Melihat
cermin, Aina meyikat rambut panjangnya. Rambutnya tebal separas pinggang.
Memang susah nak dikeringkan jika dia membasahkan rambutnya. Jenuh juga
tangannya mengelap. Jari-jemarinya mengecut terkena air lain pula ceritanya.
Mahu
guna pengering rambut, alat itu sudah diharamkan sama sekali untuk dibawa ke
kolej. Peraturan jelas mengatakan alat-alat elektrik seperti pengering rambut
tidak boleh dibawa. Namanya sebagai ketua aras harus dijaga walaupun dalam hati
meronta-ronta untuk melanggarnya. Pengering rambut sahaja! Tidak mencederakan
pun. Bukannya pisau, parang, gergaji mahupun pistol yang boleh membunuh. Senang
cerita dia tidak membawa apa-apa senjata yang pernah wujud di dunia ini.
Kadang kala, dia sendiri terfikir
apakah rasionalnya peraturan yang wujud di situ. Jika difikirkan sekali, memang
tidak rasional. Jika difikirkan berkali-kali, memang tidak masuk dek akal
langsung.
Pernah
juga dia terfikir untuk memakai T-shirt sahaja apabila pergi ke kelas. Lebih
santai dan tidak mudah berkedut apabila dipakai. Berlainan dengan baju kurung
yang perlu dijaga kelicinan setiap masa. Dia mengaku bahawa dia memang iron freak. Pantang nampak kedutan di
pakaian, dia mesti akan menggosok bajunya walaupun kelas seterusnya hanyalah
dua jam sahaja. Dua jam bukanlah masa yang lama. Rasanya tidak ada orang pun
yang akan sempat memandang baju mahupun kedutan yang ada pada baju. Aina sahaja
yang terlebih rajin bab menjaga penampilan.
Seperti biasa, Aina mengenakan baju
kurung untuk ke kelas petang itu. Bedak disapu tipis ke mukanya menampakkan
keayuan asli. Natural beauty. Dia
malas mahu mengenakan mekap tebal semata-mata untuk pergi ke kelas. Celak juga
malas dipakainya.
Kemudian,
tudung berwarna hitam dipakai di kepala bersesuaian dengan baju kurungnya yang
mempunyai taburan bunga hitam. Tudung dipin. Lipatan tudung diperbetulkan.
Pelembap bibir dicalit sedikit menutup kekeringan pada bibir. Imej dirinya
diperhatikan pada cermin. Nampak kemas untuk ke kelas. Pewangi disembur sedikit
pada pergelangan tangan supaya tampak lebih segar dan harumannya tahan lama.
Nama pun petang. Sudah tentu berasa letih dan mengantuk.
Barang-barangnya dicapai dan
diletakkan di dalam beg. Memandangkan petang itu hanya ada kuliah, dia
mengambil keputusan untuk membawa buku nota kecil sahaja. Dia pun hampir
menamatkan pengajiannya di matrik. Oleh itu, sebuah buku nota kecil memadai.
Pintu lokar dikunci. Beg digapai dan
disangkutkan pada bahu. Kasut hitam tidak bertumit disarung. Aina dan Jay
bergerak seiringan. Mereka tidak mengunci pintu bilik kerana Aten masih lagi
bersiap di dalamnya walaupun jarum jam sudah hampir mencecah pukul 2.00 petang.
“Jay, hari ini kau tak payah tunggu
aku lepas kuliah,” ujar Aina. Ketika itu, mereka sedang berjalan di hadapan
kafe. Ramai juga yang sudah bergerak ke kelas masing-masing.
“Kenapa?” tanya Jay. Mereka selalu
akan pulang ke blok asrama bersama-sama kerana selepas kuliah, mereka akan ke
perpustakaan kolej untuk mengulang kaji bersama-sama.
“Lepas kuliah petang ni aku ada
kerja nak buat. Kau tak payah tunggu aku kat depan dewan kuliah. Kalau kau nak
balik terus pun tak apa,” tutur Aina memberikan alasan.
“Okey,” balas Jay pendek . Dia
seolah-olah faham bahawa Aina akan keluar dari matrik tidak lama lagi. Mungkin
urusannya berhenti matrik masih belum diselesaikan di Pejabat Hal Ehwal
Pelajar.
Aina boleh dikategorikan sebagai
pelajar yang rajin walaupun saat-saatnya berada di matrik tinggal beberapa hari
sahaja lagi. Kebiasaannya, pelajar yang mahu keluar matrik memang jarang
menghadiri kelas tutoran dan kuliah. Berlainan pula dengan Aina. Pendapatnya,
ilmu harus dicari dan dihargai. Rugi sekiranya dia tidak hadir. Lebih baik dia
belajar awal-awal kerana mungkin benda yang sama akan dipelajari sewaktu dia
berada di UiTM nanti. Dia hanya mahu membuat persiapan sahaja.
Aina dan Jay berpisah membawa haluan
masing-masing. Jay bergerak ke Blok Tutoran kerana waktu itu dia mempunyai
tutor kimia. Dia agak meminati subjek kimia setelah dia masuk matrik.
Berbanding semasa di sekolah menengah dulu, dia memang tidak suka subjek
tersebut sehingga pada tahap benci. Ya, dia benci subjek kimia semasa di
sekolah! Dia jarang mendapat markah yang bagus. Semasa peperiksaan SPM juga dia
hanya mendapat kepujian sahaja.
Namun, perkara berbeza terjadi
kepadanya setelah dia berada di matrik. Dia memang sangat suka dengan kimia.
Walaupun subjek tersebut terdapat sedikit pengiraan yang diperlukan, namun, dia
merasakan subjek itu sangat menarik untuk dipelajari. Ajaran pensyarah pula
sangat berkesan dan sentiasa melekat di hati.
Pada masa yang sama, Aina bergerak
ke dewan kuliah. Dalam kepalanya sekarang ini, dia mahu langsaikan satu
pekerjaan yang mesti dilakukan selepas tamatnya kuliah.
***
“Helo. Kakak boleh tolong Aina tak?”
Aina sedang berbicara dengan kakaknya di talian. Dia agak memerlukan bantuan
kakaknya ketika itu. Bantuan kecemasan!
“Tolong apa?” tanya kakak Aina di
hujung talian. Pelik dirasakan oleh kakaknya itu. Jarang sekali Aina meminta
pertolongannya. Kalau minta tolong untuk ajarkan sesuatu subjek itu adalah.
Masakan Aina suruh dia mengajar dengan hanya menggunakan telefon. Tidak sesuai
langsung!
“Kakak buka komputer sekarang.”
Kakak Aina menurut perintah
‘permaisuri’. Dia duduk dan membuka komputernya. Apalah misi yang adiknya mahu
lakukan kali ini?
“Kakak dah buka.”
“Kakak buka fail saya. Kat situ ada folder saya simpan gambar-gambar saya
kat matrik. Kakak tolong cucikan gambar-gambar saya dengan kawan-kawan saya.
Lepas cuci, kakak tolong pos laju boleh?” minta Aina. Harap-harapnya
permintaannya tercapai. Dia amat memerlukan gambar-gambar tersebut. Dia tidak
sempat mencuci gambar tersebut memandangkan gambar-gambar itu disimpan di
komputer yang berlainan.
“Kamu nak cuci gambar yang mana?”
tanya kakaknya pula. Banyak juga gambar yang disimpan oleh adiknya itu.
“Emm...kakak cuci je semua. Nanti
saya bayar.” Dia yakin semua gambar di komputer tersebut merupakan
gambar-gambarnya bersama rakan sebilik. Gambarnya bersama rakan sekelas
disimpan di telefon bimbitnya sahaja.
“Okey. Kamu nak bila?” tanya kakak
Aina lagi.
“Selewat-lewatnya hari Rabu,” jawab
Aina. Pos laju bukannya lama pun. Sehari sudah boleh sampai. Tambahan pula, dia
memang sangat memerlukan gambar tersebut. Ada misi yang belum tercapai.
“Okey. Nanti kakak poskan.”
“Terima kasih, kak.”
Talian dimatikan.
Aina menghadap skrin komputer
ribanya. Selepas waktu kuliah matematik tadi, dia terus menghala ke Blok
Tutoran 2. Dia mahu membuat satu video. Video mengenai dirinya dan rakan
sekelasnya. Dia mahu letakkan gambar yang sudah diedit cantik-cantik ke dalam
video tersebut. Moga-moga kenangan Aina bersama mereka tidak hilang ditelan
masa.
***
“Lambatnya kau balik, Aina?” soal
Jay yang memegang novel di tangannya. Memang tidak mahu berpisah langsung
dengan novel tebal itu. Maklumlah, jadual hariannya memang sangat padat. Pagi,
kuliah. Petang, kuliah. Kalau pensyarah yang terlebih rajin tu jangan cerita.
Ada sahaja kelas yang nak buat. Oh, memang penat! Itulah pasal kalau dah ada
masa lapang macam ni, dia mahu berjauh sekejap dengan buku dan ber-dating pula dengan novel.
Berbalik pada buku yang Jay tengah
pegang tu, dia memang seronok membaca novel tersebut. Kelakar sungguh! Dia
sering tergelak apabila membaca buku itu. Alangkah bahagianya jika dapat
menjadi heroin dalam sesebuah novel ataupun drama. Pengakhiran cerita sudah
semestinya happily ever after bak
cerita dongeng. Dapat berkahwin dengan lelaki baik plus plus, kaya plus plus,
pandai lagi genius tidak terkata dan aset muka yang kacak tahap gigabyte! Ah, memang cair! Fantasi
memang menggirangkan!
Namun, realiti tidak seindah
fantasi. Hidup tidak selalunya ceria. Kesukaran dan ujian memang mesti dilanda
oleh setiap orang yang bergelar manusia. Bersyukurlah dengan apa yang ada.
Barulah hidup menjadi aman bahagia.
“Aku pergi bangunan tutor tadi. Buat
kerja sikit,” kata Aina. Dia malas mahu memanjangkan cerita. Biarlah kerjanya
tadi menjadi rahsia dan kejutan buat mereka yang tersayang.
“Kau dah makan belum?” soal Ree
pula.
“Belum. Kau tengoklah nasi yang aku
beli ni tak bersentuh lagi,” ujar Aina menunjukkan nasi goreng paprik yang
dibelinya di kafe A dalam perjalanan pulang ke blok asrama A1. Perutnya memang
sudah menyanyikan lagu rock sejak dari tadi. Lapar sungguh! Dilihatnya beberapa
bungkus nasi yang terletak di atas meja tengah bilik itu. Mungkin nasi goreng
milik Jay dan Aten. Adakah mereka menunggunya supaya dapat menikmati makan
malam bersama-sama? Kalau betul, memang boleh touching!
“Kami semua juga belum makan. Jomlah
mandi dulu. Nanti boleh makan sama-sama,” tutur Ree sambil mengambil bungkusan
nasi yang diletakkan di atas meja belajarnya. Diletaknya nasi di atas meja
tengah itu juga. Cukup empat bungkus nasi goreng untuk setiap seorang.
Jay menutup dan meletakkan novelnya
di atas meja belajarnya. Dia bergerak ke katil Aten untuk mengejut kawannya
itu. Digoyangkan sedikit tubuh yang sedap melingkar di atas katil empuk.
“Aten, bangun! Dah dekat pukul 7 ni.
Jom mandi,” kata Jay sambil menggoyangkan tubuh Aten lagi.
Aten masih lagi tidak bergerak.
‘Tak boleh jadi ni.’
Jay melangkah naik ke atas katil
Aten. Didekatkan mukanya ke muka Aten yang masih sedap memeluk anak patung
katak. Disuakan mulutnya ke pipi Aten.
“Chuup!”
Aten terus terbeliak matanya. Dia
terus duduk tegak daripada pembaringan dan memegang pipinya yang baru sahaja
dicium oleh Jay.
“Aku mimpi ada seorang putera katak
cium akulah,” kata Aten dengan suara yang serak-serak sedikit selepas bangun
tidur.
Meledak ketawa Aina, Ree dan Jay.
Mana tidaknya, putera katak itu merupakan Jay! Aten yang baru sahaja bangun
tidur itu pelik dengan kawan-kawannya. Lawak ke apa yang dia cakap?
Dibiarkan sahaja mereka. Diregangkan
badannya sekejap. Matanya digosok-gosok. Dia terus bangun dari katil dan
mencapai tualanya. Peralatan mandi dicapai lalu dia keluar dari bilik tidur
diikuti oleh tiga rakannya yang lain.
Mereka berempat memasuki bilik air.
Pintu bilik mandi diselak dan dikunci dari dalam. Mujur waktu itu tidak ramai
yang menggunakannya. Mungkin budak-budak lain sudah lama bersiram. Itulah
sebabnya kosong semacam bilik air itu.
Tuala dan baju disidai di pintu
bilik air masing-masing. Pili air dibuka maka keluarlah air bagaikan air hujan.
“Ah, bestnya dapat mandi! Hilang lekit kat badan!” kata Aina.
“Korang tahu tak?” celah Aten.
“Tak tahu,” balas mereka bertiga secara
serentak.
“Kalau bolehkan aku tak nak mandi
tau sekarang ni. Sayang nak buang kesan kena cium oleh putera katak dalam mimpi
aku tadi.”
Ree dan Aina sudah ketawa
berdekah-dekah.
Jay berkata, “Mimpi je! Merepeklah
kau ni!”
“Aku rasa macam betul ada orang cium
aku! Betullah putera tu yang cium!” ujar Aten yang masih tidak dapat membezakan
mimpi dan realiti.
‘Heish, menyesal pula aku cium budak
ni! Dia dah fikir yang merapu pulak!’ desis hati kecil Jay yang cuba
ditahan-tahan untuk ketawa.
“Jadi kau nak kata kat dalam bilik
kita tu ada kataklah?” tutur Jay.
Aten hanya ketawa sebagai jawapan
kepada soalan Jay.
“Kau mimpi apa je tadi?” tanya Ree
pula.
“Ala-ala cerita Snow White, aku jadi
seorang puteri yang diracun oleh seorang ahli sihir. Aku hanya terlantar tidur
je. Tak boleh bangun. Beberapa kali jugalah orang tolong goyangkan badan aku
tapi aku tak sedar juga. Akhirnya, seekor katak menghampiri aku dan dia terus
mengucup pipi aku. Itu yang aku terus terbangun daripada tidur. Kalau boleh aku
nak jumpa lagilah putera katak tu. Aku nak tahu kalau dia bertukar jadi manusia
yang comel!”
Tiga sekawannya yang lain tidak
berhenti ketawa setelah mendengar pengalaman melancong Aten ke alam mimpi.
“Kalau putera katak itu bertukar
menjadi manusia, kau nak jumpa dia tak?” tanya Aina kemudian.
“Mestilah nak! Mesti putera katak tu
comel kan?” jawab Aten bersungguh-sungguh. Memang tidak sabar rasanya menanti
peluang keemasan itu untuk berjumpa haiwan yang paling diminatinya iaitu katak!
“Kau nak kahwin ke dengan putera
katak tu?” tanya Aina lagi. Memang seronok mendengar Aten berceloteh. Sifat
keanak-anakannya memang jelas terserlah!
“Kalau dapat jumpa, aku tak naklah
terus ajak putera tu kahwin. Aku nak kenal hati budi dia dulu. Keluar
sama-sama. Ulang kaji sama-sama. Dapat 4 flat
sama-sama. Memang kami pelajar contoh!” Memang besar angan-angan Aten.
Sesungguhnya, dalam kotak fikirannya pada kala itu hanyalah hidup berumah
tangga bersama putera tersayang. Menjadi isteri dan ibu kepada anak-anak putera
tersebut. Tinggal pula di istana besar. Wah, bahagianya hidup!
Pada masa yang sama, Jay bagaikan
mahu termuntah mendengar cerita Aten yang sebiji seperti cerita dalam novel.
Sungguh fairy tale! Padahal, orang
yang mencium Aten merupakan Jay yang diibaratkan muncul sebagai putera katak
dalam mimpinya!
“Memang kuat berangan juga ya kau,
Aten!” kata Ree pula.
“Hehehe...”
“Ish, sudahlah! Geli geleman aku
dengar cerita kau! Kau tahu tak sebenarnya aku yang cium kau semata-mata nak
bangunkan kau daripada tidur tadi!” celah Jay memberitahu cerita sebenar.
“Ha?” Aten terkejut mengeluarkan
suaranya yang sudah sedia nyaring. Memang betul rupa-rupanya dia dikucup tetapi
Jay yang menciumnya, bukannya putera katak yang diidam-idamkan. Oh, musnah
segala harapan! Musnah mahligai rumah tangga yang baru sahaja sebentar tadi
diimpikan. “Eww! Geli! Geli! Mana pencuci muka aku? Aku nak basuh muka aku
cepat-cepat!”
Aina, Ree dan Jay meledakkan ketawa
lagi. Ketawa mereka menyebabkan bilik air itu riuh dan kecoh!
“Hoi, orang dalam bilik air! Dah nak
Maghrib! Kurangkan frekuensi suara anda ya!” tegur Wani yang merupakan salah
seorang ahli bilik nombor tiga.
“OOPPSSS...SORRY!”