“Kalau Lulu nak cakap, cakap je. Gua
tak kisah.” Roul menuding jari ke arah telinganya. Bekas tindik di telinga itu
sudah separuh tertutup selepas begitu lama dia tidak memakai stud. Tapi bukan
itu maksudnya. Dia bukan suruh aku mengkritik tentang kesan tindiknya sebab itu
dah pun aku buat suatu masa yang lalu, ketika aku membebel kepadanya tentang warna
rambut dan mata kanannya, juga tabiat merokoknya.
Apa yang Roul maksudkan ialah dia akan mendengar apa saja
keluhan aku tatkala ini.
“Entahlah, Roul,” aku suakan kuaci kepada burung nuri
yang mendekati aku sedikit demi sedikit. Ia mengambilnya dari tanganku dengan
pantas dan kemudian beralih ke tempat lain. Nama tempat ni Taman Rama-rama dan
Reptilia. Tapi yang anehnya mereka juga ada burung, arnab, harimau, dan...
...apa tu? Tapir?
Malah tempat tersebut juga lebih menarik daripada zoo.
Entah kenapa aku tidak pernah ke sini sebelum ini, aku sendiri tidak tahu.
Roul nampak resah. Aku faham. Dia bukan manusia normal.
Dia tidak tahu cara untuk memujuk atau mendesak agar aku ceritakan apa yang aku
sedang fikirkan. Roul pasti lebih bahagia kalau dia mengajak aku keluar dan aku
terus ketawa gembira dan lupakan semuanya tentang perpindahan Iza. Itu akan
memudahkan kerjanya.
Tapi sebenarnya, aku sendiri tidak tahu apa yang aku
marahkan. Mungkin Iza. Mungkin Helmi. Atau mungkin sesuatu yang berada di dalam
benak aku yang masih belum aku capai sedalam-dalamnya sebab itu cuma
menyusahkan diri aku kelak. Kalau aku cuba menjalankan aktiviti kaunseling ke
dalam diri sendiri, aku tahu aku pasti akan berfikir dan kemudiannya menghasilkan
idea yang rasa macam logik tatkala itu dan kemudian mempraktikkannya dengan
alasan bahawa ia satu penemuan baru dalam diri aku dan menunjukkan kematangan
fikiran. Akhirnya aku akan merasa tindakan itu bodoh dan menyesalinya,
sekaligus menyalahkan Iza dan Helmi kerana berkahwin.
Perkahwinan kawan karib anda biasanya menyebabkan anda
memikirkan masa depan. Masa depan adalah satu perkara yang menyakitkan otak,
menakutkan anda ke tahap paranoia luar biasa (termasuk bab di mana anda duduk
di depan Facebook Messenger dan memberitahu rakan bujang anda “Oh my God, bila aku akan kahwin?”) dan
biasanya membuat anda sangka anda juga perlu berubah.
Itu yang aku tak mahu. Aku tak mahu diserang paranoia.
Tapi sekarang nampaknya aku sedang memikirkan hal itu.
Bermakna aku sudah setapak menuju ke arah paranoia. Syabas.
“Roul, tak payahlah susah-susah. Orang okay. Orang cuma
terkejut je. Iza kawan dari zaman sekolah. Tiba-tiba dia nak kahwin. I just couldn’t get it into my head,”
aku pula yang terpaksa meredakan resah Roul kerana tidak tahu apa yang patut
dilakukannya.
Roul mengangguk-angguk seperti anak kecil.
Kami terdiam seketika sebelum dia bersuara.
“Lulu datang exhib
gua tak?”
Alamak. Dia ingat.
Tiga bulan lalu, Roul memberitahu aku yang dia dan
rakan-rakannya yang lain akan membuat pameran hasil seni mereka di Galeri
Annexe Pasar Seni. Dia meminta aku untuk datang ke sana. Dia tak meminta dengan
beria-ia dan dia tidak memaksa, namun begitu jelas di mata Roul yang berlainan
warna itu yang dia mahu aku pergi.
Ini semua salah Zulu.
Jika anda tidak pernah tahu kisah aku, Zulu adalah kawan
baik Roul. Aku tidak tahu peringkat gelaran “kawan baik” bagi Roul. Selain
daripada masa yang mereka habiskan bersama di Pasar Seni minum kopi sambil
bercakap tentang Rainforest World Music Festival, atau membuat ujian warna (di
mana Zulu akan cuba menggabungkan pelbagai warna di atas kanvasnya dan Roul
akan memberi komen sama ada warna tersebut nampak ‘berserk’ atau tidak), aku tak pernah dengar mereka berbual tentang
hal lain.
Tapi baru-baru ini, Zulu memperkenalkan teman wanitanya,
seorang art appreciator. Aku tak tahu
apa namanya dalam Bahasa Melayu sebab aku tidak pernah kenal mana-mana art appreciator di negara ini. Penggemar
seni, mungkin?
Apakah itu art
appreciator? Ia seakan pengkritik seni. Tapi bezanya, seorang art appreciator tidak akan mengkritik
kelemahan sesebuah hasil seni atau mempersoalkan maksud di sebalik setiap
hasil, seperti mana yang dilakukan seorang pengkritik. Seorang art appreciator
akan...
Apa perkataan yang sesuai ya?
Meraikan!
Ya, seorang art
appreciator meraikan karya agung setiap pelukis, menjelaskan kepada anda
apa yang ada di sebalik sesebuah lukisan, apakah pengaruh dan ilham setiap
pelukis dan apakah nilai sesebuah hasil itu. Senang kata, art appreciator sentiasa memuji dan sentiasa optimistik.
Pujian dan optimisme. Dua perkataan yang paling aku tidak
gemari.
Aku rasa Roul cemburu. Aku rasa dia cemburu melihat
hubungan Zulu dan Artsy-Fartsy.
Nama teman wanita Zulu yang bekerja dengan sebuah majalah
gaya hidup itu adalah Arfah. Aku lebih suka memanggilnya Artsy-Fartsy kerana
dia sentiasa bercakap tentang hasil seni tidak kira di mana pun dia berada.
Semuanya indah, semuanya ‘pasca modernisme’, semuanya ‘mind-blowing’.
Tapi itu cuma gelaran rahsia aku buat gadis itu. Gadis
berhidung mancung dan bibir mungil yang tetap nampak comel sekalipun hanya
bertocang lipan tanpa solekan itu. Gadis yang sentiasa ke mana-mana dengan
kemeja kotak-kotak dan jeans lusuh itu. Gadis yang tetap menarik perhatian
orang lain sekalipun tampak selekeh itu.
Baik. Mungkin aku juga cemburu dengan Artsy-Fartsy.
Berbalik pada persoalan sebenar. Aku rasa Roul cemburu
bukan kerana teman wanita Zulu lebih cantik dari teman wanitanya. Baiklah,
cantik pun bukanlah perkataan yang sesuai untuk menggambarkan seorang Safiah
Shuhaimi kepada dunia. Tapi aku tahu dia bukan cemburu soal rupa paras. Roul
cemburu kerana, tidak seperti aku, Arfah sentiasa berada di sisi Zulu.
Itu bukan salah aku. Tugas Arfah adalah untuk
memperkenalkan dan mencari bakat-bakat baru seni lukis negara kepada rakyat
Malaysia, paling tidak pun kepada golongan elit di Malaysia yang membaca
majalahnya. Zulu merupakan seorang pelukis jalanan yang mula menempa nama.
Mereka bagaikan Jay-Z dan Beyonce dunia seni, saling memerlukan.
Aku seorang novelis yang semi-popular. Roul pula lebih
suka menjadi ‘artis bebas’ berbanding pelukis sepenuh masa. Kami umpama Sarah
Blackwood dan Gianni Luminati. Anda tahu siapa Sarah Blackwood dan Gianni
Luminati?
I rest my case.
“Datang tak?” tanya Roul lagi, tidak memandang aku.
Burung nuri yang lari setelah mendapat kuaci tadi sudah kembali menggoda Roul
yang sedang memegang plastik berisi kuaci.
Aku bukan tak nak datang. Ada sesuatu tentang pameran
seni yang menjengkelkan aku. Bukan Artsy-Fartsy. Bukan penggemar seni yang
sebenar. Bukan perasaan canggung setiap kali aku berada di kalangan penggemar
seni dan Artsy-Fartsy. Bukan. Bukan itu semua.
Jadi kenapa?
Iza pernah tanya aku soalan ini tiga bulan lepas ketika
aku luahkan padanya yang aku rasa berat hati untuk pergi.
Jawapan aku mudah.
"Aku benci berdiri di sebelah pretentious art-appreciators yg overthink stuff. "This embodies youth and love" atau
“Lukisan ni buat I rasa syahdu. Pelukisnya cuba menggambarkan keperitan akibat social alienation” atau “Warna merah
ini melambangkan semangat manakala torehan yang dilakukan dengan nuansa amarah
ni menunjukkan keinginan untuk bebas”, walhal punca kenapa lukisan tu macam tu
ialah sebab Roul lukis benda tu guna kaki dia sebab dia malas nak mencangkung,"
jelasku.
Iza ketawa mendengarnya.
Tapi aku tak rasa Roul akan ketawa kalau aku ulang ayat
itu kepadanya. Bukan sebab tidak kelakar, aku tahu dia sendiri akan bersetuju.
Dia sendiri pernah kata, setiap lukisannya ada maksud. Tapi maksud tersebut
bukan dalam lukisan itu sendiri. Lukisannya adalah kritikan sosial terhadap
segelintir golongan yang berpura-pura seperti mereka memahami apa itu seni.
Lukisannya adalah satu pengamatan terhadap sikap sesetengah masyarakat yang
suka mentafsir sesuatu yang mereka tidak tahu dengan pendapat mereka yang
pseudo-artistik atau pseudo-akademik dan membudayakan karya orang lain sesuka
hati mereka. Roul melukis demi golongan ini, bukan sebagai pelanggan
berpotensi, tetapi sebagai subjek kritikan sosialnya.
Kalaulah mereka tahu.
Ya, Roul tidak akan marah kerana aku memperkotak-katikkan
sesetengah peminat seni. Tapi dia akan marah sebab aku tak mahu menyokong
kerjayanya seperti mana Artsy Fartsy mendukung jitu karier Zulu. Jika anda
sangka kaum lelaki tidak memiliki rasa iri hati terhadap rakan mereka sendiri,
atau anda sangka mereka tidak punya frienemy,
anda salah.
Namun begitu, aku memilih untuk bersetuju menemankan dia di
acara tersebut tidak kisahlah jika aku akan merasa canggung sepanjang masa. Aku
tidak sampai hati mahu menolak, apatah lagi apabila dia telah cuba menghibur
hati aku dengan membawa aku ke mari.
“Okay,” aku tarik senyuman yang paling manis.
Roul terbatuk-batuk, mengalihkan mukanya dari aku. Namun
aku tahu dia bukan nak batuk. Dia cuba menghalang aku daripada nampak ekspresi
gembira di wajahnya. Dia tidak mahu aku nampak dia tersenyum. Pada Roul,
menunjukkan senyuman kegembiraan tidak ubah seperti menayangkan seluar dalam
merah jambu anda kepada orang awam.
Tidak kelelakian.
Kemudian dia kembali memandang ke depan dengan wajah yang
serius.
“Panjangnya batuk?” aku menyindirnya.
Dia menjeling pada aku yang berada di sebelahnya dengan
mata kanannya yang berwarna merah itu.
“Tekak gatal,” jawabnya dengan wajah yang masih serius.
Aku baru hendak membuka mulut, tetapi dia terlebih dahulu
memintas aku.
“Jangan salahkan rokok gua,” jelas sekali dia tahu itu
yang akan aku katakan.
“Habis tu nak salahkan apa?”
“Salahkan Lulu lah. Siapa suruh tak urut-urut leher gua
supaya tak batuk,” ujarnya. Masih serius, tapi ada nada mengada-ngada dalam
suaranya.
“Kau ingat kau kucing?” aku terus meninggalkannya. Kalau
dilayankan miang lelaki ini, boleh merenyam satu badan.
Dia ketawa terbahak-bahak, lantas mengekori aku dari
belakang. Sepanjang perjalanan kembali ke parkir, dia sibuk mengganggu aku
dengan perbualannya yang entah apa-apa.
“Kesian Lulu,” ujarnya di belakang aku.
“Kenapa pulak?”
“Dulu ada kawan sebilik untuk temankan dia. Sekarang
terpaksa tidur seorang. Nak gua teman?”
“Ha, cakaplah benda merapu lagi kalau berani. Aku
tinggalkan kau karang.”
“Okay. Okay. I’ll
shut up,” ujarnya. Dia memang senyap, tapi hanya selama beberapa saat.
Kemudian dia bertanya lagi.
“Jadi
sekarang Lulu bertiga sajalah dengan Jis dan Masni?” tanya Roul.
“Aku
rasa aku nak letak iklan penyewa baru.” Jelas aku.
“Gua boleh apply?”
“Tak boleh.”
“Macam mana kalau gua suruh Zara apply?” dia menggunakan nama adiknya pula.
“Kau nak jadikan alasan untuk selalu melawat, kan? Tak
boleh jugak. Lagipun adik kau dah masuk universiti, Roul,” jawabku, sambil
menunggu dia menekan punat automatik di kunci keretanya supaya aku boleh buka
pintu.
“Kesian Zara tinggal sorang saja kat rumah bila waktu
cuti. Apa kata Lulu saja yang pindah ke rumah gua dan temankan Zara?” cadang
Roul, sebelum menekan punat tersebut. Dia tersengih menampakkan barisan gigi
yang lurus.
“Apa kata kau berhenti bercakap?” balasku sebelum
memasuki kereta.
Dia ketawa lagi.
“Nak tengok midnight
tak?” tanya Roul, mengabaikan arahanku agar dia berhenti bercakap.
“Tak naklah, Roul. Malam sangat tu,” ujarku. Buat apa aku
nak tidur dalam wayang? Baik aku tidur di rumah. Tak perlu bayar RM10 untuk
itu.
“Gua bukan macam mat rempit. Mata gua straight kat skrin, tangan gua kat seat. Tak ada merayau-rayau tempat lain.
Percayalah,” balas Roul.
“Tadi aku percaya. Sekarang aku dah tak berapa nak
percaya,” balasku.
Dia ketawa besar.
Dua minit kemudian, Kelisa biru tua edisi terhad itu
memecut pergi meninggalkan Taman Rama-Rama dan Reptilia tersebut.