Keesokan harinya…Pinggir Bukit Tinggi
KABUS di perbukitan menghalang pandangan. Sambil
membetulkan jaket yang dipakai, Jimmy menyambung menungannya yang panjang di
beranda apartment. Semalaman tidak tidur menyebabkan tubuh badannya agak lesu.
Ditambah kerisauan memikirkan apa yang bakal dihadapinya sebentar lagi, dia
benar-benar rasa bagai dihempap batu besar. Angin sejuk yang menghilir dari
arah perbukitan itu pun tidak mampu lagi menghadirkan rasa damai.
“Cepat bangun?” tegur Manjoy yang menggeliat ala-ala
kucing jantan di muka pintu gelonsor. Tubuhnya yang tidak berbaju menampakkan
tubuhnya yang kurus namun keras, hasil latihan Muay Thai yang berterusan.
Suara Manjoy membuatkan Jimmy menoleh seketika.
Teringat jam tangan yang ditinggalkan di atas meja di sebelah katil.
“Dah pukul berapa ni?”
Manjoy menoleh ke arah dinding di dalam rumah,
kemudian menoleh ke arah Jimmy semula.
“Pukul 7.”
“Cepat bangun?” Jimmy pula bertanya. Terdetik rasa
hairan kerana selalunya kalau belum pukul dua belas tengah hari, Manjoy tidak
akan buka mata.
“Nak terkencing.” Manjoy tersengih sebelum
tergesa-gesa meninggalkan Jimmy sendirian semula di beranda itu.
Jimmy menarik nafas panjang, kemudian kembali
termenung. Apa yang menganggu fikirannya jelas terbayang di ruang mata.
Mampukah dia berdepan semula dengan semua yang telah ditinggalkan sejak 15
tahun yang lalu? Mahukah mereka menerima semula dirinya dengan baik?
Bagaimanakah sambutan mereka? Dia rasa terhukum oleh pelbagai persoalan yang
tidak ada jawapannya.
“Dah packingbaju?”
Spontan Jimmy menoleh. Nampaknya Manjoy sudah kembali
ke situ. “Belum,” jawabnya sepatah.
“Aik? Kenapa tak packing
lagi?” Manjoy tarik sebuah kerusi besi di tepi pintu. Lalu bunyi kerusi yang
terseret begitu jelas kedengaran di dalam suasana persekitaran yang masih lagi
sepi. Lantas dia duduk bersilang kaki bagaikan senang hati. “Bukan selalu balik
pun… seingat aku… aku tak pernah ingat kau pernah balik kampung. Sebut pasal
mereka pun tak pernah.”
“Pernah aku tanya pasal keluarga kau?”
Manjoy terdiam.
Jimmy mengeluh perlahan. Bukan niatnya mahu menyakiti
hati Manjoy tetapi Manjoy bukan tidak tahu. Soal keluarga adalah satu soal yang
tidak akan didedahkan oleh mana-mana ahli kumpulan mereka. Tidak terkecuali dia
dan Manjoy sendiri.
Mereka hidup bagaikan anak-anak terbuang, jauh dari
keluarga masing-masing. Sejujurnya dia sendiri tidak tahu Manjoy berasal dari
mana. Manjoy juga tidak pernah pulang ke pangkuan keluarga. Bercerita apatah
lagi.
“Sorry,
aku…” Setakat itu Manjoy bersuara. “Tak apalah. Kau baliklah dulu… kalau ada
apa-apa masalah telefon ajelah.”
Sehabis berkata-kata Manjoy bangkit lalu melangkah
perlahan masuk ke dalam rumah semula.
Jimmy tidak menoleh sedikit pun. Dia tahu Manjoy
bukanlah lembik bagaikan budak hingusan. Setakat kena herdik, kena maki, kena
sepak terajang sudah tidak jadi hal. Ini kan pula setakat berbalas kata. Tetapi
kalau semua itu benar, kenapa hatinya sendiri terasa amat runsing. Ada perasaan
malu yang teramat malu menguasai dirinya. Patutkah dia pulang?
*****
SEJAM sudah berlalu. Dia sudah mandi dan kini
berdiri di hadapan cermin. Ditanggalkan rantai emas yang selama ini menghiasi
lehernya. Begitu juga dengan subang di kedua belah cuping telinganya. Disimpan
dalam sebuah bekas kaca. Kemudian matanya tertancap pada lukisan tatoo bercorak
burung enggang di bahu kirinya.
Satu perasaan aneh menyelinap dalam hati. Perasaan
yang tidak pernah datang sebelum ini. Perasaan kesal. Kesal kerana telah
melakukan satu perbuatan yang dilaknat ALLAH. Cuma pada waktu itu dia terlalu
mengikutkan kawan-kawan. Kononnya tatoo itu lambang keberanian dan kekuatan.
Siapa yang tidak bertatoo bukan anak jantan.
Sekarang melihatnya semula, dia rasa malu. Ia bukan
lagi satu kebanggaan tetapi sudah menjadi satu tanda hidupnya yang hitam. Yang
terpaksa dibawa ke mana-mana. Yang terpaksa disorokkan daripada kebanyakan
orang, apatah lagi ahli keluarganya.
Seraya membendung perasaan kesal itu, dia menyarung sehelai
baju yang bersih. Kemudian ditarik keluar dari bawah katil, sebuah beg pakaian
berjenama ADIDAS. Dia ambil tiga helai
baju-T yang paling mahal dan sehelai seluar jeans berjenama dari almari lalu
dimasukkan sahaja ke dalam beg. Sehelai tuala, sebotol bedak dan sebotol minyak
wangi yang berharga hampir seribu ringgit sebotol dibawa sekali. Dia mesti
pulang dengan bergaya.
Dia mesti menemui mereka semula dalam keadaan yang
terbaik demi ego yang dijunjung. Demi membuktikan bahawa keputusannya 15 tahun
yang lalu tidak salah. Dia juga mampu hidup senang dan mampu membeli apa
sahaja. Mungkin lebih daripada mereka yang masih ada di kampung.
Selepas menutup bilik tidurnya dia meninggalkan
apartment. Sebelum dia keluar, sempat juga dia menoleh ke arah bilik tidur
Manjoy yang sunyi sepi. Dia percaya Manjoy sudah tidur semula. Dia tidak sampai
hati untuk mengganggu Manjoy. Lagipun dia yakin, Manjoy akan faham ke mana dia
menghilang apabila terjaga nanti.
Enjin kereta Honda Accord berwarna hitam miliknya,
dihidupkan segera. Beg baju yang dibawa tadi dicampakkan sahaja di kerusi
belakang. CD nyanyian kumpulan My Chemical Romance segera dipasang. Serentak
dengan keluarnya suara Gerard Way, keretanya laju meninggalkan ruang parkir di
bawah apartment. Bersama tarikan nafas yang sesak, dia menekan minyak.
Perjalanan masih jauh, sejauh ingatannya pada waktu itu.
15 tahun yang lalu…
“Ini aje yang engkau dapat? Puas abah ajar engkau
siang malam, puas abah hantar engkau ke kelas tusyen, puas abah cari duit bayar
cikgu sana-sini, beli buku tambahan bertimbun-timbun… macam ni aje?”
Dinding rumah yang diperbuat daripada kayu terasa
bergegar dek suara ayahnya. Ibunya dan dua orang adiknya yang masih kecil hanya
menikus di tepi dinding. Langsung tidak berani berkutik.
Dia hanya membisu. Kepalanya tunduk merenung lantai
yang tidak berlapik apa-apa. Sejak keputusan peperiksaan itu keluar di sekolah
pun, dia tahu apa yang bakal menantinya di rumah. Namun dia juga sedar, tidak
ada gunanya dia melarikan diri. Apa pun yang bakal terjadi, dia perlu juga
hadapi. Ke mana dia harus pergi? Sejauh mana dia boleh lari?
“Engkau ingat, soal peperiksaan ni main-main ya?”
Serentak dengan itu, slip keputusan peperiksaan yang
dipegang ayahnya hinggap di mukanya. Walaupun dadanya ingin meletup kerana
terlalu sedih namun dia tetap tidak menjawab. Dia tetap tunduk sambil menahan
air mata sekuat hati. Pada saat itu, terasa dirinya tidak ada harga langsung di
mata ayahnya.
Melihatkan sikapnya yang tidak mahu membuka mulut,
ayahnya mengeluh berat. Suasana di ruang tamu itu terus senyap sunyi. Sesungguhnya,
pada waktu itu, jantungnya berdetak laju. Tetapi dia hanya boleh menunggu apa
yang akan berlaku selepas itu.
“Tak payahlah belajar lagi kalau macam ni. Buat
menghabiskan duit aje. Otak lembab macam lembu.”
Dia tertelan air liur jadinya. Dia akur, keputusan
peperiksaannya hanya setakat itu. Tetapi bukan dia tidak berusaha. Dia sudah
berusaha sehabis daya. Dia sendiri amat kecewa. Namun sekarang, dia lebih
berasa kecewa apabila melihat sikap ayahnya yang seolah-olah melihatnya seperti
seorang yang tidak berusaha. Ayahnya tidak nampak kekecewaan yang ditanggung.
Dia rasa tidak ada arah untuk berkongsi perasaan apabila ayahnya sendiri tidak
mempercayainya.
“Dalam zaman sekarang ni, kalau tak ada pelajaran
jangan harap nak jadi orang. Anak orang lain berebut-rebut nak dapat keputusan
yang bagus-bagus, berebut-rebut nak masuk asrama penuh. Engkau?”
Tiba satu ketika, air mata dia menitik juga. Terasa
terbang segala semangat yang dahulunya ada. Dia mahu berjaya dalam
pelajarannya, mahu masuk asrama penuh seperti yang selalu dicanang-canangkan
oleh orang kampung dan guru-guru. Dia ingin juga menjadi anak yang dibanggakan
oleh seorang ayah. Tetapi sekarang, semua impiannya itu ranap dek sergahan
ayahnya yang bertubi-tubi. Benarkah hidupnya sudah pun berakhir?
Namun pertanyaan itu hanya tinggal pertanyaan. Tiada
siapa yang mahu menjawabnya. Setelah puas melepaskan kemarahan dan
kekecewaannya, ayahnya terus
meninggalkan rumah dengan motorsikal buruknya.
Dia terus termenung di situ. Hanya setelah deruman
enjin motorsikal ayahnya tidak kedengaran lagi, dia kutip slip peperiksaannya
yang jatuh ke lantai. Air matanya menitik makin laju. Jiwanya lesu.
Pada sebelah malamnya pula, dia terdengar pergaduhan
di bilik tidur ayah dan ibunya. Dia yang tidur sebilik bersama adiknya, terus
terganggu.
“Dia budak lagi, bang,” terdengar suara ibunya
menegur.
“Sebab budaklah, kita kena marah dia,” bantah
ayahnya. “Besok kalau dah besar, kalau dah tak jadi orang… apa kita cakap pun
dah tak guna.”
“Tapi cara abang tu keras sangat.”
“Nak berlembut macam mana lagi? Kalau berkeras pun
tak boleh buka otak dia yang bodoh tu, kalau berlembut teruslah bangang sampai
ke tua.”
Ibunya senyap.
“Kalau dia terus tak sedar-sedar lagi macam ni,
tengoklah nanti. Dia akan jadi manusia yang tak berguna. Tak usahkan nak
menolong kita nanti, menyusahkan kita adalah. Silap-silap jadi penagih dadah
macam budak-budak di kampung ni. Habis aje sekolah terus masuk hutan cari
dadah.”
“Abang… janganlah doakan macam tu. Dia anak kita.
Bodoh atau pandai, dia tetap anak kita.” Ibunya bersuara semula.
“Huh! Kalau nak ada anak pun, biarlah boleh diharap.
Kalau tak menyenangkan mak bapak sekalipun, taklah menyusahkan pula,” balas
ayahnya. “Abang penat cari duit siang malam, untuk dia belajar. Tapi dia… pergi
periksa main-main. Dia langsung tak hargai usaha kita, penat lelah kita. Itu
yang buat abang kecewa sangat.”
“Dia dah berusaha. Kita pun dah habis ikhtiar, kalau
itulah aje rezeki kita, kita terima ajelah.”
“Tak boleh macam tu,” bantah ayahnya lagi. “Tahun
depan, abang nak hantar dia ke asrama di tempat lain. Biar dia hidup dengan
orang lain. Mungkin dia boleh faham hidup ni macam mana. Selagi tinggal di
sini, dia takkan jadi orang.”
“Tak payahlah, bang. Tinggal di asrama pun bukan
sikit belanjanya.”
“Abang tak kira. Kalau dia ada di rumah pun,
bukannya boleh buat apa. Buat hati abang panas aje tengok muka bodoh dia tu
hari-hari!”
“Tak baik abang cakap macam tu. Nanti kecil hati
dia. Macam mana pun dia, dia tetap anak kita.”
“Anak tak guna,” pantas ayahnya menyambung. “Nanti adik-adik
dia pun terikut-ikut perangai dia. Sepatutnya dia sebagai abang mesti menjadi
contoh tapi sekarang? Apa yang boleh dicontohkan? Kebodohan?”
Kali ini suara ibunya tidak kedengaran lagi dan
hatinya menjadi sakit… teramat sakit. Kalau ayahnya tidak sanggup memandang
wajahnya lagi, apa gunanya lagi dia tinggal di situ? Kalau apa yang berlaku
pada dirinya itu akan mempengaruhi adik-adiknya, biarlah dia tidak ada di situ.
Dia tidak mahu semua orang menjadi mangsa akibat kebodohan dirinya.
Lalu, pada malam itu juga, dia tinggalkan rumah
tanpa hala tuju. Dan pada setiap langkah kaki yang diambil dia memasang janji
kepada dirinya sendiri. Suatu hari nanti, dia akan pulang dengan kejayaan,
dengan kekayaan yang mengkagumkan ayahnya dan orang kampung. Dia mahu buktikan
yang dia boleh juga menjadi manusia yang berjaya walaupun dengan keputusan
peperiksaan yang begitu. Dia mahu ayahnya gembira apabila menatap wajahnya
semula. Sayangnya selepas 15 tahun, dia masih belum berani pulang.
Walaupun dia sudah memiliki beberapa harta yang
dikumpulkan perlahan-lahan namun dalam hatinya tetap berasa tidak puas. Seperti
ada sesuatu yang kurang. Rasa puas itu tidak sampai ke jiwa. Dia tidak tahu
kenapa.
Pon!
Bunyi hon dari sebuah lori panjang mengejutkan dia
yang memandu sambil mengelamun. Tergesa-gesa dia ke tepi bagi memberikan laluan
kepada lori yang mahu memotong laluannya. Rupa-rupanya dia sedang memandu
terlalu perlahan sehinggakan lori panjang pun mampu memotongnya dengan laju.
Setelah berada di atas jalan raya selama tiga jam… dia tiba di Bandar Dagang
yang terletak di pinggir sungai yang luas. Lututnya terasa sejuk.
Ya, dia semakin dekat.
*****
LIMA belas tahun… bukan satu jangka waktu yang
singkat. Banyak perubahan yang dilihatnya di bandar itu. Deretan kedai yang
dulunya hanya satu tingkat telah digantikan dengan bangunan-bangunan dua
tingkat dan pusat membeli-belah yang moden. Sebuah jeti yang dahulunya sibuk
dengan orang ramai yang menyeberang dari seberang sungai ke situ dengan
menggunakan bot, kini sepi. Bahkan sudah dijadikan waterfront.Sejujurnya dia terasa seperti orang asing di tempat
yang pernah menjadi tempatnya sendiri. Bandar Dagang.
“Nak ke mana, nak?” tegur tuan punya kedai makan
yang menghadap tepian sungai. Diletakkan semangkuk cendul pulut yang dipesan
sambil matanya merenung lama ke wajah Jimmy.
“Tak ke mana. Nak balik kampung sekejap. Jenguk
mak,” balas Jimmy dengan tenang. Dia tahu, di situ dia bukan Jimmy. Dia… Aazim.
Lelaki berambut hampir putih itu terangguk-angguk.
“Kampung kat mana?”
“Silak Tua.” Jimmy tersenyum tawar sebelum mencicipi
cendul pulut yang menggoda seleranya. Mahu tidak mahu, dia harus akur yang dia
akan berdepan dengan banyak persoalan dalam masa beberapa hari ini. Elok juga
sekiranya dia berlatih sebelum berdepan dengan soalan-soalan yang lebih rumit.
“Oh! Kampung Silak Tua…”
“Duduklah,” pelawa Jimmy. Tidak selesa pula dia
berbual sambil duduk, sedangkan lawan cakapnya pula berdiri. Tekaknya sendiri
rasa sukar untuk menelan apabila asyik mendongak.
Sebaik sahaja dipelawa, tuan punya kedai itu terus menarik
kerusi. Nampak jelas di wajahnya amat berminat untuk mengenali Jimmy.
“Kampung Silak Tua rupanya… balik bercuti ke?
Seorang aje?”
“Sorang aje, pak cik. Pak cik pun orang sana ke?”
Jimmy memandang wajah pak cik di hadapannya itu. Mungkinkah orang kampungnya?
Mungkinkah pak cik itu mengenalinya? Rasa cuak mula datang bertimpa-timpa.
“Tak, tapi biasa juga ke situ. Ada tanah kebun yang
pak cik beli di kawasan tu. Di situ dah tak ramai orang tinggal. Ramai dah
pindah.”
Sudah ramai orang berpindah? Terdetik kerisauan di
hati Jimmy. Mungkinkah ibunya sudah berpindah sama? Timbul rasa kesal dalam
hatinya kerana tidak bertanya betul-betul kepada Kak Misah tempoh hari. Tetapi
segalanya sudah terlambat, dia harus pulang ke sana secepatnya untuk
mendapatkan kepastian.
“Ya ke? Tak perasan pula saya,” balasnya perlahan.
Segan pula kalau pak cik itu tahu yang dia sudah 15 tahun tidak menjejakkan
kaki ke kampung halamannya. Malu.
“Tapi setahu pak cik, tak lama lagi kampung tu akan dapat
ketua baru.”
“Kenapa?” Mata Jimmy terkebil-kebil. Apa lagi yang
dia tertinggal?
“Dr Rafar yang jadi ketua kampung tu dah meninggal
jadi… tak lama mereka akan lantik ketua kampung barulah.”
Hati Jimmy terasa lega. Apa yang dikhabarkan itu
tidaklah menjadi soal penting kepada dia. Dia pun sudah ingat-ingat lupa kepada
ketua kampung yang bernama Dr Rafar itu tetapi dia ingat, ayahnya tidak pernah
menghadiri apa-apa majlis yang diadakan oleh ketua kampung itu. Entah kenapa,
dia tidak tahu. Cuma pernah juga dia curi-curi pergi ke kenduri mereka tanpa
pengetahuan ayahnya. Dia lihat, tidak ada pula yang tidak kena di sana.
Entahlah apa yang tidak kena di mata ayahnya.
“Dr Rafar dah meninggal rupanya,” katanya sebagai
mengambil hati. Walhal dalam hati, dia tidak peduli langsung. Banyak soal lain
yang perlu difikirkan lagi.
“Dah lama dah… dah lebih 40 hari.” Pak cik itu
semakin bersemangat untuk bercerita. “Anak ni, dari keluarga belah mana?
Keluarga Tok Siang Waki ke… atau Tok Liang Ubi?”
Jimmy menelan air liur. Ya, memang dia ada susur
galur namun sejujurnya dia sudah terlupa nama keluarganya. Yang dia ingat,
Kampung Silak Tua dibangunkan oleh tujuh ketua keluarga. Itu sahaja, entah dia
dari keluarga yang mana, dia betul-betul sudah lupa. Akhirnya dia hanya
tersenyum kelat.
“Minta diri dululah, pak cik.” Dia terus bangun dan
mengeluarkan beg dompetnya. Dihulurkan wang lima ringgit.
Pak cik itu tergesa-gesa mengeluarkan duit kecil
sebagai baki namun segera ditolak oleh Jimmy.
“Tak apalah, pak cik. Tak payah pulangkan baki.”
“Eh!” Pak cik itu benar-benar terkejut.
Jimmy hanya mengangkat tangan sebelum bergegas
semula ke kereta. Dia benar-benar mahu pulang segera ke rumah ibunya. Sekiranya
benar mereka sudah berpindah, dia mungkin sempat mencari keluarganya di tempat
yang lain sebelum malam menjelang tiba. Tanpa berlengah dia tinggalkan Bandar
Dagang setelah membelikan satu beg plastik buah-buahan yang mahal dari sebuah
pasaraya di situ.
Dari bandar ke Kampung Silak Tua, mengambil masa
lebih kurang lima puluh minit. Untuk sampai ke kampung itu, dia terpaksa
memandu melalui sebatang jalan kecil yang menyusuri sepanjang Sungai Silak.
Itulah pengalaman yang sangat terkesan di hatinya.
Dia cukup suka melalui jalan itu walaupun hanya
dengan menaiki bas. Sungai yang luas, pokok-pokok yang berjuntai ke air dan
perahu di tambatan. Semuanya menghidangkan pemandangan yang tiada gantinya.
Menghadirkan rasa tenteram dan bahagia yang pernah dahulu ada.
Tetapi kali ini dia pulang dengan memandu kereta
sendiri. Rasanya lebih seronok dan menggembirakan. Leka menikmati pemandangan
yang dirindui sambil dibelai udara desa yang segar, tidak sedar dia sudah tiba
ke tempat yang dicari-cari.