Bab
5
Di Bandar Dagang
KHAIRUL memandang satu persatu wajah tua yang duduk
di hadapannya. Wajah-wajah penuh harapan. Wajah-wajah yang sarat rasa gembira
yang membuak-buak. Wajah-wajah yang penuh dengan pelbagai angan-angan dan
rancangan. Dia faham apa yang mereka rasa.
“Ini cek untuk kerja kenduri tu.”
Dia langsung menolak sekeping cek yang telah siap
ditandatanganinya sebelum perjumpaan yang berlaku di bilik mesyuarat Silak Tua
Holdings itu bermula tadi. Zaid, selaku peguam syarikat yang duduk di sisinya
hanya tersenyum nipis.
Salah seorang daripada tiga orang tua itu terus
mengambil cek yang dihulurkan. Kemudian membaca jumlah yang tertera di atasnya.
Lantas tersenyum manis.
“Pak Daud dah tetapkan tarikh kendurinya?” tanya
Khairul lagi. Pada fikirannya, hal majlislah yang lebih penting untuk
dibincangkan. Lagipun duit yang diberikan itu lebih daripada mencukupi.
“Dah ada duit ni, cepatlah kami selesaikan.” Pak Daud
terus menjawab. Senyuman di wajahnya masih ada. Dua orang tua yang berada di
kiri kanannya turut mengeyakan jawapan Pak Daud.
“Kalau dah ditetapkan, Pak Daud kena beritahu kami
tarikhnya. Kami pun nak datang juga melihat,” tambah Khairul. Dia harap Pak
Daud faham. Itu tugas dia sebagai penjaga Batu Silak.
“Kami mesti jemput Encik Khairul nanti. Semua orang
dalam syarikat ni kami akan jemput,” balas Pak Daud dengan bersungguh-sungguh.
“Farish dah balik ke?”
Air muka Pak Daud berubah. Serta-merta senyuman di
wajahnya memudar.
“Belum. Katanya dua tiga hari lagi baru boleh balik.
Sekarang dia ada peperiksaan. Selepas tu baru dia bercuti panjang.”
Khairul menyambut jawapan Pak Daud dengan senyuman
tawar. “Asalkan dia bersetuju, tak apalah.”
“Takkanlah dia tak setuju?” Pak Daud kembali
tersenyum, begitu juga dengan yang lain. Sama-sama tahu apa ertinya semua itu.
“Hal keluarga sebelah sana tu pula macam mana? Hari tu ada juga Pak Daud
tanya-tanya pasal lembing-lembing tu tapi huh! Mereka tak layan sikit pun.”
“Hal keluarga Tok Abi Wadin tu, Pak Daud jangan
bimbang. Kami akan uruskan pasal lembing-lembing adat tu. Sampai masanya nanti,
saya sendiri yang akan serahkan ke tangan Pak Daud.”
“Kalau begitu tak apalah.”
“Yang pentingnya, Pak Daud sekeluarga selesaikan apa
yang perlu dulu. Selepas itu baru kita semua boleh berkumpul di Batu Silak.
Pada masa tu lembing-lembing itu akan diserahkan kepada Pak Daud bertiga
sebagai penjaganya yang baru,” tambah Khairul dengan jelas. Dia harap Pak Daud
bertenang dan tidak masuk campur hal yang tidak perlu.
“Kalau macam tu tak apalah. Biarlah kami balik dulu.
Nanti tutup pulak bank.” Pak Daud terus berdiri. Begitu juga dengan
lain-lainnya.
Khairul biarkan sahaja mereka pergi. Lapang dadanya.
Selesai satu tugas. Dia lantas menutup fail di hadapannya. Pen diselitkan pada
kocek baju. Sekarang dia ada satu tugas lain yang lebih penting daripada itu.
“Nak pergi sekarang ke?” tanya Zaid yang kelam kabut
meninggalkan kerusi apabila langkah Khairul sudah sampai ke pintu.
Tanpa sebarang jawapan, Khairul terus menyambung langkahnya.
Sudah terbayang apa yang akan menantinya sekejap lagi.
*****
PERJALANAN dari pejabat Silak Tua Holdings ke Batu
Silak mengambil masa kira-kira sejam lima belas minit. Batu Silak yang terletak
berhampiran sungai itu dipagari pagar setinggi lapan kaki dan dikelilingi pokok
durian yang ditanam secara rawak. Kawasan itu juga dikawal oleh dua lapis
pengawal keselamatan dan dua ekor anjing Rottweiler yang dibiarkan hidup bebas
di sekitar kawasan itu. Pendek kata tempat yang dipanggil Batu Silak itu terkawal
rapi.
Khairul melemparkan pandangan ke arah anjing-anjing
Rottweiler yang menyalak garang menyambut kedatangannya ke kawasan itu.
Sesekali timbul rasa gerun apabila melihat kegarangan anjing-anjing itu yang
seolah-olah mahu menyiat-nyiat kulitnya pada bila-bila masa sahaja. Namun dia
tidak ada pilihan, dia bimbang jika mahu mengharapkan pengawal keselamatan
sahaja. Dia bimbang mereka semua terleka.
Sebaik sahaja kereta yang dipandu Zaid melepasi
pintu keselamatan kedua, cepat-cepat pintu pagar itu ditutup semula. Anjing-anjing
Rottweiler yang mengejar kereta Zaid tadi hanya mampu menyalak dari luar pagar.
Setelah dirasakan keadaan cukup selamat, Khairul dan Zaid membuka pintu kereta
hampir serentak.
Tanpa mempedulikan dua orang pengawal keselamatan yang
tersenyum dan cuba berbaik-baik dengannya, Khairul terus melajukan langkah ke
arah sebuah bangunan setinggi rumah dua tingkat di hadapannya. Dikeluarkannya
segugus kunci dari poket seluar. Kunci yang diwarisi daripada keturunannya,
keluarga Tok Siang Waki.
Sebaik sahaja kunci pintu masuk utama bangunan itu
diputar, Khairul terus menolak daun pintu yang jarang-jarang dibuka itu. Habuk
terus berterbangan menyesakkan nafas. Khairul terbatuk-batuk kecil sambil
menutup mulutnya.
Tap! Lampu terpasang apabila Zaid menekan suis lampu
yang berada di tepi pintu. Hanya setelah ruang kosong yang tadi gelap gelita
terang-benderang baru Khairul meneruskan langkahnya semula. Arahnya kini menuju
ke sebuah lagi pintu tetapi kali ini pintunya diperbuat daripada besi tahan karat
dan dikunci menggunakan kunci sistem elektronik moden yang memerlukan sebaris
kod lapan angka.
Setelah memasukkan kod yang sudah dihafal di dalam
kepalanya, Khairul menunggu sehingga pintu di hadapannya terbuka dengan
sendiri. Hanya selepas itu, dia dan Zaid melangkah masuk ke dalam ruang yang sentiasa dilimpahi cahaya lampu
neon 24 jam. Sebuah batu besar yang hampir mencecah siling menunggu mereka.
“Tak nak masuk?” tanya Khairul apabila sudah sampai
ke hadapan batu besar itu. Batu itulah yang dipanggil Batu Silak oleh generasi
mereka dahulu. Di hadapannya ada sebuah pintu kecil yang muat untuk seorang
memasukkinya.
Zaid terus menggeleng. Beg hitam yang dibawanya tadi
dihulurkan kepada Khairul. Beg bertukar tangan. Dia beralih jauh dari pintu
gua.
Khairul tidak berasa hairan dengan sikap Zaid. Walaupun sejak remaja lagi Zaid menemaninya
ke situ, belum sekali Zaid melangkah masuk ke dalam Batu Silak. Dipaksa
bagaimanapun, Zaid tetap menolak. Oleh itu ditinggalkan Zaid berseorangan di
luar, dia melangkah masuk dengan tenang.
Setelah hampir lima belas minit, dia keluar sambil
membawa keluar beg hitam yang kini bertambah berat.
“Dah?” tanya Zaid yang sentiasa resah gelisah semasa
berada di situ. Badannya berpeluh-peluh.
Khairul angguk. Beg diserahkan semula kepada Zaid.
Zaid pula mengangkat beg yang berat itu keluar dari situ.
*****
SELEPAS melepasi pos keselamatan yang pertama,
kereta dipandu laju oleh Zaid. Mereka menuju semula ke arah bandar, mencari
sebuah bank. Begitulah rutin mereka sebulan sekali.
“Tak nak tanya?” Khairul tersenyum sinis.
Melihat muka Zaid yang masih berpeluh itu dia tahu
perasaan takut dan cuak Zaid masih belum hilang walaupun mereka berdua sudah
kembali berada di jalan raya. Begitulah Zaid setiap kali menemankan dia ke
situ. Dia bosan sungguh. Perkara seperti itu pun hendak takut. Lelaki ke apa
dia ni? Cemuh Khairul dalam hati.
Zaid terus menggeleng.
Melihatkan respons Zaid, Khairul terus
menakut-nakutkan. “Kalau aku mati, siapa nak ganti tempat aku? Engkaulah.”
“Tak nak aku,” balas Zaid dengan pantas. “Engkau
kahwinlah cepat. Cepat dapat anak, cepat engkau boleh ajar dia kerja engkau tu.
Aku… payah sikit.”
“Apa yang engkau takutkan? Bukannya ada apa-apa
dalam gua tu. Tak ada apa,” pujuk Khairul.
Apa pun kata Khairul, Zaid tetap menggeleng keras.
“Tak nak!”
Gelak Khairul makin kuat. Dia menepuk lembut
pehanya, lucu sekali dia melihat Zaid yang berbadan lebih besar daripadanya
namun lebih penakut.
“Aku dulu pun macam engkau juga. Sejak aku berumur
tujuh tahun sampailah aku berumur 12 tahun. Puas ayah aku pujuk. Aku tetap tak
nak.”
“Kenapa engkau tak nak masuk?” Zaid toleh ke arah
Khairul sekilas.
Khairul tidak terus menjawab. Dia termenung sambil
cuba mengingati kisah masa lampau. Pada waktu itu bangunan yang menyembunyikan
Batu Silak itu tidak secanggih itu. Pintu-pintunya hanya dibina daripada kayu
jati. Dia yang telah menukar pintu tersebut dan memasang pagar kawalan
keselamatan dua lapis. Dia tahu apa yang ada di dalam batu hitam itu amat besar
nilainya pada zaman sekarang dan akan terus meningkat seiring zaman.
“Cakaplah kenapa engkau tak masuk pada masa tu?
Takut?” desak Zaid apabila Khairul masih tidak menjawab pertanyaannya.
“Entahlah, hati aku rasa berat nak masuk. Aku rasa
seram sejuk aje kalau ayah bawa aku ke situ macam ada mata besar yang merenung.
Macam ada benda yang bila-bila masa aje nak menerkam dan menggigit leher aku,”
jelas Khairul perlahan-lahan.
“Habis tu? Kenapa engkau boleh masuk pula?”
Khairul terdiam lagi. Biarlah kenangan silam itu
menjadi rahsianya seorang diri. Sampai masanya nanti, dia juga akan melakukan
hal yang sama kepada anak sulungnya yang bakal mewarisi tugas dan tanggungjawab
itu. Walaupun apa yang dilakukan itu mungkin sangat jijik dan kejam.