Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 39


Puan Hasna memeluk erat tubuh Chinta. Berkerut kening Chinta memandang Marwah yang berdiri tidak jauh dari mereka. Marwah mengangkat tangan tanda mohon maaf. Chinta mengeluh perlahan.

“Maafkan mama kalau dah buat kamu terkejut,” ucap Puan Hasna apabila melihat senyuman hambar bekas menantunya itu.

“Mama sihat?” soal Chinta tanpa mengendahkan kata-kata wanita itu sebentar tadi. Puan Hasna mengangguk dengan senyuman. Sayu hatinya melihat wajah cengkung wanita itu.

“Maafkan mama,” ucapnya lagi dengan perasaan sebak. Chinta menggelengkan kepalanya.

“Mama tak perlu minta maaf pada Chinta. Mama tak bersalah. Chinta cuma nak dengar perkataan maaf tu keluar daripada mulut Adam,” balasnya dengan nada tegas. Puan Hasna mengangguk.

“Mama pun tak maafkan Adam selagi dia tak minta maaf pada Chinta. Jangan risau, mama akan pujuk Adam untuk rujuk semula dengan Chinta. Yang penting Chinta setuju nak jadi menantu mama lagi,” katanya separuh merayu. Chinta tersenyum hambar tanpa berkata apa-apa.

“Mama masak apa?” soalnya sambil memandang juadah yang terhidang di atas meja.

“Mama masak makanan kegemaran kamu. Ayam masak merah,” jawab Puan Hasna yang agak teruja apabila melihat Chinta mula menarik kerusi. Marwah hanya tersenyum melihat telatah kedua-duanya. Dia ikut menarik kerusi.

“Makan lah. Kau dah seminggu tak jaga makan. Kalau aunty nak tahu, hampir setiap hari saya kena paksa dia ni untuk makan,” lapornya sambil mencapai pinggan. Chinta hanya menjeling sahabatnya itu. Puan Hasna tersenyum hambar.

Ya Allah, permudahkan lah urusan Chinta dan Adam. Aku mohon, Ya Allah.

Doanya dalam hati. Dia tidak sanggup kehilangan Chinta. Wanita itu sudah dia anggap seperti anak sendiri.

                                  *****

Ekram menghampiri Adam yang sedang leka membaca buku di tangannya.

“Kau masih ada masa nak baca buku?’ soalnya dengan kening berkerut. Adam hanya memandang sekilas ke arah rakannya itu.

“Salah ke?” soalnya tenang.

“Memang lah tak salah. Tapi ni bukan masa yang sesuai kau nak baca buku. Macam mana dengan Chinta?” soal Ekram mula tidak sabar. Patah semangatnya untuk memujuk lelaki itu apabila melihat sikap Adam yang tenang seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Cukup lah Ram. Aku penat,” balas Adam sambil bangun dari kerusinya.

“Kau sengaja nak larikan diri. Kau tak takut kehilangan Chinta?” soal Ekram masih tidak berpuas hati. Dia sudah tidak ingat entah sudah berapa kali dia bertanyakan soalan tersebut.

“Aku tahu kau tu kawan aku. Tapi tak bermaksud semua benda kau nak masuk campur. Ni keputusan aku. Kau tak ada hak nak tanya aku soalan tu,” balas Adam dengan nada tegas sebelum melangkah berlalu. Ekram melepaskan keluhan berat. Dia buntu untuk membantu sahabatnya itu. Adam sendiri tidak memberi peluang kepada dirinya sendiri untuk memikirkan semula keputusannya itu. Ekram bangun perlahan dari kerusi lantas berlalu dengan perasaan kecewa.

                                 *****

Datin Syahida mengeluh perlahan. Dia ikut bersedih melihat wajah muram Delisya.

“Jangan lah buat muka macam tu. Aunty pun tak senang tengok,” tegurnya sambil menarik kerusi di hadapan Delisya. Hampir setiap hari wanita itu melepak di butiknya selepas balik dari memujuk Chinta.

“Tak nak balik? Dah malam ni. Sekejap lagi aunty nak tutup kedai,” katanya lagi.

“Aunty tak suka ke Elis datang sini?” balas Delisya tanpa memandang wajah wanita itu. Pandangannya sedari tadi tetap sama menghala ke luar kedai. Datin Syahida menarik nafas berat.

“Ada pula kata macam tu. Aunty tahu Elis risaukan Chinta. Tapi Elis jangan sampai lupa nak jaga diri sendiri. Cuba Elis tengok cermin. Muka tu pucat sangat,” katanya separuh menegur. Delisya membalas pandangan wanita itu.

“Teruk sangat ke?” soalnya dengan kening berkerut. Datin Syahida mengangguk. Delisya mengeluh lagi. Dia memandang telefonnya yang bergetar menunjukkan ada mesej yang masuk. Bulat matanya memandang nama si pengirim.

“Aunty, Elis balik dulu,” katanya sambil mencapai beg di atas meja lantas berlalu dengan tergesa-gesa. Datin Syahida hanya menggeleng melihat telatah wanita itu. Dia tertanya-tanya juga siapa gerangan si pengirim tersebut.

                                   *****

Delisya memeluk erat tubuh Chinta. Chinta tersenyum membalas. Bella yang duduk di sisinya mengelus lembut bahu Chinta. Selepas makan malam, Chinta membuat keputusan untuk menghubungi Bella dan Delisya. Dia rasa bersalah kerana tidak menghiraukan permintaan mereka untuk bertemu dengannya. Puan Hasna dan Marwah yang duduk di balkoni hanya memerhatikan mereka dari atas.

“Maaf lah menyusahkan kau dan Bella,” ucap Chinta dengan senyuman hambar.

“Susah apa? Kau tak pernah susahkan aku dan Elis,” celah Bella. Delisya mengangguk laju mengiyakan kata-kata Bella.

“Tak ada yang susahnya. Aku nak kau jumpa abang. Jangan risau, aku akan paksa abang datang jumpa kau. Tapi kau kena janji dengan aku dan Bella. Kau akan rujuk dengan abang semula,” katanya separuh memujuk.

“Kau tak bersalah Chin. Abang tu buat keputusan tanpa berfikir panjang,” celah Bella lagi. Chinta menarik nafas panjang.

“Elis tak payah paksa dia. Biar dia datang sendiri jumpa Chin dengan rela hati,” katanya. Bella mengurut kepalanya yang terasa pening.

“Susah kalau kau nak tunggu aje. Sampai bila nak tunggu,” katanya dengan kening berkerut.

“Kau okay?” soal Delisya apabila melihat wajah Bella yang mula pucat. Bella hanya diam membisu. Kedengaran dia mengeluh berat.

“Bella,” tegur Chinta yang mula risau dengan telatah wanita itu.

“Aku mengandung,” balas Bella dengan nada perlahan. Delisya dan Chinta terkedu.

“Aku takut. Aku tak beritahu abang lagi,” sambung Bella dengan riak wajah yang sayu. Chinta memeluk bahu wanita itu.

“Tahniah. Kau tak payah nak rasa takut. Semuanya akan berjalan lancar,” katanya separuh memujuk.

“Jangan fikir yang bukan-bukan Bella,” celah Delisya yang seperti faham apa yang sedang difikirkan oleh wanita itu. Bella hanya tersenyum hambar. Dia juga berusaha untuk membuang fikiran jahat itu.

“Abang tak jahat. Cuma antara kami tak ada jodoh. Aku nak kau dan Elis jadi isteri yang baik untuk abang,” kata Chinta separuh menasihati.

“Kau jangan cakap macam tu,” balas Bella dengan perasaan sebak. Delisya meraup wajahnya. Chinta hanya tersenyum hambar.

                                    *****

Datuk Taufiq menyentuh bahu wanita itu.

“Adam tak balik?” tanyanya. Sepatutnya hari itu menantunya akan balik ke rumah. Namun sejak semalam dia langsung tidak melihat kelibat Adam.

“Tak papa. Semalam Elis paksa abang duduk dengan Bella. Bella mengandung pa,” beritahu Delisya dengan senyuman.

“Syukur. Tapi kamu okay ke bila Adam kat sana?” soal Datuk Taufiq yang agak sukar membaca reaksi wajah wanita itu.

“Kasihan Bella. Dia perlukan teman. Elis tak nak perkara yang dilalui oleh Chinta akan turut dilalui oleh Bella,” balas Delisya sambil mengeluh perlahan.

“Kamu jangan fikir yang bukan-bukan. Papa sebenarnya tak faham dengan Elis. Kenapa baik sangat hati tu? Adam tu suami Elis juga,” kata Datuk Taufiq yang jelas kurang berpuas hati dengan sikap anaknya itu. Delisya tergelak kecil.

“Papa tu yang fikir bukan-bukan. Elis okay, pa. Elis bersyukur apa yang Elis ada sekarang ni. Cuma sejak akhir-akhir ni Elis tak tenang sebab risaukan Chinta,” balasnya dengan nada perlahan.

“Elis tak payah lah nak bersusah payah sangat. Kalau memang tak ada jodoh antara mereka, kita tak boleh paksa,” nasihat Datuk Taufiq. Delisya terdiam mendengar kata-kata papanya itu.

“Papa nak keluar sekejap. Elis jangan fikirkan sangat masalah ni. Biar Adam dan Chinta selesaikan masalah mereka. Kita bantu apa yang mampu aje,” sambung Datuk Taufiq sebelum berlalu ke keretanya. Delisya menarik nafas panjang.

Selagi mampu, Elis akan bantu mereka pa.

                                   *****

“Abang, boleh Bella minta sesuatu?” soal Bella dengan nada lembut. Adam yang duduk di sisinya hanya tersenyum mengangguk.

“Boleh tak abang jumpa Chinta?” pinta Bella separuh menyoal. Senyuman Adam perlahan menghilang.

“Tak ada permintaan lain ke?” soalnya pula. Bella menggeleng.

“Bella nak abang jumpa Chinta. Semalam Chinta dah mula keluar jumpa orang. Apa kata abang jumpa dia?” beritahunya dengan penuh harapan.

“Buat apa? Abang faham perasaan Bella dan Elis. Malah abang hargai usaha kamu berdua untuk satukan abang dan dia semula. Tapi abang dan dia tak mungkin akan bersama lagi,” balas Adam dengan nada tegas.

“Kenapa abang susah sangat nak maafkan Chinta? Abang tahu tak abang tu buat keputusan tanpa berfikir panjang? Abang susah sangat terima kenyataan. Tu sebab orang yang abang sayang selalu tinggalkan abang,” kata Bella sambil mendengus geram. Dia bangun dari kerusi lantas berlalu. Adam yang masih duduk di meja makan perlahan mengeluh berat.

“Abang jangan menyesal kalau lepas ni abang tak jumpa Chinta lagi buat selama-lamanya,” kata Bella lagi. Dia masih tidak berpuas hati dengan sikap suaminya itu. Oleh itu dia kembali untuk mengingatkan sekali lagi kepada Adam. Bella sedar yang masih ada cinta di hati suaminya itu buat Chinta. Namun ego suaminya itu sangat tinggi. Dia sendiri sudah hampir berputus asa untuk memujuknya. Adam hanya memandang langkah perlahan Bella meninggalkannya semula. Dia mengeluh lagi.


Previous: Bab 38
Next: Bab 40

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.