggil ustaz yang boleh menolong abah lepas dari puaka tu. Kalau tak, susah
abah tu nak mati.”
Khairul baling telefon ke dinding. Kalau adik-adik
dan ibunya tidak mahu balik juga ke situ, dia sudah tidak peduli. Kalau mereka
tidak lagi mempedulikan dirinya, dia juga begitu. Selama ini pun hanya dia yang
tinggal bersama ayahnya. Susah pening orang tua itu, hanya dia yang tahu. Ibu
dan adik-adiknya sudah lama menjauhkan diri kerana mereka kata apa yang dibawa
oleh ayahnya tidak betul. Namun pada dia, ayahnya cukup hebat.
Tanpa dia tahu, adik-adiknya telah mengadakan solat
hajat dan memanggil ustaz yang tahu hal-hal sebegitu. Genap tiga hari tiga
malam, ayahnya meraung dan menggelupur kesakitan, ayahnya menghembuskan nafas
terakhir.
Pada waktu itu dia melihat tubuh ayahnya sudah
mereput bagaikan sudah lama mati. Bahagian muka ayahnya terus sahaja dihurung
ulat-ulat yang kelaparan. Melahap dan memamah setiap inci daging yang ada
dengan rakus. Nanah dan darah meleleh dari mata, hidung, mulut dan kerongkong
yang melopong. Sehinggakan muka ayahnya tidak berwajah lagi. Persis seperti
orang tua yang pernah dilihat mendampingi ayahnya suatu ketika dahulu. Bahkan
setelah ayahnya dikebumikan pun, bilik tidur ayahnya tetap berbau busuk dan hanyir
selama berbulan-bulan.
Namun kerana rasa marah yang menggunung kepada
adik-adik dan ibunya, sedikit pun hal itu tidak membuatkan dia sedar atau
insaf. Malah dia percaya merekalah yang telah menyebabkan ayahnya mati.
Lalu dia bersumpah, ilmu puja yang menjadi warisan
Tok Siang Waki itu akan tetap dipertahankan sampai bila-bila. Ilmu puja itu
akan diteruskan dan diwariskan kepada anak dan cucu cicitnya pula. Dan dia
yakin satu hari nanti adik-adiknya akan melutut ke kakinya juga apabila hidup
susah dan jadi papa kedana.
Dia akan tunggu masa itu tiba. Baru semuanya tahu
siapa dia.