Bab
4
DI RUMAH Pak Salleh, Mamat riuh rendah bercerita.
Pak Salleh, Mak Yan dan Mak Jiha yang mendengar tidak terkata apa pada mulanya.
Walaupun hari sedang siang dan terang-benderang namun cerita yang dibawa Mamat
sedikit sebanyak membuatkan mereka semua berasa seram sejuk.
“Sungguhlah, pak ngah. Saya tak tipu.” Mamat sekali
lagi cuba meyakinkan semua yang ada di situ mengenai apa yang dilihat tengah
malam tadi.
Mak Jiha termenung. Teringatkan apa yang berlaku di
rumahnya juga. Ingin diceritakan kepada Pak Salleh dan Mak Yan tetapi belum
sempat. Sejak tiba di rumah Pak Salleh tadi, dia sibuk menyediakan ayam dan
daging yang hendak dimasak untuk kenduri tahlil petang nanti. Tidak sangka
pula, Mamat datang ke situ membawa cerita yang juga mengejutkan.
Mendengarkan cerita Mamat, Pak Salleh tarik nafas.
Dia susun sila dengan lebih kemas.
“Sebenarnya… bukan engkau aje yang dah jumpa benda
tu,” katanya tanpa memandang sesiapa. Dia cuba mengingati beberapa cerita yang
disampaikan kepada dia sebelum ini.
Lama Mamat tergamam. “Jadi… betullah apa yang saya
nampak tu, pak ngah?” tanyanya kemudian.
Anak mata Mak Jiha beralih-alih antara muka Mamat ke
muka Pak Salleh. Seingat dia, tidak pernah pula dia jumpa apa yang Mamat jumpa.
Setakat ini, dia dan Bahiyah hanya pernah melihat lelaki tua dengan muka
berulat. Itu sahaja. Tidak sangka pula ada hal lain. Dia semakin risau.
Pak Salleh angguk. “Dah ramai orang jumpa. Terutama
di sebelah simpang hala ke Batu Silak tu. Tapi ada juga yang jumpa dalam kebun
getah atau dekat perigi lama.”
“Benda apa tu, pak ngah?”
Kini semua yang berada di situ memandang ke arah Pak
Salleh. Namun Pak Salleh tidak menjawab. Dia angkat punggung lalu turun ke
tanah. Berat hatinya untuk bercerita di hadapan isterinya dan juga Mak Jiha.
Dia bimbang ketakutan mereka bertambah-tambah maka berjayalah tujuan itu
syaitan itu menampakkan diri dengan rupanya yang sebegitu di hadapan anak Adam.
Setelah turun ke bawah, dia duduk pula di atas
pangkin yang menghadap ke arah jalan. Dilemparkan pandangan ke arah jalan
bertar di hadapan rumah. Dia teringat satu kejadian sewaktu jalan itu masih bertanah
merah…
****
PADA waktu itu dia berusia hampir 10 tahun. Selepas
selesai berjemaah di masjid, dia berjalan kaki balik ke rumah beramai-ramai
dengan ayah dan ibunya. Hanya dengan bersuluhkan dua buah pelita. Satu dipegang
ibunya dan satu lagi dipegang oleh dia. Di pertengahan jalan, seorang demi
seorang penduduk kampung berhenti dan balik ke rumah masing-masing.
Sehinggalah akhirnya hanya tinggal mereka bertiga
sahaja yang masih berjalan kaki sambil berbual-bual mengenai kampung dan apa
yang diajarkan tok imam di masjid tadi. Dia hanya mendengar sambil berjalan di
hadapan sekali. Walaupun badannya sudah lesu dan mengantuk, dia gagahi juga
menapak selaju-lajunya untuk cepat sampai ke rumah. Setibanya berdekatan
sebatang pokok kekabu, dia seperti terlihat beberapa orang berjalan di
hadapannya.
“Abah… siapa tu?” Dia bertanya. Pada fikirannya, ada
orang kampung yang sedang hendak ke mana-mana.
“Entahlah,” balas ayahnya sambil ikut memandang ke
hadapan. Begitu juga dengan ibunya yang masih lagi bertelekung litup. “Kenapa
jalan tak bawa pelita?”
Dia sendiri ingin bertanyakan hal yang sama kerana
malam itu sangat gelap. Anak bulan bersembunyi di balik awan. Udara pula panas
dan lebih kering daripada biasa. Agak aneh melihat beberapa orang di hadapannya
berjalan tanpa membawa apa-apa. Tetapi mungkin juga mereka sudah biasa berjalan
di dalam gelap, fikirnya.
Seraya berfikir itu, mereka bertiga semakin dekat
dengan kumpulan orang di hadapan mereka. Semena-mena, ayahnya menangkap
tangannya.
Dia langsung berhenti dan menoleh. Dilihatnya wajah
ayahnya berbeza benar. Ibunya juga sudah bergerak di belakang ayahnya. Tanpa
berkata apa-apa, ayahnya memegang lengan dia agak kuat.
Pada mulanya dia kehairanan juga. Tetapi apabila
melihatkan ayahnya berjalan menjauhi kumpulan itu sambil mulut terkumat-kamit
membaca ayat suci, dia syak ada sesuatu yang tidak kena. Akhirnya dia juga
menapak selaju yang mungkin bagi menyaingi langkah ibu bapanya yang berjalan
bagaikan lipas kudung.
Entah bagaimana, tergerak hatinya untuk menoleh ke
belakang bagi melihat apa yang tidak kena. Sebaik sahaja dia menoleh, barulah
dia sedar. Orang yang dilihat tadi, kesemuanya tidak berkepala. Hanya jasad
berjalan tanpa beralas apa-apa. Jalannya juga agak tidak jejak ke bumi.
Bagaikan melayang kira-kira setengah kaki dari jalan.
Pada masa itulah, dia rasa hendak terkencing. Dan
tanpa dapat ditahan, dia memang
terkencing di dalam seluar. Dia pun tidak berfikir panjang lagi. Direntap
pegangan tangan ayahnya lalu berlari selaju mungkin balik ke rumah tanpa
mempedulikan ibu bapanya yang mengejar bagai tidak cukup tanah.
Selepas itu dia demam seminggu.
Pada suatu ketika, dia terdengar ayah dan ibunya
berbual mengenai kejadian itu. Kata ayahnya, hal-hal seperti itu akan terus
berlaku selagi ketua kampung yang baharu tidak dilantik. Puaka batu itu akan
kembali mengganggu selagi tidak diberi makan oleh penjaganya dan mendapat tuan
yang baharu.
Dia diam sahaja. Tetapi seingat dia, selepas kampung
itu mendapat ketua yang baharu memang kampung itu kembali aman seperti sedia
kala. Dia pun tidak ambil pusing lagi mengenai hal itu dan makin lama, dia
sudah melupakan hal itu sama sekali. Apabila ketua kampung itu meninggal dan
digantikan pula dengan Dr. Rafar, dia pula sudah merantau ke Negeri Sembilan
kerana bekerja dan berkahwin. Dia tidak ada di situ semasa tempoh perlantikan
ketua kampung baharu dijalankan. Dia tidak pasti sama ada kejadian itu berulang
ataupun tidak.
Sekarang, Dr. Rafar pula sudah meninggal dan
kejadian itu nampaknya berlaku lagi. Setiap hari ada sahaja yang bercerita
mengenainya. Ada yang kata terjumpa orang tua seorang diri mandi di perigi lama
pada waktu senja. Ada pula yang kata terjumpa sekumpulan orang yang tidak
berkepala terjun ke dalam sungai sewaktu mereka sedang memancing. Dan nampaknya
pada malam tadi, tiba pula giliran Mamat diganggu.
Semua itu membuatkan fikirannya runsing, kerana dia
tahu itu semua hanyalah permulaan kepada kejadian yang lebih dahsyat lagi.