"Apa yang kau merepek ni?" soal Bella dengan suara yang sedikit bergetar.
"Kau ingat aku ada masa nak merepek ke?" soal Chinta kembali sambil mendengus perlahan.
"Bila aunty call?" soal Bella semula. Rasa penatnya terus hilang apabila mendengar perkhabaran daripada gadis itu.
"Baru aje. Aku pun masih terkejut. Tak tahu nak call siapa. Aku cuma teringat kau sekarang ni," jawab Chinta dengan perasaan sebak.
"Kau dah call Elis?" tanya Bella semula sambil meraup wajahnya.
"Aku tak kuat lah nak call dia. Tangan aku ni masih bergetar," balas Chinta. Kini air matanya mengalir perlahan tanpa mampu ditahan lagi.
"Sabar Chin. Aku call dia," kata Bella sebelum menekan punat merah. Jarinya cepat menaip mencari nama Delisya. Melihat saja nama gadis itu dia pantas menekan punat panggilan. Sekejap sahaja panggilannya bersambung.
"Bella dah sampai?" soal Delisya tanpa sempat gadis itu berkata-kata. Bella menarik nafas dalam cuba menenangkan dirinya.
"Baru aje. Betul ke apa yang saya dengar? Adam nak hantar rombongan meminang awak?" soalnya tidak bertapis lagi.
"Betul lah tu. Sorry, saya tak sempat beritahu awak dan Chinta lagi. Tapi pagi tadi saya ada beritahu Chinta yang Adam dah boleh terima saya," jawab Delisya dengan nada riang.
"Awak memang patut gembira sebab Adam pilih awak. Macam mana pula dengan kami? Kita semua dah berkorban tau tak. Kenapa Adam cuma pilih awak seorang?" soal Bella dengan nada agak keras. Delisya terkedu.
"Apa maksud Bella?" soalnya agak keliru.
"Saya malas nak cakap kat telefon ni. Esok kita jumpa," balas Bella sebelum menekan punat merah. Dia mendengus geram. Terkebil-kebil Delisya memandang telefonnya.
Apa yang Bella merepek ni?
*****
"Tak tidur lagi? Tak penat ke?" soal Rasya sambil menguap perlahan. Bella terdiam mendengar soalan gadis itu.
"Bella," panggil Rasya apabila gadis itu hanya membisu.
"Aku rasa menyesal balik kat sini semula," kata Bella dengan nada perlahan. Rasya mengeluh.
"Bella, kau tak nampak ke tadi wajah gembira papa kau bila lihat kau keluar dari kereta? Kau jadi macam ni sebab Adam lagi kan? Kali ni apa pula?" soalnya bertalu jelas tidak puas hati.
"Sekarang ni, aku rasa nak putus asa. Tapi separuh hati aku tak nak mengalah," balas Bella tanpa menjawab soalan rakannya itu.
"Adam ada calon lain ke?" soal Rasya lagi separuh meneka. Selagi gadis itu tidak menjawab soalannya, selagi itu dia tidak tenang.
"Aku dengar dia nak hantar rombongan meminang Elis," beritahu Bella akhirnya. Rasya menggeleng perlahan.
"Kau nak duduk diam aje? Sia- sia kau ambil masa setahun untuk tunggu Adam. Kau mesti buat sesuatu Bella. Jangan putus asa. Selagi Adam tak kahwin dengan Elis, selagi tu kau masih ada peluang," nasihat Rasya. Bella terdiam mendengar nasihat gadis itu.
"Kau dah setuju nak bermadu. So, aku rasa tak ada masalah kalau kau nak...,"
"Nak apa?" soal Bella dengan kening berkerut.
"Nak menggatal dengan Adam," balas Rasya selamba.
"Kau ada idea?" soal Bella yang mula serius. Rasya tergelak kecil.
"Kau sanggup?" soalnya kembali separuh mengusik.
"Setahun aku bersabar. Kali ni aku dah tak peduli apa nak jadi. Yang penting Adam jadi suami aku," balas Bella kini dengan senyuman jahat.
"Amboi, kalau nak buat benda tak baik sekejap aje kau setuju ek. Tak takut Elis datang serang kau?" gurau Rasya. Bella tergelak kecil. Terbayang di matanya akan situasi tersebut. Dia menarik nafas dalam.
"Jumpa esok," katanya perlahan sebelum menekan punat merah tanpa sempat Rasya membalas. Rasya menggeleng perlahan sebelum melangkah masuk semula ke dalam biliknya.
*****
Langkah Adam terhenti apabila melihat gadis itu yang sedang tenang bersandar pada keretanya. Chinta tidak sedar akan kehadiran lelaki itu. Dia masih lagi termenung. Chinta bergegas untuk datang bertemu Adam kerana tidak senang dengan berita yang baru didengarinya daripada Puan Hasna.
"Awak," panggil Adam lembut. Chinta mengalihkan pandangannya ke arah lelaki itu. Adam tersenyum sambil berjalan menghampiri.
"Hai," balas Chinta dengan senyuman hambar.
"Apa khabar?" tanya Adam sambil merenung dalam wajah yang dirinduinya itu.
"Macam ni. Sihat aje. Awak?" soal Chinta pula sambil memandang Adam dari atas ke bawah. Betul kata Delisya. Fizikal lelaki itu benar-benar telah berubah.
"Nampaknya sejak saya tak ada kat sini, awak rajin pergi gym," komen Chinta. Adam tersenyum.
"Saya sihat awak," balasnya masih leka meneliti raut wajah gadis itu.
"Awak tu jahat tau tak. Kenapa pilih Elis?" soal Chinta dengan riak wajah yang mula berubah. Tiada lagi senyuman. Hanya matanya yang tajam memandang lelaki itu. Adam berdehem perlahan.
"Kita masuk dalam kereta dulu. Saya hantar awak balik. Esok pagi saya hantar kereta awak pula," cadang Adam separuh mengarah. Dia sudah menuju ke arah bahagian pemandu. Berkerut kening Chinta memandang lelaki itu. Dia mengikut langkah lelaki itu dengan berat hati.
*****
"So?" soal Chinta tidak sabar. Dia masih memandang Adam yang sedang tenang memandu. Sakit pula hatinya melihat lelaki itu leka tersenyum sedari tadi.
"Kenapa tak beritahu yang awak balik Sabah?" tanya Adam tanpa menjawab soalan gadis itu.
"Saya yang tanya dulu, dia tanya kita pula." Chinta mendengus perlahan.
"Maafkan saya, Chinta," ucap Adam perlahan setelah agak lama mendiamkan diri.
"For what? Sebab awak pilih Elis?" soal Chinta sambil menjeling tajam ke arah lelaki itu.
"Saya faham perasaan awak. Saya tahu pengorbanan yang awak dah buat. Saya amat hargai bila awak sayangkan saya. Tapi, saya tak mampu balas semua tu. Awak berhak dapat yang lebih baik Chinta," sambung Adam lagi tanpa memandang wajah gadis itu. Chinta tersenyum sinis.
"So, awak tolak saya lagi?" soalnya tanpa memandang wajah Adam. Dia sebenarnya takut dengan soalan sendiri. Jawapan yang akan diterimanya bakal memusnahkan impiannya sejak setahun yang lalu. Adam menarik nafas dalam.
"Kita dah sampai," katanya dengan perasaan lega. Dia memberhentikan kereta di hadapan sebuah banglo yang sederhana besar.
"Saya tak akan turun selagi saya tak dengar jawapan awak," balas Chinta dengan nada tegas.
"Awak rehat lah dulu. Saya tak nak bincang pasal ni masa awak tengah marah," kata Adam separuh memujuk.
"No! Saya memang penat tunggu awak, Adam. Setahun saya sabarkan hati. Tolong jangan buat saya macam ni. Just tell me. Why?" soal Chinta mula sebak. Kecewa bercampur geram dengan sikap lelaki itu yang seperti bermain tarik tali dengannya.
"I'm sorry Chinta. I'm really sorry," ucap Adam perlahan.
"Tu aje? Awak ingat maaf tu boleh kembalikan masa ke? Awak dah lupa apa yang berlaku pada saya setahun yang lalu? Awak pun nak jadi macam Nazri?!" marah Chinta. Dia menolak pintu kereta dengan kasar sebelum menutupnya dengan kuat.
"I hate you!" ucapnya keras sebelum berlalu dengan pantas. Adam mengeluh lagi.
*****
"Aunty, betul ke apa yang Elis dengar ni?" tanya Delisya dengan perasaan berdebar. Kedengaran di talian sebelah wanita itu mengeluh perlahan.
"Ya Elis. Maaf lah. Aunty bukannya tak gembira Adam dah pilih Elis. Aunty cuma rasa bersalah pada Bella dan Chinta. Kalau lah aunty tak janji setahun yang lalu tentu mereka berdua tak kecewa macam ni. Masa tu aunty yakin sangat yang Adam akan ikut pilihan aunty. Rupanya aunty silap. Semuanya salah aunty," balas Puan Hasna dengan perasaan bersalah. Setahun yang lalu dia meminta ketiga-tiga gadis itu untuk memberi ruang kepada Adam. Dia meyakinkan ketiga-tiga gadis itu yang Adam akan memilih mereka bertiga sekiranya dia yang meminta. Syaratnya cuma berikan Adam masa. Tapi telahannya kali ini meleset. Adam sudah buat pilihan sendiri.
"Elis sebenarnya tak tahu nak gembira atau nak simpati," kata Delisya perlahan. Dia sebenarnya gembira dengan berita itu namun dalam masa yang sama turut bersimpati dengan Bella dan Chinta.
"Ishh, dah jodoh Elis dengan Adam. Dalam hal ni Elis tak payah nak rasa bersalah atau simpati. Allah dah atur semuanya. Mereka berdua kena redha," balas Puan Hasna dengan senyuman hambar.
"Esok Bella nak jumpa saya. Tak tahu nak cakap apa dengan dia nanti. Takut pula kalau dia nak tarik rambut saya ke apa," beritahu Delisya agak risau. Puan Hasna tergelak kecil.
"Jangan risau. Nanti mama call Bella. Mula hari ni, Elis dah kena ubah panggilan tu. Tak lama lagi nak jadi menantu mama," usiknya separuh meminta. Delisya tersipu malu.
"Okay mama. Selamat malam," ucapnya.
"Selamat malam," balas Puan Hasna dengan senyuman. Dia meletakkan semula telefon bimbitnya di atas meja lalu mengeluh lagi.
"Haih, dah nak dapat menantu pun masih nak mengeluh lagi?" soal Tuan Izan separuh mengusik.
"Entah lah bang. Rasa macam ada yang tak kena pula," jawab Puan Hasna perlahan.
"Apa lagi yang tak kena? Adam dah setuju nak kahwin. Dia pun dah buat pilihan. Takkan kita nak paksa Adam kahwin dengan mereka bertiga kalau dah Adam kata dia tak mampu. Awak nak jawab bahagian Adam ke nanti kalau dah sampai sana?" soal Tuan Izan separuh menyindir.
"Abang jangan lah tambahkan serabut kat kepala As ni. Sampai ke situ nak kena kan As. Nak naik kejap. Nak call anak saya yang seorang lagi," balasnya sebelum bangun mencapai telefon bimbitnya lantas berlalu ke tingkat atas.
"Yelah. Kejap lagi abang naik pujuk awak pula," usik Tuan Izan dengan senyuman. Puan Hasna tidak membalas kata-kata suaminya itu. Hanya bibirnya yang tersenyum.
*****
"Okay, aku faham kau tak mampu. Tapi aku nak tanya satu soalan boleh?" soal Farah dengan senyuman.
"Ni mesti dia nak tanya kenapa tak pilih aku?" celah Ekram separuh mengusik. Farah menampar bahu lelaki itu. Adam hanya tersenyum memandang kedua-duanya.
"Eh, bukan lah. Aku nak tanya, kenapa tak pilih cikgu yang selalu masak makanan tengah hari untuk kau? Kau jangan salah faham ek. Aku bukannya nak sebelah atau sokong sesiapa. Cuma sebelum ni aku perhatikan yang kau happy semacam aje kalau cikgu tu datang melawat. Sebenarnya kau suka dengan cikgu tu kan? Tapi kenapa kau tak pilih dia?" soal Farah bertalu. Adam terkedu dengan soalan gadis itu.
"Kau ni. Tak ada soalan lain ke?" soal Ekram pula sambil memandang riak wajah Adam yang jelas kelihatan berubah.
"Aku tanya aje," kata Farah selamba.
"Aku memang tak mampu puaskan hati semua orang Farah. Aku minta maaf," balas Adam perlahan.
"Hah, tengok apa kau dah buat. Adam dah merajuk dah," usik Ekram sambil tergelak kecil. Adam hanya tersenyum mendengar usikan rakannya itu.
"Aku tanya aje. Kau jangan lah nak terasa hati pula. Lagi satu, kau tak bersalah dalam hal ni Adam. Tak payah minta maaf. Kau berhak tentukan masa depan kau. Lagipun kau yang nak hidup dengan orang tu. Aku dan Ram tumpang gembira kerana kau dah mampu teruskan langkah. Maksud aku, kau dah sedia nak mulakan hidup baru. Kami doakan yang terbaik untuk kau," kata Farah dengan senyuman.
"Kau pula bila nak kahwin? Tak nak jadi isteri kedua aku?" usik Ekram.
"Aku okay aje. Tapi isteri kau tu okay ke?" balas Farah dengan perasaan geram.
"Alah, tak payah lah beritahu dia. Kita kahwin kat sempadan. Nak?" usik Ekram lagi.
"Tak ingin aku!" balas Farah sambil matanya bulat memandang lelaki itu. Ekram tergelak besar. Adam hanya tersenyum memandang telatah kedua-duanya. Dalam diam dia mengeluh perlahan.
Betul ke apa yang aku dah buat ni? Tapi kenapa aku rasa ada yang tak kena?