Raiman bergerak menggunakan kerusi ronda meronda di
kawasan taman. Walaupun pada mulanya dilarang oleh para jururawat terutamanya
Aini dengan menasihatkannya supaya berehat. Tetapi Raiman tetap berdegil. Dia tidak
mahu terkurung dan terperap di dalam wad sahaja. Tambahan dengan kejadian pada
malam semalam membuatkan dia berasa kurang senang berada di dalam wad tersebut.
Seolah-olah terdapat sepasang mata yang sedang memerhatikan segala tingkah laku
dan gerak gerinya sepanjang masa.
Raiman
ada menceritakan kejadian tersebut kepada Aini, tetapi wanita itu kelihatannya
seperti berdalih apabila mengatakan Raiman hanyalah bermimpi. Jawapan tersebut
mengundang rasa tidak puas hati kepada Raiman sedangkan kejadian tersebut
dirasakannya benar-benar berlaku. Dia percaya terdapat sesuatu yang Aini
sembunyikan daripada pengetahuannya. Raiman sangat pasti tentang hal itu.
Kerusi
roda yang menampung dirinya berhenti berhadapan dengan sebuah tugu perhiasan.
Terdapat kolam ikan kecil yang mengelilingi tugu tersebut. Raiman leka
memerhati anak-anak ikan berwarna-warni berenang riang. Sedikit sebanyak dengan
melihat kebebasan dan keriangan ikan-ikan tersebut mengundang rasa tenteram dan
damai di hatinya. Untuk ketika itu.
“Dah
lama anak tinggal dekat sini?”
Teguran
tersebut membuatkan Raiman berkalih. Kelihatan seorang lelaki separuh abad
sedang berdiri dengan menggunakan tongkat tidak jauh daripadanya. Raiman
melemparkan senyuman.
“Baru
sahaja pak cik. Dalam dua, tiga hari ni.”Raiman menjawab sekadar berbasa basi.
“Kena
apa kaki tu?”soal pak cik itu lagi.
Raiman
melihat kakinya yang berbalut sekilas. “Kemalangan pak cik.”jawab Raiman
ringkas.
Pak
cik tersebut tersenyum hambar. Dia berjalan perlahan-lahan dengan berpangkukan
tongkat merapati Raiman.
“Benda
dah nak jadi. Malang tu tak berbau orang cakap. Pak cik pula dah hampir setahun
duduk di hospital ni. Tak keluar-keluar lagi.”ujar pak cik itu.
Raiman
mengerutkan keningnya. “Lamanya? Pak cik sakit apa?”
“Kencing
manis. Hmm.. Masa muda macam kamu pak cik tak jaga pemakanan. Inilah
padahnya.”jawab pak cik tersebut.
Raiman
hanya mengangguk-angguk. Secara tidak langsung kata-kata pak cik itu
seolah-olah satu nasihat dan pengajaran untuk dirinya juga.
“Tiada
orang datang melawat kamu ke?”tanya pak cik itu.
Raiman
menggeleng. “Semalam ada. Tapi hari ini mungkin tak adalah kut.”
“Keluarga
tak datang?”soal pak cik tersebut lagi.
Raiman
menggeleng. “Mereka tinggal jauh.”jawab Raiman tanpa menjelaskan perkaran yang
sebenar.
“Kamu
tinggal wad mana?”Pak cik tersebut ingin tahu.
“Saya
tinggal dekat Wad Cempaka.”jawab Raiman ringkas.
Sebaik
mendengar nama wad tersebut disebut, pak cik tersebut tersentak. Raut wajahnya
berubah. Dia kelihatan seperti takutkan sesuatu. Dia melihat sekilas wad
tersebut yang berada di tingkat 3. Lantas dia terkocoh-kocoh berjalan menjauhi
Raiman. Seolah-olah ada sial terdapat pada nama yang disebut oleh Raiman tadi.
Raiman terpinga-pinga melihat reaksi pak cik tersebut yang semakin menjauh.
Lantas pandangannya dihalakan ke arah Wad Cempaka yang kelihatan suram dan
kelam apabila dilihat daripada jauh. Tanpa disedari sepasang mata turut sedang mengintai
dan memerhati Raiman di sebalik jendela Wad Cempaka.
Raiman memerhati tirai yang menghadang katil di
sebelahnya itu. Kelihatan tenang seolah-olah tiada apa-apa yang menakutkan.
Raiman tetap berwaspada. Dia berbaring sambil mata tidak lepas memerhatikan
tirai tersebut. Dalam hatinya berdoa agar kejadian semalam tidak berulang lagi.
Bahkan dia turut menyesali tindakannya membuka tirai tersebut malam semalam.
Baru
sebentar tadi, Aini telah berpesan kepadanya supaya menekan butang kecemasan
seandainya terdapat apa-apa masalah. Raiman akur dengan arahan tersebut. Butang
kecemasan tersebut hanya terletak di hujung kepalanya sahaja dan boleh
dijangkau menggunakan tangan.
Baru
sahaja Raiman ingin melelapkan mata, tiba-tiba dia terdengar bunyi dengungan
seperti gerombolan lebah. Apabila diamati ia adalah butiran bahasa Siam seperti
mantera yang didengarinya pada malam semalam. Raiman menelan liur. Jantungnya
berdegup kencang seolah-olah ingin melompat keluar daripada dadanya. Matanya
yang separuh kuyu kini terbuka luas.
Raiman
menoleh melihat tirai di sebelah kanannya. Kelihatan tirai tersebut
beralun-alun. Kemudian kedengaran bunyi besi katil bergegar. Semakin lama
semakin kuat. Tidak semena-mena bulu roma Raiman meremang. Bau busuk menerawang
menusuk masuk ke hidung sehingga membuatkan Raiman berasa loya. Raiman melihat
kawasan sekeliling. Tidak semena-mena dia terlihat satu susuk tubuh sedang
berdiri menghadapnya di hadapan laluan menghala ke tandas. Apabila diamati, ia
adalah lelaki tua yang berada di sebelah katilnya itu!
Liurnya
ditelan berulang kali. Kelihatan kaki lelaki tua itu tidak berpijak tanah.
Wajahnya terlindung dengan kesuraman wad tersebut kerana lampunya telah
dimatikan. Yang tinggal hanya lampu kecil di hujung kepala Raiman. Raiman memejamkan
matanya erat. Tubuhnya menggigil menahan rasa takut yang melampau. Apabila
matanya dibuka, ternyata orang tua tersebut masih di situ. Bahkan dia semakin
dekat!
Raiman
menjadi cemas. Tangannya cuba diangkat untuk memicit butang kecemasan tetapi seluruh
tubuhnya terasa lumpuh. Raiman mengesotkan tubuhnya sehingga ke birai katil
apabila kelibat lelaki tua itu semakin hampir. Bau busuk semakin kuat menusuk
ke hidung. Kini, wajahnya telah kelihatan kerana terbias dengan cahaya.
Matanya
terbeliak kemerahan, lidahnya menjulur panjang dan tirus di hujung, wajahnya
kehitaman dan tubuhnya kelihatan sasa dengan tatu-tatu menyeramkan memenuhi
badan. Raiman terasa seakan mahu menangis berhadapan dengan situasi tersebut.
Lantas matanya dipejamkan seerat mungkin sambil mulut terkumat kamit membacakan
ayat suci al-Quran. Hanya itu satu-satunya pelindung yang selamat untuk dirinya
pada ketika ini.
Lama
Raiman berkeadaan sebegitu sebelum dia membuka mata sebaik memastikan tiada
lagi bauan dan bunyi yang kedengaran. Tepat seperti yang dijangka, kelibat
lelaki tua itu telah tidak kelihatan. Raiman memerhati sekeliling tetapi tiada
apa. Seolah-olah lelaki tua itu tidak pernah muncul. Tirai tersebut juga
kelihatan tenang dan tidak beralun seperti tadi. Raiman menarik nafas lega.
Peluh yang membasahi dahi diseka.
Raiman
berbaring semula dalam keadaan normal. Sebaik matanya dihalakan ke arah siling,
Raiman terperanjat besar. Lelaki tua itu sedang bertenggek di atas alang lampu
sedang memerhatikannya dengan mata yang terbelalak dan lidah yang
terjelir-jelir. Raiman menjerit sekuat hati. Serentak itu, lelaki tua itu
melompat ke atas tubuh Raiman.
Ternyata
orang tua tersebut memiliki berat yang cukup luar biasa. Raiman sukar sekali
untuk bernafas kerana dadanya ditindih dengan berat yang tidak tertampung
olehnya. Raiman bergelut untuk melepaskan diri. Lelaki tua itu mencekik leher
Raiman. Telapak tangannya terasa keras seperti batu, bahkan kukunya yang
panjang mencekam kuat leher Raiman sehingga mengalirkan darah. Kekuatannya
terasa begitu luar biasa tidak sepadan dengan usianya. Raiman menggelepar cuba
melepaskan diri. Dia cuba menjerit meminta tolong tetapi jeritannya tersangkut
di kerongkong dan tertelan semula ke dalam.
Kini,
dia dan lelaki tua itu saling menghadap antara satu sama lain. Dia dapat
melihat dengan jelas wajah orang tua itu. Sangat menyeramkan! Mulut lelaki tua
itu terbuka dan dari situ keluarlah lendiran darah yang amat busuk menyimbah ke
muka Raiman. Raiman terkapar-kapar tidak mampu berbuat apa-apa. Lendiran darah
tersebut amat banyak sehingga ada yang Raiman tertelan. Dia terludah-ludah
tetapi semakin banyak lendiran darah yang masuk ke mulutnya.
Dengan
kekuatan yang bersisa, Raiman menjerit sekuat hati.
“ALLAHHUAKBAR!”
Serentak
dengan jeritan tersebut, Raiman terjaga daripada mimpinya. Nafasnya
tercungap-cungap. Sekujur tubuhnya bermandi keringat. Dada Raiman berombak
kencang menghirup nafas. Mimpi ngeri yang dialaminya sebentar tadi terasa
seperti benar-benar berlaku. Raiman menarik nafas dan menghembus berulang kali
bagi menstabilkan semula pernafasannya. Kemudian Raiman beristighfar setelah
berasakan dirinya semakin tenang.
Sekitar
lehernya terasa pedih seolah-olah terluka. Raiman mengangkat perlahan-lahan
tangannya dan menyentuh sekitar leher. Terasa cecair basah di sekitar lehernya.
Cecair tersebut diseka dan dilihat oleh Raiman lambat-lambat. Ternyata ianya
darah! Leher Raiman benar-benar terluka seperti yang dialami oleh mimpinya
tadi. Jantung Raiman kembali berdetak kencang.
Perlahan-lahan
bola matanya digerakkan ke seluruh kawasan wad tersebut. Raiman berwaspada
dengan sebarang kemungkinan. Liurnya ditelan kasar berulang kali. Kelibat
lelaki tua tersebut tidak kelihatan. Kini, pandangannya terarah tirai yang
menutupi katil bersebelahannya itu. Raiman nekad untuk menyelak tirai tersebut.
Dia tidak menghiraukan sebarang kemungkinan yang berlaku. Dia tidak sanggup
lagi untuk berhadapan dengan gangguan sebegitu. Raiman menjangkau tirai
tersebut. Baru sahaja jarinya mencecah permukaan tirai, tidak semena-mena tirai
tersebut terselak dengan kuat sendirinya.
Kelihatan
orang tua tersebut sedang bersila di atas katil sambil menghadap ke arah
Raiman. Kepalanya tertunduk ke bawah. Debaran di jantung Raiman semakin
memuncak. Tiba-tiba, lampu yang sedari tadi terpadam bernyala dengan
sendirinya. Kemudian, bernyala berkelip-kelip seolah-olah kuasa eletrik lemah
lalu terpadam semula. Sebaik fenomena itu selesai, kelibat orang tua tersebut
telah hilang!
Raiman
cemas tercari-cari kelibat orang tua tersebut. Ternyata lelaki tua itu bukan
manusia biasa atau sememangnya bukan manusia. Raiman pasti tentang hal itu.
Matanya terlingas ke serata ceruk. Berasa tidak sedap hati, Raiman mengangkat
wajahnya ke atas perlahan-lahan. Namun hatinya lega apabila lelaki tua itu
tidak bertenggek di alang lampu seperti yang disangkanya. Tetapi kelegaanya itu
tidak lama apabila telinganya menangkap bunyi sesuatu di bawah katil. Apabila
diamati kedengaran bunyi seperti suara orang sedang menderam. Suaranya garau
dan menggerunkan. Raiman menelan liurnya sendiri.
Perlahan-lahan
kepalanya dijengukkan ke bawah katil. Walaupun perasaan takut begitu menekan
jiwanya tetapi Raiman tetap meneruskan niatnya. Belum sempat kepalanya
menjenguk ke arah bawah katil, tiba-tiba lelaki tua tersebut muncul secara
mengejut. Dia terbaring di atas lantai dengan wajah yang membengis dan
berlumuran darah.
Raiman
menjerit sekuat hati tetapi suaranya tidak keluar dan hanya bergema di
kerongkong sahaja. Lelaki tua itu mencapai lengan Raiman dan merentapnya
sehingga jatuh daripada katil. Raiman terjelupuk di atas lantai. Dia mengaduh
kesakitan. Kaki kirinya terasa seakan-akan dicucuk-cucuk dan dihiris-hiris.
Kesakitan yang dialami begitu menyengat.
Lelaki
tua itu tertawa dengan suara yang garau. Matanya mencerlung melihat Raiman.
Lidahnya mula terjelir-jelir menjulur panjang. Raiman mengengsot perlahan-lahan
ke arah belakang cuba menjauhi lelaki tua itu. Tetapi kaki kirinya menghalang
Raiman bergerak dengan lebih cepat. Raiman bergerak dalam kepayahan.
Lelaki
tua itu merangkak menuju ke arah Raiman dengan pantas. Sekelip mata, orang tua
tersebut telah berada di hadapan wajah Raiman. Mata antara mereka berdua
bertentang. Raiman menelan liur menahan rasa takut yang tidak terhingga.
Tubuhnya menggigil ketakutan. Lelaki tua itu mula membaca mantera di dalam
bahasa Siam tanpa sepatah pun tidak difahami oleh Raiman.
Raiman
mengetap rahang. Dia tidak ada cara lain melainkan dia perlu melawan. Dengan
kekuatan yang terkumpul, Raiman melibas wajah lelaki tua itu dengan sekuat
hati. Tiada kesan yang dialami. Lelaki tua itu menderam marah. Matanya merah
bernyala seperti bebola api. Serentak itu satu libasan kuat hinggap ke wajah
Raiman pula. Raiman terpelanting dan berguling beberapa kali sehingga kepalanya
terhantuk kaki besi katil di hadapannya. Keadaanya semakin lemah.
Orang
tua itu melompat dan menerkam ke arahnya. Raiman benar-benar kehilangan tenaga
dan upaya. Lelaki tua itu mencekik kuat leher Raiman. Cengkamannya cukup kuat
dan sukar untuk Raiman meloloskan diri. Raiman bernafas tersendat-sendat.
Lelaki tua itu mula membuka mulut.
Raiman
dapat mengagak tindakan susulan yang
akan dilakukan oleh lelaki tua tersebut. Raiman memejamkan matanya. Lantas
bibirnya terketar-ketar terbuka dan membaca ayat Kursi. Dia hanya mampu
bertawakal kepada ALLAH pada saat itu. Baru sahaja beberapa potong ayat dibaca,
orang tua tersebut menjerit nyaring sebelum berubah menjadi kepulan asap tebal
dan terus terbang keluar daripada wad menerusi jendela.
Raiman menarik nafas lega. Dia terbaring lemah
di atas lantai. Aini secara kebetulan menjalankan rondaan, terkejut melihat
Raiman terbaring di atas lantai. Segera dia berlari mendapatkan lelaki
tersebut. Aini memangku Raiman di atas pahanya. Air matanya terasa ingin gugur
melihat keadaan Raiman yang kelihatan benar-benar lemah dengan kesan luka di
leher. Aini menampar lembut pipi Raiman berulang kali untuk menyedarkannya.
“Saya
nak keluar dari hospital ini.”
Sejurus
berkata sedemikian, Raiman terus pengsan tidak sedarkan diri di pangkuan Aini.