Aina,
Aten, Ree dan Jay sedang mengambil makanan di kafe B pada keesokan harinya.
Tiba-tiba sahaja mereka mahu menukar angin daripada kafe A ke kafe B pula. Nama
pun hari Ahad; hari cuti, hari melepak, hari berehat dan macam-macam lagi.
Tidak pula untuk berkejar-kejar ke kelas dan kuliah. Oleh itu, mereka mahu
berjalan-jalan cari makanan di kafe B.
Tambahan
pula, lauk di kafe A cepat sangat habis. Adakah pelajar-pelajar Kluster A kuat
makan atau tuan punya kafe tidak melebihkan kuantiti makanan? Kadang kala,
kalau lambat habis kuliah, memang berlaparlah segelintir pelajar kerana sudah
kehabisan lauk. Terpaksalah mereka menjamah biskut atau roti sahaja buat
pengalas perut untuk ke kelas seterusnya pada pukul 2.00 petang. Kasihan, kan,
mereka? Tidak mengapalah. Jimat sikit! Tidak perlu ke mesin ATM selalu
semata-mata untuk mengeluarkan duit.
Kalau
nak dibandingkan dengan kafe B, memang jauh bezanya macam bumi dengan planet
Pluto! Kafe B menyediakan pelbagai
jenis lauk. Memang tidak tahu nak pilih yang mana satu. Padahal, makanan saja
pun, bukannya memilih baju raya. Ayam goreng di kafe B memang kaww! Namun, ada dua perkara yang kurang
digemari pelajar-pelajar apabila membeli makanan di situ. Harga makanan di situ
memang agak ‘cantik’ jika dibandingkan dengan kafe A. Mahal sungguh!
Kadang-kadang satu pinggan makanan boleh cecah RM5.00! Namun, disebabkan oleh
kelaparan dan keenakan yang tidak dapat disangkal, mereka sanggup mengeluarkan
duit macam air terjun.
Seperkara
lagi yang tidak disukai ialah makanan di kafe B agak pedas. Makanan di situ
sedap tetapi terpaksa menahan lidah. Sudah beberapa kali juga Aten terpaksa
menahan sakit perut ketika peperiksaan kerana makan makanan yang pedas. Bibir
Ree dan Aina juga pernah menjadi seperti merah saga kerana kepedasan yang
melampau. Jay sahaja yang nampak cool.
Lidahnya memang sudah biasa disuap dengan makanan pedas sejak dari sekolah
menengah lagi. Oleh itu, kepedasan makanan kafe B bagaikan makan keropok je. No hal!
Tengah hari itu tidak ramai yang
makan di kafe. Mungkin ramai yang keluar ke Masjid Tanah atau lebih hebat lagi
ke Mahkota Parade. Mungkin mereka hanya menjamah selera di sana sahaja. Mungkin
juga ada sebilangan ibu bapa yang datang melawat anak-anak mereka pada hari
tersebut. Ibu bapa apabila sudah berjumpa dengan anak masing-masing, sudah
semestinya ada bekalan makanan yang dibawa dari rumah. Maklumlah, masakan ibu
lebih enak daripada masakan cef terhebat di dunia. Jikalau tidak membawa
bekalan pun, mesti mereka membawa anak-anak ke restoran di luar matrik sahaja.
Lebih selesa untuk meluangkan masa dengan anak-anak.
Setelah membayar makanan di kaunter
makanan, Jay mencari tempat duduk yang agak strategik untuk menjamu selera.
Strategik yang dimaksudkan ialah meja makan mesti berada betul-betul di bawah
kipas dan terletak berhampiran dengan televisyen. Televisyen di kafe B memang
sangat besar. Oleh itu, jika menonton dari jauh memang boleh lihat skrin
televisyen. Sound sahajalah yang
tidak dapat dikesan oleh deria pendengaran.
Jay mengambil tempat beberapa tapak
berhampiran dengan televisyen. Walaupun meja tersebut tidaklah betul-betul 90
darjah di bawah kipas, namun tempat itu nampak agak selesa. Duduk bawah kipas
juga tidak elok juga. Takut nanti lauk sejuk. Nanti tidak sedap pula rasanya!
Jay meletakkan pingannya di atas
meja dan berlalu ke sinki untuk membasuh tangan. Dia kembali ke tempat duduknya
dan mendapati kawan-kawannya sudah bersiap sedia untuk mula menyuap.
Masing-masing menghadap televisyen. Maklumlah, sudah lama tidak pulang ke
rumah, rasa rindu pula untuk menonton televisyen. Apabila di rumah, televisyen
di pandang sebelah mata sahaja. Apabila di matrik, terjumpa televisyen bagaikan
terjumpa emas. Amboi, dramatik sungguh!
Ketika itu, cerita yang ditayangkan
ialah cerita Barbie and The Twelve Dancing Princesses. Walaupun cerita tersebut
tidak sesuai dengan peringkat umur mereka yang sudah meningkat remaja, mereka
layankan sahaja cerita tersebut bagi menghilangkan kebosanan yang menyingkap
jiwa.
Jay
merupakan salah seorang penonton yang suka dengan kartun Barbie. Barbie yang
asalnya patung nampak sangat cantik dalam filem. Bukan itu sahaja, Jay memang
suka dengan gaun dan baju yang dipakai oleh watak tersebut. Cantik, menawan,
anggun, ayu dan seangkatan dengannya. Setiap cerita yang dipertontonkan mesti
akan ada slot Barbie menukar baju dengan ajaibnya! Kan best kalau dapat tukar baju lawa-lawa macam tu juga?
Tambahan
pula, kebanyakan cerita Barbie mempunyai watak putera raja yang kacak! Itulah
bahagian yang ditunggu-tunggu apabila dia menonton cerita tersebut. Putera raja
yang gagah perkasa datang menyelamatkan si puteri yang dalam bahaya. Oh,
sungguh romantik sekali!
Iklan
ditayangkan.
Terbeliak
mata Jay apabila iklan yang ditayangkan ialah iklan mengenai kumpulan JYJ!
Menurut iklan tersebut kumpulan boy band
popular dari Korea itu akan mengadakan fan-meeting
di Malaysia! Wah, beruntungnya sesiapa yang dapat berjumpa dengan mereka! Boleh
minta tanda tangan! Boleh melihat mereka beraksi di atas pentas!
“Wah, JYJ nak datang Malaysia! Nak
jumpa mereka!” tutur Aten dengan suara yang terlebih teruja. Dia memang salah
seorang peminat yang sangat menyukai JYJ. Jay pula biasa-biasa sahaja minatnya
terhadap kumpulan tersebut. Apa-apa pun, Beast merupakan kumpulan nombor satu
di hati Jay!
“Nak pergi macam mana? Duit pun tak
ada,” ujar Aten lagi dengan nada yang mengendur. Agak kecewa barangkali. Duit
yang ada cukup-cukup untuk membuat perbelanjaan sepanjang berada di matrik.
Tidak mungkin dia akan menghabiskan elaun semata-mata untuk membeli tiket yang
mencecah ratusan ringgit. Tidak mengapalah! Boleh tonton konsert JYJ di laman
sesawang YouTube. Percuma je!
Cerita Barbie kembali.
Beberapa
saat kemudian, beberapa pelajar lelaki lalu di hadapan meja tempat mereka
makan. Adi, rakan sekelas Jay merupakan salah seorang daripada mereka.
Jay
yang asyik menyuap nasi ke dalam mulut tiba-tiba sahaja terbatuk. Batuknya
memang tahap kronik! Sampai terkeluar nasinya! Air diminum untuk mengurangkan
batuk. Aina yang duduk bersebelahan mengurut belakang Jay. Aina, Aten dan Ree
menggeleng-geleng kepala sahaja. Itu baru JYJ yang keluar iklan, belum Beast
lagi. Jikalau Beast, mungkin sudah muntah agaknya.
“Hai, Jay!” tegur Adi sambil duduk
berhadapan dengan Jay. Dia kelihatan santai dengan skinny jeans dan T-shirt hitam. “Jauh betul kau merantau hari ni.”
“Saja tukar selera,” balas Jay pendek.
Sebenarnya, bukan sebab iklan JYJ dia terbatuk-batuk seperti orang sakit. Dia
terbatuk kerana ternampak klon Jaejoong yang lalu di hadapannya tadi. Klon Jaejoong
merupakan kawan Adi!
Adi dengan selambanya mengambil
sedikit ikan bilis goreng yang berada di dalam pinggan Jay. Tidak senonoh
betul! Namun, Jay biarkan sahaja. Apa yang lebih mendebarkan adalah klon Jaejoong
yang sedang duduk bersebelahan dengan meja makan mereka. Klon Jaejoong tersebut
sedang menonton cerita Barbie sambil menunggu Adi yang menyibuk duduk di
hadapan Jay.
“Jay, kau nampak Mimi tak?” tanya
Adi. Mimi merupakan salah seorang kawan sekelas Jay yang rapat dengan Adi.
Hubungan mereka memang sangat rapat sehingga Adi menggelar Mimi itu seperti
adiknya.
“Manalah aku tahu. Dia kan adik kau.
Takkan kau tak tahu adik kau kat mana? Apa hal kau cari dia?” tanya Jay pula.
“Macam biasalah. Aku nak pinjam report Chemistry. Macam kau tak tahu.
Kau dah siap report?” jawab Adi.
Alang-alang Jay sudah berada di hadapan mata, baik pinjam laporan eksperimen
milik Jay sahaja. Dia memang pemalas lebih-lebih lagi dalam membuat laporan.
Dia malas tetapi rajin pula berjalan dari blok asrama lelaki ke kafe B. Kafe
tersebut dahlah memang jauh dari asrama mereka.
“Belum,” jawab Jay pendek.
“Baru
nak pinjam kau punya tapi kau tak siap pula,” tutur Adi.
“Kalau
aku dah siap pun bukannya aku bawa report
aku pergi kafe. Tak kuasa aku.”
“Yalah.
Kedekut betul! Manalah pula si Mimi ni?”
“Kau
pergilah telefon atau mesej Mimi tu. Mesti dia laju turun dari bilik dia sebab
abangnya ada kat sini. Saja je kacau aku nak makan.”
“Amboi kau! Sombong dengan aku,”
ujar Adi sambil menekan telefon bimbitnya. Mungkin dia mengirim mesej kepada
Mimi dan mengatakan dia sudah berada di kafe.
“Hari ni je aku sombong dengan kau sebab
kau kacau aku nak makan.”
“Kau kalau bab makan memang nombor
satu. Patutlah pipi kau tembam!”
“Ish, itu pun adik kesayangan kau!
Pergi main jauh-jauh sana!” kata Jay apabila ternampak Mimi. Adi terus berjumpa
dengan gadis itu dan mengambil laporan.
Klon Jaejoong pula mengikut Adi dari
belakang. Mereka terus berlalu dari kafe. Sebaik sahaja mereka hilang dari
pandangan mata, Jay menarik nafas lega. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia
berasa lain macam sahaja apabila ternampak klon Jaejoong. Darah dipam laju oleh
jantung secara tiba-tiba. Tangan menjadi sejuk.
Semalam,
telefon bimbitnya jatuh. Kini, nasi pula yang terkeluar daripada mulutnya.
Selepas ini, tidak tahulah apa yang akan terjadi apabila dia terjumpa lelaki
itu. Mungkinkah dia akan tergelincir jatuh? Mungkinkah lututnya boleh tercabut? Mungkinkah dia akan mencair seperti marjerin
yang terkena haba? Clumsy!
Apakah perasaan ini?