Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKN2: Aku Keliru!
Bab 29: Riding in the car with a boy

Walaupun aku mengantuk, itu tidak bermakna aku sudah lupa yang aku masih marah pada Roul. Aku juga tidak lupa bahawa aku hendak bertudung bawal demi menyakiti hatinya. Aku tidak kisah apa orang nak cakap. Aku tidak kisah jika perangai ini dianggap kebudak-budakan. Aku juga manusia biasa yang boleh berperangai tidak normal kalau aku mahu.

Roul memandang aku atas dan bawah sebelum aku memasuki kereta. Dia masih merenung aku tatkala aku memasang tali keledar.

“Apa?” tanyaku. Rasa mengantuk ini membuatkan angin aku lebih teruk dari biasa.

“Masuk kereta tak ada senyum tak ada apa,” ujar Roul.

Aku senyum kelat ke arahnya.

“Puas?” tanyaku.

Dia berdehem sambil mengundurkan keretanya.

“Kalau nak puas kena kahwin dulu,” ujarnya selamba.

“Apa aku cakap pasal lawak lucah?” tanyaku.

Dia buat tidak tahu dan terus memandu keluar dari kawasan kejirananku.

Suasana di dalam kereta memang sangat canggung. Aku rasa Roul sendiri masih rasa jengkel dengan aku sementara aku pula masih rasa marah pada dia. Sebenarnya kalau dia mencuba, mungkin aku akan terlupa apa yang buat aku marah. Namun begitu, Roul tidak mencuba langsung untuk memujuk. Aku tahu aku juga salah kerana aku tidak cuba langsung untuk berbaik semula. Namun ada hasutan dalam telingaku yang mengatakan Roul memperlekehkan aku dan masih tidak memutuskan hubungannya dengan gadis bernama Noor itu, dan itu sahaja cukup untuk meyakinkan yang aku tidak bersalah dalam hal ini.

Perjalanan itu merimaskan. Malah aku terasa seperti Roul sengaja menghukum aku dengan suasana yang sunyi sepi ini. Dia langsung tidak menghidupkan radio atau pemain CDnya, dia tidak berdengung menyanyikan lagu kegemaran dan dia tidak mengatakan apa-apa. Dia hanya memandang ke depan sepanjang perjalanan.

Aku menoleh ke belakang. Komputer riba Zara yang aku belikan untuk gadis itu diletakkan di atas tempat duduk penumpang begitu saja tanpa alas mahupun beg simpanannya. Ada beg kertas di sebelahnya yang berisi beberapa jenis makanan ringan kegemaran Zara seperti Cottage Fries dan Chachos. Juga minuman kesihatan buat Zara yang sejak dulu mempunyai penyakit asma. Roul sangat suka memanjakan Zara, satu-satunya adik perempuan yang dia miliki. Dia cuma punya Zara dan cuma Roul darah daging gadis itu sejak ibu bapa mereka meninggal dunia.

Hubungan rapat mereka juga menjadikan aku dan Zara lebih rapat.

Sebaik sahaja kami melepasi tol Pedas/Linggi, aku sudah tidak tahan lagi. Kami tidak boleh terus mendiamkan diri sebegini sehingga sampai ke Melaka. Kalau tidak, keadaan akan terus jadi canggung dan aku tidak mahu Zara nampak kami bergaduh. Senang kata begini sahaja. Zara hanya punya Roul dan Roul adalah satu-satunya pengaruh dalam hidupnya. Roul bukan sahaja abang tetapi bagaikan bapanya. Itu membuatkan aku bagaikan kakak dan juga emak kepada Zara. Seperti mana ibu bapa cuba menghalang anak-anak mereka daripada sedar akan kepincangan dalam rumah tangga mereka, aku juga tidak mahu Zara nampak aku dan Roul bergaduh.

Kalau difikirkan semula, aku dan Roul bergaduh atas hal yang terlalu remeh untuk menjadi sesuatu yang menyebabkan kami tidak bercakap langsung di dalam kereta selama hampir sejam.

“Aku jumpa someone semalam,” ujar aku.

Roul hanya menoleh sekali ke arahku dan kemudian kembali menumpukan perhatian ke arah jalan di hadapan.

“Chaq ada kawan yang ada masalah dalam relationship. Jadi dia mintak aku tolong kawan dia tu. Semalam aku pergi jumpa kawan dia tu,” ujarku.

“Lelaki ke perempuan?” tanya Roul.

“Lelaki,” jawabku dengan selamba.

Roul tidak mengatakan apa-apa.

“Dia ada bisnes sendiri.”

“Kaya?”

“Boleh tahan. Tapi tak pernah ada luck in relationship,” jelasku lagi.

“Tak rasional,” ujar Roul.

“Apa?”

“Tak rasional untuk lelaki yang kaya tak ada tuah dalam relationship. Kalau gua kaya, gua dah kahwin sekarang,” ujarnya. Aku tidak tahu sama ada dia sekadar memberi pandangan yang tidak ada maksud apa-apa atau dia sedang memerli hubungan kami. Aku perlukan masa untuk memastikan hal tersebut sebelum mencari gaduh dengan Roul lagi sekali.

“Tak rasional tapi logik. Tak semestinya orang yang ada rupa atau berharta akan bahagia. Jodoh tu Allah yang tentukan. Tapi perlulah berusaha jugak,” balasku.

Roul tidak mengatakan apa-apa lagi.

“Sabtu ni aku jumpa dia lagi,” ujarku.

“Kenapa kena beritahu gua?” tanya Roul.

“Sebab Roul penting,” ujarku.

Bingo!

Dia menggerakkan sedikit kepalanya ke kanan. Aku tahu dia melakukan hal itu supaya aku tidak nampak senyuman yang tidak dapat ditahan dari terukir di bibirnya. Kemudian dia berdehem dan kembali serius. Untuk seketika, ya, dia tertipu dengan ayat manis aku. Tapi Roul sudah kenal aku lebih setahun. Dia sudah tahu helah aku. Kali ini aku masih belum berjaya memujuknya.

Seingat aku, aku yang marah pada dia. Kenapa sekarang aku pula yang perlu memujuk?

Kalau dia mahu berperangai macam ni, siapalah aku untuk menidaknya kan?
Pfft.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.