Aku ingat apa yang Chaq cakap.
Chaq suruh aku beri peluang kepada Roul. Aku tidak pasti
apa yang Iza pula akan cakap sebab perempuan tu sudah ingkar pada janjinya
untuk menghubungi aku semula!
Baiklah, aku akan anggapkan kesilapan kecilnya itu disebabkan
dia sibuk dengan perancangan perkahwinannya. Aku seorang kawan baik yang
memahami. Sudah tentu aku maafkan dia, walaupun sampai sekarang dia tak hubungi
aku semula dan meminta maaf. Aku bukan pendendam orangnya, sekalipun kalau aku
yang buat kesilapan tu, dia tidak akan sesekali melupakannya. Aku bukan seorang
yang suka nak mengungkit, tapi Iza memang selalu lupa kesalahannya pada orang
lain.
Ehem.
Okay. Ya, aku dah mengungkit.
Selepas perbualan dengan Chaq, aku membuat keputusan
untuk meneruskannya. Kalau Roul mahu bertemu ibu bapaku, aku akan benarkan. Aku
tidak pasti sama ada ibu bapaku sudah bersedia dengan Roul, tapi aku pasti Roul
sudah bersedia. Anda cuma perlukan satu
pihak untuk yakin dan semuanya boleh menjadi realiti. Jika kedua-duanya tidak
yakin, maka apa yang berlaku pada aku, Iza dan Chaq ketika kami di tingkatan
empat sudah cukup untuk menjadi contoh.
Apa yang berlaku pada aku, Iza dan Chaq ketika kami di
tingkatan empat?
Ketika kami di tingkatan empat, Chaq memberikan idea agar
kami menyertai rancangan mencari bakat Minggu Bahasa Inggeris.
“Jom kita buat slapstick
comedy. Kau dengan Iza menyanyi dan aku akan buat pentomim dan miming kat depan penonton.”
Aku tidak yakin. Begitu juga dengan Iza, sekalipun dia
memiliki suara yang cukup merdu. Namun kami ikutkan saja kerana Chaq begitu
bersemangat dan bersungguh-sungguh. Namun begitu, pada hari pertandingan, Chaq
tidak dapat datang kerana demam. Disebabkan kami sudah membayar wang
pendaftaran sebanyak RM5 dan Iza tidak mahu membazir wangnya, kami membuat
keputusan untuk meneruskannya dengan hanya nyanyian.
“Kau yakin tak?” tanya Iza.
Aku angkat kening. Aku tak yakin, tetapi aku tidak mahu
buat Iza rasa gugup.
“Kau yakin?” aku tanyakan semula soalan Iza kepadanya.
“Aku ok,” ujar Iza. Aku sangka dia yakin, tetapi
rupa-rupanya dia mengiyakan kerana dia juga sangka aku yakin. Maka akhirnya
kami sama-sama cuba menggunakan keyakinan palsu masing-masing untuk naik ke
pentas.
Akibatnya, aku dan Iza sama-sama berdiri menghadap penonton
tanpa mengeluarkan suara dan diketawakan oleh semua orang. Iza paling malu
kerana dia ternampak Abang Ijat yang diminatinya turut ketawa. Aku cuba
melitupi kecanggungan tersebut dengan menyanyikan lagu “When You Believe”
dendangan asal Mariah Carey dan Whitney Houston, tetapi percubaan tersebut
hanya jadi lebih kekok kerana Iza tidak ingat lirik.
Jangan buat sesuatu jika semua yang terlibat tidak yakin.
Bayangkan kalau semua orang yang melakukan terjunan udara secara berkumpulan
tidak yakin dengan apa yang mereka lakukan?
Baiklah, apa yang aku mengarut tadi?
Oh ya, aku perlu telefon emak dan abah.
Tarik nafas panjang-panjang.
Tekan butang hijau. Keluar kertas dinding gambar kartun
Mandy dari animasi ‘The Grim Adventures of Billy & Mandy’. Teringat yang
Roul selalu mempersoalkan gambar tersebut.
“Apa gua tak cukup handsome
ke nak jadi penghias telefon Lulu?” itu soalannya.
Aku tersenyum sendiri.
Berhenti tersenyum macam orang bodoh. Ingat tujuan asal.
Sentuh perkataan CONTACT, tatal senarai nombor telefon dan cari nombor telefon
rumah. Sentuh butang warna hijau.
Skrin memaparkan tulisan “Calling... Rumah.”
Aku menarik nafas panjang. Selepas sekali deringan, suara
seorang budak perempuan kedengaran menjawab panggilan.
“Yelop.” Suara yang malas.
“Helo, Diana. He-lo. Bukan Yelop. Lebih baik lagi kalau
bagi salam.”
“Pfft, whatever. Nak apa?” tanya Diana.
Pfft? Whatever? Inilah masalahnya dengan anak
remaja zaman sekarang. Terlalu banyak menonton ‘iCarly’ dan ‘Hannah Montana’
semasa proses tumbesaran sehinggakan mereka menyangka perkataan ‘whatever’ itu perkataan yang hebat dan bergaya.
Mujur aku tak ada di situ, atau pasti akan ku luku kepala adik bongsuku itu.
Bukannya nak bertanya khabar berita!
“Mak mana?”
“Mak dengan abah tak ada. Dia orang pergi pasar.”
Ini pula masalah pesara dan isteri seorang pesara. Bila
dah tamat zaman bekerja, masa dihabiskan untuk berdua-duaan sampaikan pergi ke
pasar pun perlu berteman. Nampak bahagia sekali di depan semua orang. Kalaulah
apek sayur tu tahu, di sebalik senyuman bahagia pasangan suami isteri itu,
hampir setiap hari mereka bergaduh tentang rancangan televisyen.
“Kau nak cakap dengan mak ke, Yong? Mak bawak Na punya handphone. Call nombor Na,” ujar Diana, tiada kemanisan dalam nada suaranya.
“I believe the
correct word for that is mobile phone. Bukan handphone,” ujarku.
“Grammar Nazi,”
balas Diana sebelum meletakkan telefon.
Budak kurang asam.
Telefon di telinga ku alihkan dan aku mula menatal
senarai nombor telefon sekali lagi, mencari nombor Diana di kalangan senarai
panggilan di bawah huruf S. Kenapa huruf S? Sebab aku senaraikan dia sebagai
“Si Bodoh”.
Baru sahaja aku membuat keputusan untuk menghubungi
nombor ‘Si Bodoh’, tiba-tiba suara Matthew Bellamy berkumandang menyanyikan lagu
‘Unintended’ di telefonku, sementara
skrin memaparkan nama “Johnny Depp”.
Roul.
Aku terus menjawab panggilan.
“Assalamualaikum,” suara Roul garau dan perlahan.
“Waalaikumussalam,” nada suaraku tidak pasti.
Aku rasa syak wasangka bila dia memulakan panggilan
dengan salam. Roul hanya beri salam bila dia telah melakukan kesalahan. Jika
dia dalam angin yang baik, dia tidak akan sopan begini. Sudah beberapa kali aku
menyuruh dia memberi salam dalam setiap keadaan dan situasi, namun manusia
degil itu memang tidak mendengar kata.
“Lulu, tolong gua,” suaranya masih perlahan.
Aku terdengar bunyi orang batuk dan suara-suara asing di
belakang. Namun aku tidak pasti dia di mana. Yang penting, selain daripada
bunyi tersebut, keadaan agak sunyi, menandakan Roul berada di dalam sebuah
bangunan.
“Tolong apa?”
“Gua kat HUKM. Kepala berbalut. Doktor tak bagi gua drive sendiri.”
“Adakah ini deja vu?”
tanyaku.
Dia tergelak kemudian mengaduh kesakitan. Kami sama-sama
mengingati saat di mana aku terpaksa menghantar Roul ke sebuah pusat perubatan
di tengah bandaraya Kuala Lumpur selepas dia dihentak dengan botol arak suatu
masa dahulu.
“Dengan botol apa kali ni?” aku bertanya.
“Bukan botol. Gua kena hentak kat pintu kereta. Tak teruk
mana pun tapi pergi hospital jugak sebab takut ada concussion. Doktor suruh orang lain bawak gua balik.”
“Kenapa
tak naik teksi?”
“Sebab gua ada girlfriendyang cantik dan anggun,” jawabnya
mudah.
“HUKM, kan? Tunggu dekat main entrance. Nanti aku
datang.”
“Thank you, sayang,” suaranya ceria.
“Jangan nak bersayang
sekarang. Aku tak kata aku approve
apa pun yang baru berlaku. Dalam setengah jam lagi aku datang.”
“Ok,” nadanya perlahan kembali.
“Satu lagi, Roul...”
“Apa?”
“Don’t let me catch you flirting with nurses.”
Roul ketawa besar sebelum dia mengaduh kesakitan dan
terus mematikan panggilan.