Di hospital itu, dilihatnya anak
muda itu dari jauh. Tulus ikhlas wajahnya. Tersinar cahaya kejujuran dan
keikhlasan.
Ya. Dia yakin anak muda yang mungkin
sebaya dengan anak gadisnya itu baik orangnya. Bukanlah dia itu mudah percaya
kepada orang. Tidak. Dia sudah hidup berpuluh tahun lebih lama daripada budak
lelaki itu. Mana mungkin orang yang baik hati tidak sanggup untuk menolong
orang yang betul-betul berada dalam kesusahan. Kalau dia bukan orang yang baik,
mesti dia, apa orang muda-muda kata, “Bla je...”
Namun, mungkin dia mahu menolong
hanya sebab anak gadisnya. Yalah, anak perempuannya itu manislah juga apabila
dipandang walaupun kecantikannya tersorok dek cermin mata yang dipakai.
“Heish, aku ni! Anak sendiri.
Takkanlah aku nak kata anak aku ni hodoh, buruk, tak cantik semua tu?”
Wanita umur hampir separuh abad itu
mengetuk kepala sendiri.
Dilihatnya
lagi anak muda itu dari jauh. Budak lelaki itu sedang berbicara perkara penting
bersama anak gadisnya. Didengari dan diperhatikan sahaja tingkah laku budak
itu.
Ya.
Memang tidak boleh disangkal lagi. Budak lelaki itu memang baik!